Ahad, 17 Julai 2016

‘Senarai AJK parti baharu disediakan orang bodoh’

PETALING JAYA: Satu senarai ahli jawatankuasa (AJK) parti baharu bakal ditubuhkan yang mengandungi nama dan jawatan pemimpin tersebar di media sosial.

Menurut senarai itu, parti baharu yang diumumkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Khamis lalu yang belum pun ditubuhkan itu dinamakan Parti Melayu Baru Bersatu.

Bekas Menteri Perdagangan, Tan Sri Rafidah Aziz; bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz turut menganggotai jawatankuasa parti baharu itu.

Nama bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut muncul dalam senarai itu.

Nama penari, Bilqis Hijjas yang dibebaskan bulan lalu daripada tuduhan melepaskan belon kuning sebagai bantahan terhadap kehadiran Datuk Seri Najib Razak dan isteri dalam sebuah acara di pusat beli-belah Pavilion serta aktivis, Hihamuddin Rais turut berada dalam senarai itu.

Bagaimanapun, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang turut dinamakan, menolak senarai itu dan menyeru orang ramai menggunakan logik akal untuk menentukan kesahihannya.

"Anda perlu menggunakan logik anda. Ini adalah kerja-kerja mereka yang berfikiran kotor, buruk dan hodoh," katanya ketika dihubungi FMT.

Walaupun baru mengumumkan akan kembali menyertai sebuah parti politik kelmarin, beliau bagaimanapun menegaskan belum memutuskan parti mana yang menjadi pilihannya.

"Saya tidak tergesa-gesa. Ada banyak pilihan. Itu senarai disediakan orang bodoh," katanya.

Setiausaha akhbar Muhyiddin, Hafiz Abdul Halim turut menolak khabar angin itu sebagai tidak benar.

"Muhyiddin tidak menghadiri sebarang mesyuarat berkaitan perkara ini. Bagaimana wujud pelantikan itu? Tentunya ia tidak benar," tegasnya.

Mereka yang berada dalam kem Shafie turut menafikan senarai itu.

Aktivis belia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata: "Senarai itu tidak benar. Ia palsu sama sekali."

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Umno, Anina Saadudin turut menafikan kesahihan senarai itu.

Anina mendakwa mereka yang menyertai parti baharu itu tidak gila jawatan, sebaliknya sanggup mencari kebenaran tanpa memegang sebarang jawatan.

"Ramai betul pihak di sana (Najib) yang takut dengan parti baharu. Parti baharu ini bukan seperti Najib hinggakan ada orang terkejut tiba-tiba jadi menteri.

"Dalam parti baharu, semuanya dibincangkan secara muafakat. Hati kami padu. Kami juga tidak laparkan jawatan.

"Jadi, tidak timbul langsung isu tentang jawatan parti. Yang penting, kami cuma mahukan parti untuk melawan Najib," katanya.

Tiada ulasan:

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...