Jumaat, 14 November 2025

Ilmu Tidak Semestinya Bertakhta di Atas Kertas: Membela Rasional di Sebalik Pelantikan Siti Nurhaliza

TINDAKAN Wira Putra, sayap Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membantah pelantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai Profesor Adjung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperlihatkan betapa masih wujud kelompok yang terperangkap dalam mentaliti lama, iaitu hanya mereka memiliki segulung ijazah atau bertimbun sijil akademik layak diiktiraf sebagai insan berilmu. Kenyataan pemangku ketuanya yang mempertikaikan pelantikan seorang selebriti sebagai Profesor Adjung mencerminkan betapa sempit dan jumudnya pemahaman mereka mengenai konsep kepakaran, pengalaman serta sumbangan kepada masyarakat. Ironinya, parti yang kononnya memperjuangkan bangsa Melayu itu sendiri gagal memahami bahawa kejayaan dan ilmu tidak terhad pada bentuk akademik semata-mata, tetapi juga pada kebijaksanaan yang terbit daripada pengalaman sebenar. Bagi yang tidak faham, Profesor Adjung bukanlah gelaran akademik dalam hierarki pensyarah universiti. Ia bukan jawatan tetap, bukan laluan akademik rasmi dan tidak menjadikan seseorang “Profesor” dalam erti akademik yang sebenar. Gelaran ini diberikan kepada tokoh luar universiti yang mempunyai pengalaman luas, kepakaran industri atau pencapaian luar biasa dalam bidang tertentu supaya mereka boleh berkongsi pengalaman dengan warga universiti. Dengan kata lain, Profesor Adjung ialah jambatan antara dunia akademia dan dunia sebenar. Ia membawa pengalaman praktikal masuk ke ruang kuliah. Dalam hal ini, pelantikan Siti Nurhaliza adalah amat bertepatan dengan semangat itu. Siti Nurhaliza bukan sekadar ikon hiburan. Beliau adalah simbol ketekunan, kecerdikan berniaga dan pengurusan jenama yang cemerlang. Bermula dari bawah, beliau membina nama dan perniagaan dengan air mata serta kerja keras, bukan warisan atau politik. Beliau kini mengetuai syarikat kosmetik, produk kesihatan dan jenama muzik tersohor yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Itulah pengalaman yang tidak akan ditemui dalam mana-mana buku teks pemasaran. Kita sering terperangkap dalam budaya “kertas”, seolah segulung ijazah menjadi penentu tunggal tahap kebijaksanaan seseorang. Namun sejarah dunia membuktikan sebaliknya. Individu seperti Steve Jobs, Bill Gates, Oprah Winfrey, Richard Branson atau di tanah air kita sendiri, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, semuanya mencapai kejayaan luar biasa tanpa kelulusan universiti yang tinggi. Apakah kita berani mengatakan mereka tidak layak mengajar atau berkongsi pengalaman dengan pelajar hanya kerana mereka tidak memiliki PhD? Ilmu tidak semestinya datang daripada menelaah teori. Ia juga datang daripada berdepan realiti. Seseorang yang telah membina perniagaan dari kosong, berdepan risiko, menguruskan manusia, melawan kegagalan dan bangkit semula, itu sebenarnya profesor kehidupan yang sebenar. Kalau semua pelajar hanya belajar teori ekonomi, tetapi tidak tahu cara sebenar untuk menjual, mengurus dan memimpin, maka universiti hanya akan melahirkan penghafal teori, bukan pencipta peluang. UiTM sendiri bukan asing dalam melantik tokoh luar sebagai Profesor Adjung. Sudah ramai tokoh korporat, penggiat seni dan pemimpin masyarakat yang dilantik bagi memperkaya proses pembelajaran. Inilah falsafah universiti moden di seluruh dunia, bahawa ilmu akademik perlu disuburkan dengan pengalaman praktikal. UiTM bukan sahaja tempat pelajar mengutip ilmu teori, tetapi medan untuk mereka menyerap semangat keusahawanan dan kepimpinan sebenar. Pelantikan Siti Nurhaliza membolehkan pelajar mendengar secara langsung kisah jatuh bangun beliau. Bagaimana beliau menguruskan kewangan, mengekalkan kredibiliti jenama, menyesuaikan diri dengan teknologi dan memimpin pasukan dalam dunia perniagaan yang keras dan kompetitif. Itu adalah pelajaran bernilai yang tidak boleh dibeli dengan mana-mana sijil. Sebaliknya, Putra memilih untuk menghina usaha ini dengan alasan kononnya pelantikan itu tidak wajar. Mungkin mereka lebih selesa melihat pelajar hanya mendengar syarahan daripada individu yang pandai bercakap, tetapi tidak pernah membina apa-apa dalam dunia sebenar. Masalah sebenar dalam bantahan ini bukan soal prinsip, tetapi soal politik. Putra cuba menangguk di air keruh dengan mencetuskan sensasi terhadap nama besar seperti Siti Nurhaliza. Ini bukan bantahan berasaskan ilmu, tetapi permainan persepsi, untuk kelihatan lantang di mata umum. Sayangnya, dalam usaha untuk kelihatan juara Melayu, mereka sebenarnya memperkecilkan kejayaan wanita Melayu paling berpengaruh dalam sejarah moden negara. Ironi bukan? Parti yang kononnya memperjuangkan bangsa sendiri kini menghina simbol kejayaan bangsa itu sendiri. Lebih malang, kenyataan seperti ini juga memperlekeh UiTM, seolah institusi pendidikan itu tidak tahu menilai kelayakan seseorang untuk dilantik sebagai Profesor Adjung. UiTM mempunyai lembaga akademik, prosedur dan garis panduan yang ketat sebelum melantik mana-mana tokoh. Jadi, siapa sebenarnya Putra untuk mempertikaikan kebijaksanaan institusi akademik ini? Sudah sampai masanya masyarakat kita berhenti mengukur nilai ilmu dengan kelulusan semata-mata. Ilmu ada dalam pelbagai bentuk, dari makmal penyelidikan, dari buku, dari pengalaman berniaga, bahkan dari pentas kehidupan. Seseorang yang pernah gagal, tetapi bangkit semula dengan kekuatan dan strategi, memiliki kebijaksanaan yang tidak dapat diajar oleh mana-mana profesor akademik. Itulah intipati sebenar pendidikan, bukan sekadar mengajar, tetapi menginsafkan dan menginspirasi. Pelantikan Siti Nurhaliza bukan penghinaan kepada dunia akademik, tetapi satu langkah cemerlang dalam membuka ruang kepada pelajar untuk belajar daripada ikon sebenar bangsa. Ia memperkaya pengalaman pembelajaran dan memanusiakan semula erti pendidikan. Dalam hal ini, Putra tidak sepatutnya menjadi penghalang, tetapi penyokong. Jika benar mereka mahu memperjuangkan anak muda Melayu, mereka seharusnya menggalakkan pelajar untuk mencontohi tokoh seperti Siti Nurhaliza, wanita Melayu yang membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai dengan kerja keras, disiplin dan kebijaksanaan. Menyerang pelantikan seperti ini bukan sahaja menunjukkan kecetekan ilmu, tetapi juga memperlihatkan betapa sesetengah pihak masih takut untuk mengiktiraf kejayaan orang lain. UiTM telah membuat keputusan yang tepat. Siti Nurhaliza bukan sekadar simbol hiburan, beliau adalah cerminan kecemerlangan, dedikasi dan semangat bangsa. Maka, tidak hairanlah hanya mereka yang gagal memahami erti ilmu yang sebenar akan melihat pelantikannya sebagai satu masalah. – ND 7 Nov 2025

Tiada ulasan: