Sabtu, 2 Julai 2016

Pasukan keselamatan Bangladesh lancar serangan tamat krisis tebusan


Post Pic

DHAKA: Pasukan keselamatan telah melancarkan serangan untuk menamatkan krisis tebusan yang berlaku di sebuah restoran di zon diplomatik di bandar Dhaka di sini, awal hari Sabtu.
 
Bunyi letupan kuat mula kedengaran di kawasan itu pada jam 7.40 pagi, lapor wartawan koresponden The Daily Star yang membuat liputan di sana.
 
Reuters melaporkan, pasukan keselamatan telah bersedia untuk membebaskan sekitar 20 tebusan, termasuk beberapa warga asing dari restoran di kawasan mewah itu selepas kumpulan lelaki bersenjata menyerbu bangunan terbabit yang membunuh sekurang-kurangnya dua anggota polis.
 
Gowher Rizvi, penasihat kepada Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina memberitahu Reuters, pasukan keselamatan cuba melakukan rundingan sebagai jalan keluar krisis, sebelum melancarkan serangan untuk menamatkan pengepungan.
 
Polis berkata, lapan hingga sembilan lelaki bersenjata menyerang restoran Holey Artisan di daerah Gulshan di Dhaka yang popular dengan kumpulan ekspatriat.
 
Penyerang dipercayai membawa senapang dan bom, berbalas tembakan dengan polis yang berada di luar selama beberapa jam selepas serangan, dalam kejadian yang bermula sekitar jam 9 malam waktu tempatan pada Jumaat.
 
Negara Islam (IS) telah mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. Polis Bangladesh bagaimanapun menafikan dakwaan itu, sambil berkata dua pegawai polis telah terbunuh dan sekurang-kurangnya 20 orang cedera.
 
Warga Itali dan India adalah antara tebusan, kata seorang pegawai bertugas di bilik kawalan Rapid Action Battalion (RAB).
 
Duta Itali ke Bangladesh, Mario Palma memberitahu televisyen Itali, tujuh warga Itali adalah antara tebusan yang ditahan.
 
"Ia adalah serangan berani mati. Mereka mahu untuk melakukan operasi berdarah dan besar-besaran, tidak ada ruang untuk rundingan," kata Palma.
 
Gowher Rizvi berkata, krisis tebusan itu bermula apabila pengawal keselamatan tempatan yang berada di kawasan diplomatik itu menyedari kehadiran beberapa lelaki bersenjata di luar sebuah pusat perubatan.
 
Apabila pengawal menghampiri mereka, kumpulan itu berlari ke arah restoran yang sesak dengan orang yang menunggu untuk mendapatkan tempat duduk, katanya.

Tiada ulasan:

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...