Jumaat, 5 September 2008

Semangat dan sokongan kawan2

Komen satu:
Sebagai seorang kenalan, saya turut hiba dengan apa yang menimpa manzaidi, tetapi saya tidak terkejut seorang yang di tempat dia tergamak melakukan kekejaman terlindung sedemikian.
Apalah sebuah rumah bagi orang berharta dan berkedudukan serta berpengaruh seperti mereka.
Mereka mampu memiliki rumah dengan hanya menandatangani beberapa dokumen sahaja, sedangkan bagi orang seperti saya terpaksa menghabiskan seumur hidup dewasa sehingga pencen untuk mempunyai rumah sendiri.
Itu pun belum menjadi kenyataan.

Komen Dua:
Kawe turut simpati dan mendoakan semoga demo diberi kelapangan dan sinar kejayaan dalam menghadapi masalah tersebut.
Yang bersalah akan pasti terhukum jua .....walau bukan hukuman di mahkamah dunia.

Komen tiga:
Sekadar berkongsi kedukaan manzaidi... Penderitaan dan kesusahan orang-orang kerdil tidak mendatangkan kudis pun kepada orang-orang yang kaya harta dunia.
Tetapi saya kenali manzaidi seorang yang berjiwa besar dan saya pun yakin Allah bersama orang yang benar. Doa orang teraniaya pasti dimakbulkan Allah. Bertahanlah dan teruskan perjuangan.

Betapa...ketika itu

Terima kasih kepada para sahabat. Saya tidak ada tempat hendak mengadu, melainkan terpaksa zahirkan dlm blog dan maklumkan kpd kawan2 utk berkongsi.

Hidup saya mula malap kira-kira tiga tahun lalu apabila permohonan saya untuk membeli kereta ditolak oleh bank dgn alasan nama saya sudah disenaraihitamkan.

Betapa! ketika itu.. saya tak dapat memikirkan apakah kesalahan saya sehingga nama disenaraihitamkan.

Apabila menghubungi Bank Negara, mereka menjelaskan saya ada tunggakan RM12,8++ dgn RHB Islamik. Masya-Allah, saya tersentak dengan jawapan itu.

Saya kemudian memaklumkan perkara itu kepada Rosdi Mahmad. Malangnya, dia memberi jawapan yang berdolak dalik walaupun berjanji akan menyelesaikan tunggakan itu.

Sebelum itu, dia mengungkit tindakannya membeli rumah saya. Katanya, dia beli rumah itu kerana simpati atau kesian kepada saya.

Saya jawab, terima kasihlah dan semoga Tuhan murahkan rezeki orang yang bersimpati kepada kawan yang dalam kesusahan.

Selepas itu (tiga tahun kemudian), saya menerima panggilan dari ayah menyatakan ada sepucuk surat daripada loyar RHB Bank. Minta saya hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 15 September ni. Selang dua hari kemudian, sepucuk lagi surat sampai.

Surat dari Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas menyatakan saya perlu hadir pada 10hb Sept ini untuk tindakan pelelongan tanah.

Dari situlah fikiran saya mula celaru, tidak menentu. Hilang selera makan, banyak termenung, banyak kerja terbengkalai dan tidak sedikit berlaku kesilapan ayat, tata bahasa dan macam-macam lagi.

Jantung sentiasa berdebar kencang... sering mengeluh... sakit kepala, pening, kabur penglihatan dan otak mula memikirkan yang bukan-bukan apa yang akan berlaku selepas ini. Yang pasti, saya terpaksa menanggung semua itu.

Saya juga kena mengambil kira masalah cuti di sini untuk balik Kelantan. Terpaksa menyusahkan kawan-kawan sejawatan kerana berlaku anjakan jadual off mereka dan dengan tiket bas dah naik 30 peratus, dengan petrol yang hanya turun 15 sen daripada kadar kenaikan 70 sen.

Semua itu memeningkan kepala bagi insan kerdil macam saya.

Saya tahu, saya tidak akan menang berlawan dengan orang politik yang bijak dan mahir dalam bab tipu menipu, putar belit.

Kalau mereka tidak ada strategi itu, masakan mereka dapat naik dan naik dan terus naik dalam politik.

Masakan mereka mampu memiliki rumah besar bagai istana, memiliki kereta mewah yang bernilai ratusan ribu ringgit dan memiliki isteri lebih daripada seorang.

Namun, malang dan sedihnya, kekayaan dan kemewahan yang dimilikinya itu bukan daripada hasil perjuangannya membela orang Melayu, sebaliknya hasil daripada perjuangan dan kerja keras menipu dan memutar belit orang Melayu untuk kepentingan diri sendiri. Wallahualam..

Khamis, 4 September 2008

Tahniah kepada Rosdi Mahmad

Pertama-tama sekali saya nak ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Mohd Rosdi Mahmad dan adiknya Jafri Mahmad kerana BERJAYA membuatkan hidup saya merana dan menderita.

Hanya dengan cara dia bersetuju membeli rumah saya lapan tahun lalu, tetapi pada masa sama dia menyerahkan kepada adiknya dan adiknya pula tidak meneruskan sambung bayar sewa beli selama empat tahun sudah cukup alasannya untuk mengheret saya ke Mahkamah dan meletakkan nama saya dalam kategori senarai hitam oleh Bank Negara Malaysia.

Berikutan tindakannya, pada 10hb September 2008, jam 9.30 pagi saya terpaksa hadir di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas untuk tindakan pelelongan tanah (tapak rumah), manakala pada 15hb September 2008, jam 9 pagi saya terpaksa hadir di Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk menghadapi tindakan saman oleh RHB Islamik.

Dua tindakan ini sudah cukup menyebabkan hidup saya menderta sepanjang masa. Saya tidak tahu apa harus dilakukan lagi. Saya hanya reda dan berserah kepada Allah SWT untuk menentukan nasib saya selepas 10 dan 15hb September ini.

Kepada Rosdi dan adiknya, Jafri..Tahniah. Selamat maju jaya dalam politik, perniagaan dan hidup saudara. Saudara telah berjaya menggelapkan masa depan kawan saudara.

Akuan bersumpah: Saya tak sebar

Penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin hari ini menafikan bertanggungjawab menyebarkan perakuan bersumpah yang dibuat seorang doktor Hospital Pusrawi, Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid.

Beliau berkata, laporan tersebut hanya diambil daripada salah sebuah blog dan bukan milik persendirian laman web Malaysia Today.

"Kenapa perlu pihak berkuasa nak salahkan Malaysia Today di atas penyebaran itu, sedangkan kami hanya mengambilnya daripada laman blog lain," katanya.

Ia akuan bersumpah saya: Dr Mohamed

Doktor Mohamed Osman Abdul Hamid yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Hospital Pusrawi mengesahkan akuan bersumpah yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today adalah miliknya.

Beliau bagaimanapun mendakwa, penyebaran akuan bersumpah melalui laman web tersebut adalah di luar pengetahuannya.

"Saya bercuti selepas dinasihatkan Pusrawi dan tidak tahu bagaimana ia boleh tersebar.

"Saya tidak terlibat dengan politik dan sesungguhnya akuan bersumpah saya adalah benar," katanya pada sidang akhbar di Majlis Peguam di sini.

Innalillah hiwainna ilaihi rajiun

Pak Samad meninggal dunia 04/09/2008 6:46pm

KUALA LUMPUR - Tokoh Kewartawanan Negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pukul 6.35 petang ini kerana jangkitan paru-paru dan kegagalan buah pinggang.

Abdul Samad, 84, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dirawat di pusat itu sejak 24 Ogos lalu dan sepanjang tempoh itu terpaksa dibantu dengan alat bantuan pernafasan.

Isnin, 1 September 2008

Komen Jawi oh Jawi

Komen Satu:
Kesedihan kawe tidak terkata bila melihat apa yang tercatat dan tertera di blog tersebut. Terasa kecil semangat besar ini. Sepatutnya kita bukan sekadar bercakap, tetapi melakukan sesuatau yang terbaik bagi memulihkan tulisan tersebut. Jangan jadikan tulisan itu melukut di tepi gantang.

Tulisan itu adalah tulisan kita. Orang Thai bangga dengan tulisan mereka. apa lagi dengan kaum lain. Tetapi kita boleh kelih tulisan kita itu dibuang begitu sahaja. Nampak sangat hinanya.

Ulama silam menulis dalam tulisan jawi. Arwah Pak Leh Pedada menulis dalam jawi. Apa lagi dengan Tok Guru Haji Wan Mat Jal, Tok Selehor dan ramai lagi menjadikan tulisan itu tulisan memperkasakan ukhwah.

Di manakah letaknya nilai patriotik kita bila hal ini dicungkil? Apakah bila tiba musim pilihanraya baru tercungkil nilai tersebut? Kepada mereka yang "masam kepala" bercakap macam bertih goreng, sehinggakan gunung everest pun berasa nak pijak biar hancur, air di Laut China Selatan kalu boleh nak timba lagi, bila lagi nak bersatu hati memulihkan tulisan jawi.

Bila berlaku hal sedemikian, siapakah yang harus dipersalahkan? Apakah kita persalahkan burung-burung di angkasa atau ikan di lautan atau pokok kayu kayan yang memberikan kita buah dengan pelbagai rasa enak?

Saya kira kita sendiri yang hebat berfikir memberikan jawapan setimpal dengan apa yang kita pandang. Tepuk dada batuklah sendiri. Itulah realiti.

Komen Dua:
Saya diberitahu, persidangan meja bulat tentang pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tempoh hari, bahasa Melayu sudah diinjak-injak dengan segila-gilanya. Dalam persidangan itu ada juga timbalan menteri yang juga orang sastera/seni.

Nak harapkan tokoh besar politik untuk membela bahasa Melayu. Puahhhhh (pinjam kalimah Shahnon Ahmad).

Ini mungkin membuatkan kita berfikir: Sebenarnya dalam kalangan menteri yang ada, siapa yang pernah melalui pendidikan kebangsaan untuk memahami, menyayangi, memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu?