Jumaat, 14 November 2025

PRN Sabah 2025: Pertempuran Sengit Antara Parti Tempatan dan Nasional

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 bakal menjadi medan pertempuran sengit antara parti tempatan dan gabungan nasional, dengan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan. Pilihan raya ini bukan sahaja menjadi medan untuk mengukur kekuatan parti-parti besar, tetapi juga menentukan hala tuju politik Sabah bagi beberapa tahun akan datang. Parti Warisan Sabah (WARISAN) telah mengumumkan akan bertanding di semua 73 kerusi DUN, menegaskan pendirian untuk bergerak solo tanpa sebarang kerjasama dengan parti lain. Strategi ini menegaskan WARISAN mahu menonjol sebagai kuasa besar di Sabah, sambil menegaskan identiti sebagai parti yang berakar umbi di negeri ini. Pendekatan bertanding penuh memberi beberapa kelebihan. Pertama, ia menunjukkan keyakinan parti untuk memperoleh mandat majoriti. Kedua, WARISAN dapat menyampaikan mesej politik mereka kepada semua kawasan tanpa bergantung kepada kerjasama politik. Namun, risiko utama adalah berlakunya pertembungan langsung dengan parti lain, yang boleh menyebabkan undi terpecah, seterusnya melemahkan peluang kemenangan di kerusi tertentu. Sejak penubuhannya, WARISAN menekankan isu hak negeri, autonomi Sabah, serta pembangunan ekonomi tempatan. Strategi bertanding penuh adalah lanjutan daripada agenda tersebut dan kemenangan besar bakal memperkukuh kedudukan WARISAN sebagai kuasa dominan di negeri ini. Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersama beberapa parti tempatan lain, turut memilih untuk bertanding di semua 73 kerusi. Pendekatan ini seolah menandingi WARISAN secara langsung, menunjukkan STAR juga berhasrat menjadi kuasa utama yang menguasai Sabah. Namun, strategi ini boleh menimbulkan risiko perpecahan undi. Pertandingan tiga penjuru atau lebih dijangka berlaku, yang boleh menguntungkan pihak ketiga. Dari perspektif strategi, STAR mengambil pendekatan agresif, tidak mengurangkan bilangan kerusi untuk fokus kepada kawasan tertentu, sebaliknya cuba menandingi WARISAN di hampir setiap daerah. Parti tempatan lain yang menyertai STAR turut memberi warna baru kepada landskap politik Sabah. Kehadiran mereka mencerminkan kebangkitan sentimen tempatan yang mahukan suara rakyat Sabah didengar tanpa bergantung kepada parti nasional. Berbeza dengan WARISAN dan STAR, Parti Perikatan Nasional (PN) hanya mengumumkan untuk bertanding di 41 kerusi. Strategi ini menunjukkan PN lebih berhati-hati, memilih kerusi yang dirasakan mempunyai peluang kemenangan tinggi. Pendekatan ini membolehkan PN menumpukan jentera, calon dan sumber kewangan kepada kawasan yang mempunyai potensi besar untuk menang. Ia juga mengurangkan risiko kekalahan besar yang boleh berlaku jika bertanding di semua kerusi tanpa persiapan rapi. Dari perspektif politik, PN bertindak secara pragmatik, iaitu memfokuskan tenaga pada kawasan strategik sambil menilai kelemahan dan kekuatan lawan. PN berdepan cabaran utama dalam menghadapi parti tempatan yang sudah lama berakar di Sabah. Oleh itu, pemilihan kerusi yang betul dan calon yang berpengalaman akan menjadi faktor penentu kejayaan mereka. Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengamalkan strategi pembahagian kerusi yang sistematik. BN akan bertanding di 40 kerusi, manakala PH mendapat 33 kerusi. Strategi ini bertujuan mengelakkan pertindihan antara kedua-dua pihak dan memastikan setiap kerusi mendapat fokus maksimum. Pendekatan ini menunjukkan gabungan nasional cuba menumpukan kepada kawasan yang mempunyai peluang kemenangan lebih tinggi. Namun, mereka tetap menghadapi persaingan sengit daripada parti tempatan dan gabungan lain. Faktor utama yang akan menentukan kejayaan mereka termasuk kekuatan calon, keupayaan jentera parti serta isu tempatan yang relevan seperti pembangunan luar bandar, hak negeri dan autonomi Sabah. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengumumkan akan bertanding di 55 kerusi DUN. Angka ini menunjukkan strategi agresif gabungan itu untuk meraih pengaruh yang signifikan di Sabah. GRS, yang terdiri daripada beberapa parti komponennya, perlu mengurus pengagihan kerusi secara teliti agar tidak berlaku pertindihan di kalangan komponen sendiri. Pendekatan ini menandakan GRS bersedia bersaing secara besar-besaran, sambil memberi tumpuan kepada kerusi yang dianggap berpotensi tinggi. Namun, cabaran utama mereka ialah persaingan dengan parti tempatan lain yang menuntut kerusi masing-masing dan mahu menggunakan logo parti sendiri. Kejayaan GRS bergantung kepada keberkesanan pengurusan calon, strategi kempen, dan keupayaan untuk memenangi hati pengundi di kawasan luar bandar dan bandar. Selain daripada parti besar, beberapa parti kecil dan tempatan turut mengambil bahagian dalam PRN Sabah 2025. Contohnya, Parti Maju Sabah (SAPP) mensasarkan beberapa kerusi tertentu, termasuk di Sandakan. Walaupun skalanya kecil, kehadiran mereka berpotensi memecahkan undi di kerusi yang sengit persaingannya. Parti-parti tempatan ini sering mempunyai pengaruh kuat di kawasan masing-masing kerana hubungan rapat dengan komuniti setempat. Kehadiran mereka menambahkan dimensi baru kepada persaingan politik, menjadikan ramalan keputusan pilihan raya lebih kompleks. PRN Sabah 2025 menunjukkan persaingan yang sangat kompleks, dengan strategi bertanding parti-parti besar berbeza antara pendekatan agresif (WARISAN, STAR, GRS) dan berhati-hati (PN, BN-PH). Faktor penentu kemenangan bukan sahaja bergantung kepada kekuatan calon, tetapi juga kepada jentera parti, isu tempatan dan jumlah penjuru pertandingan. Persaingan sengit dijangka berlaku di hampir semua kawasan, di mana setiap undi menjadi kritikal. Parti tempatan yang mempunyai pengaruh kuat di kawasan tertentu boleh menjadi faktor penentu, terutamanya jika undi terpecah antara beberapa calon besar. Dalam konteks lebih luas, PRN Sabah 2025 bukan sahaja menjadi medan untuk memperkuat kuasa politik parti nasional, tetapi juga medan untuk parti tempatan menegaskan identiti mereka. Keputusan pilihan raya ini bakal memberi impak besar terhadap dasar pembangunan, hak negeri, dan keseimbangan politik di Sabah untuk beberapa tahun akan datang. – ND 12 Nov 2025

Rombakan Kabinet Madani – KJ Kembali ke Kabinet?

ROMBAKAN Kabinet yang dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal Disember ini dilihat sebagai antara penyusunan semula paling signifikan sejak penubuhan Kerajaan Madani. Menurut sumber, langkah itu bukan bersifat “kosmetik”, tetapi satu penstrukturan semula strategik untuk mewujudkan pentadbiran yang lebih kecil, cekap dan berfokus terhadap pelaksanaan dasar. Pendekatan itu juga menunjukkan keinginan Anwar untuk mengimbangi antara keperluan politik dan kecekapan pentadbiran, sambil menghantar isyarat kepada rakyat bahawa kerajaan kini menumpukan kepada keberkesanan, bukan lagi sekadar keseimbangan parti. Pelantikan semula Khairy Jamaluddin (KJ) sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air mencuri perhatian ramai, selepas hampir dua tahun berada di luar kerajaan dan selepas pemecatannya dari UMNO. Kemunculan semula KJ menandakan dua perkara penting: Pertama, keperluan kerajaan untuk mendapatkan tokoh berprofil tinggi dan berpengalaman dalam pengurusan krisis serta komunikasi awam, dan kedua, isyarat keterbukaan politik Anwar untuk melibatkan semula teknokrat dan figura moderat yang dilihat mampu menjana kepercayaan rakyat. Sekiranya keahlian KJ dalam UMNO dipulihkan seperti dijangka, beliau boleh menjadi jambatan antara kerajaan dan blok politik konservatif Melayu, sekali gus mengimbangi persepsi bahawa Kerajaan Madani terlalu berpusat kepada PH. Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula dijangka menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), iaitu langkah yang mencerminkan fokus kerajaan terhadap kestabilan ekonomi dan pelaburan asing. Johari dikenali sebagai tokoh korporat dengan pendekatan teknokratik dan pelantikan beliau dapat mengukuhkan kredibiliti Malaysia di mata pelabur antarabangsa, terutama dalam tempoh pemulihan ekonomi global yang tidak menentu. Penggabungan Kementerian Ekonomi di bawah Kementerian Kewangan menandakan perubahan struktur besar, menyerupai kembali fungsi Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah era terdahulu. Langkah ini dipercayai bertujuan memusatkan kawalan fiskal dan perancangan pembangunan di bawah satu payung, membolehkan dasar ekonomi negara lebih terselaras. Tengku Zafrul Abdul Aziz pula disebut-sebut bakal memainkan peranan sebagai Penasihat Ekonomi Kanan Kerajaan, menunjukkan kepercayaan berterusan terhadap kepakarannya walaupun berlaku pertukaran portfolio. Turut disebut ialah kemungkinan pelantikan tokoh muda seperti Muhammad Kamil Abdul Munim, Sim Tze Tzin dan Taufiq Johari. Dr. Taufiq Johari Ini memberi petanda usaha menyuntik tenaga muda dalam barisan pentadbiran, selari dengan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan pembaharuan dan keterangkuman. Selain itu, penyambungan semula tempoh perkhidmatan senator seperti Saifuddin Nasution, Zambry Abd Kadir dan Dr. Mohd Na’im Mokhtar menunjukkan keperluan kepada kesinambungan pentadbiran, terutama dalam kementerian kritikal seperti Dalam Negeri dan Hal Ehwal Agama. Secara keseluruhannya, rombakan ini boleh dibaca sebagai langkah politik berisiko tetapi strategik. Ia berpotensi menyegarkan imej Kerajaan Madani, terutama menjelang pertengahan penggal pemerintahan dengan kemasukan semula tokoh seperti KJ dan Johari mungkin mengimbangi persepsi ekonomi dan kepimpinan teknokratik. Namun, Anwar perlu berhati-hati menguruskan reaksi dalaman parti, khususnya dalam PKR dan DAP, agar rombakan ini tidak menimbulkan rasa tersisih dalam kalangan penyokong asal kerajaan. Justeru, rombakan Kabinet kali ini mencerminkan usaha Perdana Menteri untuk memperkukuh asas pentadbiran melalui gabungan pengalaman, profesionalisme dan pembaharuan. Jika benar KJ dan Johari kembali ke pentas utama politik nasional, rombakan ini mungkin menjadi titik perubahan penting dalam fasa kedua Kerajaan Madani, menandakan transformasi daripada fasa penstabilan politik ke arah fasa keberkesanan pentadbiran dan pengukuhan ekonomi. – ND 11 Nov 2025

“41 Kerusi dan Strategi Baharu BN Sabah: Langkah Terancang atau Konsesi Politik?

MENGAPA Barisan Nasional (BN) melalui bahagian negeri UMNO Sabah hanya meletakkan calon di 41 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri akan datang? Adakah keputusan itu merupakan sebahagian daripada perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH)? Mari kita rungkaikan dua persoalan yang membelanggu ahli, penyokong UMNO/BN dan rakyat Malaysia khususnya. Umum tahu, DUN Sabah mempunyai 73 kerusi yang disediakan untuk dipertandingkan. Tetapi, BN Sabah telah mengumumkan parti itu akan bertanding di 41 kerusi sahaja buat masa ini. Kenapa? Meneliti kepada kenyataan kepimpinan iaitu Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, BN tidak akan bertanding di semua 73 kerusi, tetapi akan fokus pada kerusi yang dianggap boleh dimenangi. BN Sabah melalui pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pula mengumumkan 41 kerusi akan ditandingi mereka, iaitu UMNO 36 kerusi, PBRS (dua kerusi) dan MCA (satu kerusi). Mengapa hanya 41 kerusi? Berikut ialah beberapa faktor utama, antaranya; fokus kepada kerusi yang winnable atau strategik. BN Sabah jelas menyatakan, pertimbangan utama ialah kerusi yang boleh dimenangi atau mempunyai peluang yang munasabah untuk dimenangi. Ahmad Zahid pula menekankan, hanya kerusi yang memenuhi kriteria kebolehmenangan akan dipertandingkan, manakala Bung Moktar menyebut, pemilihan calon dilakukan dengan teliti untuk memastikan kemenangan. Dalam konteks Sabah, politik sering melibatkan banyak pertarungan pelbagai penjuru, kerusi tradisional yang berubah dan juga pengkhianatan atau lompat parti. BN Sabah sebelum ini menghadapi pengalaman di mana kerusi tradisional mereka telah diberikan kepada parti rakan dalam kerjasama sebelumnya dan kemudian BN rasa kerugian. Oleh itu, BN memilih untuk tidak meluaskan pertandingannya secara melulu, tetapi lebih berhati-hati. Ada kenyataan bahawa BN telah mengadakan rundingan dengan PH mengenai pembahagian kerusi di Sabah. Sebagai contoh, UMNO menyatakan, rundingan kerusi dengan PH telah diselesaikan. Lebih spesifik, Ahmad Zahid menyatakan, BN dan PH sudah mencapai persefahaman bahawa tidak akan berlaku pertembungan kerusi antara BN dan PH” di Sabah. Ini menunjukkan sebahagian daripada sebab BN tidak bertanding di semua 73 kerusi ialah untuk mengelakkan pertindihan kerusi dengan PH dan memastikan kerjasama dengan rakan sekutu di peringkat federal/negara. Bertanding di semua 73 kerusi memerlukan sumber manusia, kewangan dan kempen yang besar. BN mungkin menilai bahawa dengan sumber yang ada dan pesaing yang ada, lebih bijak untuk fokus pada jumlah kerusi yang boleh diberi perhatian penuh, daripada tersebar terlalu luas dan kurang berkesan. Memilih 41 kerusi membolehkan tumpuan yang lebih besar bagi setiap kerusi seperti calon yang layak, persiapan kempen, logistik dan mobilisasi pengundi. Walaupun BN memutuskan akan bertanding 41 kerusi dahulu, terdapat isyarat jumlah itu mungkin bertambah. Contohnya, Bung Moktar berkata, lima hingga enam kerusi lagi akan diumumkan dan sasaran boleh jadi sekitar 48 kerusi. Ini menunjukkan angka 41 bukanlah mutlak muktamad dalam semua kerusi akan dipertandingkan oleh BN sebagai satu-satu pihak, malah ada ruang untuk perubahan berdasarkan rundingan dan strategi terakhir. Apakah ini sebahagian daripada perjanjian dengan PH? Jawapan ringkas: Ya, sebahagiannya. Tetapi bukan sepenuhnya satu perjanjian formal yang menyatakan BN hanya bertanding 41 kerusi sebagai syarat utama kerjasama besar dengan PH. – ND 11 Nov 2025

Barisan Nasional Sabah Pilih Perpaduan, Profesionalisme Sebagai Teras PRN Ke-17

PENGUMUMAN rasmi senarai calon Barisan Nasional (BN) Sabah untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 menandakan permulaan fasa penting dalam usaha parti itu memantapkan kembali kedudukannya di bumi bawah bayu. Seramai 41 calon telah disenaraikan, merangkumi pelbagai latar belakang iaitu dari tokoh politik berpengalaman sehingga kepada profesional muda yang menampilkan wajah baharu BN Sabah. Dua daripada calon yang diumumkan merupakan doktor perubatan, mencerminkan komitmen BN terhadap kepimpinan yang memahami nadi kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Kehadiran tokoh profesional ini dilihat sebagai simbol anjakan paradigma parti dalam memperkukuh kepercayaan pengundi luar bandar dan separa bandar yang semakin menuntut kepimpinan berwibawa, bersih dan berpengetahuan. Secara keseluruhan, senarai calon ini memperlihatkan keseimbangan antara kesinambungan dan pembaharuan. Beberapa nama besar seperti Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak dan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup kekal menjadi tunjang utama, menandakan kepercayaan parti terhadap pengalaman dan rekod perkhidmatan mereka. Pada masa sama, kemunculan calon muda seperti Dr. Elmiariezan Ardan (N.68 Apas) dan Zharif Aizat Samsuddin (N.53 Sekong) memperlihatkan usaha menyegarkan struktur kepimpinan BN di peringkat negeri. Namun begitu, cabaran terbesar bagi BN Sabah bukan sekadar pada pemilihan calon, tetapi bagaimana calon ini mampu menyampaikan mesej perubahan dan penyatuan kepada pengundi pelbagai lapisan etnik, agama dan wilayah. Dengan landskap politik negeri yang kini dipenuhi pelbagai gabungan seperti GRS, WARISAN dan PH, BN perlu memperkukuh naratif bahawa ia masih relevan sebagai parti yang mampu membawa kestabilan dan pembangunan. Dari segi keseimbangan gender, hanya segelintir calon wanita tersenarai, antaranya Normalah Rasik dan Saleha Wahid, yang menunjukkan ruang peningkatan dalam keterwakilan gender masih luas. Penyertaan profesional pula menyaksikan kehadiran calon berlatar belakang akademik dan perkhidmatan awam memberi nilai tambah kepada kredibiliti parti. Arah strategik ialah fokus BN tampak jelas, iaitu mempertahankan kubu tradisi sambil menembusi semula kerusi marginal melalui calon tempatan yang mempunyai akar komuniti kuat. Menjelang hari penamaan calon, tumpuan kini beralih kepada bagaimana BN akan mengatur strategi kempen yang berkesan dan realistik. PRN Sabah kali ini bukan sekadar pertandingan politik, tetapi ujian terhadap kemampuan BN menyesuaikan diri dalam ekosistem politik baharu, di mana rakyat semakin menilai berdasarkan prestasi, bukan nostalgia. Berikut 41 senarai calon BN yang akan bertanding: N.10 Usukan – Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak; N.12 Sulaman – Dr. Shahnon Rizal Thaijuddin; N.13 Pantai Dalit – Alfian Sambas; N.16 Karambunai – Datuk Yakubah Khan; N.17 Darau – Arfandy Abdul Rahman; N.24 Tg. Keramat – Jeffery Noor Mohamed; N.28 Kawang – Datuk Jamal Norubit @ Nerub; N.29 Pantai Manis – Redzuan Ismail @ Gari; N.30 Bongawan – Datuk Mohamad Alamin; dan N.31 Membakut – Rusman Dulamit Diikuti N.32 Klias – Osin Jilon; N.33 Kuala Penyu – Datuk Awang Aslee Laka; N.34 Lumadan – Datuk Mohd Nazri Abdullah; N.36 Kundasang – Japirin Sahadi; N.37 Karanaan – Nadzmin Kamin; N.38 Paginatan – Datuk Jemadi @ Junaidi Sahat; N.41 Liawan – Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi; N.45 Sook – Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; N.46 Nabawan – Lajji Ompongoh; N.47 Telupid – Benedict Asmat; N.48 Sugut – Mohammad Arifin Pachuk; N.50 Labuk – Yusuf Latif; N.51 Sg. Manila – Zaini Tiksun; dan N.52 Sg. Sibuga – Datuk Suhaimi Nasir. Turut tersenarai bertanding ialah N.53 Sekong – Mohd Zharif Aizat Samsuddin; N.58 Lamag – Datuk Seri Bung Moktar Radin; N.59 Sukau – Datuk Jafry Ariffin; N.60 Tungku – Saleha Wahid; N.62 Silam – Sharif Musa Sharif Mabul; N.63 Kunak – Datuk Seri Anil Jeet Singh; N.66 Bugaya – Abdul Manan Indanan; N.67 Balung – Erwan Palateh; N.68 Apas – Dr. Elmiariezan Ardan; N.71 Tg. Batu – Samsasuddin Yusop; dan N.73 Sebatik – Aslan Fadli Samsul Alang. - ND 10 Nov 2025

Apabila Sejarah Diperkecilkan, Bangsa Hilang Arah

APABILA yang bergelar profesor diperlekehkan oleh generasi baharu, generasi yang lebih selesa menatap skrin kecil daripada membuka lembaran buku, maka itu bukan sekadar pergeseran antara dua zaman, tetapi suatu isyarat kehilangan adab terhadap ilmu. Kita sedang menyaksikan satu peralihan budaya yang membimbangkan, ketika kebenaran digantikan dengan populariti dan ilmu ditenggelamkan oleh gelombang hiburan tanpa sempadan. Hari ini, ramai anak muda lebih mengenali wajah-wajah selebriti media sosial daripada tokoh-tokoh ilmuwan yang membina negara. Mereka tahu meniru gerakan tarian viral, tetapi gagal meniru semangat tokoh-tokoh bangsa yang mempertahankan maruah dan peradaban. Mereka hafal jargon internet, tetapi buta terhadap makna sejarah yang menjadi nadi kepada jati diri Melayu dan tamadun Nusantara. Apabila ahli akademik berbicara mengenai sejarah silam, berhubung kerajaan-kerajaan Melayu lama, falsafah perjuangan, nilai dalam hikayat lama, mereka diketawakan. Dikatakan terlalu romantik, tidak praktikal dan hanya mahu mencari nama. Ironinya, mereka yang mentertawakan itulah yang setiap hari mengejar tontonan, “like” dan “followers” di dunia maya, tanpa sedar merekalah sebenarnya yang haus akan pengiktirafan palsu. Inilah simptom masyarakat pascamoden yang terperangkap dalam budaya cetek, di mana pengetahuan dinilai dari tahap hiburan, bukan kedalaman makna. Budaya “skrol” dan “skip” telah mencipta satu generasi yang cepat bosan dengan renungan panjang, malas berfikir mendalam dan takut pada perbincangan berat. Segala yang tidak segera menghibur dianggap membosankan dan segala yang memerlukan tumpuan dianggap tidak relevan. Sedangkan sejarah, ilmu dan hikmah tidak pernah bersifat segera. Ia menuntut kesabaran, penelitian dan kerendahan hati untuk belajar daripada masa silam. Dalam dunia digital yang serba cepat ini, nilai-nilai tersebut seolah menjadi beban. Lalu kita melihat generasi yang tahu banyak perkara di permukaan, tetapi gagal memahami apa-apa di kedalaman. Mereka menghafal data, tetapi kehilangan makna; mereka mengutip fakta, tetapi hilang arah dalam menafsirnya. Kecetekan ini bukan semata-mata kelemahan individu, tetapi gejala peralihan budaya global. Media sosial telah menukar struktur cara manusia berfikir. Ia menggalakkan reaksi segera, bukan renungan mendalam. Ia menonjolkan yang bising, bukan yang bernas. Dalam keadaan ini, suara profesor, sejarawan dan ilmuwan sering tenggelam, bukan kerana tidak benar, tetapi kerana tidak viral. Namun begitu, para ilmuwan tetap berdiri. Mereka menggali manuskrip lama, menterjemah hikayat dan salasilah, meneliti falsafah bangsa, bukan untuk kemasyhuran, tetapi kerana mereka tahu bahawa bangsa tanpa sejarah adalah bangsa yang sedang menuju kehancuran. Mereka memahami, setiap tamadun yang besar berdiri di atas pengetahuan tentang dirinya sendiri. Tanpa akar, tidak akan ada arah; tanpa sejarah, tiada masa depan. Mereka yang memperlekehkan sejarah sering lupa bahawa segala kemajuan hari ini berdiri di atas tapak warisan semalam. Teknologi, undang-undang, seni, malah bahasa yang kita tuturkan, semuanya lahir dari sejarah panjang manusia mencari makna dan kebenaran. Menolak sejarah bererti menolak asal-usul diri dan apabila akar itu dipotong, maka runtuhlah pohon bangsa yang sepatutnya rendang. Generasi baharu harus memahami bahawa mendengar profesor bukanlah tunduk kepada masa lalu, tetapi belajar daripada kebijaksanaan yang diuji zaman. Kisah epik dan hikayat purba bukan sekadar cerita dongeng, tetapi wadah untuk mengajar erti maruah, setia, sabar dan pengorbanan. Di situlah terkandung DNA moral bangsa. Mereka yang menuduh ahli akademik bercakap untuk populariti tidak memahami bahawa ilmu sejati tidak lahir untuk dipuja. Profesor tidak berdiri di podium untuk mengejar sorakan, tetapi untuk menyalakan pelita dalam kegelapan jahil yang semakin menebal. Mereka tidak mencari pengikut, tetapi pewaris, insan yang sanggup meneruskan nyala api ilmu yang semakin padam dalam kesibukan dunia maya. Generasi yang menghina sejarah sebenarnya sedang menghina dirinya sendiri. Mereka menolak cermin yang menunjukkan siapa mereka, lalu hidup dalam ilusi bahawa dunia bermula dari telefon di tangan mereka. Namun, sejarah sentiasa sabar. Ia tidak akan hilang hanya kerana dilupakan. Sejarah akan menunggu, dan apabila bangsa ini tersilap langkah, sejarah jugalah yang akan menjadi hakim paling jujur. Kita perlu mengembalikan semula adab terhadap ilmu, adab mendengar, menyoal dengan sopan, menilai dengan akal dan menghormati mereka yang menyalurkan hikmah. Bangsa yang besar ialah bangsa yang tahu menghargai pemikirnya, bukan mempersendakan mereka. Setiap profesor, sejarawan dan cendekiawan yang ikhlas bukan sekadar penjaga pengetahuan, tetapi penjaga maruah dan kesinambungan tamadun. Kesimpulannya, krisis yang kita hadapi hari ini bukan krisis teknologi, tetapi krisis jiwa. Kita punya semua alat untuk berhubung, tetapi kehilangan kemampuan untuk memahami. Kita tahu cara mencipta suara, tetapi tidak lagi tahu cara mendengar dan apabila bangsa berhenti mendengar kepada suara sejarah serta ilmu, maka ia mula berbicara dengan keangkuhan yang menyesatkan. Bangsa yang mencemuh sejarah sedang menulis surat kepada kehancurannya sendiri. Tetapi bangsa yang belajar daripada sejarah, yang menghormati profesor, ilmuwan dan guru-guru yang menggali makna masa lalu ialah bangsa yang akan terus hidup, bukan sekadar dalam catatan, tetapi dalam roh peradaban yang kekal. – ND 9 Nov 2025

Ilmu Tidak Semestinya Bertakhta di Atas Kertas: Membela Rasional di Sebalik Pelantikan Siti Nurhaliza

TINDAKAN Wira Putra, sayap Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membantah pelantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai Profesor Adjung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperlihatkan betapa masih wujud kelompok yang terperangkap dalam mentaliti lama, iaitu hanya mereka memiliki segulung ijazah atau bertimbun sijil akademik layak diiktiraf sebagai insan berilmu. Kenyataan pemangku ketuanya yang mempertikaikan pelantikan seorang selebriti sebagai Profesor Adjung mencerminkan betapa sempit dan jumudnya pemahaman mereka mengenai konsep kepakaran, pengalaman serta sumbangan kepada masyarakat. Ironinya, parti yang kononnya memperjuangkan bangsa Melayu itu sendiri gagal memahami bahawa kejayaan dan ilmu tidak terhad pada bentuk akademik semata-mata, tetapi juga pada kebijaksanaan yang terbit daripada pengalaman sebenar. Bagi yang tidak faham, Profesor Adjung bukanlah gelaran akademik dalam hierarki pensyarah universiti. Ia bukan jawatan tetap, bukan laluan akademik rasmi dan tidak menjadikan seseorang “Profesor” dalam erti akademik yang sebenar. Gelaran ini diberikan kepada tokoh luar universiti yang mempunyai pengalaman luas, kepakaran industri atau pencapaian luar biasa dalam bidang tertentu supaya mereka boleh berkongsi pengalaman dengan warga universiti. Dengan kata lain, Profesor Adjung ialah jambatan antara dunia akademia dan dunia sebenar. Ia membawa pengalaman praktikal masuk ke ruang kuliah. Dalam hal ini, pelantikan Siti Nurhaliza adalah amat bertepatan dengan semangat itu. Siti Nurhaliza bukan sekadar ikon hiburan. Beliau adalah simbol ketekunan, kecerdikan berniaga dan pengurusan jenama yang cemerlang. Bermula dari bawah, beliau membina nama dan perniagaan dengan air mata serta kerja keras, bukan warisan atau politik. Beliau kini mengetuai syarikat kosmetik, produk kesihatan dan jenama muzik tersohor yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Itulah pengalaman yang tidak akan ditemui dalam mana-mana buku teks pemasaran. Kita sering terperangkap dalam budaya “kertas”, seolah segulung ijazah menjadi penentu tunggal tahap kebijaksanaan seseorang. Namun sejarah dunia membuktikan sebaliknya. Individu seperti Steve Jobs, Bill Gates, Oprah Winfrey, Richard Branson atau di tanah air kita sendiri, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, semuanya mencapai kejayaan luar biasa tanpa kelulusan universiti yang tinggi. Apakah kita berani mengatakan mereka tidak layak mengajar atau berkongsi pengalaman dengan pelajar hanya kerana mereka tidak memiliki PhD? Ilmu tidak semestinya datang daripada menelaah teori. Ia juga datang daripada berdepan realiti. Seseorang yang telah membina perniagaan dari kosong, berdepan risiko, menguruskan manusia, melawan kegagalan dan bangkit semula, itu sebenarnya profesor kehidupan yang sebenar. Kalau semua pelajar hanya belajar teori ekonomi, tetapi tidak tahu cara sebenar untuk menjual, mengurus dan memimpin, maka universiti hanya akan melahirkan penghafal teori, bukan pencipta peluang. UiTM sendiri bukan asing dalam melantik tokoh luar sebagai Profesor Adjung. Sudah ramai tokoh korporat, penggiat seni dan pemimpin masyarakat yang dilantik bagi memperkaya proses pembelajaran. Inilah falsafah universiti moden di seluruh dunia, bahawa ilmu akademik perlu disuburkan dengan pengalaman praktikal. UiTM bukan sahaja tempat pelajar mengutip ilmu teori, tetapi medan untuk mereka menyerap semangat keusahawanan dan kepimpinan sebenar. Pelantikan Siti Nurhaliza membolehkan pelajar mendengar secara langsung kisah jatuh bangun beliau. Bagaimana beliau menguruskan kewangan, mengekalkan kredibiliti jenama, menyesuaikan diri dengan teknologi dan memimpin pasukan dalam dunia perniagaan yang keras dan kompetitif. Itu adalah pelajaran bernilai yang tidak boleh dibeli dengan mana-mana sijil. Sebaliknya, Putra memilih untuk menghina usaha ini dengan alasan kononnya pelantikan itu tidak wajar. Mungkin mereka lebih selesa melihat pelajar hanya mendengar syarahan daripada individu yang pandai bercakap, tetapi tidak pernah membina apa-apa dalam dunia sebenar. Masalah sebenar dalam bantahan ini bukan soal prinsip, tetapi soal politik. Putra cuba menangguk di air keruh dengan mencetuskan sensasi terhadap nama besar seperti Siti Nurhaliza. Ini bukan bantahan berasaskan ilmu, tetapi permainan persepsi, untuk kelihatan lantang di mata umum. Sayangnya, dalam usaha untuk kelihatan juara Melayu, mereka sebenarnya memperkecilkan kejayaan wanita Melayu paling berpengaruh dalam sejarah moden negara. Ironi bukan? Parti yang kononnya memperjuangkan bangsa sendiri kini menghina simbol kejayaan bangsa itu sendiri. Lebih malang, kenyataan seperti ini juga memperlekeh UiTM, seolah institusi pendidikan itu tidak tahu menilai kelayakan seseorang untuk dilantik sebagai Profesor Adjung. UiTM mempunyai lembaga akademik, prosedur dan garis panduan yang ketat sebelum melantik mana-mana tokoh. Jadi, siapa sebenarnya Putra untuk mempertikaikan kebijaksanaan institusi akademik ini? Sudah sampai masanya masyarakat kita berhenti mengukur nilai ilmu dengan kelulusan semata-mata. Ilmu ada dalam pelbagai bentuk, dari makmal penyelidikan, dari buku, dari pengalaman berniaga, bahkan dari pentas kehidupan. Seseorang yang pernah gagal, tetapi bangkit semula dengan kekuatan dan strategi, memiliki kebijaksanaan yang tidak dapat diajar oleh mana-mana profesor akademik. Itulah intipati sebenar pendidikan, bukan sekadar mengajar, tetapi menginsafkan dan menginspirasi. Pelantikan Siti Nurhaliza bukan penghinaan kepada dunia akademik, tetapi satu langkah cemerlang dalam membuka ruang kepada pelajar untuk belajar daripada ikon sebenar bangsa. Ia memperkaya pengalaman pembelajaran dan memanusiakan semula erti pendidikan. Dalam hal ini, Putra tidak sepatutnya menjadi penghalang, tetapi penyokong. Jika benar mereka mahu memperjuangkan anak muda Melayu, mereka seharusnya menggalakkan pelajar untuk mencontohi tokoh seperti Siti Nurhaliza, wanita Melayu yang membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai dengan kerja keras, disiplin dan kebijaksanaan. Menyerang pelantikan seperti ini bukan sahaja menunjukkan kecetekan ilmu, tetapi juga memperlihatkan betapa sesetengah pihak masih takut untuk mengiktiraf kejayaan orang lain. UiTM telah membuat keputusan yang tepat. Siti Nurhaliza bukan sekadar simbol hiburan, beliau adalah cerminan kecemerlangan, dedikasi dan semangat bangsa. Maka, tidak hairanlah hanya mereka yang gagal memahami erti ilmu yang sebenar akan melihat pelantikannya sebagai satu masalah. – ND 7 Nov 2025

Bila Melayu bercakap dikatakan mengarut, kalau Barat berkata, oh! itu teori baharu “menarik”

YA, itulah persoalan yang sangat menarik dan menyentuh lapisan sikap intelektual dan psikologi kolonial yang masih membayangi dunia akademik kita. Jika kita renungkan, apa yang berlaku ini amat benar: reaksi terhadap sesuatu kenyataan sering bergantung bukan kepada isi hujahnya, tetapi siapa yang mengucapkannya. Seandainya teori mengenai pengaruh maritim Melayu terhadap tamadun Rom itu keluar dari mulut seorang sarjana Oxford atau Harvard, hampir pasti reaksi masyarakat dan menteri akan berbeza. Malah, kita boleh bayangkan tajuk berita: “Ahli sejarah Barat temui bukti baharu hubungan pelaut Nusantara dengan dunia Rom.” Dan masyarakat akademik tempatan barangkali akan segera menjemput beliau berucap di seminar, memberi anugerah atau menjadikan kenyataannya sebagai “kajian lanjutan yang patut diteroka.” Namun, apabila idea yang sama datang daripada seorang sarjana tempatan, wanita dan berasal dari universiti Islam, ia terus dilihat sebagai “tidak wajar”, “tidak saintifik”, bahkan “memalukan universiti.” Inilah mentaliti inferiority kompleks yang masih kuat mencengkam minda pascakolonial, satu bentuk kepercayaan bawah sedar bahawa hanya orang Barat yang berhak menulis sejarah dunia, sementara kita hanya layak mengutip serpihan. Kita harus jujur, ramai dalam kalangan pemimpin dan akademik kita lebih bimbang terhadap pandangan luar daripada mencari kebenaran. Mereka takut dianggap tidak rasional oleh dunia Barat, takut dikatakan “tidak saintifik”, walhal dalam sejarah ilmu, kemajuan sering lahir daripada keberanian mencabar pandangan arus perdana. Justeru, apabila Prof. Dr. Soleha Yaakob melontarkan idea yang keluar daripada garis akademik biasa, mereka tidak menilai kandungannya, tetapi implikasi reputasi: “Apa nanti kata dunia tentang kita?” “Nanti orang ketawakan Malaysia.” Sedangkan dunia ilmu tidak pernah bergerak tanpa risiko diketawakan. Fenomena ini bukan baharu. Kita telah lama terlalu bergantung pada autoriti akademik luar negara untuk menentukan apa yang “benar” atau “bernilai”. Bila orang Eropah menulis bahawa Srivijaya ialah kuasa maritim besar, kita mengangguk bangga. Tapi bila ilmuwan tempatan menambah bahawa pelaut Melayu mungkin mempengaruhi teknologi luar, kita menolaknya mentah-mentah. Inilah paradoks bangsa terjajah minda, mencari pengiktirafan daripada bekas penjajah untuk mempercayai kehebatan sendiri. Jika benar kita mahu membina tamadun ilmu yang merdeka, reaksi sepatutnya bukan menolak Dr. Soleha, tetapi menyambut kenyataannya dengan semangat ingin tahu. Buka wacana, bukan kecaman. Anjurkan seminar, bukan siasatan. Kerana inilah caranya ilmu berkembang, melalui dialog, bukan dogma. Kalau seorang sejarawan Barat mengeluarkan kenyataan yang sama, kita mungkin menyanjungnya. Maka mengapa tidak kita hormati keberanian Dr. Soleha dengan standard yang sama — atau lebih tinggi, kerana beliau berani berkata begitu tanpa jaminan sokongan dunia Barat? Reaksi keras terhadap Prof. Dr. Soleha sebenarnya mendedahkan lebih banyak mengenai mentaliti kita sendiri berbanding tentang ketepatan teorinya. Selagi kita terus menilai idea berdasarkan siapa yang mengucapkannya, bukan apa yang diucapkan, selagi itulah ilmu di negara ini akan kekal tunduk kepada penilaian luar. Dan barangkali, kalau suatu hari nanti seorang profesor dari Cambridge berkata bahawa “pelaut Melayu memang mempengaruhi teknologi kapal Rom”, orang yang sama yang kini marah pada Dr. Soleha akan menjadi orang pertama yang menjemputnya untuk memberi syarahan di universiti mereka. – ND 7 Nov 2025

Bila Sejarah Dipertikai: Membela Suara Berani Prof. Dr. Soleha Yaacob

DI NEGARA kita, tidak ramai ahli akademik yang berani keluar dari kepompong selesa kepakaran mereka untuk berbicara mengenai warisan bangsa, selain Prof. Dr. Soleha Yaacob, pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Dengan ilmu dan keyakinan yang ada padanya, beliau tampil menyatakan bahawa tamadun Rom kuno mungkin mempelajari teknik pembinaan kapal daripada pelaut Melayu. Kenyataannya ini membuatkan ramai terkejut dan tidak kurang juga yang marah. Antaranya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir. Ada yang menuduh beliau “tidak wajar campur tangan dalam bidang bukan kepakaran”. Ada juga yang menganggap kenyataan itu “mengarut dan tidak berasaskan fakta”. Tetapi di sebalik badai kecaman itu, terserlah satu perkara yang jarang kita hargai: keberanian seorang sarjana untuk mencabar naratif sejarah dunia yang selama ini berat sebelah. Selama ini, kita terlalu terbiasa melihat sejarah dunia dari kaca mata Barat. Rom diagungkan sebagai lambang kemajuan, sementara Alam Melayu sering digambarkan sekadar kawasan tropika yang ‘menunggu untuk dijajah’. Tetapi siapa yang benar-benar menelusuri sejarah Funan, Srivijaya dan Langkasuka, akan tahu bahawa dunia Melayu bukanlah dunia kecil. Kita pernah menjadi kuasa maritim terbesar di Asia Tenggara, mengawal laluan perdagangan rempah, sutera dan emas. Catatan China, India, Arab dan Portugis semuanya mengakui kepakaran pelaut Melayu, kapal jong raksasa, teknik sambungan papan tanpa paku dan sistem layar yang canggih jauh mendahului zamannya. Maka, apabila Dr. Soleha menyebut bahawa kepakaran ini mungkin sampai ke dunia Rom melalui jaringan perdagangan purba, adakah itu terlalu mustahil? Dunia lama bukanlah terpisah seperti yang kita sangkakan. Lautan bukan pemisah, tetapi penghubung. Di sinilah letaknya keistimewaan Dr. Soleha. Dalam dunia akademik moden yang penuh dengan politik dalaman dan ketakutan terhadap “kebenaran rasmi”, beliau memilih untuk berani bersuara. Tidak ramai ilmuwan wanita, apatah lagi dari universiti Islam berani mengangkat naratif yang mencabar hegemoni sejarah Barat. Kenyataan beliau mungkin kedengaran provokatif, tetapi dalam dunia ilmu, provokasi yang berpijak pada niat mencari kebenaran adalah bahan bakar kemajuan. Bukankah teori besar dunia, dari heliosentris Copernicus hingga teori evolusi Darwin, pada mulanya ditertawakan dan dihina? Apa yang dilakukan oleh Dr. Soleha bukanlah menipu sejarah, tetapi membuka ruang imaginasi intelektual. Beliau mengajak kita melihat bahawa mungkin, hanya mungkin, tamadun Melayu dahulu jauh lebih berpengaruh daripada yang kita pernah diberitahu. Ironinya, yang paling cepat menentang beliau bukanlah sarjana Barat, tetapi orang kita sendiri. Menteri, pentadbir universiti, dan sesetengah ahli akademik tempatan seolah tergesa-gesa menutup pintu perbincangan. Namun, apa agaknya reaksi mereka ini, sekiranya pengakuan itu dinyatakan oleh ahli sejarah dari barat atau negara Eropah? Sudah barang tentu mereka berbangga, kerana bangsa Melayu diangkat oleh orang luar. Tidakkah sepatutnya mereka menjemput beliau ke meja wacana, bukan ke kandang siasatan? Jika benar kenyataannya memerlukan bukti, maka jalankan kajian, buktikan secara ilmiah, bukan hentam secara emosional. Itulah semangat ilmu yang sebenar. Kecaman terhadap Dr. Soleha sebenarnya mencerminkan satu penyakit lama bangsa kita, takut untuk berfikir di luar kotak, takut menentang pandangan arus perdana, takut disalah anggap oleh “dunia luar”. Akibatnya, kita menjadi bangsa yang pandai meniru, tetapi jarang berani menafsir semula sejarah sendiri. Benar, dakwaan Dr. Soleha memerlukan penyelidikan lanjut. Tetapi harus diingat, setiap teori besar bermula dengan tanda tanya, bukan kepastian. Mungkin belum ada artifak atau bukti arkeologi yang mengaitkan Rom dengan pelaut Melayu, tetapi bukti kehebatan maritim Alam Melayu memang nyata dan melimpah. Kapal jong Melayu, misalnya, diiktiraf oleh sejarawan maritim dunia sebagai antara kapal layar terbesar di Asia sebelum abad ke-15. Teknologi pembinaannya begitu maju, hingga Portugis sendiri meniru reka bentuknya. Jadi, jika bangsa Barat lain mampu belajar daripada pelaut Nusantara, mengapa tidak mungkin Rom juga, secara langsung atau tidak menerima tempiasnya melalui jaringan perdagangan dunia purba? Prof. Dr. Soleha mungkin bukan pakar arkeologi, tetapi beliau telah menyentuh sesuatu yang jauh lebih penting: soalan mengenai asal-usul dan maruah bangsa. Beliau mengingatkan kita bahawa sejarah bukan milik penjajah atau sarjana asing sahaja. Ia milik setiap anak bangsa yang berani mencari dan menyoal. Daripada mengecam, alangkah baiknya jika pihak universiti dan kementerian mengambil peluang ini untuk mendukung penyelidikan tentang sejarah maritim Melayu, bukan sekadar untuk membuktikan dakwaan Dr. Soleha, tetapi untuk menulis semula naratif kita sendiri dengan lebih adil dan berwawasan. Dalam dunia yang mudah menolak apa sahaja yang luar biasa, keberanian seperti Prof. Dr. Soleha Yaacob patut dihargai. Beliau mungkin tidak sempurna, tetapi beliau telah menyalakan obor yang ramai takut untuk nyalakan. Obor yang mengajak kita melihat sejarah Melayu bukan sebagai catatan kecil dalam buku dunia, tetapi sebagai tamadun agung yang pernah berdiri megah dan mungkin, memberi ilham kepada dunia lain. Sejarah bukan sekadar mengenai apa yang telah berlaku. Ia adalah mengenai bagaimana kita memilih untuk mempercayai diri kita, dan dalam hal ini, Prof. Dr. Soleha tidak salah untuk percaya bahawa bangsa Melayu pernah menjadi pelaut yang mengubah dunia. – ND 7 Nov 2025

Zohran Mamdani: Simbol Harapan Baharu Politik Progresif di Kota New York

KEMENANGAN calon Muslim, Zohran Mamdani dalam Pilihan Raya Datuk Bandar New York mencetuskan gelombang besar perubahan politik, sosial dan budaya di kota raya paling berpengaruh di Amerika Syarikat itu. Zohran Kwame Mamdani, 34, merupakan seorang ahli politik muda yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Perwakilan Negeri New York mewakili kawasan Astoria, Queens. Beliau dilahirkan di Kampala, Uganda, kepada pasangan campuran keturunan India-Uganda dan Kanada. Ayahnya ialah profesor terkenal, Mahmood Mamdani, sementara ibunya pembikin filem Samina Ali, dua tokoh intelektual yang banyak mempengaruhi pandangan politik progresif beliau. Mamdani dibesarkan dalam suasana pelbagai budaya dan agama serta mendalami realiti hidup kelas pekerja dan komuniti imigran di New York. Sebagai seorang Muslim dan juga keturunan Asia Selatan, beliau membawa identiti yang jarang mendapat tempat dalam politik arus perdana Amerika, khususnya di peringkat tertinggi seperti jawatan Datuk Bandar New York. Kemenangan Mamdani dianggap antara kejutan politik terbesar dalam sejarah moden New York. Dalam perlumbaan tiga penjuru menentang bekas Gabenor Andrew Cuomo (calon bebas) dan Curtis Sliwa (calon Republikan), Mamdani berjaya memperoleh lebih 50 peratus undi daripada jumlah keluar mengundi yang mencecah dua juta orang. Kejayaan ini amat signifikan kerana Cuomo ialah nama besar dengan jaringan politik dan dana kempen yang kukuh, sementara Sliwa mempunyai pengaruh akar umbi melalui kumpulan Guardian Angels. Namun, strategi kempen Mamdani yang menekankan politik akar umbi, isu rakyat marhaen dan keterangkuman sosial berjaya memecahkan tembok status quo politik kota raya itu. Kempen Mamdani berpusat di Astoria, Queens, kawasan pelbagai etnik yang menjadi simbol perpaduan kelas pekerja dan imigran di New York. Beliau menggunakan pendekatan “People’s Campaign” (Kempen Rakyat) yang digerakkan oleh sukarelawan, organisasi masyarakat sivil dan aktivis muda yang percaya pada perubahan struktur sosial. Antara tema utama kempen beliau ialah perumahan mampu milik; menghapuskan dominasi pemaju hartanah besar dan memperjuangkan kawalan sewa yang adil; serta pengangkutan awam percuma – cadangan yang radikal tetapi popular di kalangan pekerja berpendapatan rendah. Tema kempen beliau juga mencakupi, polis dan keadilan sosial; menekankan pembaharuan polis dan pelaburan semula dana keselamatan awam ke dalam perkhidmatan komuniti; keadilan iklim seperti menggalakkan tenaga boleh diperbaharui dan menentang pelaburan dalam bahan api fosil; serta perlindungan untuk imigran, yang menjadikan New York sebagai “kota perlindungan sebenar” bagi pendatang tanpa mengira status dokumentasi. Pendekatan ini menjadikan beliau sebagai wajah baharu politik progresif yang lebih dekat dengan denyut nadi rakyat biasa, bukan elit korporat. Bagi penduduk Muslim di New York, kemenangan ini membawa makna emosi yang amat mendalam. Ia menandakan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan komuniti yang sering terpinggir pasca 11 September. Ramai melihat kejayaan Mamdani sebagai simbol kebangkitan politik Muslim Amerika, generasi muda yang tidak lagi hanya menjadi pengundi, tetapi kini pembuat dasar. Di kawasan seperti Jackson Heights, Astoria dan Brooklyn, sambutan kemenangan Mamdani berlangsung meriah dengan perhimpunan jalanan, bacaan doa kesyukuran serta laungan “This is our city too!” (Ini juga kota kami!). Bagi komuniti Asia Selatan, khususnya diaspora India, Pakistan dan Bangladesh, kemenangan ini dilihat sebagai lambang penerimaan identiti mereka dalam arus utama politik AS. Kemenangan Mamdani membawa beberapa implikasi besar seperti peralihan kuasa ke arah politik progresif. New York kini berada di tangan seorang Datuk Bandar yang terang-terangan berfahaman sosialis demokratik. Ini mungkin menandakan berakhirnya dominasi politik centrist yang dikawal korporat selama beberapa dekad. Tekanan terhadap Parti Demokrat peringkat nasional: Kemenangan ini mengingatkan bahawa asas pengundi muda dan berhaluan kiri semakin berpengaruh. Mamdani boleh menjadi model baharu bagi generasi politik selepas Bernie Sanders dan Alexandria Ocasio-Cortez. Inspirasi untuk minoriti dan imigran yang menyaksikan kemenangan ini membuktikan bahawa halangan identiti seperti agama, warna kulit atau asal-usul boleh diatasi dengan kepimpinan berprinsip dan sokongan masyarakat pelbagai latar. Cabaran besar menanti: Mamdani kini berdepan tugas berat iaitu membuktikan bahawa idealisme progresif boleh diterjemahkan menjadi dasar praktikal di kota yang kompleks dan berpecah seperti New York. Secara simbolik, kemenangan Zohran Mamdani adalah lebih daripada sekadar kemenangan pilihan raya. Ia adalah manifestasi harapan, penegasan identiti dan kebangkitan semula semangat solidariti kelas pekerja di tengah dunia yang semakin terpecah oleh ketidaksamaan ekonomi dan diskriminasi. Bagi ramai pihak, Mamdani melambangkan masa depan politik Amerika yang lebih pelbagai, adil dan manusiawi, di mana seorang anak imigran Muslim boleh menjadi pemimpin bandar paling berpengaruh di dunia. Justeru, kemenangan Zohran Mamdani bukan sekadar peristiwa politik; ia adalah titik perubahan sejarah bagi New York dan politik Amerika secara keseluruhan. Ia membuktikan kuasa rakyat mampu mengubah landskap kuasa lama dan kepelbagaian serta keadilan sosial bukan lagi slogan, tetapi realiti yang boleh dicapai. Bagi komuniti Muslim dan Asia Selatan di New York, kemenangan ini mengembalikan rasa bangga dan keyakinan bahawa suara mereka kini diiktiraf dalam arus utama politik, satu langkah besar ke arah kota yang benar-benar mencerminkan semangat pluralisme dan keadilan. – ND 6 Nov 2025

Lari Topik, Putar Belit dan Realiti Dunia Wartawan

SUDAH lebih empat dekad penulis hidup dalam dunia media. Dari seorang pemberita sambilan yang berkejar-kejaran dengan buku nota kecil dan pen di tangan, hinggalah kini memegang tanggungjawab sebagai ketua pengarang. Dunia kewartawanan telah menjadi sebahagian daripada jiwa penulis. Dalam tempoh itu, penulis sudah menulis ribuan berita, menemubual ratusan tokoh dan menyaksikan pelbagai babak politik yang silih berganti. Namun, ada satu perkara yang sentiasa penulis pegang teguh: penulis tidak pernah menulis sesuatu yang “lari topik” daripada apa yang dikatakan oleh sumber atau ahli politik. “Lari topik” – istilah yang sering digunakan untuk menuduh wartawan sebagai penipu. Maksudnya, kononnya wartawan “dengar cakap lain, balik tulis lain”. Seolah kami mereka cerita, menokok tambah kenyataan dan memutar belit kata-kata orang demi sensasi. Tetapi, jujur penulis katakan, dalam sepanjang karier penulis, tuduhan itu sebenarnya lebih banyak datang daripada mereka yang takut pada bayang-bayang sendiri, bukan kerana wartawan itu tersalah tulis. Yang sering penulis hadapi bukan wartawan yang menyeleweng kenyataan, tetapi pemimpin yang bercakap lain, buat lain. Penulis masih ingat, berapa banyak kali penulis menulis kenyataan mereka dengan tepat, sepatah demi sepatah seperti yang keluar dari mulut mereka. Namun, apabila berita itu disiarkan dan mendapat kecaman rakyat, tiba-tiba wartawan pula dipersalahkan. Kononnya, kami salah tafsir, kami putar belit. Sedangkan apa yang ditulis itu adalah hasil daripada rakaman mereka sendiri, kadang-kadang disiarkan secara langsung pula. Ada ketika penulis duduk di depan televisyen, melihat seorang pemimpin yang penulis temubual sehari sebelumnya berkata di hadapan kamera, “Saya tidak pernah kata begitu”. Penulis hanya mampu tersenyum kelat. Dalam kepala penulis, terngiang kembali suara beliau ketika ditemubual, sama intonasinya, sama nadanya. Bezanya, hari ini beliau sudah tahu kenyataannya tidak disukai ramai, jadi wartawanlah yang menjadi mangsa kambing hitam. Beginilah nasib kami dalam dunia media. Bila berita memihak, mereka tersenyum dan memuji. Tapi, bila kenyataan sendiri menjadi beban, kami yang dipersalahkan. Untuk menutup kesilapan atau kelemahan diri, mereka mencipta naratif: “akhbar itu suka putar belit”, “media arus perdana tak boleh dipercayai”. Tuduhan itu kemudian menular, diulang oleh penyokong-penyokong mereka hingga masyarakat pun percaya bahawa wartawan ini suka mereka-reka cerita. Padahal, kalau orang luar melihat bagaimana kami bekerja, mereka akan tahu betapa berhati-hatinya seorang wartawan menulis berita. Kami rakam setiap kata, semak ejaan nama, pastikan fakta tepat, malah ada yang menulis semula berulang kali supaya mesej tidak tersasar. Kami bukan penulis novel; kami pembawa maklumat. Tapi dunia politik ini, penulis belajar, jarang menghargai kebenaran apabila kebenaran itu tidak berpihak kepada mereka. Penulis pernah berdepan dengan pelbagai jenis pemimpin, ada yang berani mempertahankan kata-katanya walau tidak popular dan ada juga yang cepat berpusing arah bila angin tidak menyebelahi mereka. Yang jenis kedua inilah yang selalu menuding jari ke arah wartawan. Kononnya, “itu bukan maksud sebenar saya,” atau “media salah tafsir”. Hakikatnya, mereka takut dilihat bodoh, takut hilang sokongan, takut diserang, dan cara paling mudah untuk menyelamatkan diri ialah menyalahkan media. Semakin lama penulis dalam dunia ini, semakin penulis faham, tuduhan terhadap media bukanlah kerana wartawan menipu, tapi kerana kebenaran itu pahit. Ia menyakitkan bagi mereka yang tidak mahu mengakuinya. Wartawan menulis berdasarkan apa yang diucapkan, tapi tidak semua yang diucapkan sanggup ditanggung akibatnya. Kadang-kadang, bila penulis melihat generasi wartawan muda hari ini berdepan tuduhan sama, penulis hanya mampu tersenyum. Penulis faham rasa geram dan kecewa mereka, kerana penulis pernah berada di tempat yang sama. Namun, penulis selalu berpesan, jangan biarkan tuduhan itu mematahkan semangat. Dalam dunia kewartawanan, integriti itulah yang menjadi senjata paling tajam dan juga perisai terakhir kita. Empat puluh tahun lebih penulis menulis dan satu perkara yang penulis pelajari ialah: kebenaran tidak pernah sunyi, tapi ia sering disenyapkan. Wartawan mungkin tidak disukai, tapi selama mana kita menulis berasaskan fakta, kebenaran akan tetap berpihak kepada kita walaupun lambat, walaupun dalam senyap. Penulis selalu percaya, wartawan yang baik bukan diukur pada berapa banyak berita sensasi yang pernah dia tulis, tetapi sejauh mana dia berani menulis sesuatu yang benar, walaupun tahu kebenaran itu akan membuatnya tidak disenangi. Dunia kewartawanan bukan tempat untuk mencari populariti atau penghargaan; ia medan perjuangan sunyi, di mana pena menjadi saksi antara fakta dan fitnah, antara integriti dan kepura-puraan. Etika adalah kompas kami. Tanpa etika, pena wartawan hanyalah senjata buta yang boleh mencederakan sesiapa sahaja. Penulis selalu menasihati wartawan muda di bawah bimbingan penulis, jangan pernah menulis untuk menyenangkan sesiapa, tulislah untuk memberi pencerahan kepada semua. Kerana tugas wartawan bukan menabur pujian atau mencipta musuh, tetapi menegakkan kebenaran di tengah-tengah kekeliruan. Dalam dunia yang semakin dikuasai oleh algoritma dan keghairahan klik, tekanan untuk menjadi yang “terawal” dan “terpanas” semakin kuat. Namun, penulis belajar, menjadi yang pertama bukanlah segala-galanya, sebaliknya menjadi yang benar itulah yang paling utama. Penulis lebih rela berita penulis terbit sedikit lambat, tetapi tepat dan beretika, daripada cepat, tetapi menyesatkan. Kebenaran tidak pernah lapuk, tapi fitnah, walau sekejap sahaja bertahan akan kekal mencemarkan nama. Keberanian juga menjadi nyawa kepada profesion ini. Bukan keberanian melawan orang, tetapi keberanian menegakkan apa yang benar walau kita sendirian. Banyak kali dalam hidup penulis, terpaksa menulis berita yang membuat segelintir pihak marah, ada yang mengugut, ada yang memboikot. Tapi, penulis selalu ingat pesan seorang mentor penulis dulu: “Kalau kamu takut pada kebenaran, lebih baik jangan jadi wartawan. Dunia ini sudah cukup dengan orang yang berdiam”. Penulis juga percaya, seorang wartawan yang jujur akan meninggalkan jejak yang panjang, walaupun namanya mungkin dilupakan. Berita yang ditulis dengan hati yang bersih akan kekal menjadi rekod sejarah, menjadi cermin kepada generasi selepas kita. Dan itulah, bagi penulis, makna sebenar perjuangan seorang wartawan, bukan sekadar mencari berita, tetapi menjadi saksi zaman. Kini, setelah lebih empat puluh tahun menulis, penulis tidak lagi berlari kejar “scoop” seperti dulu. Tetapi, semangat untuk menulis yang benar tidak pernah padam. Setiap kali penulis menatap halaman akhbar atau portal berita, penulis teringat hari-hari muda penulis, berpeluh di padang sidang media, duduk di tepi pentas ceramah, menunggu kenyataan keluar dari mulut seorang pemimpin. Semua itu membentuk siapa penulis hari ini. Dan, bila penulis melihat dunia hari ini, di mana kebenaran semakin kabur dan suara wartawan sering dipersoal, penulis hanya mampu berpesan satu perkara kepada mereka yang masih berjuang di lapangan: Pegang pena kamu dengan jujur, tulis dengan hati yang bersih, jangan gentar dengan kebenaran. Kerana dalam dunia yang penuh dengan kebisingan, suara yang paling bernilai tetap datang daripada mereka yang berani berkata benar walaupun ia hanya dibisikkan dengan perlahan. – ND 4 Nov 2025

Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam: Sejarawan yang Menghidupkan Kebenaran dari Lembaran Lama

“TUGAS sejarawan bukan untuk mengulang kisah lama, tetapi meneliti semula agar kebenaran tidak terus tersimpan di antara lipatan mitos.” – Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam Malaysia kehilangan seorang tokoh ilmuwan besar semalam apabila Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam, sejarawan, pemikir dan penulis prolifik kembali ke rahmatullah pada usia 84 tahun. Pemergian beliau meninggalkan kekosongan besar dalam dunia akademik dan penulisan sejarah negara, namun legasi ilmunya kekal menerangi pemikiran generasi akan datang. Dilahirkan di Melaka pada 24 Mac 1941, Prof. Ahmat Adam memulakan pendidikan tinggi di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1970 sebelum melanjutkan pengajian ke School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London. Beliau kemudiannya berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), menabur bakti sebagai pendidik dan penyelidik sejarah selama beberapa dekad. Ketokohan beliau diiktiraf apabila dikurniakan gelaran Profesor Emeritus, penghormatan tertinggi kepada sarjana yang telah banyak menyumbang kepada ilmu pengetahuan dan masyarakat. Nama Prof. Ahmat Adam sinonim dengan pendekatan kritikal terhadap sejarah Melayu. Beliau menolak penerimaan bulat-bulat terhadap mitos dan legenda, sebaliknya mendesak agar sejarah diteliti semula berdasarkan sumber dan bukti. Dalam dunia akademik, keberanian ini menjadikan beliau tokoh yang disegani dan kadang kala kontroversial, tetapi dihormati kerana kejujurannya terhadap ilmu. Antara sumbangan penting beliau ialah kajian semula Batu Bersurat Terengganu melalui buku Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa Yang Dibaca Selama Ini? (2019), yang mencabar tarikh tradisional batu bersurat itu dan mengemukakan bacaan baharu berasaskan kaedah filologi moden. Hujahan beliau mengubah cara masyarakat melihat asal-usul Islam di Tanah Melayu — bukan sekadar simbol sejarah, tetapi bukti hidup ketepatan ilmiah. Sebagai penulis prolifik, Prof. Ahmat Adam meninggalkan rangkaian karya yang luas dan bernilai tinggi. Antaranya: Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia (2016) — karya yang menilai semula teks klasik Melayu dan mempersoalkan sempadan antara fakta dan legenda. Melayu, Nasionalisme Radikal dan Pembinaan Bangsa (2013) — analisis mendalam tentang bagaimana nasionalisme Melayu terbentuk dalam konteks penjajahan dan perjuangan kebangsaan. Tawarikh Melayu dan Melaka: Esei-Esei Pilihan (2021) — himpunan tulisan beliau tentang sejarah Melaka dan tradisi penulisan tawarikh Melayu. The Sejarah Melayu Revisited (2020) — versi bahasa Inggeris yang memperkenalkan pemikiran beliau kepada khalayak antarabangsa. Melalui karya-karyanya, beliau mengajak masyarakat sama ada ahli akademik mahupun pembaca awam untuk berfikir semula mengenai “sejarah rasmi” yang diwarisi serta menilai semula naratif yang membentuk identiti bangsa. Prof. Ahmat Adam tidak hanya dikenang kerana ketajaman analisanya, tetapi juga kejujurannya terhadap fakta dan prinsip. Beliau sering menegaskan bahawa tugas sejarawan bukan untuk mengangkat wira atau legenda, tetapi mencari kebenaran, walau hasilnya mungkin bertentangan dengan kepercayaan umum. Sumbangannya terhadap pengajian sejarah Melayu menjadikannya antara suara paling berpengaruh dalam bidang historiografi moden Malaysia. Ramai bekas pelajarnya kini menjadi pensyarah, penulis dan penyelidik yang meneruskan semangat kritikal beliau. Di samping karya akademik, Prof. Ahmat Adam turut menyumbang rencana dan esei kepada pelbagai penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS). Dalam setiap tulisan, beliau menonjolkan gaya penulisan yang teliti, disulam dengan ketegasan akademik dan kehalusan bahasa. Pemergian beliau bukan sekadar kehilangan seorang sarjana, tetapi hilangnya satu generasi sejarawan yang berani menyoal, meneliti dan memperbetul naratif bangsa. Ketika dunia akademik berduka atas kehilangan tokoh besar ini, kata-kata beliau terus terngiang: “Sejarah yang tidak diteliti semula adalah sejarah yang beku; tugas kita ialah mencairkannya agar bangsa ini mengenal dirinya dengan jujur.” Semoga roh Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam dicucuri rahmat, dan semoga legasi ilmu serta kejujuran akademik yang beliau tinggalkan terus menjadi panduan kepada generasi pencinta sejarah tanah air. Al-Fatihah. – ND 4 Nov 2025

Krisis Kecil, Imej Besar – Pengajaran Dari Insiden Kor Ming dan Media

DALAM dunia politik moden yang serba terbuka, setiap kata, nada suara dan reaksi seorang menteri bukan sekadar tanggapan peribadi. Ia adalah gambaran kerajaan secara keseluruhan. Insiden yang melibatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini menjadi bukti bahawa hubungan antara kerajaan dan media masih memerlukan semak dan imbang yang sihat, bukannya pertarungan ego. Segalanya bermula dengan satu soalan yang sepatutnya mudah dijawab – mengapa slogan “I Lit U” untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 menggunakan bahasa Inggeris, bukan Bahasa Malaysia? Soalan tersebut, walaupun ringkas, menyentuh perkara asas, iaitu identiti nasional dan dasar bahasa. Malangnya, reaksi menteri berkenaan dianggap keterlaluan oleh ramai pihak apabila beliau mempersoalkan asal media wartawan itu dan mengugut untuk “mengadu kepada pengarang”. Dalam konteks komunikasi politik, tindakan sebegitu mudah ditafsirkan sebagai cubaan membungkam media, satu perkara yang amat sensitif di negara demokrasi seperti Malaysia. Tidak lama selepas sidang media tersebut, potongan video insiden itu tular di media sosial. Ratusan ribu netizen meluahkan kemarahan, melihat tindakan menteri sebagai angkuh dan tidak profesional. Dalam dunia digital, imej boleh hancur dalam masa beberapa jam. Bagi seorang menteri yang selama ini dilihat petah dan bijak berpidato, insiden ini mencalar reputasi serta menimbulkan persoalan mengenai kebijaksanaan komunikasi krisis beliau. Selepas menerima kecaman, Kor Ming bertindak pantas, memohon maaf secara terbuka dan menjemput wakil media ke majlis makan malam. Ramai menafsirkan langkah ini sebagai cubaan “membeli jiwa” media, manakala sebahagian yang lain melihatnya sebagai usaha mendamaikan hubungan yang retak. Namun begitu, keikhlasan sesuatu permohonan maaf bukan diukur melalui hidangan atau senyuman, tetapi melalui perubahan sikap selepas itu. Adakah tindakan ini benar-benar ikhlas atau sekadar strategi komunikasi krisis untuk memulihkan imej. Itu persoalan yang masih bermain difikiran rakyat. Dalam menghadapi media, seorang pemimpin harus sedar, tidak semua soalan perlu dijawab secara langsung. Seorang menteri berpengalaman mempunyai pelbagai jalan keluar yang elegan seperti “Saya akan jelaskan perkara itu kemudian”, “Itu di bawah bidang kementerian lain”, atau “No comment, buat masa ini”. Pilihan-pilihan seperti ini bukan tanda kelemahan, tetapi kematangan politik. Malangnya, dalam kes ini, reaksi spontan Kor Ming telah menunjukkan sebaliknya, seolah beliau gagal membezakan antara soalan yang mencabar dan soalan yang perlu dihormati. Media bukan musuh kepada kerajaan. Mereka adalah cermin kepada persepsi rakyat. Wartawan hanya menjalankan tugas untuk bertanya dan pemimpin harus bijak memanfaatkan ruang tersebut untuk menjelaskan dasar, bukan mempertahankan ego. Sekiranya hubungan media-kerajaan terus dibina atas dasar saling menghormati, kedua-dua pihak akan menjadi lebih kuat, kerajaan memperoleh kepercayaan awam dan media pula dapat menjalankan fungsinya sebagai pengawas demokrasi dengan bebas. Oleh itu, insiden ini walaupun kelihatan remeh, memberi pengajaran besar kepada semua pemimpin. Kuasa kata-kata jauh lebih tajam daripada pedang. Satu ayat yang salah boleh meruntuhkan imej yang dibina bertahun-tahun. – ND 3 Nov 2025

Biar Tiada Peruntukan, Asal Ada Perjuangan: Teladan dari Muar

SYED SADDIQ Syed Abdul Rahman telah beberapa kali menyatakan beliau tidak hanya bergantung kepada aliran dana kerajaan atau peruntukan standard wakil rakyat. Sebaliknya, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk mendapatkan sumbangan korporat dan mengambil cabaran lain bagi memastikan rakyat Muar mendapat manfaat. Sebagai contoh, beliau telah menerima tawaran dari sebuah jenama pakaian tempatan, ‎Prima Valet untuk menyumbangkan RM1 juta kepada rakyat Muar sekiranya memenuhi syarat tertentu, iaitu menamatkan acara ‎Ironman Malaysia 2025 di Langkawi dalam masa 13 jam. Dalam kenyataannya, beliau berkata: “Demi RM1 juta untuk Muar, saya sahut cabaran …” Melalui pendekatan itu, Syed Saddiq bukan sahaja menunjukkan usaha fizikal dan stamina (dalam sukan lasak), tetapi juga mengaitkannya secara langsung dengan manfaat kepada rakyat Muar, satu pendekatan yang agak luar biasa bagi ahli politik tradisional. Cabaran yang diambil oleh Ahli Parlimen Muar itu ialah acara Ironman, di mana peserta perlu berenang sejauh 3.8 km, berbasikal 180 km dan berlari marathon 42.2 km. Anak muda yang cekal dan kental ini pernah menyertai edisi terdahulu dan dalam rekod tercatat, beliau menyelesaikan acara tersebut lebih 13 jam, walaupun pernah terlibat dalam insiden ketika berbasikal, sebuah dahan pokok jatuh ketika acara dan beliau terlepas beberapa minit kerana kemalangan kecil. Untuk edisi 2025, dengan tawaran RM1 juta di atas meja, beliau mengambil peluang menggabungkan prestasi sukan dengan kempen kebajikan kawasannya. Prestasi dan usaha itu memberi mesej bahawa beliau “bekerja” bukan hanya di dalam Dewan Rakyat atau pejabat, tetapi juga secara fizikal di luar pejabat dan melalui platform yang tidak biasa. Di satu wawancara disebut, beliau membotakkan rambutnya sebagai satu aksi simbolik untuk menunjukkan kesungguhan – “botakkan kepala supaya aerodynamic cepat 3 saat”, walaupun ia sebahagian jenaka, tetapi menunjukkan tahap komitmennya. Apa yang penting di sini ialah dengan kaedah sebegini, rakyat Muar mendapat manfaat yang bukan semata-mata datang dari peruntukan kerajaan yang biasa, tetapi dari usaha alternatif yang digerakkan sendiri oleh wakil rakyat mereka. Ia memberikan beberapa kesan positif: Menunjukkan teladan – Wakil rakyat yang sanggup memikul cabaran fizikal dan mental untuk mendapatkan dana menunjukkan kepada rakyat, yang beliau berdiri bersama mereka dalam “bersusah payah”. Ini meningkatkan kepercayaan. Membuka saluran dana baru – Dengan menjemput sumbangan korporat (seperti dari Prima Valet) atau melalui cabaran prestasi, ia mengurangkan kebergantungan kepada aliran dana kerajaan atau birokrasi biasa. Meningkatkan perhatian kepada Muar – Cabaran berskala tinggi seperti Ironman mencuri tumpuan media — ini memberi “platform” untuk Muar dilihat, menarik perhatian kepada keperluan kawasan tersebut. Mencipta hubungan langsung antara prestasi dan hasil – Apabila tawaran dana dikaitkan dengan prestasi yang boleh dilihat (menamatkan perlumbaan dalam masa tertentu), rakyat dapat melihat bahawa hasilnya bukannya janji kosong. Syed Saddiq, yang masih muda dalam konteks politik nasional telah muncul sebagai contoh “pemimpin muda yang beraksi”. Beliau bukan sekadar hadir di majlis rasmi atau berucap di podium, tetapi juga “masuk gelanggang” secara literal dalam acara sukan ekstrem. Ini menghantar mesej bahawa “kerja-wakil rakyat” boleh juga diterjemah dalam bentuk yang unik dan bukan hanya birokrasi politik. Untuk rakyat Muar khasnya, ini mungkin memberi inspirasi bahawa wakil mereka bukan hanya mempertahankan kerusi, tetapi aktif mencari jalan untuk membawa manfaat tambahan. Ramai pengundi sering mengadu dana wakil rakyat atau kerajaan pusat tidak disalurkan cukup kepada kawasan mereka, yang mana pendekatan sebegini menampakkan satu jalan baharu. Walaupun banyak yang boleh dikagumi, ada beberapa hal yang perlu diperhatikan juga bahawa cabaran sebegini (Ironman) tidak boleh jadi pengganti struktur asas seperti peruntukan kawasan, perkhidmatan asas, pembangunan infrastruktur dan peruntukan wakil rakyat yang konsisten. Ketergantungan kepada sumbangan korporat atau cabaran prestasi boleh menjadi satu “acara” lebih daripada mekanisme tetap, rakyat mungkin tertanya-tanya, apa yang berlaku jika tawaran sedemikian tidak datang. Transparansi dan pelaporan bagaimana dana akan digunakan sangat penting. Rakyat Muar pastinya ingin tahu bila dana RM1 juta itu diterima, bagaimana ia digunakan, apakah program yang dibangunkan dan siapa yang manfaatnya. Meski beliau menunjukkan daya juang fizikal, fokus pada kerja politik, perundangan dan pelaksanaan dasar tetap perlu, rakyat tidak hanya memerlukan wakil yang “cool”, tetapi yang efektif dalam mendapatkan hasil bagi mereka. Keseluruhan, usaha Syed Saddiq mencari dana alternatif untuk rakyat Muar melalui cabaran sukan seperti Ironman dan tawaran korporat adalah langkah yang menarik dan boleh dijadikan contoh dalam politik moden. Ia memaparkan wakil rakyat boleh “berfikir di luar kotak” dan menggunakan kreativiti serta daya juang untuk membawa manfaat kepada pengundi mereka. Bagaimanapun, keberkesanannya akan diukur melalui hasil nyata, adakah dana itu benar-benar sampai kepada rakyat, adakah ia digunakan dengan baik, dan adakah ia mencipta perubahan kehidupan yang signifikan di Muar. Jika semuanya dilaksanakan dengan baik, maka pendekatan semacam ini boleh menjadi satu model baru dalam khidmat wakil rakyat. – ND 2 Nov 2025

Editorial: Bila Menteri “Koyak” Dengan Soalan Media — Cermin Diri, Bukan Cermin Wartawan

TINDAKAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menegur seorang wartawan Utusan Malaysia kerana bertanya soalan mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam slogan “I Lite U”, membuka satu lagi episod yang memperlihatkan bagaimana sebahagian pemimpin sukar berdepan dengan semakan awam, lebih-lebih lagi apabila soalan itu datang daripada pihak media. Dalam majlis prapelancaran projek berkenaan, yang kononnya untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, seorang wartawan bertanya dengan sopan tetapi kritikal, “Kenapa guna bahasa Inggeris, tidak guna Bahasa Malaysia?” Soalan itu mudah, wajar dan sepenuhnya dalam ruang tanggungjawab seorang wartawan, tetapi respons yang diberikan oleh menteri, bukan menjelaskan dengan tenang, sebaliknya menyatakan beliau akan “menghubungi ketua pengarang” akhbar berkenaan. Ini menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Nga memberi alasan, penggunaan bahasa Inggeris sesuai kerana program itu bersifat pelancongan dan bertujuan menarik pelancong antarabangsa. Logik itu boleh diterima, tetapi tindakannya selepas itu, menegur wartawan secara terbuka dan mengugut untuk melapor kepada ketua pengarang, menunjukkan sikap defensif yang tidak sepadan dengan kedudukannya sebagai seorang menteri. Isu ini bukan lagi soal slogan atau bahasa. Ia mengenai bagaimana seorang pemimpin berdepan dengan soalan yang tidak selesa. Dalam sebuah demokrasi, wartawan berfungsi sebagai pengimbang kuasa, bukan musuh kerajaan. Tanpa media yang bebas bertanya, rakyat akan hilang mata dan telinga untuk memahami dasar-dasar pemerintah. Kritikan paling tajam datang daripada Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, yang menyifatkan Nga Kor Ming sebagai “koyak” apabila diajukan soalan media. “Dulu masa pembangkang, dialah antara yang paling lantang mengkritik kerajaan. Tapi bila jadi menteri, baru kena tanya sikit dah koyak,” sindir Akmal dalam hantaran di Facebook. Sindiran itu mungkin pedas, tetapi hakikatnya sukar dinafikan. Ramai pemimpin yang lantang menegur ketika di luar kuasa tiba-tiba berubah nada apabila berada di dalam kabinet. Kuasa sering datang bersama rasa tidak selesa terhadap kritikan, dan di situlah bahaya bermula. Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) turut tampil membidas tindakan menteri itu dengan menyifatkannya sebagai percubaan menakut-nakutkan media. Wartawan, kata NUJM, menjalankan tugas profesional bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu awam. Mengugut atau menekan mereka hanya mencemar reputasi seorang pemimpin dan menjejaskan imej kerajaan. Dalam konteks ini, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong turut bersuara: “Sebagai pemimpin kerajaan, beliau sepatutnya menghormati peranan media sebagai rakan semak dan imbang dalam memastikan pentadbiran yang telus dan berintegriti”. Kenyataan itu mengingatkan kita bahawa media bukan lawan politik. Wartawan tidak berniat “menyerang”, mereka hanya melakukan apa yang masyarakat harapkan: bertanya, menyemak dan menuntut jawapan. Nga Kor Ming bukan nama kecil dalam politik Malaysia. Beliau antara tokoh DAP yang lantang berbicara soal integriti, ketelusan dan keberanian bersuara. Namun, insiden ini menonjolkan satu ironi: ketika beliau kini mempunyai peluang untuk membuktikan prinsip-prinsip itu dalam pentadbiran sendiri, beliau pula terperangkap dalam kegelisahan terhadap kritikan. Reaksi sebegini menggugat mesej Kerajaan Madani yang berasaskan keterbukaan dan dialog. Jika pemimpin tidak mampu menerima soalan wartawan tanpa mengugut atau “melapor”, bagaimana rakyat boleh yakin kerajaan bersedia mendengar pandangan umum? Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi cermin, bukan sekadar kepada Nga Kor Ming, tetapi kepada semua ahli politik, di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Wartawan bukan “alat parti”, bukan “pencetus masalah”, dan bukan “musuh menteri”. Mereka adalah jambatan antara kerajaan dan rakyat. Menjawab soalan yang sukar tidak pernah menjatuhkan maruah seorang pemimpin; malah ia memperkukuh kewibawaan dan membina keyakinan awam. Sebaliknya, apabila seorang menteri dilihat cuba menekan media, imejnya bukan sahaja tercalar, malah menggugat kredibiliti seluruh kerajaan. Editorial ini tidak berniat menyerang peribadi mana-mana pihak. Namun, insiden “I Lite U” harus menjadi titik refleksi, dalam era maklumat terbuka, keterbukaan terhadap teguran adalah tanda kematangan politik. Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia bukan persoalan utama di sini. Isu sebenar ialah bagaimana seorang pemimpin bereaksi apabila diajukan soalan yang mencabar. Seorang menteri yang benar-benar berjiwa rakyat tidak perlu “mengugut” wartawan untuk mempertahankan dasar; cukup dengan hujah yang baik dan keyakinan diri. Akhirnya, kuasa bukan lesen untuk marah, tetapi peluang untuk menunjukkan contoh kepimpinan yang matang. Dan, dalam hal ini, kita hanya boleh berharap agar Nga Kor Ming, serta mana-mana pemimpin selepasnya, belajar untuk tidak “koyak” setiap kali dikritik. – ND 31 Okt 2025

Wajarkah debat dua Intelektual Setanding, Isham Jalil vs Tengku Zafrul?

DUA tokoh muda yang semakin menonjol dalam arena politik dan dasar negara, Isham Jalil dan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, sering menjadi tumpuan umum bukan sahaja kerana pandangan mereka, tetapi juga kerana latar belakang akademik dan profesional yang begitu mengagumkan. Kedua mereka merupakan produk institusi pendidikan berprestij, yang mana Isham ialah alumni Sekolah Alam Shah, manakala Tengku Zafrul pula bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Isham Jalil memiliki kelulusan akademik yang cemerlang dengan Sarjana Muda (Kelas Pertama) dalam Kejuruteraan dari University of Bristol, United Kingdom; Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam bidang Kewangan dari The Wharton School, University of Pennsylvania; dan Sarjana Dasar Awam (MPP) dalam bidang Politik, Ekonomi dan Undang-undang dari Universiti Harvard. Berpengalaman lebih 20 tahun dalam sektor awam dan swasta, beliau pernah berkhidmat di Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai Pengurus dan Eksekutif (1999–2008); di Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (2008–2010); serta memegang jawatan sebagai Pengarah (JUSA B) dan Pegawai Khas kepada (mantan) Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga tahun 2018. Manakala Tengku Zafrul pula mempunyai rekod akademik dan profesional yang tidak kurang hebatnya. Beliau merupakan alumni Sherborne School, Dorset, sebelum melanjutkan pelajaran ke University of Bristol, United Kingdom dalam Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Ekonomi dan Perakaunan; University of Exeter, United Kingdom dalam Sarjana Sastera (MA) dalam Kewangan dan Pengurusan; dan Tsinghua University PBCSF, China – Executive MBA (EMBA) (2017–2019). Beliau juga merupakan Fellow Chartered Banker yang diiktiraf oleh Asian Institute of Chartered Bankers. Dengan lebih dua dekad pengalaman dalam industri perbankan dan kewangan, Tengku Zafrul pernah memegang jawatan penting termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad (2010–2013) dan Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad (2015–2020). Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di AmInvestment Bank, Crédit Agricole, Citigroup Malaysia, Kenanga Holdings, Avenue Securities dan sebagai Penasihat kepada Presiden TNB. Dengan latar belakang akademik dan pengalaman yang hampir seimbang, ramai pihak berpandangan bahawa debat terbuka antara kedua tokoh ini, seperti yang dicadangkan oleh Isham kepada Tengku Zafrul wajar direalisasikan. Perdebatan secara langsung akan memberi ruang kepada rakyat untuk menilai hujah dan pandangan mereka berdasarkan fakta dan data, bukan sekadar persepsi di media sosial. Ketika ini, perbincangan antara penyokong kedua pihak hanya berlaku dalam ruang maya masing-masing, menyebabkan hujah tidak diuji secara langsung. Justeru, debat terbuka akan menjadi platform terbaik untuk memperkukuh wacana dasar awam secara matang dan berhemah. Rakyat kini menanti sama ada Tengku Zafrul akan menyambut cabaran yang dilontarkan oleh Isham Jalil. – ND 31 Okt 2025 Artikel ini diolah oleh Meja Editorial dari sumber status FB Mohd Fadli Salleh