Jumaat, 14 November 2025
Bila Sejarah Dipertikai: Membela Suara Berani Prof. Dr. Soleha Yaacob
DI NEGARA kita, tidak ramai ahli akademik yang berani keluar dari kepompong selesa kepakaran mereka untuk berbicara mengenai warisan bangsa, selain Prof. Dr. Soleha Yaacob, pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dengan ilmu dan keyakinan yang ada padanya, beliau tampil menyatakan bahawa tamadun Rom kuno mungkin mempelajari teknik pembinaan kapal daripada pelaut Melayu.
Kenyataannya ini membuatkan ramai terkejut dan tidak kurang juga yang marah. Antaranya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir.
Ada yang menuduh beliau “tidak wajar campur tangan dalam bidang bukan kepakaran”. Ada juga yang menganggap kenyataan itu “mengarut dan tidak berasaskan fakta”.
Tetapi di sebalik badai kecaman itu, terserlah satu perkara yang jarang kita hargai: keberanian seorang sarjana untuk mencabar naratif sejarah dunia yang selama ini berat sebelah.
Selama ini, kita terlalu terbiasa melihat sejarah dunia dari kaca mata Barat. Rom diagungkan sebagai lambang kemajuan, sementara Alam Melayu sering digambarkan sekadar kawasan tropika yang ‘menunggu untuk dijajah’.
Tetapi siapa yang benar-benar menelusuri sejarah Funan, Srivijaya dan Langkasuka, akan tahu bahawa dunia Melayu bukanlah dunia kecil.
Kita pernah menjadi kuasa maritim terbesar di Asia Tenggara, mengawal laluan perdagangan rempah, sutera dan emas. Catatan China, India, Arab dan Portugis semuanya mengakui kepakaran pelaut Melayu, kapal jong raksasa, teknik sambungan papan tanpa paku dan sistem layar yang canggih jauh mendahului zamannya.
Maka, apabila Dr. Soleha menyebut bahawa kepakaran ini mungkin sampai ke dunia Rom melalui jaringan perdagangan purba, adakah itu terlalu mustahil? Dunia lama bukanlah terpisah seperti yang kita sangkakan. Lautan bukan pemisah, tetapi penghubung.
Di sinilah letaknya keistimewaan Dr. Soleha. Dalam dunia akademik moden yang penuh dengan politik dalaman dan ketakutan terhadap “kebenaran rasmi”, beliau memilih untuk berani bersuara.
Tidak ramai ilmuwan wanita, apatah lagi dari universiti Islam berani mengangkat naratif yang mencabar hegemoni sejarah Barat.
Kenyataan beliau mungkin kedengaran provokatif, tetapi dalam dunia ilmu, provokasi yang berpijak pada niat mencari kebenaran adalah bahan bakar kemajuan. Bukankah teori besar dunia, dari heliosentris Copernicus hingga teori evolusi Darwin, pada mulanya ditertawakan dan dihina?
Apa yang dilakukan oleh Dr. Soleha bukanlah menipu sejarah, tetapi membuka ruang imaginasi intelektual. Beliau mengajak kita melihat bahawa mungkin, hanya mungkin, tamadun Melayu dahulu jauh lebih berpengaruh daripada yang kita pernah diberitahu.
Ironinya, yang paling cepat menentang beliau bukanlah sarjana Barat, tetapi orang kita sendiri. Menteri, pentadbir universiti, dan sesetengah ahli akademik tempatan seolah tergesa-gesa menutup pintu perbincangan.
Namun, apa agaknya reaksi mereka ini, sekiranya pengakuan itu dinyatakan oleh ahli sejarah dari barat atau negara Eropah? Sudah barang tentu mereka berbangga, kerana bangsa Melayu diangkat oleh orang luar.
Tidakkah sepatutnya mereka menjemput beliau ke meja wacana, bukan ke kandang siasatan? Jika benar kenyataannya memerlukan bukti, maka jalankan kajian, buktikan secara ilmiah, bukan hentam secara emosional. Itulah semangat ilmu yang sebenar.
Kecaman terhadap Dr. Soleha sebenarnya mencerminkan satu penyakit lama bangsa kita, takut untuk berfikir di luar kotak, takut menentang pandangan arus perdana, takut disalah anggap oleh “dunia luar”. Akibatnya, kita menjadi bangsa yang pandai meniru, tetapi jarang berani menafsir semula sejarah sendiri.
Benar, dakwaan Dr. Soleha memerlukan penyelidikan lanjut. Tetapi harus diingat, setiap teori besar bermula dengan tanda tanya, bukan kepastian. Mungkin belum ada artifak atau bukti arkeologi yang mengaitkan Rom dengan pelaut Melayu, tetapi bukti kehebatan maritim Alam Melayu memang nyata dan melimpah.
Kapal jong Melayu, misalnya, diiktiraf oleh sejarawan maritim dunia sebagai antara kapal layar terbesar di Asia sebelum abad ke-15. Teknologi pembinaannya begitu maju, hingga Portugis sendiri meniru reka bentuknya.
Jadi, jika bangsa Barat lain mampu belajar daripada pelaut Nusantara, mengapa tidak mungkin Rom juga, secara langsung atau tidak menerima tempiasnya melalui jaringan perdagangan dunia purba?
Prof. Dr. Soleha mungkin bukan pakar arkeologi, tetapi beliau telah menyentuh sesuatu yang jauh lebih penting: soalan mengenai asal-usul dan maruah bangsa. Beliau mengingatkan kita bahawa sejarah bukan milik penjajah atau sarjana asing sahaja. Ia milik setiap anak bangsa yang berani mencari dan menyoal.
Daripada mengecam, alangkah baiknya jika pihak universiti dan kementerian mengambil peluang ini untuk mendukung penyelidikan tentang sejarah maritim Melayu, bukan sekadar untuk membuktikan dakwaan Dr. Soleha, tetapi untuk menulis semula naratif kita sendiri dengan lebih adil dan berwawasan.
Dalam dunia yang mudah menolak apa sahaja yang luar biasa, keberanian seperti Prof. Dr. Soleha Yaacob patut dihargai. Beliau mungkin tidak sempurna, tetapi beliau telah menyalakan obor yang ramai takut untuk nyalakan.
Obor yang mengajak kita melihat sejarah Melayu bukan sebagai catatan kecil dalam buku dunia, tetapi sebagai tamadun agung yang pernah berdiri megah dan mungkin, memberi ilham kepada dunia lain.
Sejarah bukan sekadar mengenai apa yang telah berlaku. Ia adalah mengenai bagaimana kita memilih untuk mempercayai diri kita, dan dalam hal ini, Prof. Dr. Soleha tidak salah untuk percaya bahawa bangsa Melayu pernah menjadi pelaut yang mengubah dunia. – ND 7 Nov 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan