Jumaat, 14 November 2025
Lari Topik, Putar Belit dan Realiti Dunia Wartawan
SUDAH lebih empat dekad penulis hidup dalam dunia media. Dari seorang pemberita sambilan yang berkejar-kejaran dengan buku nota kecil dan pen di tangan, hinggalah kini memegang tanggungjawab sebagai ketua pengarang.
Dunia kewartawanan telah menjadi sebahagian daripada jiwa penulis. Dalam tempoh itu, penulis sudah menulis ribuan berita, menemubual ratusan tokoh dan menyaksikan pelbagai babak politik yang silih berganti.
Namun, ada satu perkara yang sentiasa penulis pegang teguh: penulis tidak pernah menulis sesuatu yang “lari topik” daripada apa yang dikatakan oleh sumber atau ahli politik.
“Lari topik” – istilah yang sering digunakan untuk menuduh wartawan sebagai penipu. Maksudnya, kononnya wartawan “dengar cakap lain, balik tulis lain”. Seolah kami mereka cerita, menokok tambah kenyataan dan memutar belit kata-kata orang demi sensasi.
Tetapi, jujur penulis katakan, dalam sepanjang karier penulis, tuduhan itu sebenarnya lebih banyak datang daripada mereka yang takut pada bayang-bayang sendiri, bukan kerana wartawan itu tersalah tulis.
Yang sering penulis hadapi bukan wartawan yang menyeleweng kenyataan, tetapi pemimpin yang bercakap lain, buat lain. Penulis masih ingat, berapa banyak kali penulis menulis kenyataan mereka dengan tepat, sepatah demi sepatah seperti yang keluar dari mulut mereka.
Namun, apabila berita itu disiarkan dan mendapat kecaman rakyat, tiba-tiba wartawan pula dipersalahkan. Kononnya, kami salah tafsir, kami putar belit. Sedangkan apa yang ditulis itu adalah hasil daripada rakaman mereka sendiri, kadang-kadang disiarkan secara langsung pula.
Ada ketika penulis duduk di depan televisyen, melihat seorang pemimpin yang penulis temubual sehari sebelumnya berkata di hadapan kamera, “Saya tidak pernah kata begitu”.
Penulis hanya mampu tersenyum kelat. Dalam kepala penulis, terngiang kembali suara beliau ketika ditemubual, sama intonasinya, sama nadanya. Bezanya, hari ini beliau sudah tahu kenyataannya tidak disukai ramai, jadi wartawanlah yang menjadi mangsa kambing hitam.
Beginilah nasib kami dalam dunia media. Bila berita memihak, mereka tersenyum dan memuji. Tapi, bila kenyataan sendiri menjadi beban, kami yang dipersalahkan.
Untuk menutup kesilapan atau kelemahan diri, mereka mencipta naratif: “akhbar itu suka putar belit”, “media arus perdana tak boleh dipercayai”. Tuduhan itu kemudian menular, diulang oleh penyokong-penyokong mereka hingga masyarakat pun percaya bahawa wartawan ini suka mereka-reka cerita.
Padahal, kalau orang luar melihat bagaimana kami bekerja, mereka akan tahu betapa berhati-hatinya seorang wartawan menulis berita. Kami rakam setiap kata, semak ejaan nama, pastikan fakta tepat, malah ada yang menulis semula berulang kali supaya mesej tidak tersasar.
Kami bukan penulis novel; kami pembawa maklumat. Tapi dunia politik ini, penulis belajar, jarang menghargai kebenaran apabila kebenaran itu tidak berpihak kepada mereka.
Penulis pernah berdepan dengan pelbagai jenis pemimpin, ada yang berani mempertahankan kata-katanya walau tidak popular dan ada juga yang cepat berpusing arah bila angin tidak menyebelahi mereka.
Yang jenis kedua inilah yang selalu menuding jari ke arah wartawan. Kononnya, “itu bukan maksud sebenar saya,” atau “media salah tafsir”. Hakikatnya, mereka takut dilihat bodoh, takut hilang sokongan, takut diserang, dan cara paling mudah untuk menyelamatkan diri ialah menyalahkan media.
Semakin lama penulis dalam dunia ini, semakin penulis faham, tuduhan terhadap media bukanlah kerana wartawan menipu, tapi kerana kebenaran itu pahit.
Ia menyakitkan bagi mereka yang tidak mahu mengakuinya. Wartawan menulis berdasarkan apa yang diucapkan, tapi tidak semua yang diucapkan sanggup ditanggung akibatnya.
Kadang-kadang, bila penulis melihat generasi wartawan muda hari ini berdepan tuduhan sama, penulis hanya mampu tersenyum. Penulis faham rasa geram dan kecewa mereka, kerana penulis pernah berada di tempat yang sama.
Namun, penulis selalu berpesan, jangan biarkan tuduhan itu mematahkan semangat. Dalam dunia kewartawanan, integriti itulah yang menjadi senjata paling tajam dan juga perisai terakhir kita.
Empat puluh tahun lebih penulis menulis dan satu perkara yang penulis pelajari ialah: kebenaran tidak pernah sunyi, tapi ia sering disenyapkan.
Wartawan mungkin tidak disukai, tapi selama mana kita menulis berasaskan fakta, kebenaran akan tetap berpihak kepada kita walaupun lambat, walaupun dalam senyap.
Penulis selalu percaya, wartawan yang baik bukan diukur pada berapa banyak berita sensasi yang pernah dia tulis, tetapi sejauh mana dia berani menulis sesuatu yang benar, walaupun tahu kebenaran itu akan membuatnya tidak disenangi.
Dunia kewartawanan bukan tempat untuk mencari populariti atau penghargaan; ia medan perjuangan sunyi, di mana pena menjadi saksi antara fakta dan fitnah, antara integriti dan kepura-puraan.
Etika adalah kompas kami. Tanpa etika, pena wartawan hanyalah senjata buta yang boleh mencederakan sesiapa sahaja. Penulis selalu menasihati wartawan muda di bawah bimbingan penulis, jangan pernah menulis untuk menyenangkan sesiapa, tulislah untuk memberi pencerahan kepada semua. Kerana tugas wartawan bukan menabur pujian atau mencipta musuh, tetapi menegakkan kebenaran di tengah-tengah kekeliruan.
Dalam dunia yang semakin dikuasai oleh algoritma dan keghairahan klik, tekanan untuk menjadi yang “terawal” dan “terpanas” semakin kuat. Namun, penulis belajar, menjadi yang pertama bukanlah segala-galanya, sebaliknya menjadi yang benar itulah yang paling utama.
Penulis lebih rela berita penulis terbit sedikit lambat, tetapi tepat dan beretika, daripada cepat, tetapi menyesatkan. Kebenaran tidak pernah lapuk, tapi fitnah, walau sekejap sahaja bertahan akan kekal mencemarkan nama.
Keberanian juga menjadi nyawa kepada profesion ini. Bukan keberanian melawan orang, tetapi keberanian menegakkan apa yang benar walau kita sendirian.
Banyak kali dalam hidup penulis, terpaksa menulis berita yang membuat segelintir pihak marah, ada yang mengugut, ada yang memboikot. Tapi, penulis selalu ingat pesan seorang mentor penulis dulu: “Kalau kamu takut pada kebenaran, lebih baik jangan jadi wartawan. Dunia ini sudah cukup dengan orang yang berdiam”.
Penulis juga percaya, seorang wartawan yang jujur akan meninggalkan jejak yang panjang, walaupun namanya mungkin dilupakan. Berita yang ditulis dengan hati yang bersih akan kekal menjadi rekod sejarah, menjadi cermin kepada generasi selepas kita.
Dan itulah, bagi penulis, makna sebenar perjuangan seorang wartawan, bukan sekadar mencari berita, tetapi menjadi saksi zaman.
Kini, setelah lebih empat puluh tahun menulis, penulis tidak lagi berlari kejar “scoop” seperti dulu. Tetapi, semangat untuk menulis yang benar tidak pernah padam.
Setiap kali penulis menatap halaman akhbar atau portal berita, penulis teringat hari-hari muda penulis, berpeluh di padang sidang media, duduk di tepi pentas ceramah, menunggu kenyataan keluar dari mulut seorang pemimpin. Semua itu membentuk siapa penulis hari ini.
Dan, bila penulis melihat dunia hari ini, di mana kebenaran semakin kabur dan suara wartawan sering dipersoal, penulis hanya mampu berpesan satu perkara kepada mereka yang masih berjuang di lapangan:
Pegang pena kamu dengan jujur, tulis dengan hati yang bersih, jangan gentar dengan kebenaran.
Kerana dalam dunia yang penuh dengan kebisingan, suara yang paling bernilai tetap datang daripada mereka yang berani berkata benar walaupun ia hanya dibisikkan dengan perlahan. – ND 4 Nov 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan