Jumaat, 14 November 2025

Editorial: Bila Menteri “Koyak” Dengan Soalan Media — Cermin Diri, Bukan Cermin Wartawan

TINDAKAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menegur seorang wartawan Utusan Malaysia kerana bertanya soalan mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam slogan “I Lite U”, membuka satu lagi episod yang memperlihatkan bagaimana sebahagian pemimpin sukar berdepan dengan semakan awam, lebih-lebih lagi apabila soalan itu datang daripada pihak media. Dalam majlis prapelancaran projek berkenaan, yang kononnya untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, seorang wartawan bertanya dengan sopan tetapi kritikal, “Kenapa guna bahasa Inggeris, tidak guna Bahasa Malaysia?” Soalan itu mudah, wajar dan sepenuhnya dalam ruang tanggungjawab seorang wartawan, tetapi respons yang diberikan oleh menteri, bukan menjelaskan dengan tenang, sebaliknya menyatakan beliau akan “menghubungi ketua pengarang” akhbar berkenaan. Ini menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Nga memberi alasan, penggunaan bahasa Inggeris sesuai kerana program itu bersifat pelancongan dan bertujuan menarik pelancong antarabangsa. Logik itu boleh diterima, tetapi tindakannya selepas itu, menegur wartawan secara terbuka dan mengugut untuk melapor kepada ketua pengarang, menunjukkan sikap defensif yang tidak sepadan dengan kedudukannya sebagai seorang menteri. Isu ini bukan lagi soal slogan atau bahasa. Ia mengenai bagaimana seorang pemimpin berdepan dengan soalan yang tidak selesa. Dalam sebuah demokrasi, wartawan berfungsi sebagai pengimbang kuasa, bukan musuh kerajaan. Tanpa media yang bebas bertanya, rakyat akan hilang mata dan telinga untuk memahami dasar-dasar pemerintah. Kritikan paling tajam datang daripada Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, yang menyifatkan Nga Kor Ming sebagai “koyak” apabila diajukan soalan media. “Dulu masa pembangkang, dialah antara yang paling lantang mengkritik kerajaan. Tapi bila jadi menteri, baru kena tanya sikit dah koyak,” sindir Akmal dalam hantaran di Facebook. Sindiran itu mungkin pedas, tetapi hakikatnya sukar dinafikan. Ramai pemimpin yang lantang menegur ketika di luar kuasa tiba-tiba berubah nada apabila berada di dalam kabinet. Kuasa sering datang bersama rasa tidak selesa terhadap kritikan, dan di situlah bahaya bermula. Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) turut tampil membidas tindakan menteri itu dengan menyifatkannya sebagai percubaan menakut-nakutkan media. Wartawan, kata NUJM, menjalankan tugas profesional bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu awam. Mengugut atau menekan mereka hanya mencemar reputasi seorang pemimpin dan menjejaskan imej kerajaan. Dalam konteks ini, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong turut bersuara: “Sebagai pemimpin kerajaan, beliau sepatutnya menghormati peranan media sebagai rakan semak dan imbang dalam memastikan pentadbiran yang telus dan berintegriti”. Kenyataan itu mengingatkan kita bahawa media bukan lawan politik. Wartawan tidak berniat “menyerang”, mereka hanya melakukan apa yang masyarakat harapkan: bertanya, menyemak dan menuntut jawapan. Nga Kor Ming bukan nama kecil dalam politik Malaysia. Beliau antara tokoh DAP yang lantang berbicara soal integriti, ketelusan dan keberanian bersuara. Namun, insiden ini menonjolkan satu ironi: ketika beliau kini mempunyai peluang untuk membuktikan prinsip-prinsip itu dalam pentadbiran sendiri, beliau pula terperangkap dalam kegelisahan terhadap kritikan. Reaksi sebegini menggugat mesej Kerajaan Madani yang berasaskan keterbukaan dan dialog. Jika pemimpin tidak mampu menerima soalan wartawan tanpa mengugut atau “melapor”, bagaimana rakyat boleh yakin kerajaan bersedia mendengar pandangan umum? Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi cermin, bukan sekadar kepada Nga Kor Ming, tetapi kepada semua ahli politik, di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Wartawan bukan “alat parti”, bukan “pencetus masalah”, dan bukan “musuh menteri”. Mereka adalah jambatan antara kerajaan dan rakyat. Menjawab soalan yang sukar tidak pernah menjatuhkan maruah seorang pemimpin; malah ia memperkukuh kewibawaan dan membina keyakinan awam. Sebaliknya, apabila seorang menteri dilihat cuba menekan media, imejnya bukan sahaja tercalar, malah menggugat kredibiliti seluruh kerajaan. Editorial ini tidak berniat menyerang peribadi mana-mana pihak. Namun, insiden “I Lite U” harus menjadi titik refleksi, dalam era maklumat terbuka, keterbukaan terhadap teguran adalah tanda kematangan politik. Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia bukan persoalan utama di sini. Isu sebenar ialah bagaimana seorang pemimpin bereaksi apabila diajukan soalan yang mencabar. Seorang menteri yang benar-benar berjiwa rakyat tidak perlu “mengugut” wartawan untuk mempertahankan dasar; cukup dengan hujah yang baik dan keyakinan diri. Akhirnya, kuasa bukan lesen untuk marah, tetapi peluang untuk menunjukkan contoh kepimpinan yang matang. Dan, dalam hal ini, kita hanya boleh berharap agar Nga Kor Ming, serta mana-mana pemimpin selepasnya, belajar untuk tidak “koyak” setiap kali dikritik. – ND 31 Okt 2025

Tiada ulasan: