Jumaat, 25 Julai 2008

Kejohanan Boling Tertutup Sinar Harian meriah




SUBANG – Kesibukan bekerja tidak menghalang warga kerja Sinar Harian untuk melakukan aktiviti sukan apabila hampir 60 kakitangannya yang melibatkan Editor, Penyunting Edisi, Wartawan dan Pereka Grafik menyertai Kejohanan Boling Tertutup Sinar Harian, semalam.
Kejohanan yang diadakan di Ampang Superbowl Summit, Subang USJ dekat sini, semalam diadakan secara tiga frame dan berlangsung dalam suasana penuh meriah.
Ketua Pengarang Sinar Harian, Abdul Jalil Ali berkata, kejohanan itu mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara pekerja, di samping mengaktifkan diri dalam bidang sukan.
“Walaupun kita sibuk dengan tugas masing-masing, tetapi aktiviti yang dianjurkan ini dapat memberi kesempatan kepada warga kerja Sinar Harian untuk mengenali antara satu sama lain daripada setiap bahagian.
“Sebagaimana yang kita tahu dalam bidang akhbar, kita perlu menumpukan setiap tugasan yang diberikan kerana ia merupakan terbitan harian," katanya ketika berucap di majlis perasmian kejohanan itu.
Menurutnya, dengan adanya kejohanan yang pertama kali diadakan itu, kakitangan Sinar Harian dapat meluangkan masa bersama walaupun selepas permainan itu ada yang terus pulang ke pejabat untuk meneruskan tanggungjawab masing-masing.
Sementara itu, jatuhan pin sebanyak 1,601 membolehkan Kumpulan 14 yang diketuai Editor Sinar Harian Edisi Selangor, Azmi Tarmizi menjuarai kejohanan itu.

Kumpulan yang turut dianggotai Zubir Sulaiman, Mohd Zainuddin Surip dan Abdul Latiff Zakaria menewaskan Kumpulan 2 yang diwakili Manzaidi Mohd Amin, Mizan Mat Tamin, Wan Norhasfiza Megat Hussain dan Wan Hasmira Wan Hassan yang mencatatkan 1,499 jatuhan pin untuk merangkul gelaran naib juara.
Tempat ketiga dimenangi Kumpulan 11 yang diwakili Syed Muhammad Riduan Syed Ahmad, Mohd Fitri Faizi Md Akhiruddin, Wan Suryana Ton Mohamad dan Julifihana Jaafar.
Dengan kemenangan itu, juara (Kumpulan 14) membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 berserta hamper, Kumpulan 2 menerima wang tunai RM800 dan hamper, manakala Kumpulan 11 menerima RM600 dan hamper.

Isnin, 21 Julai 2008

Peguam Saiful yakin ada kes


Suasana lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur yang selama ini tenang menjadi agak ‘panas’ dengan kehadiran puluhan wartawan dalam dan luar negara apabila untuk pertama kalinya secara terbuka keluarga Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Anwar Ibrahim melalui peguamnya mengadakan sidang media pada jam 4.30 petang.

Lebih panas lagi apabila peguam Zamri Idrus secara terbuka menegaskan bahawa setelah meneliti semua fakta, beliau yakin memang adanya kes yang melibatkan Anwar dalam isu liwat itu.

“Saiful adalah anak guam saya. Sebagai peguamnya saya memang yakin berdasarkan keterangan Saiful kepada saya,” katanya ketika ditanya adakah beliau yakin adanya kes terhadap dakwaan yang dibuat oleh Saiful terhadap Anwar.

Katanya, itu adalah pandangan peribadinya mengenai kes itu dan terserah kepada siasatan polis untuk menentukan kedudukan sebenar.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah bapa saudara Saiful (baju T merah) yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Uncle Pet’.

Zamri membacakan kenyataan media yang dibuat oleh bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim.
Sidang media tersebut yang bertukar seolah-olah menjadi sesi ‘perbicaraan’ turut menyaksikan isu sama ada laporan polis itu benar-benar wujud atau tidak berikutan kenyataan Anwar yang mempertikaikan sehingga kini beliau tidak mendapat salinan laporan polis berkenaan.

Zamri berkata, laporan polis memang telah dibuat dan beliau sendiri telah melihat salinan laporan polis tersebut.

Terdahulu ketika membaca kenyataan, bapa Saiful mendesak supaya Anwar memberikan kerjasama kepada polis untuk menyegerakan siasatan termasuk memberikan kerjasama bagi membolehkan ujian DNA dijalankan.

Menurut Azlan, sikap berdolak dalik Anwar itu telah menyebabkan siasatan tersebut tidak dapat disegerakan dan mendesak pihak berkuasa agar segera menyelesaikan siasatan kes berkenaan dan membawa individu yang terbabit dalam kes berkenaan ke muka pengadilan.

Azlan juga dalam kenyataannya itu berkata, anaknya, Saiful bersedia untuk bersumpah menurut cara Islam di mana-mana masjid dengan disaksikan ulama untuk menegakkan kebenaran.

Bagaimanapun katanya, sumpah berkenaan hanya boleh dibuat setelah polis menyelesaikan siasatannya.

Ketika ditanya adakah Saiful seorang gay (homoseksual), Zamri menegaskan, anak guamnya itu bukan terdiri daripada golongan tersebut.

Ditanya, adakah benar Saiful kini dalam jagaan polis, peguam itu berkata, Saiful bukan dalam jagaan polis, tetapi dalam perlindungan polis untuk menjamin keselamatannya.

Selain persoalan berkenaan, wartawan juga bertanya kenapa bapa Saiful sendiri tidak tampil membuat kenyataan berkenaan, Zamri berkata, buat masa ini bapa Saiful mempunyai komitmen lain dan pihaknya diminta untuk berbuat demikian.

Sabtu, 19 Julai 2008

Debat Anwar-Shabery: Tiada menang, tiada kalah

SEKILAS PANDANG SIARAN 19HB JULAI 2008 - SINAR HARIAN MS N6. - Manzaidi

AKHIRNYA debaran siapa menang, siapa kalah dalam debat antara Anwar Ibrahim dengan Ahmad Shabery Cheek sudah terjawab. Kedua-duanya memang tokoh yang hebat. Hebat memanipulasi isi dan tajuk debat sehingga rakyat bawahan keliru apa yang mereka perkatakan.

Tetapi apabila diajukan pertanyaan kepada pemimpin dan penyokong pembangkang, tentunya mereka kata Anwar yang menang. Begitu juga apabila tanya pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN), mereka kata Ahmad Shabery yang menang. Oleh kerana dua-dua menang, maka keputusannya ialah seri. Seri dalam konteks tiada siapa yang menang dan kalah.

Debat yang ditunggu dengan penuh debaran itu akhirnya selesai begitu sahaja. Banyak harapan berbentuk 'jika', 'kalau' dan 'insya-Allah' daripada 'akan' dan 'mesti' berhubung usaha untuk meringankan beban rakyat. Anwar kata, 'jika' Pakatan Rakyat (PR) memerintah negara malam ini, esok harga minyak akan diturunkan sebanyak 50 sen daripada RM2.70 seliter. Persoalannya, betul ke?

Begitu juga Ahmad Shabery kata, 'kalau' harga petroleum di peringkat global tidak naik, masakan kerajaan akan menaikkan harga minyak. Kerajaan Pusat, katanya, seboleh-bolehnya cuba menyelamatkan rakyat, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa melainkan itulah keputusannya (menaikkan sehingga 40 peratus harga petrol).

Pi mai pi mai... rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa harga minyak dan harga barang keperluan lain akan terus begini dan begini untuk jangka masa yang belum ketahuan. Kalau turun, Alhamdulillah. Jika naik, rakyat nak kata apa lagi. Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, rakyat tidak menaruh harapan 'insya-Allah' akan turun.

Debat sudah berakhir. Rakyat tidak akan meminta lagi debat lain diadakan semula. Pada mereka, ada debat, tak ada debat, sama sahaja. Menang sorak, kampung tergadai. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Rakyat tetap hidup dalam kesempitan. Pemilik kenderaan tetap membelanjakan wang lebih untuk mengisi minyak.

Sebagai rakyat, kehidupan harus diteruskan. Mereka harus melupakan sengketa yang berlaku. Mereka perlu menganggap negara sekarang berada di dalam keadaan aman dan damai, walaupun bermacam-macam kemelut melanda kebelakangan ini. Kemelut yang tidak menguntungkan rakyat. Krisis kepemimpinan yang tidak memanfaatkan negara.

Kepada pemimpin negara, baik daripada BN atau PR, bolehkah kamu memberi jaminan kepada rakyat bahawa apa yang berlaku masa kini dapat diselesaikan secepat mungkin? Rakyat sudah bosan dengan apa yang berlaku. Rakyat memilih kamu (pemimpin) bukan untuk bercakaran di Parlimen dan di dalam kepemimpinan.

Rakyat memilih kamu dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu adalah untuk menjadi pembela dan pejuang nasib mereka, bukan untuk mengepalai perhimpunan haram. Bukan untuk menunjukkan kebodohan di Parlimen dan bukan untuk melihat kamu terjerumus dalam gejala sosial. Bolehkah kamu menjadi pemimpin sejati sebagaimana pemimpin di akhir dan di awal merdeka.

Itulah suara hati rakyat yang harus disedari oleh mereka bergelar pemimpin. Kita (pemimpin) harus sedar diri. Jangan sekali-kali melibatkan rakyat dengan masalah peribadi yang kita cipta sendiri. Malulah kepada bangsa lain yang setiap hari sibuk untuk memperkukuhkan ekonomi, kita pula sesama sendiri bercakaran sehingga menjejaskan institusi negara.

Isnin, 14 Julai 2008

Beginilah nasib...

Salam dan selamat menjalani kehidupan seharian kepada tetamu semua.
Sehari dua ini kita ditambahkan lagi dengan isu. Mula-mula isu kenaikan harga petrol dan diesel.

Kemudian isu menteri itu menteri ini membuat kenyataan 'menyedapkan' hati rakyat dengan kenaikan harga bahan bakar itu.

Belum pun isu panas reda, timbul pula isu akuan bersumpah Raja Petra yang mendakwa isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ada kaitan dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya.

Saya turut mengambil bahagian dengan aktif dalam ruangan saya Sekilas Pandang untuk berbahas, berdebat, memberi pandangan, komen dan membuat kesimpulan berhubung tiga isu itu.

Hasilnya, daripada 157 SMS yang saya terima, majoriti memihak kepada tulisan saya. SMS minoriti lagi mengecam, mengutuk, mencaci dan membidas saya.

Saya malas melayan SMS bersifat negatif itu. Tetapi kepada SMS yang berbentuk positif, saya ucapkan banyak-banyak terima kasih atas sokongan dan semangat yang diberikan.

Kepada yang berpandangan negatif terhadap saya, cubalah fikir-fikirkan kembali dan renung semula maksud tulisan saya.

Berbalik kepada isu. Isu seterusnya selepas Rosmah ialah kes liwat yang melibatkan Anwar Ibrahim dengan pembantu khasnya, Mohd Saiful. Kes ini cukup sensasi walaupun pernah dipaparkan untuk pertama kali kira-kira 10 tahun lalu.

Seluruh dunia heboh mengenai kes liwat. Dada akhbar utama dihiasi dengan berita liwat Anwar-Mohd Saiful. Sekarang pun isu ini masih lagi panas.

Selang beberapa hari bising fasal isu liwat, timbul pula isu akuan bersumpah penyiasat persendirian, Bala yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenali Altantuya.

Pemimpin itu dikatakan pernah mengadakan hubungan seks dengan wanita yang mati akibat diletupkan dengan bahan peledak itu.

Semua isu dan kes yang berlaku dari pertengahan Mei 2008 sehingga kini melibatkan pemimpin. Pemimpin UMNO dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat.

Pemimpin yang dipilih oleh rakyat agar membantu dan membela mereka, tetapi mereka dilupakan kerana pemimpin berkenaan sibuk mempertahankan diri dengan kes-kes yang mereka cari sendiri.

Malang sungguh rakyat Malaysia masa kini. Mereka bertungkus lumus keluar mengundi hendak memilih pemimpin yang dianggap dapat membela nasib mereka, tetapi malangnya, apabila menang, pemimpin itu tidak dapat menumpukan kepada kebajikan rakyat.

Sebaliknya pemimpin berkenaan berusaha siang malam untuk melepaskan diri daripada pelbagai tuduhan - yang ada kalanya tuduhan itu benar - tetapi kerana hendak menangkis daripada hilang kepercayaan rakyat, terpaksa mempertahankan diri.

Dunia sekarang sudah akhir zaman. Pemimpin pembela rakyat sudah hilang ditelan zaman. Sudah lama berkubur. Yang ada sekarang ialah pemimpin jenis berkepentingan diri sendiri.

Pemimpin yang kotor dan bijak bersandiwara. Bijak bermain kata-kata dan perasaan rakyat. Pemimpin yang mengheret rakyat terlibat dengan masalahnya sehingga akhirnya rakyat merana.

Susah hendak nyatakan mengenai sikap pemimpin hari ini. Baik pemimpin UMNO, mahupun pemimpin Pas, Keadilan, MIC, MCA dan mana-mana parti yang ada di negara ini.

Semuanya sama. Susah untuk mendapatkan seorang daripada mereka yang bersih dan berjiwa rakyat.

Saya sedih dengan perkembangan yang berlaku hari ini, Saya takut anak-anak saya yang sedang membesar nanti tidak dapat menjadi manusia sempurna.

Bagaimanakah masa depan mereka pada masa akan datang dengan keadaan pentadbiran dan pemerintahan yang ada hari ini, yang kacau bilau dan huru hara ini.

Ahad, 13 Julai 2008

Renungan Minggu Ini

Kita inginkan hari yang lebih cerah, tetapi Allah lebih tahu hakikatnya hujan perlu diturunkan.

Kita sering mahukan keseronokan, jauh sekali kesusahan, tetapi Allah lebih tahu kesusahan itu mengajar kita erti kehidupan.

Kita sering inginkan ketenangan, hakikatnya diri ini penuh dengan dosa dan kejahatan. Tetapi manusia tidak dpt lari dari kesilapan.

Kita jumpa dua tahun lagi

DUA tahun dari sekarang, kita akan mempunyai Perdana Menteri baru. Namanya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau beroleh jawatan itu bukan hasil pertandingan, tetapi daripada proses peralihan kuasa antara beliau dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika mengumumkan perkara itu, Pak Lah menjelaskan bahawa pada pertengahan tahun 2010, beliau tidak lagi memimpin kerajaan, parti Barisan Nasional (BN) dan pilihan raya umum ke-13. Katanya, semua tanggungjawab itu diberikan kepada timbalannya, Najib yang akan menjadi PM keenam.

Ramai juga tertanya-tanya kenapa Pak Lah tidak mahu menyerahkan jawatan itu sekarang kepada Najib. Kenapa perlu menunggu sehingga dua tahun lagi baru hendak menyerahkan jawatan yang dipegangnya sejak tahun 2003 itu kepada timbalannya.

Jawabnya mudah sahaja. Kerana keadaan ketika ini tidak mengizinkan. Orang tua-tua kata, banyak kes daripada isu. Setiap kes melibatkan hal yang besar-besar, hangat, hangit dan panas. Di dalam satu-satu kes itu pula melibatkan nama-nama pembesar negeri dan negara.

Ini yang membelenggu pemikiran Pak Lah. Walaupun semua tahu itu adalah 'fitnah', tetapi Pak Lah tidak boleh memandang remeh perkara itu kerana setiap isu atau kes, walau sebesar zarah sekali pun Pak Lah perlu campur tangan dan cari jalan penyelesaian.

Tugas Perdana Menteri amat berat. Selain merancang dan merangka program jangka pendek serta jangka panjang untuk kesejahteraan negara dan rakyat, beliau juga terpaksa memikirkan kes-kes yang melibatkan anak buahnya. Tidak kiralah kes itu besar atau kecil. Semuanya sama.

Beliau seboleh-bolehnya mahu memastikan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang terjaga dengan baik. Tidak dicemari oleh unsur-unsur jenayah dan sosial, walaupun ada antaranya terlibat hasil buatan sendiri atau masuk perangkap musuh.

Dua tahun bukan lama. Pejam celik, pejam celik tibalah masa ditetapkan itu. Tetapi bagi penyokong Najib dan musuh Pak Lah, ia mungkin suatu tempoh yang agak panjang. Bagi mereka menunggu 730 hari lebih seksa daripada menghadapi 18,250 hari yang telah berlalu.

Sebagai manusia, sememangnya kita mengharapkan hari sentiasa baik sepanjang masa untuk esok, lusa, tulat dan seterusnya. Tetapi dalam kita menaruh harapan itu, kita tidak boleh memandang ringan akan cabaran, ujian dan dugaan mendatang. Musuh akan melakukan apa saja untuk menggagalkan perancangan kita.

Apa pun, perubahan perlu berlaku. Peralihan kuasa telah dimeterai. Semua pihak harus menerima hakikat itu dan menunggu dengan sabar akan hari-hari yang bakal menjelang itu. Sama ada menjadi kenyataan atau sebaliknya, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Akhir tahun ini, Perhimpunan Agung UMNO ada pemilihan. Beberapa calon yang mengumumkan akan bertanding jawatan presiden dan Naib Presiden sudah bergerak ke akar umbi mencari pengaruh serta sokongan. Bagaimanapun, pencabar perlu mendapatkan jumlah kuota yang ditetapkan sebelum disahkan layak bertanding.

Bukan senang hendak naik. Tidak payah untuk jatuh. Semuanya bergantung kepada komitmen masing-masing untuk mencorakkan strategi dan taktik bagi membolehkan mereka melangkah dari bawah ke atas. Mereka perlu melalui banyak halangan terutama cah keting.

Silap langkah akan rebah tersungkur. Bagi yang berjaya naik ke atas, mereka dianggap wira kerana dapat melepasi setiap ujian atau kubu 'musuh' dengan cemerlang.