Selasa, 18 Disember 2007

Selamat Aidiladha

Assalamualaikum
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN DAN TETAMU YANG MENGUNJUNGI BLOG INI.
PERTAMA-TAMA SAYA HENDAK MEMOHON JUTAAN MAAF KERANA TIDAK DAPAT MENGISI BAHAN BERITA, MAKLUMAT DAN ILMU PENGETAHUAN DALAM BLOG INI DISEBABKAN TIDAK MEMPUNYAI MASA YANG MENCUKUPI. SAYA TERAMAT SIBUK DENGAN PROGRAM MEMPROMOSI AKHBAR SINAR HARIAN SEJAK KEBELAKANGAN INI SEHINGGA TIDAK ADA SEDIKIT PUN RUANG UNTUK ON BLOG INI.
INSYA-ALLAH SELEPAS HARI RAYA INI SAYA AKAN CUBA UNTUK MENCERIAKAN SEMULA BLOG INI.
APAPUN, KEPADA RAKAN-RAKAN YANG MENUNAIKAN HAJI, SAYA UCAPKAN DOA SELAMAT UNTUK MEREKA. "SELAMAT PERGI KE TANAH SUCI DAN SELAMAT PULANG KE TANAH AIR. SEMOGA KALIAN MENDAPAT HAJI MABRUR DARIPADA ALLAH S.W.T
DAN KEPADA RAKAN-RAKAN YANG KORBAN TERNAKAN (LEMBU, UNTA DAN KAMBING) DIDOAKAN SEMOGA KORBAN ITU MENDAPAT KEMULIAAN DISISI ALLAH.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA. ALLAHHUAKHBAR!! ALLAHHUAKHBAR!! ALLAHHUAKHBAR!! ALLAHHUAKHBAR!!

Rabu, 12 Disember 2007

Aidiladha tetap 20 Dis

Walau Saudi sambut lebih awal
Tarikh sambutan Aidiladha untuk umat Islam di Malaysia kekal pada 20 Dis seperti ditetapkan sebelum ini, meskipun ia disambut sehari lebih awal di Arab Saudi.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu memaklumkan bahawa tiada sebarang perubahan memandangkan tarikh tersebut ditetapkan mengikut hisab dan rukyah di negara ini.
Perkara itu telah disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam.
Ahad lalu, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah mengumumkan sambutan Aidiladha bagi Malaysia ditetapkan pada 20 Dis ini.
Sementara Majlis Kehakiman Tertinggi Arab Saudi pada Isnin lalu pula mengumumkan bahawa tarikh 1 Zulhijjah 1428 Hijrah ialah pada hari Isnin, 10 Dis iaitu sehari lebih awal daripada yang dijangkakan setelah anak bulan Zulhijjah kelihatan berdasarkan penentuan tarikh secara rukyah.
Berikutan itu, hari wukuf bagi musim haji tahun ini ditetapkan pada Selasa 18 Dis manakala Aidiladha di Arab Saudi disambut pada Rabu 19 Dis.

Selasa, 11 Disember 2007

Pesan Roh Kepada Manusia

Tazkirah!

Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia.
Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut".
Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".
Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu: "Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh" . Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.
Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan: "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka.

Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya."
Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.
Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: "Wahai kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku."

"Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku."
"Adapun di dunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku."
Ada satu riwayat daripada Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka.

Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk daripada anak-anak dan teman-teman.
Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku".
Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka.

Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji dihadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya.
Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur di mukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.
Baginda Rasullullah S.A.W berkata:Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut.

Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar.
Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."
Sambung Rasullullah S.A.W. lagi: "Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail a.s. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga.

Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail a.s.
"Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail a.s. akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya.
Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.
Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T.

" Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.
Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain.

" Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah,tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan.
"Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu.
"Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan al-Quran dan zikir".
Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."
Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian AllahS.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."
Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.
Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.
Abu Bakar r.a. telah ditanya mengenai ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar r.a: "Roh itu menuju ke tujuh tempat:-
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa beserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."
Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.


Sabtu, 8 Disember 2007

Enam sekeluarga maut dalam kemalangan ngeri


GUA MUSANG - Enam maut dan dua parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 63 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Kampung Sungai Lakit, dekat sini, semalam.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Mohd Razali Mohd Ripin, 32; isterinya, Haridhah Hassan, 32; dan tiga anak mereka, Mohd Zuhairi, 8; Mohd Zul Fadli, 6; dan Mohd Aiman, 3 tahun.

Turut terbunuh ialah adik Mohd Razali, Siti Nor Fahana Mohd Ariffin, 10. Semua mangsa dikatakan mati di tempat kejadian.
Pemandu lori, Sukarnan Saim, 49, dan isterinya, Maimun Nuh, 45, cedera parah dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut.

Empat penumpang kereta itu dikatakan tercampak keluar dan terhumban di bawah cerun sebelah kiri jalan menghala ke Kuala Krai.

Mohd Razali dan Haridhah pula tersepit di bahagian depan kereta dan dikeluarkan orang ramai dalam keadaan sudah tidak lagi bernyawa.

Anggota Bomba dan Penyelamat Gua Musang menerima panggilan daripada orang ramai pada jam 11.56 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
Ketika itu hanya tiga mangsa yang ditemui, dua lagi tersepit dalam kenderaan berkenaan dengan salah seorang daripadanya telah dikeluarkan oleh orang ramai.

Anggota bomba telah melakukan pemeriksaan di dalam semak berhampiran dan menemui tiga lagi mangsa yang lain setelah menerima maklumat daripada waris mangsa yang kereta itu dinaiki enam orang.

Keluarga malang itu dikatakan dalam perjalanan ke Senawang setelah bertolak dari rumah mereka di Perupok, Bachok, manakala lori berkenaan pula dalam perjalanan ke Tanah Merah dari Kuala Lumpur.

Kereta itu dipercayai terbabas dan berpusing beberapa kali berikutan jalan licin sebelum memasuki lorong sebelah kanan jalan dan bertembung lori terbabit.

PM: Pantau hubungan Hindraf-pengganas


Saya tidak bercadang untuk campur tangan dengan memaparkan isu HINDRAF dalam blog ini, tetapi setelah mengikuti perkembangannya dari awal lagi, saya seperti terpanggil untuk berkongsi kes/isu ini dengan pelayar dihormati.
Pada pandangan peribadi saya, rasanya amat tidak wajar pengerak HINDRAF menjalankan gerakan menghasut kaum India supaya membenci kerajaan. Selama ini mereka telah diberi layanan sama rata, baik dari segi ekonomi, pembangunan dan kemudahan asas dengan orang Melayu, Cina dan kaum-kaum lain di negara ini.
Apa lagi yang mereka nak? Tidak sedikit rakyat mereka diambil kerajaan untuk menjadi pemimpin. Tidak sedikit orang mereka berjaya dalam perniagaan dan tidak sedikit masyarakat mereka berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan orang Melayu.
Kalau mereka mendakwa purata daripada mereka hidup dalam kemiskinan dan tidak mendapat tempat di sektor awam dan swasta, begitu juga dengan kaum Melayu, Cina dan lain-lain.
Saya rasa sedihlah dengan gerakan HINDRAF ini yang secara terang-terangan cuba mencetuskan isu perkauman di kalangan kaum mereka.
Tidakkah mereka menjadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai pengajaran dan peringatan? Jangan kerana demi kepentingan diri, kita menyusah orang lain. Saya percaya majoriti rakyat di negara ini, baik India, Cina mahupun Melayu tidak suka kepada kekacauan.
Berikut saya lampirkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai HINDRAF.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Bahawi hari ini mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya sentiasa memantau rapi semua kegiatan Hindu Rights Action Force (Hindraf) termasuk mengenai kaitannya dengan gerakan pengganas antarabangsa.
"Saya dah tahu mengenai perkara ini dan saya cadangkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) sendiri yang membuat kenyataan berdasarkan maklumat yang ada pada polis.
"Arahan saya (ialah supaya) ia dipantau dengan rapi," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Industri Kecil dan Sederhana (IKS) peringkat negeri Johor, di sini hari ini.
Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri diminta mengulas kenyataan Musa semalam bahawa Hindraf dipercayai cuba mendapatkan sokongan kumpulan pengganas.
Menurut Musa, selain menagih sokongan negara-negara asing dan meminta bantuan kumpulan pengganas, kumpulan pelampau itu juga menubuhkan sebuah dana untuk membiayai aktiviti mereka.
Ditanya apa bentuk tindakan hasil pemantauan pihak berkuasa setakat ini terhadap Hindraf memandangkan kumpulan ini dikatakan boleh mengancam keselamatan negara, Perdana Menteri berkata: "Bila sudah sampai tahap berbahaya, kita tahu apa kita akan buat".
Mengenai saranan supaya kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas dalang Hindraf, Abdullah berkata beliau perlu meneliti opsyen itu sebelum membuat sebarang keputusan.
Hari ini tokoh politik wanita negara Tan Sri Aishah Ghani serta Gerakan 4B Malaysia mahu kerajaan menggunakan ISA ke atas dalang kumpulan yang tidak berdaftar ini bagi mengelak berlakunya perkara lebih buruk.

Jumaat, 7 Disember 2007

Tabung Umi Azlim dilancar


Tabung Umi Azlim dilancarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, Pasir Puteh semalam untuk membantu ibu bapanya yang memerlukan sumber kewangan bagi tempoh rayuan dua tahun Umi Azlim yang diberikan Mahkamah Guangdhong.
Kutipan awal kini mencecah RM10,000, termasuk sumbangan RM4,000 daripada pemimpin setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Datuk Kamaruddin Mohd Nor berkata, sokongan moral berterusan diperlukan keluarga Mohamad Lazim Jusoh yang sudah bertolak ke Kuala Lumpur malam semalam bagi menguruskan visa pemergian ke negara China pada 10 Disember ini.
Beliau berkata, dalam aspek sosial ini ia bukan lagi suatu landasan politik tetapi berteraskan konsep sokongan kemanusiaan bagi membantu satu keluarga yang menghadapi kesusahan apabila anaknya dikatakan diperalatkan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan dijatuhkan hukuman mati di negara China.
"Gerakan memungut dana tabung ini akan diadakan ke seluruh Pasir Puteh dan akan dipanjangkan ke Kuala Lumpur untuk mendapat simpati ahli perniagaan Kelantan di sana yang sedia menghulurkan bantuan.
"Kita lahirkan simpati untuk sama-sama berkongsi kesusahan dan sentiasa bersedia membantu apa-apa keperluan keluarga berkenaan sepanjang tempoh membuat rayuan terhadap kes yang disabitkan dalam masa dua tahun ini," katanya ketika ditemui selepas melancarkan kutipan tabung berkenaan.
Selain bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri, keluarga berkenaan masih memerlukan bantuan lanjutan kerana sepanjang tempoh dua tahun itu mereka memerlukan sumber kewangan yang banyak.
Menurutnya, konsep membantu mereka yang kesusahan sewajarnya menjadi tradisi rakyat Kelantan tanpa mengira faham politik atau perbezaan kaum.

Khamis, 6 Disember 2007

Umi Azli dan Raja Munirah mangsa keadaan


"Sinar Harian patut jadi pembela dengan menubuhkan tabung bagi membela anak watan kita, Umi Azlim yang ditahan di China."
"Di mana Sinar Harian ketika keluarga Umi Azlim memerlukan bantuan kewangan untuk melihat anaknya yang dipenjarakan di China? Harap Sinar mainkan peranan supaya pihak tertentu tampil membantu keluarga malang itu."
Itu adalah dua mesej sistem pesanan ringkas (SMS) yang kita terima daripada pembaca ketika akhbar ini menyiarkan nasib Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, yang dikenakan hukuman mati oleh pihak berkuasa China kerana kesalahan menyeludup masuk heroin seberat 2,983 gram.
Kita terkedu dengan mesej itu dan membuat kesimpulan betapa berkesannya laporan muka depan Sinar Harian bertarikh 4 Disember 2007, dan keesokan hari wartawan kita dari Pasir Puteh menemui keluarga Umi Azlim dan menzahirkan perasaan mereka untuk siaran 5 Disember 2007.
Berikutan itu, beberapa pihak, sama ada ahli perniagaan, peguam dan pemimpin politik telah menghubungi Sinar Harian menyatakan hasrat dan hajat mereka untuk membantu keluarga malang berkenaan.
Alhamdulillah, hasil kesungguhan Sinar Harian menyiarkan kisah sedih keluarga Mohamad Lazim Jusoh dan isterinya, Umi Slaia Ibrahim, kini keluarga itu akan dapat bertemu dengan anak kesayangan mereka yang ditahan di penjara wilayah Guangdong, China, tidak lama lagi.
Kita berharap, selepas ini akan ada bantuan lain seperti khidmat guaman untuk membela anak gadis yang tidak berdosa ini daripada menerima hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya. Walaupun mahkamah negara itu memberi tempoh dua tahun untuk rayuan, ia suatu jangka masa yang singkat.
Kenapa kita kata singkat? Sebab sebenarnya, Umi Azlim telah dijatuhkan hukuman itu pada 15 Mei lalu, dan daripada tempoh itu, bekas penuntut jurusan Sains Biologi di Universiti Malaysia Sabah itu mempunyai masa sekurang-kurangnya satu setengah tahun sahaja lagi.
Itu yang kita katakan singkat kerana banyak lagi bukti perlu dicari dan dikumpulkan, termasuk mengesan lelaki Nigeria yang dikatakan sebagai pemilik sebenar heroin itu. Apa pun, kita serahkan perkara itu kepada yang lebih arif, yang penting, sebagai rakyat Kelantan dan Malaysianya, marilah kita sama-sama berdoa semoga rakyat kita yang teraniayai dapat diselamatkan.
Bercakap mengenai sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan gadis, suka kita ingin berkongsi pendapat dengan pembaca. Ini kerana kes seumpama ini bukan perkara baru. Kita dimaklumkan, sepanjang tahun ini sahaja seramai 30 orang rakyat negara kita telah ditahan dan kini merempat di penjara beberapa negara asing.
Menurut Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Bakri Zinin, kes seumpama itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa, malah tekanan kepada ibu bapa dan keluarga mereka kerana hukuman bagi kesalahan itu kebiasaannya amat berat termasuk hukuman mati.
Walaupun telah banyak ingatan dibuat menerusi media, kes melibatkan wanita Malaysia berumur antara 20-an dan 30-an diperalatkan sindiket dadah terus berulang. Sepanjang Oktober saja, tiga gadis kita yang bertindak sebagai 'drug courier' (pembawa dadah) bagi menyeludup dadah sama ada secara sedar atau tidak telah ditahan di dua negara.
Dua daripada wanita itu ditahan di Caracas, Venezuela manakala seorang di Australia dan risikan mendapati wanita terbabit telah diperdaya oleh lelaki Nigeria dan Iran untuk menyeludup dadah ke negara berkenaan. Daripada jumlah itu, wanita Melayu adalah yang tertinggi ditahan iaitu 15 orang manakala India (tujuh), Cina (enam) dan kaum lain (dua).
Bakri berkata, daripada 30 tangkapan itu, sembilan daripada mereka ditahan di Peru, enam di Argentina, lima di China, empat di Australia, lima di Venezuela manakala seorang di Jepun. Mereka ditahan setelah didapati membawa dadah jenis Kokain, Ephedrine, Methamphetamine, Syabu dan Heroin.
Kita sedih dan dukacita kerana anak-anak gadis kita telah dijadikan mangsa pihak tidak bertanggungjawab. Kenapa begitu? Kepada siapa harus dipersalahkan? Sekarang bukan masanya untuk menuding jari, yang penting ialah memberi kesedaran kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan remaja.
Siapakah pihak yang harus memberi kesedaran itu? Tidak lain ialah diri kita sendiri. Jika media melaporkan kes-kes berkaitan sindiket dadah yang menggunakan anak gadis, dari situ kita harus membuka minda untuk memberi peringatan kepada anak-anak bawah jagaan kita.
Kita tidak boleh mengharapkan Kerajaan Malaysia supaya menggunakan hubungan diplomatik untuk membebaskan anak kita daripada kesalahan yang telah disabitkan kerana kita harus menghormati undang-undang di negara masing-masing.
Sebagai contoh, apabila Mahkamah Tinggi Jepun menolak rayuan Raja Munirah Raja Iskandar bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo tahun lepas, kita harus akur.
Raja Munirah, keluarganya, rakyat Kelantan dan Malaysia amnya harus akur dengan keputusan itu. Hukuman dikenakan, baik terhadap Raja Munirah mahupun Umi Azlim setelah pihak pendakwa negara itu mempunyai 'prima facie' terhadap mereka.
Usaha selanjutnya terletak kepada peguam bela tertuduh untuk membuat rayuan dengan mengemukakan hujah dan bukti kukuh bagi membebaskan Raja Munirah dan Umi Azlim.