Jumaat, 14 November 2025

Krisis Kecil, Imej Besar – Pengajaran Dari Insiden Kor Ming dan Media

DALAM dunia politik moden yang serba terbuka, setiap kata, nada suara dan reaksi seorang menteri bukan sekadar tanggapan peribadi. Ia adalah gambaran kerajaan secara keseluruhan. Insiden yang melibatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini menjadi bukti bahawa hubungan antara kerajaan dan media masih memerlukan semak dan imbang yang sihat, bukannya pertarungan ego. Segalanya bermula dengan satu soalan yang sepatutnya mudah dijawab – mengapa slogan “I Lit U” untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 menggunakan bahasa Inggeris, bukan Bahasa Malaysia? Soalan tersebut, walaupun ringkas, menyentuh perkara asas, iaitu identiti nasional dan dasar bahasa. Malangnya, reaksi menteri berkenaan dianggap keterlaluan oleh ramai pihak apabila beliau mempersoalkan asal media wartawan itu dan mengugut untuk “mengadu kepada pengarang”. Dalam konteks komunikasi politik, tindakan sebegitu mudah ditafsirkan sebagai cubaan membungkam media, satu perkara yang amat sensitif di negara demokrasi seperti Malaysia. Tidak lama selepas sidang media tersebut, potongan video insiden itu tular di media sosial. Ratusan ribu netizen meluahkan kemarahan, melihat tindakan menteri sebagai angkuh dan tidak profesional. Dalam dunia digital, imej boleh hancur dalam masa beberapa jam. Bagi seorang menteri yang selama ini dilihat petah dan bijak berpidato, insiden ini mencalar reputasi serta menimbulkan persoalan mengenai kebijaksanaan komunikasi krisis beliau. Selepas menerima kecaman, Kor Ming bertindak pantas, memohon maaf secara terbuka dan menjemput wakil media ke majlis makan malam. Ramai menafsirkan langkah ini sebagai cubaan “membeli jiwa” media, manakala sebahagian yang lain melihatnya sebagai usaha mendamaikan hubungan yang retak. Namun begitu, keikhlasan sesuatu permohonan maaf bukan diukur melalui hidangan atau senyuman, tetapi melalui perubahan sikap selepas itu. Adakah tindakan ini benar-benar ikhlas atau sekadar strategi komunikasi krisis untuk memulihkan imej. Itu persoalan yang masih bermain difikiran rakyat. Dalam menghadapi media, seorang pemimpin harus sedar, tidak semua soalan perlu dijawab secara langsung. Seorang menteri berpengalaman mempunyai pelbagai jalan keluar yang elegan seperti “Saya akan jelaskan perkara itu kemudian”, “Itu di bawah bidang kementerian lain”, atau “No comment, buat masa ini”. Pilihan-pilihan seperti ini bukan tanda kelemahan, tetapi kematangan politik. Malangnya, dalam kes ini, reaksi spontan Kor Ming telah menunjukkan sebaliknya, seolah beliau gagal membezakan antara soalan yang mencabar dan soalan yang perlu dihormati. Media bukan musuh kepada kerajaan. Mereka adalah cermin kepada persepsi rakyat. Wartawan hanya menjalankan tugas untuk bertanya dan pemimpin harus bijak memanfaatkan ruang tersebut untuk menjelaskan dasar, bukan mempertahankan ego. Sekiranya hubungan media-kerajaan terus dibina atas dasar saling menghormati, kedua-dua pihak akan menjadi lebih kuat, kerajaan memperoleh kepercayaan awam dan media pula dapat menjalankan fungsinya sebagai pengawas demokrasi dengan bebas. Oleh itu, insiden ini walaupun kelihatan remeh, memberi pengajaran besar kepada semua pemimpin. Kuasa kata-kata jauh lebih tajam daripada pedang. Satu ayat yang salah boleh meruntuhkan imej yang dibina bertahun-tahun. – ND 3 Nov 2025

Tiada ulasan: