Ahad, 23 Mac 2008

Badrul Hisham Menulis:

Selepas sengit di Parlimen Rembau, "Saya terus di sini"

Ditulis Oleh Badrul Hisham Shaharin (Calon PKR yg menentang Khairy)

Malam keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu, saya seolah hilang punca. Melalui kiraan pantas iaitu maklumat dari semua ejen kiraan undi saluran/peti undi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendahului kira kira 100 undi. Namun angka yang diterima bukan angka rasmi.

Ramai Ketua Pusat mengundi pula menafikan hak ejen kiraan undi PKR mendapat salinan borang 14. Selepas Maghrib, suasana di Pusat Penjumlahan di Dewan Merdeka, Rembau agak tidak tentu arah. Saya mengambil keputusan untuk terus berada di Bilik Gerakan PKR Parlimen Rembau (lima minit dari Pusat Penjumlahan) untuk monitor keputusan yang masuk dan cuba menghubungi semula semua ejen pengiraan undi untuk menghantar borang 14 ke bilik gerakan.

Saya menghantar tiga orang untuk memasuki dewan, malangnya cuma Rozmal, ejen calon sahaja yang dibenarkan masuk. Bayangkan dalam keadaan ratusan penyokong BN di dalam dewan, apa yang Rozmal seorang mampu lakukan.

Sekitar jam 9 malam saya sudah merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku. Rozmal yang saya hubungi melalui telefon seperti hilang punca. Dia mengatakan kemungkinan kiraan semula (dia juga tidak pasti), tetapi semua berlaku dengan pantas.

Jam 10.15 malam, dua peti undi di bawa masuk dan lima minit selepas itu terus calon BN Parlimen Rembau di isytiharkan menang dengan majoriti 5,000 lebih.

Sejak peristiwa itu saya mendapat ratusan panggilan telefon dari teman dan wartawan yang hendak mengetahui apa sebenarnya terjadi. Maka semalam saya memanggil sidang media di SCAH, KL.

Saya isytiharkan PRU-12 ini merupakan PRU paling kotor dan Rembau merupakan yang terkotor. Media, agensi kerajaan diperkuda secukupnya demi menjamin kemenangan BN. Di Rembau contohnya, Pengurus Pilihanraya yang juga Pegawai Daerah Rembau serta ‘team’nya sendiri terpaksa tunduk kepada menantu Abdullah dan menekan lawan BN.

Begitu banyak majlis kerajaan, peruntukan kerajaan dan premis/kawasan milik kerajaan dipergunakan oleh jentera BN demi memastikan menantu PM menang. Tuan Rawi, Pegawai Daerah Rembau ketika saya hubungi melalui telefon bertanyakan kenapa menantu Abdullah boleh menggunakan kemudahan kerajaan, tetapi saya dinafikan hak untuk menyewa padang Rembau?

Beliau menyatakan meluluskan atau tidak itu kuasanya... dan dia sudah membuat keputusan untuk tidak membenarkan calon lawan menantu PM menggunakan padang dan dia juga punya kuasa untuk membenarkan menantu PM menggunakan padang Rembau... Katanya, menantu PM lain, dia BN... selepas ditanya mengenai saya juga membayar deposit pilihanraya seperti menantu PM dan selaku pegawai yang menjalankan tugas SPR dan makan gaji yang dibayar oleh rakyat dia harus bertindak adil... dia meletakkan telefon!!!

Kejadian kedua ialah apabila banyak aduan yang saya buat seperti bahan kempen hilang, terbakar... penggunaan bendera Umno yang tidak bertanding pilihanraya... dan banyak lagi tidak dilayan walaupun telah berkali-kali membuat aduan ke Bilik Gerakan SPR Rembau (pejabat Daerah)...

Saya telah menelefon ke Bilik Gerakan SPR, tetapi malangnya saya ditengking oleh ADO Rembau dan menggugut untuk mengambil tindakan ke atas saya kerana mengganggu pegawai awam.

Saya terus mencabar beliau jika anak jantan sila ambil tindakan undang undang... dia mengatakan "dengan awak dengan Anwar Ibrahim boleh jalan..."

.... saya hilang sabar dan terus mengatakan kamu memang anjing BN dan meletakkan telefon... saya tahu penggunaan perkataan anjing itu melampau... di sini saya memohon maaf, tetapi beliau juga harus mengakui tindakan beliau yang gagal memastikan pilihanraya di P131 berjalan secara adil.

Rembau telah melalui 12 kali Pilihanraya Umum. Ramai orang ‘lama’ di Rembau sendiri mengakui bahawa dia tidak pernah tengok pilihanraya yang sekotor ini dengan penglibatan gangster. Saya mengalami kerugian tidak kurang RM20,000 kerana banner, bendera dan poster yang hilang, dicuri, dirosakkan dan dibakar.

Kegiatan kekasaran seperti menahan atau menghalang atau mengasari petugas pilihanraya juga wujud. Seorang yang mengaku eksekutif kempen Khairy (putih, gebu, berjanggut) yang dipercayai bukan ‘budak tempatan’ sering kali cuba membuat kecoh dalam kempen individu saya.

Contohnya, di Masjid Rembau selepas solat Jumaat saya diserbu dan dituduh berkempen menggunakan masjid. Saya tidak mempedulikan ‘tentera berbayar’ menantu PM ini dan terus bersalaman melayan jemaah.

Mujur kawalan keselamatan calon berjaya membawa ‘tentera berbayar Khairy' ini jauh dari saya. Sekali lagi ‘tentera berbayar yang sama’ dengan kumpulannya cuba menyerbu saya di Masjid Paroi. Kali ini menggugut dengan menunding jari dan mengatakan siap kau!!! Sekali lagi kumpulan pengacau upahan Khairy ini berjaya dikuis jauh dari saya.

Kejadian kedua terjadi terhadap calon PKR DUN Rantau dalam Parlimen Rembau. Sekitar 2 pagi lima hari sebelum pembuangan undi, rumah beliau di Rantau telah dikelilingkan dengan bendera BN/Umno, tetapi dengan keberanian wanita lebih 50 tahun ini sendiri keluar dan menanggalkan bendera BN/Umno yang menceroboh tanah beliau dan memasukkan dalam plastik hitam.

Mungkin tidak puas hati dengan keberanian Aisah Lamsah, sekumpulan besar petugas BN telah mengepung rumah beliau dan meletakkan lebih banyak bendera, poster, flag line BN di sekitar tanah rumah Puan Aisah.

Laporan polis dibuat tetapi sehingga kini tiada tindakan.

Kejadian pendokong Parti Mahasiswa Negara yang hadir untuk bertemu orang kampung juga perlu diberikan perhatian. Anak-anak muda ini turun ke Rembau untuk merancakkan lagi kempen PRU-12. Namun ketika kira kira 10 orang dari mereka hendak memasuki Kampung Gadong, mereka dihalang gangster Umno secara kasar.

Polis yang dipanggil cuma mampu menasihatkan agar kami akur dengan gangster Umno itu. Malah kebetulan ketika itu telah masuk waktu solat, kumpulan kami yang hendak solat di surau kampung itu juga dihalang bersolat.

Hari yang sama di kawasan Rumah Rakyat Astana Raja, saya diserbu oleh Ketua Wanita Umno kawasan itu yang menjerit-jerit seperti orang gila mengatakan saya tak boleh masuk kerana ini kawasan Umno. Ramai penduduk keluar untuk melihat apa yang berlaku... ramai antara mereka yang datang dan menyatakan sokongan kepada saya sambil berkata... biasalah itulah akibat menantu PM datang bertanding sini... akak tu dah terbayang nak jadi setiausaha menteri kut...

Hari yang sama sekumpulan petugas kempen PKR di Kampung Semin dihalang perjalanan kenderaannya oleh kereta waja WMJ 8327 warna kelabu dan diugut supaya berhenti kempen atau nyawa melayang.

Sekumpulan anak muda yang menamakan diri mereka GERAK Mahasiswa yang hadir ke Rembau kerana menyampaikan manisfesto GERAK yang berbunyi tolak calon rasuah. Manifesto ini dihantar ke semua bilik gerakan parti politik termasuk PKR, BN dan PAS.

Malangnya petugas GERAK Mahasiswa ini telah diambil kad pengenalannya dan mereka diiring keluar dari kawasan Parlimen Rembau oleh petugas BN.

Dari aspek senarai pemilih sendiri sejak dari awal sememangnya disedari kotor. Ini membuktikan SPR sudah sedia memenangkan menantu PM. Saya sendiri telah membuat laporan polis mengenai wujudnya ratusan pengundi ragu iaitu mereka yang di bawah umur dan berumur lebih 150 tahun.

Saya juga membuat laporan polis kerana ‘layanan istimewa’ SPR yang dengan pantas menukar status menantu PM dari pengundi di Lembah Pantai menjadi pengundi di Gadong Rembau.

Walaupun sebelum itu hanya dua hingga tiga bulan sebelum itu dia pengundi berdaftar di Wilayah Persekutuan berdasarkan carian SPR. Bukan itu sahaja Jabatan Pendaftaran juga begitu pantas membuatkan MyKadnya yang beralamat di Gadong.

Laporan penuh hari pengundian akan disiapkan pada 13 Mac ini dan akan dihantar ke kumpulan peguam untuk meneruskan tindakan bantahan. Antara kejadian yang dilaporkan ialah pemberian wang secara terbuka, dua nama sama, tetapi kad pengenalan berbeza (berbeza 3 bulan lahir) dalam alamat rumah yang sama didapati mengundi, pengundi dibenar mengundi tanpa membawa kad pengenalan, kejadian pukul, kejadian datang mengundi tetapi nama sudah diundikan dan banyak lagi kejadian pelanggaran undang undang berlaku.

Semalam 9.30 malam, saya hadir mesyuarat bersama jentera di Pejabat Gerakan PRU PKR Rembau. Tak sangka ramai yang hadir, semua tidak mengakui kemenangan ‘tipu daya’ BN, mereka mendesak tindakan lanjut diambil.

Semalam juga ramai yang berikrar untuk tetap meneruskan gerak kerja bukan seperti kebiasaan selepas pilihanraya terus senyap. Mereka meminta saya terus membuka Bilik Gerakan PRU untuk dijadikan pusat khidmat.

Saya hanya mampu menyatakan Insya-Allah kerana sedang usaha berkira dan mencari perbelanjaan operasi sekurang-kurangnya sehingga PRU 13.

Namun saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua. Memang rakyat belum menang kerana kemenangan kita dinafikan dengan tipu daya, tetapi saya janji akan terus berjuang. Semua dijemput datang ke Kenduri Perdana Rakyat 15 Mac 2008, jam 8 malam di depan Pusat Gerakan PRU 12 PKR Rembau (belakang Pej. Daerah Rembau).


Surat Ahli UMNO Cawangan Kepada PM

Bahawa saya, Ab Jalil bin Aboo Backer, ahli UMNO bernombor 03030707 (semakan terakhir tiga tahun lalu) memohon agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan secara terhormat sebelum Mesyuarat Agung Cawangan-cawangan UMNO yang akan akan datang.

Tidak perlu berselindung lagi bahawa kekalahan besar Barisan Nasional di lima negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan adalah rentetan ketidakpuasan hati rakyat terhadap dasar ekonomi, pentadbiran dan pelaksanaan Islam Hadhari oleh pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Kekalahan di negeri-negeri pantai barat terutama di kawasan pengundi kaum Cina membuktikan perjuangan laman ini dan ramai lagi ahli UMNO serta laman-laman web milik ahli atau penyokong UMNO dan Barisan Nasional sebelum ini.

Tindakan Abdullah menaikkan harga petrol secara keterlaluan, harga tol yang mendadak dan kenaikan kadar pinjaman asas telah menyebabkan rakyat di kawasan bandar mengalami kejutan inflasi yang bukan sedikit kesannya.

Sungguhpun dirayu dan dipohon mempertimbangkan keadaan, pentadbiran Abdullah memilih untuk terus membuat dasar-dasar ekonomi yang tidak menguntungkan golongan peniaga kecil.

Tindakan memperkenalkan Islam Hadhari dan promosi berlebihan mungkin menarik perhatian penduduk pantai timur, namun di negeri-negeri yang komposisi kaumnya pelbagai agama ia menimbulkan perasaan kurang senang dan tidak puas hati di kalangan bukan Islam.

Manakala di negeri seperti Kedah yang mempunyai banyak sekolah pondok dan kelas pengajian agama, Islam hadhari dianggap satu kecelaruan dari Islam sebenar.

Di Kedah juga ramai yang tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Abdullah dan akhbar-akhbar yang dikuasai oleh UMNO memperlekehkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Di kalangan pemimpin akar umbi UMNO sendiri melihat bagaimana banyak projek-projek hanya dijalankan di bawah setelah kedudukan Pak Lah tergugat akibat diasak oeh Tun Dr. Mahathir. Mereka melihat jika Pak Lah menang besar sekali lagi, maka kebongkakan pentadbiran Pak Lah akan berterusan seperti yang berlaku selepas 2004.

Di sebalik cuba mentadbir negara dan membawa kemajuan, Pak Lah mahu menjadi pemimpin popular yang cuba memuaskan hati semua pihak terutama yang tidak menyokong Barisan Nasional. Hasilnya di kalangan penyokong UMNO dan BN merasa kecewa dan berpendapat mereka tidak penting.

Pak Lah juga banyak mengetepikan kepimpinan UMNO yang dipilih oleh perwakilan. Sebaiknya hanya mendengar cakap penasihat-penasihatnya yang bukan pun pemimpin UMNO seperti Datuk Kalimulllah Hasan, Datuk Anuar Zaini, Datuk Kamarulzaman dan Khairy Jamaluddin. Ini menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pemimpin UMNO yang telah setia bersama UMNO ketika zaman jatuh dan bangun sejak 20 tahun lalu.

Tindakan Pak Lah memberi ruang terlalu ramai kepada sahabat-sahabat beliau, bekas pemimpin Semangat 46 seperti Radzi Sheikh Ahmad sehingga melebihi kuasa mereka yang setia bersama UMNO pada 1988 dan 1998 memberi banyak kesan sampingan. Ramai yang melihat Pak Lah yang mereka sokong dan dokong sebagai pengganti Dr. Mahathir telah mengkhianati mereka.

Krisis politik di Kubang Pasu dan kemudiannya Perlis menyaksikan pengaruh terlalu besar Radzi Sheikh Ahmad dalam parti menyebabkan ramai akar umbi UMNO tidak berpuas hati. Lihat sahaja mengapa sehingga hari ini Datuk Seri Shahidan tidak diberi watikah untuk menghadap Raja Perlis bagi membentuk kerajaan sungguhpun beliau berjaya menang besar dalam pilihan raya umum?

Dalaman UMNO juga tidak berpuas hati dengan tindakan Abdullah melucutkan jawatan Datuk Ibrahim Ali tanpa sebab disiplin yang jelas. Bagi pemimpin UMNO di bawah, jika Ibrahim Ali yang menang bertanding sebagai Ketua UMNO Pasir Mas pun boleh dibuang, apatah lagi pemimpin UMNO lain.

Dalam pentadbiran kerajaan, Pak Lah meruntuhkan kredebiliti sistem kehakiman, pasukan polis dan anggota pentadbiran kerajaan. Hasilnya banyak undi di kalangan kumpulan ini beralih kepada pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pak Lah.

Pak Lah juga diingati kerana keputusan-keputusan yang berubah-ubah sehingga menimbulkan kemarahan ramai orang. Dari isu jambatan bengkok, penjualan aset Khazanah Nasional, MV Augusta dan dasar pro Singapura sehinggalah tindakan Pak Lah menafikan akan membubarkan Parlimen pada 13 Februari lalu.

Ini menimbulkan kemarahan rakyat di Pantai Barat yang lebih banyak terdedah dengan laporan media internet. Mereka tidak melihat masa depan bersama pemimpin "flip flop" yang banyak dikatakan dikuasai oleh anak-anak muda Tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri.

Banyak lagi jika mahu ditulis kelemahan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Cukuplah sekadar sebahagian kenyataan ini untuk menyatakan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu meletak jawatan kerana dasar pentadbiran dan imej peribadi beliau sudah tidak lagi mendapat kepercayaan sebahagian besar rakyat.

Dalam pilihan raya umum kali ini, banyak wakil rakyat yang telah berkhidmat dengan cemerlang turut tumpas kerana masalah pentadbiran Abdullah. Wajarkah ramai lagi menjadi mangsa dalam pilihan raya akan datang?

Selagi Abdullah menjadi Perdana Menteri dan meneruskan dasar-dasar ekonomi semberono ini, publisiti keterlaluan terhadap Islam Hadhari dan penguasaan golongan tertentu di Jabatan Perdana Menteri, selagi itu rekod dan perkhidmatan wakil rakyat BN di kawasan bandar tidak akan memberi apa-apa erti.

Dalam pilihan raya kali ini pembangkang tidak pun bekerja keras kerana Abdullah telah memusnahkan UMNO dan BN selama empat tahun lalu.

Justeru, saya sebagai ahli UMNO dengan ini memohon agar:
1. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan secara sukarela sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
2. Sekiranya, Datuk Seri Abdullah dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berpendapat Presiden parti masih mendapat sokongan ahli, maka sewajarnya, satu Perhimpunan Agung Khas UMNO dipanggil dan satu undi sulit mengenai kedudukan Presiden UMNO diadakan.

Sekian. Wassalam.

Jumaat, 21 Mac 2008

Teks penuh sidang media Tun Mahathir

Adakah Tun terperanjat dengan keputusan (pilihanraya semalam)?
Mahathir: Saya rasa ia memang menggemparkan. Walaupun saya menjangkakan BN akan kalah tetapi saya tidak fikir mereka boleh tumbang di lima negeri. Saya minta maaf, saya salah pilih Pak Lah. Saya tidak sangka seseorang Perdana Menteri boleh menukar semua dasar sebuah kerajaan. Jadi saya fikir masyarakat seluruhnya mesti rasa sangat-sangat marah.Ketiga-tiga kaum, Cina, Melayu dan India semuanya memberi reaksi.

Apakah Tun akan menekan Pak Lah agar meletakkan jawatan?
Mahathir: Saya rasa dia patut memikul tanggungjawab (atas kekalahan) ini. Macam tahun 2004, ketika mendapat majoriti besar, kemenangan itu digambarkan kerana dirinya 100 peratus. Sekarang dia harus terima 100 peratus tanggungjawab itu.

Apa maksud Tun mengambil tanggungjawab?
Mahathir: Dia telah memusnahkan Umno, merosakkan BN. Dan dia harus bertanggungjawab atas kekalahan teruk ini.Jika dia enggan mengambil tanggungjawab, apakah anda fikir Umno akan memastikan dia melepaskan jawatan? Saya fikir orang Umno di peringkat akar umbi sangat takut pada lelaki ini. Ketika saya (memimpin) dulu, mereka boleh mencabar saya. Tapi kali ini saya sendiri tidak dibenarkan bercakap. Saya diundang berucap di depan ahli-ahli Umno tetapi semuanya terpaksa dibatalkan. Mereka kata, polis meminta mereka membatalkannya.

Apabila anda kata (dia harus) 'meletakkan jawatan', apakah anda maksudkan (presiden) Umno atau Perdana Menteri?
Mahathir: Saya fikir dia patut (letak jawatan). Kalau orang Jepun, dia sudah lakukan 'hara-kiri'. Saya fikir pencapaian Najib (Razak) bagus. Dia telah menang dengan menakjubkan, lebih baik berbanding 2004.

Apakah yang anda fikir penyebab kekalahan ini?
Mahathir: Saya fikir menantunya (Khairy Jamaluddin) ada peranan besar. Anak muda ini yang tidak pernah mencapai apa-apa sebelumnya tetapi jelas Perdana Menteri lebih bersedia mendengar daripadanya berbanding polis, anggota Cawangan Khas dan angkatan tentera, yang lebih dekat dengan masyarakat akar umbi. Mereka terlalu percaya pada laporan akhbar mereka sendiri sehingga mereka tidak dapat mendengar (sumber-sumber) yang lain. Mereka membuang apa sahaja yang mereka tidak gemar.

Apakah anda fikir masa untuk mengadakan pilihanraya ini tidak sesuai, salah perhitungan?Mahathir: Ia bolehlah disebut salah perhitungan tetapi saya ragu-ragu jika mereka menangguhkan tahun depan, keputusannya akan berlainan.

Apakah isu-isu yang mendorong tumbangnya negeri-negeri itu?
Mahathir: Banyak isu yang menyebabkan perasaan orang ramai, walaupun ada pertumbuhan ekonomi, mereka tidak rasa apa-apa (nikmat). Mereka rasa kenaikan kos sara hidup satu faktor besar. Mereka juga nampak bahawa kerajaan kini ditadbir oleh satu keluarga sahaja. Apabila keutamaan keluarga melebihi kabinet, kerajaan, maka orang akan menentangnya.

Apakah anda fikir kerosakan ini akan kekal bersama BN?
Mahathir: Semuanya boleh diubah jika anda buat sesuatu dengan baik. Mereka menjadi begitu bongkak sehingga mereka menutup semua pandangan lain yang mereka tidak suka dan percaya pada laporan mereka sendiri yang tidak sejajar dengan apa yang sebenarnya terjadi dalam negara.

Dengan kejayaan pembangkang menembusi banyak lagi negeri-negeri, apakah yang akan terjadi?
Mahathir: Akan wujud ketidakstabilan untuk seketika. Jika pembangkang pandai, mereka boleh memperbaiki keadaan itu.

Apakah anda fikir Anwar Ibrahim masih lagi relevan?
Mahathir: Saya fikir dia masih lagi relevan tetapi dia tidak akan menjadi perdana menteri di negara ini.

Jika anda berada di tempat Pak Lah, apakah anda akan tergesa-gesa untuk menubuhkan kerajaan?
Mahathir: Saya akan mengambil tanggungjawab. Jika orang minta saya meletakkan jawatan, saya akan letak.

Selepas ketewasan teruk ini, apakah anda fikir BN masih mampu memperbaiki keadaan ini?Mahathir: Masih ada harapan. Tetapi sama ada pemimpin-pemimpin bertekad untuk memperbaiki BN adalah persoalan lain.

Siapakah yang patut menggantikan Pak Lah?
Mahathir: Najib menang dengan 26,000 undi dan jumlah ini lebih banyak daripada 2004 ketika BN sangat-sangat popular. Sebaliknya, Pak Lah - yang mempunyai majoriti 18,000 undi sebelumnya - kini hanya berjaya mendapat 11,000. Kenyataannya, dia telah hilang banyak undi. Dan tidak banyak pemimpin yang berjaya meningkatkan majoriti sejak 2004. Benar, menantunya menang (di Rembau) tetapi dia hanya menang dengan majoriti kecil, lebih rendah daripada sebelumnya. Dia juga bertanding di kerusi yang selamat.

Bagaimana memperbaiki Umno?
Mahathir: Orang yang bertanggungjawab harus undur. Jika orang Melayu tidak mengundi pembangkang, kekalahan teruk ini tidak akan terjadi.

Kenapa boleh wujud gejala penyokong Umno memilih pembangkang kali ini?
Mahathir: Mereka fikir mereka kini dalam tekanan. Inflasi meningkat. Kehidupan mereka ala kadar.

Semua tahu bahawa anda boleh cakap (bahawa) pertumbuhan (ekonomi) kini 6 peratus tetapi di mana 6 peratus ini di badan mereka?
Mahathir: Mereka terpaksa membayar lagi. Saya telah cakapkan perkara ini kepada Malaysiakini. Apabila anda berkata 6 peratus, ia hanya ukuran purata. Ia boleh dicapai apabila seseorang memiliki peratusan yang tinggi tetapi orang lain tidak mendapat apa-apa. Anda tidak boleh menunjukkan perangkaan jenis ini dan kemudian berharap orang ramai akan mengundi anda. Seseorang yang cerdik akan tahu bahawa ia (statistik) tidak betul. Mereka yang tidak faham semua perangkaan ini, akan berpandukan apa yang sebenarnya dialami mereka. Apa yang mereka hadapi ialah kos sara hidup yang semakin tinggi dan tingkat kehidupan mereka makin rendah.

Jika kita tengok (sejarah) pilihanraya umum 1969, selepas Perikatan (kini BN) tewas, anda termasuk dalam golongan yang mendesak Perdana Menteri (Tunku Abdul Rahman) melepaskan jawatannya kepada timbalannya (Tun Abdul Razak Hussein) ...
Mahathir: Saya dalam keadaan dilema kerana saya masih lagi ahli Umno.

Apakah anda akan menjadi pendesak lagi?
Mahathir: Saya akan terus bercakap. Jika orang tanya, saya akan berikan pendapat saya. Dan pandangan saya dalam perkara ini ialah orang yang bertanggungjawab harus berundur.

Melihat barisan pemimpin BN sekarang, apakah anda fikir kerajaan BN boleh mengurus ekonomi?
Mahathir: Tidak, saya tidak fikir mereka boleh mengurusnya. Walaupun mereka mempunyai ramai orang dan banyak wang, mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Kenapa?
Mahathir: Anda kena tanya pemimpin-pemimpin di negeri.

Pulau Pinang telah jatuh ke tangan DAP, bagaimanakah keadaan ini memberi kesan kepada Melayu?
Mahathir: Ia bukan hanya di Pulau Pinang. Jika kita hendak membaikinya, kita mesti mempunyai pemimpin-pemimpin Melayu, kita memang ada kerajaan Melayu dan warga Melayu mestilah tahu bagaimana mengatasi masalah mereka.

Apakah yang pemimpin veteran seperti Tengku Razaleigh (Hamzah) boleh buat untuk membantu Umno, setakat kini?
Mahathir: Mereka boleh memberi idea.

Apakah ia untuk melawan dan memaksa Pak Lah meletakkan jawatan?
Mahathir: Saya tidak bercakap soal pemberontakan tetapi (kita) mesti beri tekanan. Dan jika tekanan itu diabaikan oleh Pak Lah, maka ia akan menjadikan perkara ini suatu ketegangan.

Apakah anda fikir kemenangan besar itu akibat dorongan Anwar?
Mahathir: Saya tidak fikir kerana dia. Saya fikir keinginan (mereka) menentang BN lebih kuat daripada (mereka) menyokong pembangkang. Mereka (pengundi) tiada pilihan. Jika anda tidak memilih BN, siapa lagi yang anda pilih? Hanya ada dua calon. Jadi anda memangkah calon pembangkang atau anda langsung tidak membuang undi. Kedua-duanya menyebabkan BN hilang banyak sokongan.

Orang kata Umno masih takutkan Pak Lah. Jadi bagaimana mereka boleh menekan Pak Lah agar berundur?
Mahathir: Saya yakin akan ada beberapa anggota yang berani di luar sana.

Apakah ada pilihan lain bagi Pak Lah selain melepaskan jawatan?
Mahathir: Saya tidak fikir ada pilihan lain. Seseorang yang bertanggungjawab 100 peratus harus menunjukkan bahawa dia sedia bertanggungjawab. Ada orang kata jika majoriti dua pertiga BN dinafikan, peristiwa 13 Mei akan berulang.

Kenapa ia tidak terjadi sekarang?
Mahathir: Tidak, saya tidak fikir ia akan berulang. Polis juga sangat berhati-hati, melarang orang berdemonstrasi dan jangan berarak. Pada 1969, polis memberi keizinan kepada pembangkang menganjurkan perarakan kemenangan. Dan mereka bergerak ke Kampung Baru dan mula menghina orang-orang di situ, yang tentunya akan dibalas. Ia berakhir dengan rusuhan. Jika polis terus bertegas dengan demonstrasi dan perarakan, saya tidak fikir akan wujud apa-apa masalah.

Apakah ini waktunya menghapuskan politik perkauman?
Mahathir: Saya katakan, ini (penolakan pada BN) melibatkan semua kaum. Bukan Cina sahaja tolak BN atau semua India tolak BN. Dalam kes ini, anda lihat Cina, India dan Melayu menolak BN kecuali di Sabah dan Sarawak. Umno masih mengekalkan banyak kerusi berbanding parti-parti komponen seperti MIC dan MCA.

Apakah mereka sanggup mendesak Pak Lah meletakkan jawatan?
Mahathir: Itu terpulang pada mereka sama ada mahu menekan atau tidak tetapi konsep BN masih relevan. Jika tidak ada (Presiden MIC) Samy Vellu, maka cari seorang lagi Vellu.

Boleh ulas tentang Zam (Zainuddin Maidin)?
Mahathir: Dia menang atau kalah?

Ada orang jawab 'kalah'.
Mahathir: Oh, dia kalah. Cara dia berkempen sangat kelakar, memberitahu orang supaya tengok muka dia dan menunjukkan pada mereka bagaimana ia (muka Zam) tidak pernah berubah-ubah. Tetapi saya fikir, muka yang tidak berubah-ubah akan menyebabkan orang jemu. Kadang-kadang anda mesti ketawa, kadang-kadang anda kena menangis. Dia beritahu semua orang "Ini muka tak bertukar, tak bertukar" [Zainuddin berkempen dengan menyindir politik Anwar yang sering berubah-ubah]. Siapa yang berminat tengok muka dia? Jika dia Britney Spears, lainlah ...

Jika anda mengalami ketewasan yang sama, apakah anda juga letak jawatan?
Mahathir: Ya, saya akan undur jika itulah kehendak orang ramai. Saya selalu tunduk pada hasrat orang ramai, sehinggakan ramai yang pernah menentang saya dimasukkan semula sebagai anggota kabinet, dan mereka itu termasuklah Pak Lah, Syed Hamid (Syed Albar), Rais Yatim dan (Abdul) Kadir Sheikh Fadzil. Ini semua (pemimpin) pernah menentang saya.Tetapi apabila Pak Lah dipilih sebagai naib presiden, saya tidak boleh (melantiknya) seperti yang dikehendaki Umno. Jadi, saya lantiknya kembali dalam kabinet.

Tetapi anda tidak meletakkan jawatan pada 1999?
Mahathir: Saya tidak letak jawatan sebab kita menang dua pertiga. Kita menang dengan sokongan penuh Cina. Ya, kita tewas di Terengganu dan Kelantan tetapi kita selalu kalah di Kelantan, dan (kita tewas) Terengganu kerana sebab-sebab khusus.

Apakah BN tewas kerana ramai pemimpin seperti Samy Vellu yang bergayut pada kuasa terlalu lama?
Mahathir: Saya fikir Samy Vellu turut menjadi penyebab utama ketewasan itu. Ketika dia dalam BN, dia tidak benarkan orang MIC sampai ke peringkat setinggi dia. Jika mereka menang sebagai timbalan atau naib presiden, mereka akan disingkirkan dan malah dibuang dari parti. Dan dia tidak benarkan parti-parti lain kaum India menyertai BN. (MG) Pandithan cuba sertai, merayu pada saya untuk membenarkannya dan saya bersetuju tetapi kita dalam BN ada kata sepakat bahawa jika ada satu parti tidak bersetuju, kita tidak boleh menerimanya.

Apakah anda terkejut dengan kemenangan (tahanan ISA) M Manoharan?
Mahathir: Ia pernah berlaku pada 1959 atau apakah itu tahun 1964, apabila PAS masuk ke kampung-kampung dengan membawa kasut calon dan dia boleh menang.

Apakah pandangan anda tentang peranan media, khususnya media arus perdana, dalam kempen (BN) ini? Apakah anda fikir ia patut diubah?
Mahathir: Memang patut diubah. Mereka patut melaporkan apa yang sebenarnya berlaku dan melakukan analisis yang betul. Dulu, media berupaya memberikan maklum balas kepada saya tentang apa yang berlaku di bawah. Mungkin apabila mereka bercakap tentang isu kaum dan seumpamanya, saya akan menutup (media), seperti saya buat pada 1987.

Patutkah semua ketua atasan akhbar-akhbar ini meletakkan jawatan?
Mahathir: Mereka sendiri ada batasannya. Sebahagiannya kawan saya dan penyokong saya juga dan mereka memohon maaf kerana tidak mampu membantu. "Ini semua angkara Kali. Kali ini," cerita mereka pada saya.

Apakah Umno makin tidak relevan?
Mahathir: Untuk masa ini, ya. Ia tidak selalunya begitu. Jika Umno memberikan khidmatnya pada negara, dan menjaga semua kaum, maka Umno akan menjadi relevan semula.

Apakah ulasan Tun tentang calon-calon muda BN yang tewas?
Mahathir: Memang ada khabar-khabar angin bahawa sebahagian calon-calon ini (orang) Khairy dan bahawa dia mahu menjadi perdana menteri.

Apakah anda fikir pemimpin-pemimpin komponen BN yang lain patut meletakkan jawatan?Mahathir: Saya rasa sudah ada seorang pemimpin yang tewas. Untuk kes (presiden MCA) Ong Ka Ting, terpulang kepadanya. Keputusan itu terlalu teruk padanya dan MCA dan ia tidak pernah seburuk ini. Semua orang kata PAS dan DAP tidak boleh bekerjasama tetapi jika mereka gagal bekerjasama di Selangor dan Perak, mereka tidak boleh membentuk kerajaan negeri.

Apakah komen anda?
Mahathir: Jika mereka kerja bersama, mereka boleh membentuk kerajaan negeri. Jika tidak, maka wakil-wakil Umno - jika mereka cukup - boleh membentuk kerajaan minoriti. Tetapi ia akan menjadi kerajaan yang goyang.

Apakah anda sedih melihat keputusan itu?
Mahathir: Ya, walaupun saya sangat berharap satu mesej telah disampaikan kepada kerajaan.

Apakah anda berminat aktif kembali dalam politik?
Mahathir: Saya tidak akan kembali bergiat dalam politik tetapi jika mereka meminta nasihat, saya boleh beri. Bagaimana saya hendak kembali kerana apabila saya melepaskan jawatan, mereka layan saya seperti seorang pariah.

Hati-hati, virus anti-UMNO mula meresap ke urat saraf

"UMNO mesti diselamatkan." Demikian tajuk muka depan Sinar Harian Edisi Kelantan kelmarin. Kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah itu cukup ringkas, padat dan mempunyai seribu satu makna tersirat.
Bahkan, dalam siri tulisan saya sebelum ini pun, saya banyak menekankan kepada apa yang disuarakan oleh Ku Li serta pemimpin lain yang sealiran pendapat berhubung masa depan UMNO.
Setelah UMNO di bawah Barisan Nasional (BN) kehilangan lima negeri termasuk Kelantan, kenapa baru hari ini pemimpin UMNO memandang serius berhubung kejadian yang menimpa parti berusia 62 tahun itu.
Saya, bahkan ramai pemimpin UMNO serta rakan-rakan dalam BN bersetuju dengan pandangan Ku Li yang mahu pucuk pimpinan parti mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi mencari kaedah terbaik untuk menyelamatkan parti itu daripada berkubur.
Tidak salah pucuk kepemimpinan menerima pandangan orang yang berpengalaman dalam dunia politik itu. Lagipun perhimpunan itu bukan untuk menunding jari atau mencari kesalahan orang lain, sebaliknya untuk mencari wadah bagaimana hendak menyelamatkan UMNO daripada lenyap di muka bumi ini.
Harus disedari, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke12 baru-baru ini menunjukkan rakyat menolak BN. Ia juga bermakna rakyat menolak UMNO. Ini kes serius yang perlu ditangani dan diselesaikan segera supaya tidak memburuk seperti api dalam sekam.
Adalah suatu yang menyedihkan jika pandangan Ku Li itu dipandang remeh oleh kebanyakan pihak. Saya percaya Ku Li tidak berpolitik dalam hal ini.
Beliau mengemukakan cadangan itu bukan bermakna hendak menunjuk jaguh, kononnya dia seorang yang prihatin, sedangkan orang lain, tidak.
Saya percaya Ku Li ikhlas hendak menyelamatkan UMNO. Beliau tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi. Jadi kenapa cadangan itu ditolak.
Adakan saja . Cari kata sepakat dan kemukakan resolusi yang membina untuk menguat dan memantapkan parti.
Hanya golongan yang mempunyai semangat patriotik mahu menyelamatkan UMNO dan mahu memulihkan kembali keyakinan rakyat. Amatlah malang jika ada yang mengatakan UMNO masih kuat walaupun lima negeri sudah tumbang kepada pembangkang. Sedarlah virus anti-UMNO mula bergerak dari negeri ke negeri berikutnya.
Walaupun pergerakannya dilihat perlahan, tetapi ia mampu merosakkan struktur parti jika tidak dicegah atau dihapuskan dari sekarang. Untuk menghapuskannya, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu betul-betul memilih golongan yang pakar.

Selasa, 18 Mac 2008

Senarai Menteri dan Timbalan Menteri 2008/2012

PERDANA MENTERI:
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

TIMBALAN PERDANA MENTERI:
Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI:
1. Tan Sri Bernard Giluk Dompok
2. Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz
3. Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi
4. Datuk Zaid Ibrahim
5. Datuk Amirsham A. Aziz

TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI:
1. Datuk Mohd. Johari Baharom
2. Datuk Dr. Masitah Ibrahim
3. Datuk Hassan Malik
4. S.K. Devamany

KEMENTERIAN KEWANGAN:
1. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
2. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
TIMBALAN MENTERI KEWANGAN:
1. Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanazlah
2. Datuk Kong Cho Ha

MENTERI PERTAHANAN:
Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak
TIM MENTERI PERTAHANAN:
Datuk Wira Abu Seman Yusop

MENTERI DALAM NEGERI:
Datuk Seri Syed Hamid Albar
TIM MENTERI:
1. Datuk Chor Chee Heung
2. Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh

MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:
Datuk Ong Ka Chuan
TIM MENTERI:
1. Datuk Robert Lau Hoi Chew
2. Datuk Hamzah Zainuddin

MENTERI KERJA RAYA:
Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamad
TIM MENTERI:
Datuk Yong Khoon Seng

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI
Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin
TIM MENTERI:
1. Datuk Liew Vui Keong
2. Jacob Dungau Sagan

MENTERI LUAR NEGERI:
Datuk Seri Dr. Rais Yatim
TIM MENTERI:
Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar

MENTERI PENERANGAN:
Datuk Ahmad Shabery Cheek
TIM MENTERI:
Datuk Tan Lian Hoe

MENTERI SUMBER MANUSIA:
Datuk Dr. S. Subramaniam
TIM MENTERI: Datuk Noraini Ahmad

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN:
Datuk Ismail Sabri Yaakob
TIM MENTERI: Wee Jeck Seng

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA
Datuk Shahrir Abdul Samad
TIM MENTERI:
Jelaing anak Mersat

MENTERI TENAGA AIR DAN KOMUNIKASI:
Datuk Shaziman Abu Mansor
TIM MENTERI: Datuk Joseph Salang Anak Gandum

MENTERI PELAJARAN:
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
TIM MENTERI:
1. Dr. Wee Ka Siong
2. Datuk Razali Ismail

MENTERI PENGAJIAN TINGGI:
Datuk Seri Khaled Nordin
TIM MENTERI:
1. Datuk Dr. Hou Kok Chung
2. Datuk Idris Haron

MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI:
Datuk Noh Omar
TIM MENTERI: Datuk Saifuddin Abdullah

MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:
Datuk Douglas Unggah Embas
TIM MENTERI:
Datuk Abdul Ghapur Salleh

MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:
Datuk Mustapa Mohamed
TIM MENTERI:
Datuk Rohani Abdul Karim

MENTERI PENGANGKUTAN:
Datuk Ong Tee Keat
TIM MENTERI:
Datuk Anifah Aman

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI:
Datuk Dr. Maximus @ Johnity Ongkili
TIM MENTERI:
Fadilah Yusof

MENTERI PELANCONGAN:
Datuk Seri Azalina Othman Said
TIM MENTERI:
Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

MENTERI PERPADUAN, KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN WARISAN:
Datuk Mohd. Shafie Apdal
TIM MENTERI:
Teng Boon Soon

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:
Datuk Dr. Ng Yen Yen
TIM MENTERI:
Noriah Kasnon

MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:
Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib
TIM MENTERI:
Tan Sri Joseph Kurup Joseph Entulu Belaun

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI:
Datuk Peter Chin Fah Kui
TIM MENTERI:
Senator A. Kohilan Pillay

MENTERI KESIHATAN:
Datuk Liow Tiong Lai
TIM MENTERI:
Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad

MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN:
Datuk Seri Zulhasnan Rafique
TIM MENTERI: Datuk M. Saravanan

Ahad, 16 Mac 2008

Teks penuh sidang media Tun Mahathir


Adakah Tun terperanjat dengan keputusan (pilihanraya semalam)?
Mahathir: Saya rasa ia memang menggemparkan. Walaupun saya menjangkakan BN akan kalah tetapi saya tidak fikir mereka boleh tumbang di lima negeri. Saya minta maaf, saya salah pilih Pak Lah. Saya tidak sangka seseorang Perdana Menteri boleh menukar semua dasar sebuah kerajaan. Jadi saya fikir masyarakat seluruhnya mesti rasa sangat-sangat marah.

Ketiga-tiga kaum, Cina, Melayu dan India semuanya memberi reaksi. Apakah Tun akan menekan Pak Lah agar meletakkan jawatan?
Mahathir: Saya rasa dia patut memikul tanggungjawab (atas kekalahan) ini. Macam tahun 2004, ketika mendapat majoriti besar, kemenangan itu digambarkan kerana dirinya 100 peratus. Sekarang dia harus terima 100 peratus tanggungjawab itu.

Apa maksud Tun mengambil tanggungjawab?
Mahathir: Dia telah memusnahkan Umno, merosakkan BN. Dan dia harus bertanggungjawab atas kekalahan teruk ini.Jika dia enggan mengambil tanggungjawab, apakah anda fikir Umno akan memastikan dia melepaskan jawatan? Saya fikir orang Umno di peringkat akar umbi sangat takut pada lelaki ini. Ketika saya (memimpin) dulu, mereka boleh mencabar saya. Tapi kali ini saya sendiri tidak dibenarkan bercakap. Saya diundang berucap di depan ahli-ahli Umno tetapi semuanya terpaksa dibatalkan. Mereka kata, polis meminta mereka membatalkannya. Apabila anda kata (dia harus) 'meletakkan jawatan', apakah anda maksudkan (presiden) Umno atau Perdana Menteri?Saya fikir dia patut (letak jawatan). Kalau orang Jepun, dia sudah lakukan 'hara-kiri'. Saya fikir pencapaian Najib (Razak) bagus. Dia telah menang dengan menakjubkan, lebih baik berbanding 2004.

Apakah yang anda fikir penyebab kekalahan ini?
Mahathir: Saya fikir menantunya (Khairy Jamaluddin) ada peranan besar. Anak muda ini yang tidak pernah mencapai apa-apa sebelumnya tetapi jelas Perdana Menteri lebih bersedia mendengar daripadanya berbanding polis, anggota Cawangan Khas dan angkatan tentera, yang lebih dekat dengan masyarakat akar umbi. Mereka terlalu percaya pada laporan akhbar mereka sendiri sehingga mereka tidak dapat mendengar (sumber-sumber) yang lain. Mereka membuang apa sahaja yang mereka tidak gemar.

Apakah anda fikir masa untuk mengadakan pilihanraya ini tidak sesuai, salah perhitungan?
Mahathir: Ia bolehlah disebut salah perhitungan tetapi saya ragu-ragu jika mereka menangguhkan tahun depan, keputusannya akan berlainan.

Apakah isu-isu yang mendorong tumbangnya negeri-negeri itu?
Mahathir: Banyak isu yang menyebabkan perasaan orang ramai, walaupun ada pertumbuhan ekonomi, mereka tidak rasa apa-apa (nikmat). Mereka rasa kenaikan kos sara hidup satu faktor besar. Mereka juga nampak bahawa kerajaan kini ditadbir oleh satu keluarga sahaja. Apabila keutamaan keluarga melebihi kabinet, kerajaan, maka orang akan menentangnya.

Apakah anda fikir kerosakan ini akan kekal bersama BN?
Mahathir: Semuanya boleh diubah jika anda buat sesuatu dengan baik. Mereka menjadi begitu bongkak sehingga mereka menutup semua pandangan lain yang mereka tidak suka dan percaya pada laporan mereka sendiri yang tidak sejajar dengan apa yang sebenarnya terjadi dalam negara.

Dengan kejayaan pembangkang menembusi banyak lagi negeri-negeri, apakah yang akan terjadi?
Mahathir: Akan wujud ketidakstabilan untuk seketika. Jika pembangkang pandai, mereka boleh memperbaiki keadaan itu.

Apakah anda fikir Anwar Ibrahim masih lagi relevan?
Mahathir: Saya fikir dia masih lagi relevan tetapi dia tidak akan menjadi perdana menteri di negara ini.

Jika anda berada di tempat Pak Lah, apakah anda akan tergesa-gesa untuk menubuhkan kerajaan?
Mahathir: Saya akan mengambil tanggungjawab. Jika orang minta saya meletakkan jawatan, saya akan letak.

Selepas ketewasan teruk ini, apakah anda fikir BN masih mampu memperbaiki keadaan ini?
Mahathir: Masih ada harapan. Tetapi sama ada pemimpin-pemimpin bertekad untuk memperbaiki BN adalah persoalan lain.

Siapakah yang patut menggantikan Pak Lah?
Mahathir: Najib menang dengan 26,000 undi dan jumlah ini lebih banyak daripada 2004 ketika BN sangat-sangat popular. Sebaliknya, Pak Lah - yang mempunyai majoriti 18,000 undi sebelumnya - kini hanya berjaya mendapat 11,000. Kenyataannya, dia telah hilang banyak undi. Dan tidak banyak pemimpin yang berjaya meningkatkan majoriti sejak 2004. Benar, menantunya menang (di Rembau) tetapi dia hanya menang dengan majoriti kecil, lebih rendah daripada sebelumnya. Dia juga bertanding di kerusi yang selamat.

Bagaimana memperbaiki Umno?
Mahathir: Orang yang bertanggungjawab harus undur. Jika orang Melayu tidak mengundi pembangkang, kekalahan teruk ini tidak akan terjadi.

Kenapa boleh wujud gejala penyokong Umno memilih pembangkang kali ini?
Mahathir: Mereka fikir mereka kini dalam tekanan. Inflasi meningkat. Kehidupan mereka ala kadar.

Semua tahu bahawa anda boleh cakap (bahawa) pertumbuhan (ekonomi) kini 6 peratus tetapi di mana 6 peratus ini di badan mereka?
Mahathir: Mereka terpaksa membayar lagi. Saya telah cakapkan perkara ini kepada Malaysiakini. Apabila anda berkata 6 peratus, ia hanya ukuran purata. Ia boleh dicapai apabila seseorang memiliki peratusan yang tinggi tetapi orang lain tidak mendapat apa-apa. Anda tidak boleh menunjukkan perangkaan jenis ini dan kemudian berharap orang ramai akan mengundi anda. Seseorang yang cerdik akan tahu bahawa ia (statistik) tidak betul. Mereka yang tidak faham semua perangkaan ini, akan berpandukan apa yang sebenarnya dialami mereka. Apa yang mereka hadapi ialah kos sara hidup yang semakin tinggi dan tingkat kehidupan mereka makin rendah.

Jika kita tengok (sejarah) pilihanraya umum 1969, selepas Perikatan (kini BN) tewas, anda termasuk dalam golongan yang mendesak Perdana Menteri (Tunku Abdul Rahman) melepaskan jawatannya kepada timbalannya (Tun Abdul Razak Hussein) ...
Mahathir: Saya dalam keadaan dilema kerana saya masih lagi ahli Umno.

Apakah anda akan menjadi pendesak lagi?
Mahathir: Saya akan terus bercakap. Jika orang tanya, saya akan berikan pendapat saya. Dan pandangan saya dalam perkara ini ialah orang yang bertanggungjawab harus berundur.

Melihat barisan pemimpin BN sekarang, apakah anda fikir kerajaan BN boleh mengurus ekonomi?
Mahathir: Tidak, saya tidak fikir mereka boleh mengurusnya. Walaupun mereka mempunyai ramai orang dan banyak wang, mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Kenapa?
Mahathir: Anda kena tanya pemimpin-pemimpin di negeri.

Pulau Pinang telah jatuh ke tangan DAP, bagaimanakah keadaan ini memberi kesan kepada Melayu?
Mahathir: Ia bukan hanya di Pulau Pinang. Jika kita hendak membaikinya, kita mesti mempunyai pemimpin-pemimpin Melayu, kita memang ada kerajaan Melayu dan warga Melayu mestilah tahu bagaimana mengatasi masalah mereka.

Apakah yang pemimpin veteran seperti Tengku Razaleigh (Hamzah) boleh buat untuk membantu Umno, setakat kini?
Mahathir: Mereka boleh memberi idea.

Apakah ia untuk melawan dan memaksa Pak Lah meletakkan jawatan?
Mahathir: Saya tidak bercakap soal pemberontakan tetapi (kita) mesti beri tekanan. Dan jika tekanan itu diabaikan oleh Pak Lah, maka ia akan menjadikan perkara ini suatu ketegangan.

Apakah anda fikir kemenangan besar itu akibat dorongan Anwar?
Mahathir: Saya tidak fikir kerana dia. Saya fikir keinginan (mereka) menentang BN lebih kuat daripada (mereka) menyokong pembangkang. Mereka (pengundi) tiada pilihan. Jika anda tidak memilih BN, siapa lagi yang anda pilih? Hanya ada dua calon. Jadi anda memangkah calon pembangkang atau anda langsung tidak membuang undi. Kedua-duanya menyebabkan BN hilang banyak sokongan.

Orang kata Umno masih takutkan Pak Lah. Jadi bagaimana mereka boleh menekan Pak Lah agar berundur?
Mahathir: Saya yakin akan ada beberapa anggota yang berani di luar sana.

Apakah ada pilihan lain bagi Pak Lah selain melepaskan jawatan?
Mahathir: Saya tidak fikir ada pilihan lain. Seseorang yang bertanggungjawab 100 peratus harus menunjukkan bahawa dia sedia bertanggungjawab. Ada orang kata jika majoriti dua pertiga BN dinafikan, peristiwa 13 Mei akan berulang.

Kenapa ia tidak terjadi sekarang?
Mahathir: Tidak, saya tidak fikir ia akan berulang. Polis juga sangat berhati-hati, melarang orang berdemonstrasi dan jangan berarak. Pada 1969, polis memberi keizinan kepada pembangkang menganjurkan perarakan kemenangan. Dan mereka bergerak ke Kampung Baru dan mula menghina orang-orang di situ, yang tentunya akan dibalas. Ia berakhir dengan rusuhan. Jika polis terus bertegas dengan demonstrasi dan perarakan, saya tidak fikir akan wujud apa-apa masalah.

Apakah ini waktunya menghapuskan politik perkauman?
Mahathir: Saya katakan, ini (penolakan pada BN) melibatkan semua kaum. Bukan Cina sahaja tolak BN atau semua India tolak BN. Dalam kes ini, anda lihat Cina, India dan Melayu menolak BN kecuali di Sabah dan Sarawak. Umno masih mengekalkan banyak kerusi berbanding parti-parti komponen seperti MIC dan MCA.

Apakah mereka sanggup mendesak Pak Lah meletakkan jawatan?
Mahathir: Itu terpulang pada mereka sama ada mahu menekan atau tidak tetapi konsep BN masih relevan. Jika tidak ada (Presiden MIC) Samy Vellu, maka cari seorang lagi Vellu.

Boleh ulas tentang Zam (Zainuddin Maidin)?
Mahathir: Dia menang atau kalah?

Ada orang jawab 'kalah'.
Mahathir: Oh, dia kalah. Cara dia berkempen sangat kelakar, memberitahu orang supaya tengok muka dia dan menunjukkan pada mereka bagaimana ia (muka Zam) tidak pernah berubah-ubah. Tetapi saya fikir, muka yang tidak berubah-ubah akan menyebabkan orang jemu. Kadang-kadang anda mesti ketawa, kadang-kadang anda kena menangis. Dia beritahu semua orang "Ini muka tak bertukar, tak bertukar" [Zainuddin berkempen dengan menyindir politik Anwar yang sering berubah-ubah]. Siapa yang berminat tengok muka dia? Jika dia Britney Spears, lainlah ...

Jika anda mengalami ketewasan yang sama, apakah anda juga letak jawatan?
Mahathir: Ya, saya akan undur jika itulah kehendak orang ramai. Saya selalu tunduk pada hasrat orang ramai, sehinggakan ramai yang pernah menentang saya dimasukkan semula sebagai anggota kabinet, dan mereka itu termasuklah Pak Lah, Syed Hamid (Syed Albar), Rais Yatim dan (Abdul) Kadir Sheikh Fadzil. Ini semua (pemimpin) pernah menentang saya.Tetapi apabila Pak Lah dipilih sebagai naib presiden, saya tidak boleh (melantiknya) seperti yang dikehendaki Umno. Jadi, saya lantiknya kembali dalam kabinet.

Tetapi anda tidak meletakkan jawatan pada 1999?
Mahathir: Saya tidak letak jawatan sebab kita menang dua pertiga. Kita menang dengan sokongan penuh Cina. Ya, kita tewas di Terengganu dan Kelantan tetapi kita selalu kalah di Kelantan, dan (kita tewas) Terengganu kerana sebab-sebab khusus.

Apakah BN tewas kerana ramai pemimpin seperti Samy Vellu yang bergayut pada kuasa terlalu lama?
Mahathir: Saya fikir Samy Vellu turut menjadi penyebab utama ketewasan itu. Ketika dia dalam BN, dia tidak benarkan orang MIC sampai ke peringkat setinggi dia. Jika mereka menang sebagai timbalan atau naib presiden, mereka akan disingkirkan dan malah dibuang dari parti. Dan dia tidak benarkan parti-parti lain kaum India menyertai BN. (MG) Pandithan cuba sertai, merayu pada saya untuk membenarkannya dan saya bersetuju tetapi kita dalam BN ada kata sepakat bahawa jika ada satu parti tidak bersetuju, kita tidak boleh menerimanya.

Apakah anda terkejut dengan kemenangan (tahanan ISA) M Manoharan?
Mahathir: Ia pernah berlaku pada 1959 atau apakah itu tahun 1964, apabila PAS masuk ke kampung-kampung dengan membawa kasut calon dan dia boleh menang.

Apakah pandangan anda tentang peranan media, khususnya media arus perdana, dalam kempen (BN) ini? Apakah anda fikir ia patut diubah?
Mahathir: Memang patut diubah. Mereka patut melaporkan apa yang sebenarnya berlaku dan melakukan analisis yang betul. Dulu, media berupaya memberikan maklum balas kepada saya tentang apa yang berlaku di bawah. Mungkin apabila mereka bercakap tentang isu kaum dan seumpamanya, saya akan menutup (media), seperti saya buat pada 1987.

Patutkah semua ketua atasan akhbar-akhbar ini meletakkan jawatan?
Mahathir: Mereka sendiri ada batasannya. Sebahagiannya kawan saya dan penyokong saya juga dan mereka memohon maaf kerana tidak mampu membantu. "Ini semua angkara Kali. Kali ini," cerita mereka pada saya.

Apakah Umno makin tidak relevan?
Mahathir: Untuk masa ini, ya. Ia tidak selalunya begitu. Jika Umno memberikan khidmatnya pada negara, dan menjaga semua kaum, maka Umno akan menjadi relevan semula.

Apakah ulasan Tun tentang calon-calon muda BN yang tewas?
Mahathir: Memang ada khabar-khabar angin bahawa sebahagian calon-calon ini (orang) Khairy dan bahawa dia mahu menjadi perdana menteri.

Apakah anda fikir pemimpin-pemimpin komponen BN yang lain patut meletakkan jawatan?
Mahathir: Saya rasa sudah ada seorang pemimpin yang tewas. Untuk kes (presiden MCA) Ong Ka Ting, terpulang kepadanya. Keputusan itu terlalu teruk padanya dan MCA dan ia tidak pernah seburuk ini. Semua orang kata PAS dan DAP tidak boleh bekerjasama tetapi jika mereka gagal bekerjasama di Selangor dan Perak, mereka tidak boleh membentuk kerajaan negeri.

Apakah komen anda?
Mahathir: Jika mereka kerja bersama, mereka boleh membentuk kerajaan negeri. Jika tidak, maka wakil-wakil Umno - jika mereka cukup - boleh membentuk kerajaan minoriti. Tetapi ia akan menjadi kerajaan yang goyang.

Apakah anda sedih melihat keputusan itu?
Mahathir: Ya, walaupun saya sangat berharap satu mesej telah disampaikan kepada kerajaan.

Apakah anda berminat aktif kembali dalam politik?
Mahathir: Saya tidak akan kembali bergiat dalam politik tetapi jika mereka meminta nasihat, saya boleh beri. Bagaimana saya hendak kembali kerana apabila saya melepaskan jawatan, mereka layan saya seperti seorang pariah.

Jangan salahkan pengundi luar, tengok diri sendiri

PILIHAN Raya Umum Ke-12 sudah seminggu berlalu. Yang menang jangan lupa tunai janji. Jangan berdolak-dalik itu dan ini lagi. Pintu pagar dan pintu rumah yang 'terbuka' sebelum ini pun kena sentiasa terbuka selepas ini. Jangan asyik menyorok diri. Anda bukan lagi calon. Anda sudah bergelar Yang Berhormat (YB) dan menjadi perhatian rakyat sekarang.
Yang kalah pula jangan putus asa. Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang empat atau lima tahun lagi. Sebelum tempoh itu, bolehlah buat persiapan awal dari sekarang. Pastikan jentera parti sentiasa dalam keadaan bersiap sedia. Kubu perlu dikuatkan, kepercayaan rakyat terhadap kita perlu dipulihkan.
Setiap rungutan atau aduan rakyat berhubung salah laku petugas/jentera parti termasuk diri kita yang dihadapi sepanjang tempoh berkempen harus didengar. Jangan sekali-kali pandang mudah dengan rungutan dan aduan itu kerana ia antara faktor utama undi untuk kita beralih kepada calon lawan.
Suka saya bercakap mengenai pengundi luar. Ada kira-kira 60,000 anak perantau di Lembah Klang. Lebih separuh daripada mereka pulang ke kampung halaman untuk mengundi. Ada yang dapat pelepasan daripada majikan dan tidak sedikit terpaksa mendapatkan sijil cuti sakit daripada klinik berbayar (swasta) untuk dijadikan alasan tidak hadir bekerja.
Ada yang pulang dengan bas sewa khas, bas tambang sendiri, bas lompat-lompat, kereta persendirian, menumpang kawan, kereta api, kapal terbang dan 'kapcai'. Ini sudah menunjukkan kesungguhan mereka hendak balik mengundi.
Malangnya, apabila sampai di bumi tercinta, mereka berdepan dengan peristiwa mengecewakan hati dan perasaan. Wang poket yang diharapkan tidak diperoleh. Apabila ditanya, para petugas memberi 1001 alasan, kononnya wang sudah habis, wang telah dihantar semula ke pusat (Kuala Lumpur), mereka datang lewat daripada waktu ditetapkan.
Tempat yang sepatutnya perantau lapor diri tidak ada petugas (hanya ada meja dan kerusi sahaja), manakala lokasi pula sentiasa berubah-ubah (sekejap depan KB Mall, sekejap depan Billion, sekejap depan pasar raya The Store), dan perubahan itu pula tidak dimaklumkan kepada perantau terlebih dahulu. Kalau dapat pun, jumlahnya tiba-tiba saja berkurangan tiga kali ganda daripada dijanjikan.
Ini semua adalah penyebab utama undi perantau beralih petak. Daripada petak barisan kepada petak bulatan. Begitu juga dengan pengundi tempatan. Mereka juga berdepan dengan masalah yang sama. Ada kes sepasang warga emas dari sebuah kampung di Chetok, Pasir Mas, Kelantan diminta oleh seorang jentera parti supaya datang ke pejabat parti itu pada jam 4 petang, kononnya ada sedikit sumbangan untuk mereka.
Tiba waktu dijanjikan, pasangan suami isteri itu bergegas ke pejabat berkenaan menaiki kereta sewa. Sebaik berjumpa petugas dan bertanyakan sumbangan yang dijanjikan, mereka dimaklumkan bahawa tidak ada sebarang sumbangan disediakan untuk mereka. Pasangan itu kecewa dan pulang dengan hati berbelah bahagi.
Mereka sudah habis RM5 tambang kereta sewa. Masa yang sepatutnya dihabiskan di masjid juga terlepas begitu sahaja semata-mata kerana dijanjikan sumbangan. Kejadian itu tidak tamat di situ sahaja. Ia diceritakan kepada 15 ahli keluarganya (yang disahkan SPR sebagai pengundi berdaftar). Tidak lama kemudian berita itu tersebar dari mulut ke mulut. Hasilnya undi yang sepatutnya menjadi milik calon dacing tiba-tiba berpindah kepada calon bulan penuh (purnama).
Walaupun kes ini kecil, tetapi bekas YB daripada parti yang kalah tidak boleh memandang ringan. Mereka harus melakukan bedah siasat ('post-mortem'), kerana akan ada antara petugas jentera parti selepas ini bergelar Orang Kaya Baru (OKB) dan tidak sedikit daripadanya membuat perkiraan untuk memiliki kereta baru.