Selasa, 17 Julai 2012

Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara 2011

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Kewartawanan kepada Datuk Dr A. Kadir Jasin pada majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia Malaysian Press Institute (MPI)-Petronas 2011 di sini, Isnin. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Chamil Wariya (dua dari kanan) dan Pengurus Besar Jabatan Perhubungan Media, Divisyen Hal Ehwal Korporat PETRONAS, Abdul Rahim Mydin (kanan).

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd Datuk A. Kadir Jasin pada Isnin dianugerah Tokoh Wartawan Negara sebagai menghargai sumbangan beliau selama 43 tahun dalam bidang kewartawan.

A.Kadir, 63, menerima hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dan sijil pada majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara Hadiah Kewartawanan Malaysia 2011 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas di Hotel Royale Bintang Damansara.

Anugerah disampaikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara wartawan veteran yang pernah menerima anugerah itu ialah Tan Sri A.Samad Ismail, Tan Sri Lee Siew Yee, Tan Sri Mazlan Nordin, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk Liew Chen Chuan.

A.Kadir yang terkenal dengan gelaran tukang cerita 'versatile' mula melibatkan diri dalam dunia kewartawanan sebagai pemberita kadet di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada tahun 1969. Setelah itu, beliau berhijrah ke Business Times untuk menceburi bidang kewartawanan ekonomi dari tahun 1976 hingga 1984, dan pernah memegang jawatan Pengarang Bersekutu Business Times.

Beliau juga pernah dilantik ke jawatan penolong pengarang kumpulan Berita Harian dan seterusnya pengarang kumpulan itu pada tahun 1986.

Pada tahun 1988, selama 10 tahun A.Kadir dilantik sebagai Pengarang Kumpulan The New Straits Times dan seterusnya Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Berhad dari tahun 1998 hingga 2000.

A.Kadir kemudian menerajui syarikatnya sendiri yang terbabit dalam penerbitan beberapa majalah dan buku selain aktif dalam penulisan blog 'The Scribe'.

Blog beliau pernah mencatat hits sebanyak 5.27 juta satu angka yang membuktikan keberkesanan wacana beliau yang jarang dilihat di kalangan wartawan tempatan.

A.Kadir juga menulis beberapa buku antaranya Membangun Bangsa dengan Pena (2009), Komedi dan Trajedi - Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009), PRU 2008 - Rakyat Sahut Cabaran (2008), Blogger (2006), Damned that Thots (2006), Mencari Dugalia Huso (2006) dan The Wing of an Eagles (2003).

Selain itu, beliau juga diberi kepercayaan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menterjemah buku 'Memoir Doctor in the House' ke dalam Bahasa Melayu.

Dalam ucapan penghargaan, A. Kadir berkongsi pengalaman beliau membuat liputan Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj ketika masih menjadi wartawan muda.

Justeru, beliau menasihati wartawan muda kini supaya berani dan tidak teragak-agak untuk bertanya soalan kepada pemimpin, termasuk Perdana Menteri.

"Menjadi pemberita mudah. Tetapi sukar untuk menjadi wartawan yang unggul dan berguna kepada masyarakat. Ia memerlukan ketekunan, keberanian dan pengorbanan," katanya.

Biodata Kadir Jasin:

Dilahirkan di Kedah pada 1947. Beliau telah memulakan karier dalam bidang kewartawanan pada tahun 1969. Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Ketua Editor Majalah, Berita Publishing Sdn Bhd, Ketua Pengarang Kumpulan NST Sdn Bhd dan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Bhd pada tahun 1988 hingga 2000.

Beliau juga pernah menulis dalam kolum ‘Other Thots’ dalam Majalah Business Times. Antara karya hasil nukilannya adalah, Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009). -BERNAMA

Molek sangatlah Pengawal Keselamatan ni dilatih

Aku setuju sangat-sangatlah kalau polis dah buka mata nak 'sparekan' masa untuk beri latihan keselamatan kepada Pengawal Keselamatan terutama di pusat membeli belah. Cuma aku harap, janganlah cakap saja... Kalau betul-betul nak latih, kenalah latih betul-betul. Dan kalau boleh percepatkan proses tu, bukan cakap hari ni, dua tiga tahun akan datang baru nak mula.

Aku dah perit sebenarnya nak ke pusat beli belah ni, lebih-lebih lagi rasa takut menguasai diri bila letak kereta di parkir. Sebab, paling punggung je, kita tak tahu pencuri sudah mula bergerak ke kereta kita. Dan dalam sekelip mata saja, habis barang-barang yang ada harga dikebasnya.

Kejadian yang aku sendiri alami ialah di tempat letak kereta Giant Batu Cave. Tiga beg berisi pakaian harian, barangan komputer (laptop) dan pakaian kerja (baju korporat) habis diambilnya. Yang ditinggalkan ialah pintu bonet belakang terbuka dengan kunci terumpil.

Ketika itu tidak ada seorang pun Pengawal Keselamatan menjaga parkir. Mereka ada, tetapi berehat di bawah pokok rendang di belakang bangunan Giant sambil menghisap rokok dan tidur.

Bila aku maklumkan mengenai kejadian, Pengawal Keselamatan berbangsa asing ini buat dono, sebab tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Terpaksalah aku nyatakan dengan bahasa isyarat. Barulah dia faham dan minta aku buat laporan polis. Mudahnya dia jawab.

Aku marah-marahkan dia kenapa tidak berada di kawasan parkir? Dia hanya tersengih-sengih sambil membetulkan topinya. Cukup bulan dapat gaji.

Begitu juga kalau letak kereta di parkir Mid Valley, Berjaya Times Square, Sogo dan di mana-mana kompleks beli belah, susah nak jumpa Pengawal Keselamatan. Entah di mana mereka berada atau bersembunyi.

Kalau berlaku apa-apa ke atas orang ramai, jawabnya, orang tu sakit sajalah. Nak harapkan Pengawal Keselamatan datang membantu? Di mana nak cari? Bayang mereka pun tak ada.

Polis Latih Pengawal Keselamatan Pusat Membeli-Belah

PUTRAJAYA:
Lebih 25,000 pengawal keselamatan di pusat membeli-belah di seluruh negara akan menerima latihan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha kerajaan menangani kes jenayah di premis berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata modul latihan akan dibangun secepat mungkin berdasarkan modul latihan polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Pada masa ini tiga pusat beli-belah sudah menyatakan komitmen untuk menyertai program itu, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan pemimpin tertinggi PDRM, pemilik pusat beli-belah dan pihak berkepentingan, di sini, Isnin.

"Saya perlu tahu siapa yang mahu bekerja dengan kami kerana program ini bukan suatu yang boleh dipaksa kepada semua pemilik pusat beli-belah, justeru saya akan mendedahkan mereka yang mahu bekerja dengan kita dan mereka yang tidak.

"Biar orang awam putuskan kerana sudahlah meminta polis melakukan itu dan ini, tetapi bagaimana pula dengan tanggungjawab mereka dan dalam konteks ini kami tidak minta mereka mengupah lebih ramai pengawal tetapi untuk sertai latihan," katanya. Hishammuddin turut menafikan langkah itu diambil kerana kadar jenayah yang tinggi, sebaliknya lebih kepada meyakinkan rakyat bahawa kementerian serius dalam menangani segala kes jenayah yang berlaku.

"Indeks jenayah ada untuk tatapan semua tetapi jika orang ramai berasa tidak cukup selamat kita mungkin terpaksa menurunkan lagi indeks itu.

"Beri kami masa dan kami akan buktikan kepada masyarakat bahawa indeks itu adalah seperti yang kami umumkan," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berhubung kadar jenayah, Hishammuddin berkata beliau menerimanya dengan hati terbuka serta mengalu-alukan pandangan dan idea Musa dalam menangani kes jenayah di negara ini.

Rabu, 11 Julai 2012

'Imam Mahadi' Sakit Mental?

KUALA LUMPUR: Polis telah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar seorang lelaki dan seorang wanita di luar pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lalu sebelum mereka mengamuk.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata, individu itu dikesan melalui siasatan polis sejurus selepas kejadian itu.

"Kita sekarang sedang mencari pemilik kenderaan yang menghantar pasangan itu. Kita juga turut menyiasat latar belakang lelaki dan wanita yang mengamuk itu," katanya.

Pada hari itu, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mengaku dirinya "Imam Mahadi" dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di pekarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.

Polis Siasat Latar Belakang Pasangan

Polis masih menyiasat latar belakang pasangan yang mengamuk itu bagi mengenal pasti kumpulan ajaran sesat yang mereka sertai, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

"Kita akan siasat latar belakang kedua-dua mereka, tujuan dan motif mereka termasuk blog dan facebook milik mereka, sama ada terdapat pengikut atau nama ketua ajaran sesat atau kumpulan militan," katanya.

Ismail berkata, pihaknya percaya kedua-dua mereka 'kurang sihat' dan apa yang mereka lalukan itu bukan sesuatu yang dirancang.

"Berdasarkan prosedur keselamatan serta menangani insiden amuk itu, pihak polis telah bertindak dengan pantas dan wajar," katanya.

Sakit mental

Polis mendedahkan siasatan lanjut terhadap dua penceroboh itu mendapati mereka mempunyai masalah mental berikutan terjebak dengan ajaran sesat, selain berfikiran ekstrem.

Polis juga memberitahu, kedatangan mereka ke kompleks pentadbiran itu untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan masa kini yang didakwa menguruskan pentadbiran negara tidak mengikut lunas-lunas Islam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pencerobohan yang disusuli kejadian amuk adalah modus operandi yang sering digunakan oleh pengikut ajaran sesat.

Katanya, kesimpulan itu dibuat selepas pihaknya meneliti perkataan yang diucapkan oleh kedua-dua suspek ketika itu.

“Kalau tengok pada apa yang diucapkan (semasa kejadian), mereka terlibat dalam ajaran sesat, tetapi kumpulan mana (mereka sertai) kita akan siasat,” katanya.

Siasat blog, akaun Facebook suspek

Polis sedang menyiasat blog dan akaun Facebook milik Khalil Afandi Abd Hamid bagi menentukan sama ada wujud pengikut atau rangkaian kumpulan yang berkemungkinan dianggotainya.

Polis serius dengan kejadian ini dan akan siasat adakah suspek mempunyai ketua yang memberikan arahan.

'Mungkin kena ilmu hitam'

Muhdalena Ahmad yang ditembak ketika mengamuk bersama seorang lelaki di Kompleks JPM itu dikatakan sangat taksub terhadap lelaki itu walaupun baru mengenalinya.

Suaminya yang enggan dikenali juga tidak menolak kemungkinan isterinya terkena ilmu hitam lelaki berkenaan yang mendakwa Imam Mahadi.

“Saya tidak sangka dia sanggup mengikutnya walaupun baru mengenalinya beberapa hari lalu. Muhdalena tidak pernah berperangai pelik, tetapi dua tiga hari lalu dia berkelakuan aneh dan amat taksub terhadap lelaki berkenaan,” katanya.

Muhdalena dikawal rapi dua anggota polis wanita. Setakat petang semalam, tiada anggota keluarga dibenarkan menemuinya kecuali suaminya yang berkesempatan menyerahkan makanan kira-kira jam 1 tengah hari.

Difahamkan, wanita berkenaan meninggalkan dua anaknya bersama ibu bapanya di Kota Damansara pada Ahad lalu dengan alasan ada urusan perlu diselesaikan dalam tempoh beberapa hari.

Bapanya pula berkata, beliau sekeluarga masih terkejut dan sukar menerima hakikat pembabitan anak mereka.

Ahmad Adam, 55, seorang peniaga nasi lemak, berkata beliau mengetahui kejadian itu selepas membaca laporan pembabitan anak keduanya itu di sebuah laman sosial.

“Saya hubungi telefonnya, tetapi panggilan dijawab seorang anggota polis. Dia minta saya ke Balai Polis Putrajaya untuk memberi keterangan. Saya terkejut dan kecewa kerana walaupun dia belajar tinggi (lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), tetapi terjebak dalam kes itu.

“Walaupun tidak bersekolah agama sepenuhnya, dia memang belajar sedikit pasal Islam pada sebelah petang,” katanya.

Beliau ditemui ketika cuba melawat anaknya, ditemani isteri, Siti Marliah Marjunid, 55; anaknya sulungnya, Ariffin serta dua anak Muhdalena, iaitu Mohd Fariz Kharizmi, 2, dan Mia Ratisya berusia setahun lebih.

Tidak benar melawat

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan melawat Muhdalena kerana difahamkan polis belum merekodkan keterangannya. Dia ditahan reman mulai semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 307, 427 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam perkembangan berkaitan, jenazah Khalil dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 2 pagi semalam untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.

Kes amuk disiasat menyeluruh

Siasatan berhubung kes dua individu yang menyerang serta mengamuk itu akan dibuat secara menyeluruh termasuk kaitan mereka dengan pertubuhan ajaran sesat.

Polis sedang meneliti laman-laman sosial termasuk blog dan Facebook milik suspek lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi untuk menyiasat sejauh mana penglibatannya dengan kumpulan ajaran sesat.

“Siasatan awal mendapati, kejadian amuk ini bukan dirancang dan ia bukan satu komplot besar. Apa pun saya memuji tindakan pantas yang diambil oleh pengawal keselamatan dan anggota polis di lokasi kejadian," katanya.

Cetek pengetahuan dalam ilmu agama; terikut-ikut dengan ajaran sesat dan terlalu ingin menjadi manusia hebat dengan kebolehan luar biasa mendorong seseorang itu menjadi imam 'Mahadi' palsu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya berkata, seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai dirinya Imam Mahadi kerana terdapat ciri dan sifat tertentu membezakan Imam Mahadi dengan manusia biasa.

"Antara sifat Imam Mahadi digambarkan Nabi Muhammad SAW dalam hadis riwayat Abu Daud ialah beliau bangkit memimpin dan menjadi imam kepada seluruh umat manusia," katanya.

Fathul Bari berkata, Imam Mahadi tidak bangkit secara mengaku "akulah Imam Mahadi yang ditunggu-tunggu", sebaliknya ciri-ciri dan sifatnya diketahui sendiri orang ramai menerusi kepimpinannya membawa dan mengisi keadilan kepada seluruh dunia.

Ditanya mengapa sejak akhir-akhir ini banyak individu dikultuskan sebagai imam 'Mahadi', Fathul Bari berkata, tindakan itu merupakan modus operandi kelompok yang tersasar daripada akidah Islam yang sebenar.

"Pertama sekali mereka ingin diikuti dan dijadikan sebagai ikutan, mereka akan membina kultus mereka sendiri, dia akan tanam bukti-bukti dan ciri-ciri sebagai Imam Mahadi seperti yang berlaku dalam beberapa ajaran sesat.

"Bila mereka mula ke tahap melampau mereka akan mengangkat diri mereka dan mensucikan diri mereka sampai ke tahap apa yang mereka kata mesti benar dan tepat, apa yang mereka kata tak boleh dikritik dan tak boleh disanggah, sehinggakan pengikut mereka kena terima bulat-bulat," katanya.

Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Salleh Ahmad berkata, salah satu cara membendung kejadian seperti itu ialah memberi pendidikan ilmu akidah berterusan kepada umat Islam sejak kecil.

"Perkara ini berpunca dari kejahilan mereka dan ada yang cuba untuk berlagak jadi orang hebat dengan mengaku bahawa dia Imam Mahadi.

"Pihak berkuasa harus mempergiatkan gerakan dakwah bagi memastikan perkara ini tidak berulang," katanya.

Jiran terkejut

“Sebulan yang lalu arwah Khalil ada datang ke rumah bersama isteri dan anaknya bertanya khabar kami sekeluarga, dia salam banyak kali dengan saya, percakapannya agak laju dan sukar difahami,” kata jiran arwah Khalil, Sahak Mat Dan, 60.

Menurutnya, Khalil tidak bercakap apa-apa mengenai aktivitinya. “Dia lahir dan membesar di Kampung Lindungan sebelum berpindah ke sini (Taman Lindungan Jaya) sejak berkahwin dia tinggal di Puchong dan sejak itu kami jarang bertemu.

“Saya terkejut selepas mendengar berita dia ditembak mati polis kerana mengamuk di Putrajaya sedangkan di sini dia terkenal dengan sifat lemah lembut dan menghormati orang tua,”katanya ketika ditemui di Taman Lindungan Jaya, semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi jirannya Hashim Abdullah, 64, berkata, sejak ibunya meninggal dunia pada tahun 2008 rumah itu dihuni oleh salah seorang adik lelakinya.

Menurut Hashim, arwah Khalil juga sempat bertemunya ketika datang ke situ sebulan yang lalu. “Dia tidak cakap apa-apa cuma tanya sihat ke tidak, itu sahaja dan dia kelihatan ceria,” katanya.

Difahamkan arwah Khalil merupakan anak ketiga dari enam beradik seorang berperwatakan periang dan mudah digauli. Adik lelaki arwah ketika ditemui di rumahnya pula enggan mengulas lanjut apa yang berlaku.

Entri blog: 'Perjuangan' Khalil Affandi kabur

Memperkenalkan diri sebagai Jaya Negara dalam blog miliknya yang mengisahkan pelbagai isu yang sukar difahami. Sekiranya diamati, Khalil Affandi banyak mengetengahkan dan mempersoalkan serta lebih kepada mengajak pembaca blognya mendalami dan memikirkan mengikut batasan luar pemikiran biasa mengenai isu ketuhanan.

Selain mengetengahkan isu mengenai ketuhanan, Khalil Affandi juga ada menulis entri pada 4 Jun lalu, yang menyeru semua rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama agar tidak bertelagah sesama sendiri dan menjaga keharmonian hubungan antara agama.

Penelitian di blognya semalam, mendapati terdapat sejumlah 17 artikel yang ditulisnya. Dia mula menulis di blognya itu sejak 4 Jun lalu. Entri terbaru blognya yang ditulis di jayanegara1234.blogspot.com pada 30 Jun lalu yang bertajuk HIDUP DAN MATI.. apa dipertaruhkan yang turut memaparkan kejadian tsunami yang melanda beberapa negara pada 2004.

Dalam entri blognya yang bertajuk UJIAN UNTUK JIWA....... eh! dah bermula ke. Bila? Yang ditulis pada 21 Jun lalu dia turut mengaku meminati penyanyi lagenda rock tanah air, Awie.

“Aku ni kira-kiranya peminat Awie. Manakan tidak.... itu aja pun makanan aku masa dulu. Kini Awie dah kira ‘living legend’. Mantop!

“Kita tinggalkan Awie.... apa-apa pun terima kasih Awie kerana memberi hiburan pada aku tatkala perjuangan rasa macam hambar. Layan la.... lagu Awie la pulak. Zaman ini dah ku lalui... Awie kekal Awie,” katanya.

Di laman Facebook miliknya yang juga diberikan nama Jaya Negara dia menulis sedikit profil peribadi iaitu pernah belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kota Baru, Kelantan dan bekerja sendiri sebagai pembuat landskap di Seri Kembangan.

Dengan hanya memiliki 16 orang rakan yang kebanyakannya bukan dalam kalangan kaum Melayu, Khalil Affendi dilihat lebih gemar mengetengahkan isu dalam negara di laman sosialnya itu.

Khalil Affandi mula menulis di Facebooknya pada 23 Mei 2012, berkaitan berita daripada portal Malaysiakini mengenai tapak niaga di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga.

Entri terakhir yang ditulis di Facebooknya ialah pada 5 Julai lalu mengenai artikel yang juga ditulis portal berita Malaysiakini berkaitan Uncle Seekers ditahan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Ayah dakwa anaknya 'gila Internet'

"Saya kecewa dia belajar tinggi tapi jadi begini." Demikian kata Ahmad Adam, 55, ayah Muhdalena.

Menurutnya, Muhdalena anak kedua dari empat beradik adalah seorang yang peramah dan baik, malah sebelum ini bekerja sebagai penolong pengurus sebuah syarikat di Pelabuhan Utara, Klang sebelum berhenti hujung bulan lalu.

“Saya tidak sangka perkenalan Muhdalina dengan Khalil Afandi telah menyebabkan dia terjebak dengan perkara yang tidak masuk akal seumpama itu.

“Saya percaya ini ekoran sikapnya yang ‘gila internet’, malah kami sendiri tidak pernah mengenali Khalil Afandi dan hanya kenal dia dari surat akhbar hari ini, malah percaya Muhdalina hanya mengenali lelaki tersebut melalui internet sahaja,” katanya.

Ahmad berkata, tiada sikap mencurigakan mengenai Ina melainkan dua hari sebelum kejadian dia menghantar dua anaknya ke rumah dan memaklumkan ada urusan untuk dua ke tiga hari, malah mereka tidak mengesyaki apa-apa.

“Dia tinggal bersama suami yang bekerja sebagai pemandu di syarikat yang sama di Rantau Panjang, Klang banyak menghabiskan masa dengan melayari Internet dan bukan dikategorikan sebagai seorang yang memiliki pengetahuan agama tinggi.

“Kami sekeluarga amat terkejut dengan kejadian yang berlaku kerana dia seorang anak yang baik, peramah dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga, malah dia juga berkelulusan UIAM.

Menurut Ahmad, dia hanya mengetahui kejadian menimpa Muhdalina setelah dimaklumkan oleh anak sulung yang terbaca mengenai perkara itu di Internet kira-kira jam 5 petang (semalam) dan menyangka hanya rusuhan biasa.

Difahamkan, Muhdalina sudah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru di kakinya dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, suami Muhdalina yang hanya dikenali sebagai Yusof berkata, dia yakin isterinya itu terlalu taksub dengan Khalil Afandi walaupun hanya mengenali lelaki itu melalui laman blog seminggu lalu.

Dia yang datang ke Hospital Putrajaya dengan ditemani seorang rakan hanya datang menyerahkan pakaian dan barang-barang keperluan isterinya kepada anggota polis yang berkawal.

Selasa, 10 Julai 2012

'Imam Mahdi' tersungkur kena dua das

PETALING JAYA: Lelaki yang maut ditembak polis ketika sedang mengamuk dalam cubaan menceroboh Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, petang Isnin jelas menyimpang dari prinsipnya yang ingin memperjuangkan keharmonian di negara ini.

Menerusi paparan bertarikh 4 Jun 2012 dalam laman blog yang dinamakan Jayanegara1234.blogspot.com, suspek yang dikenali sebagai Khalil Afandi Abd Hamid telah memasuki entri yang antara lain menyeru semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama supaya tidak membenci antara satu sama lain.

Malah, lelaki itu turut meminta semua umat Islam supaya melaksanakan perintah Allah iaitu menjaga hubungan kemanusiaan dengan penganut agama lain.

“Semua kita, tidak (kira) sesiapa pun adalah khalifah di bumi ini. Jangan kita lupa tugas khalifah…kita bekerja untuk Allah. Sebarkan dakwah. Sikafir tidak bertepuk tangan jika kita bergaduh.

“Tidak…mereka juga ada kemanusiaan…Cuma Iblis yg bertepuk tangan. Kamu juga jangan bertepuk tangan jika sikafir bergaduh! Amankan…damaikan mereka…itu tanggungjawab kita. Bukankah kita khalifah,” katanya dalam paparan bertajuk “Izinkan aku bicara”.

Bagaimanapun, lelaki itu dan seorang wanita yang baru dikenalinya telah mengamuk dengan melibaskan pedang samurai sehingga menyebabkan orang ramai dan penjawat awam bertempiaran lari menyelamatkan diri petang semalam.

Meskipun dipujuk sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pasangan suspek dalam kejadian amuk itu tetap berdegil sehingga memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.

Lelaki tersebut yang terkena dua das tembakan pada lengan kiri dan kaki kiri maut semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya akibat pendarahan.

Suspek wanita pula yang bernama Muhdalina Ahmad, 28, yang juga ibu kepada dua orang anak itu mengalami kecederaan di paha kanannya dan kini masih dirawat di hospital yang sama.

Muhdalina adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kedua-dua suspek yang menganggur itu dikatakan hanya mengenali antara satu sama lain seminggu yang lalu.

Blog milik Khalil Afandi yang beroperasi sejak Mei lalu itu turut menjadi medan untuk suspek berbicara mengenai agama, mengkritik pihak berkuasa, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

Suspek sempat memuat entri terakhirnya bertajuk “Hidup dan mati…apa yang dipertaruhkan” bertarikh 30 Jun lalu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak polis masih menyiasat motif, kaitan dan perancangan pasangan berkenaan ke Kompleks B Jabatan Perdana Menteri.

“Beri pihak polis masa untuk buat kerja,” katanya dipetik dalam laman sosial Facebooknya, Selasa.

Hishammuddin turut memberi jaminan pihaknya tidak pernah berkompromi dalam isu keselamatan.

Putrajaya: Seorang lelaki yang mendakwa dirinya ‘Imam Mahdi’ mati ditembak polis selepas mengamuk sambil melibas pedang samurai di pekarangan Kompleks Pejabat Kerajaan Blok B1, Jabatan Perdana Menteri (JPM), petang semalam.

Suspek dikenali Khalil Afandi Abd Hamid, 47, dan seorang kenalan wanitanya, Muhdalina Ahmad, 28, mulanya ke Pondok Pengawal JPM sambil menghunus pedang sebelum dihalang anggota Polis Bantuan di situ, tetapi selepas tidak mengendahkan arahan menyerah diri, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan amaran.

Tembakan amaran

Dua daripada tembakan itu masing-masing mengenai bahagian tangan dan ari-ari suspek lelaki dan satu lagi mengenai paha kanan Muhdalina. Walaupun terkena tembakan, Khalil dikatakan mengacu pedang samurai ke leher salah seorang anggota Polis Bantuan sambil memaksa dibenarkan masuk ke pejabat kerajaan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek kemudian meluru masuk ke perkarangan Blok B1 sambil melibas pedang dan cuba menetak kenderaan serta orang ramai di situ.

Berikutan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah serta Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dikerah ke situ untuk mengawal keadaan, namun Khalil terus agresif dan bertindak lebih ganas menetak sebuah kereta HYUNDAI Accent dan PERODUA Kancil milik seorang anggota Polis Bantuan.

“Lelaki itu turut menetak cermin PROTON Waja polis walaupun anggota yang tiba memperkenalkan diri. Tidak lama kemudian, sebuah lagi MPV datang membantu dan cuba memujuk suspek, tetapi diserang dengan pedang samurai sehinggalah polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kedua-dua suspek,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dua suspek itu kemudian dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi Khalil disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan kira-kira jam 3 petang, manakala keadaan Muhdalina dilaporkan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata polis yang turut merampas sebilah keris kecil dan tiga pisau lipat daripada kedua-dua suspek, masih menyiasat motif kejadian itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Baru berkenalan

Katanya, Khalil dan Muhdalina yang masing-masing mempunyai seorang dan dua anak, tidak bekerja tetapi wanita itu dikatakan bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan dikatakan baru seminggu berkenalan menerusi laman blog.

Belasungkawa: Mak Ungku - Al-Fatihah













KUALA LUMPUR – Tokoh budaya Azah Aziz, iaitu isteri Profesor Diraja Ungku Aziz dan ibu kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, meninggal dunia di sini semalam.

Menurut seorang anggota keluarga terdekatnya, Azah atau nama sebenarnya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, 83, meninggal dunia kerana sakit tua dan angin ahmar kira-kira pukul 10 pagi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas solat Asar.

Antara yang berada di tanah perkuburan memberikan penghormatan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta anggota keluarga dan kenalan rapat.

Terdahulu, solat jenazah disempurnakan di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar.

Azah berkahwin dengan Ungku Aziz pada 5 Mei 1946 dan dikurniakan seorang anak Dr. Zeti Akhtar Aziz yang kini Gabenor Bank Negara.

Allahyarham yang turut dikenali sebagai Mak Ungku dilahirkan pada 21 Ogos 1928 di Singapura dan dibesarkan di Johor Bahru. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Convent, Johor Bahru.

DIA seorang wanita yang pemalu. Setiap butir kata yang terucap di bibirnya penuh kelembutan.

Jelita dan anggun dengan penampilan baju kurung pesak Johor pada kebanyakan masa, di mata kebanyakan orang, beliau adalah seorang wanita yang sempurna.

Namun, di sebalik kesantunan wanita berdarah campuran Melayu, Turki dan Arab itu tersemat kekuatan dan keteguhan dalam dirinya yang sukar digugat oleh sesiapa.

Sharifah Azah Mohamed Alsagoff bukan hanya figura yang disegani dalam bidang budayawan, malah sejarah panjang hidupnya memberikan impak luar biasa dalam bidang kewartawanan negara.

Kehebatan itulah membuatkan permaisuri dalam hidup tokoh akademik tersohor negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, itu sentiasa memukau ramai bak sebutir permata yang bersinar.

Namun semalam, wanita yang lebih dikenali sebagai Azah Aziz menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 84 tahun. Beliau yang meninggal dunia akibat sakit tua dan angin ahmar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Pemergiaan ibu kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz itu bukan sahaja mengejutkan, bahkan ditangisi ramai. Negara kehilangan wanita yang selama ini begitu teguh mempertahankan nilai budaya agar tidak dimamah zaman.

Menyelusuri jejak hidupnya, Azah ternyata bukan lahir dalam calang-calang keluarga. Beliau merupakan cucu kepada Datuk Jaafar Mohamed yang juga Menteri Besar pertama Johor dan pak ciknya, Datuk Onn Jaafar merupakan pengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Azah bergelar anak yatim apabila kehilangan ayahnya ketika beliau berusia dua tahun di Singapura. Ketika itulah, ibunya Azizah Jaafar membawa Azah dan abangnya, Syed Omar untuk dibesarkan di Johor.

Dari detik itulah, Azizah sememangnya orang yang paling memberi impak dalam kehidupan Azah.

Azizah bukan sahaja mengajar Azah erti kekuatan, malah menunjukkan jalan kepada Azah dalam bidang kewartawanan.

Menjadi wartawan

Selepas bergelar setiausaha kepada Ketua Pengarang New Strait Times, Tan Sri Leslie Hoffman pada tahun 1957, Azah kemudian ditawarkan menjadi wartawan. Ibunya sendiri merupakan Pengarang Ruangan Wanita di akhbar Berita Harian, sebelum Azah mengambil alih jawatan itu dua tahun kemudian.

Selepas 12 tahun di Berita Harian, Azah kemudiannya menerima pelawaan untuk bertugas pula di Utusan Melayu sebagai Pengarang Rencana. Di Utusan Melayu, kerjaya dan nama Azah semakin disegani. Ini termasuklah apabila beliau merintis dan diberi kepercayaan sebagai Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama).

Mengimbas detik itu, bekas ahli politik dan tokoh wartawan negara, Tan Sri Zainuddin Maidin memberitahu, beliau mengenali Azah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Zah ketika berganding bahu dalam akhbar Utusan Malaysia satu ketika dahulu.

Kata Zainuddin, ketika itu beliau sendiri merupakan Pengarang Utusan Malaysia, manakala Azah pula merupakan Pengarang Rencana.

“Sepanjang bekerja di akhbar berkenaan, Kak Zah banyak menulis mengenai kebudayaan dan kesusasteraan Melayu, di samping hal-hal yang berkaitan dengan perjuangan kaum wanita di negara ini,” katanya.

Zainuddin menambah, tidak ramai yang mengetahui Azah juga merupakan salah seorang individu di sebalik kelahiran akhbar sisipan Mingguan Malaysia, Pancaindera yang terus kekal popular sehingga kini.

Ujarnya, sebelum itu, beliau telah mencadangkan agar Mingguan Malaysia mengeluarkan akhbar sisipan baharu berbentuk tabloid sebagai alternatif dalam memenuhi kehendak pembaca, di samping menyaingi pesaingnya daripada penerbitan lain.

“Ketika itulah, Kak Zah tampil memberi idea agar sisipan baharu itu dikenali sebagai Pancaindera, malah beliau juga antara salah seorang penyumbang utama dalam sisipan berkenaan.

“Biarpun hanya mempunyai lapan muka akhbar sisipan baharu itu, tetap padat dengan pelbagai kandungan dan informasi sekali gus menarik minat pembaca.

“Dalam tempoh dua bulan ia diterbitkan, ia telah melonjakkan jualan Mingguan Malaysia berbanding jumlah asalnya iaitu 70,000 naskah,” ujar beliau.

Pejuang budaya

Kecintaan Azah terhadap sastera dan budaya bukan sahaja jelas terpancar melalui penulisannya, bahkan melalui tutur kata dan penampilan beliau.

‘Tidak perlu menggandingkan kebaya dengan jean’, ‘baju kurung potongan klasik mengikut negeri di Malaysia sudah cukup istimewa’ dan ‘kenapa perlu dimodenkan reka bentuk baju kurung atau diganti jenis kainnya?’, adalah antara petikan kata-kata Azah yang membuktikan keteguhan beliau mempertahankan keaslian tradisi.

Sepanjang masyarakat mengenali beliau sama ada di media massa mahupun yang pernah bertemu depan mata dalam acara tertentu, pasti maklum akan ketekalan imej penampilan Azah.

Cukup hanya berhiaskan aksesori ringkas, beliau sentiasa tampak anggun dalam persalinan baju kurung pesak Johor yang mengangkat elemen warisan negeri tempat beliau bersekolah dan membesar. Azah setia pada busana itu lantas membentuk personaliti serta jati dirinya.

Semalam, kepulangan beliau ke rahmatullah turut dirasai oleh sekalian komuniti budayawan.

“Beliau akan diingati kerana penglibatannya dalam memperjuangkan seni budaya dari zaman muda hinggalah ke penghujung usia, khususnya yang berkaitan dengan busana warisan.

“Azah tidak pernah jemu melestarikan budaya tradisi yang dipegangnya, malah kita sedia ketahui betapa beliau sering memakai baju kurung Johor dalam apa juga acara yang dihadirinya,” ujar Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, Md. Ismail Zamzam ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah Md. Ismail, sumbangan Azah dalam memartabatkan seni budaya begitu mulia dan harus dipandang tinggi. Jasa Allahyarhamah perlu dihargai kerana usaha menghimpunkan maklumat, artikel penulisan dan busana tradisi untuk dijadikan sumber rujukan, buku bacaan serta koleksi akademik mahupun peribadi.

“Beliau ialah seorang pejuang budaya. Kehilangannya adalah satu kerugian buat komuniti budayawan, rakyat negeri ini dan juga Malaysia keseluruhannya,” ujar Md. Ismail.

Penampilan dikagumi

Selain pemergiannya dirasai keluarga dan teman-teman seangkatan, Azah turut dikagumi oleh generasi muda masa kini. Salah seorang yang menyanjungi beliau ialah Nori Tun Abdullah, iaitu anak kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood.

“Saya amat menghargai kesungguhan beliau mempromosikan tekstil serta kraf tangan tradisional Melayu. Beliau bukan sahaja seorang yang memperjuangkan warisan kita secara lisan atau bertulis, malah juga dari segi perwatakan dan pakaian,” ujar Nori.

Lebih membanggakan, Azah turut mendorong menyemarak gagasan anjakan minda kepada kelahiran wanita Melayu yang berkeyakinan, positif dan luhur.

“Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa beliau adalah antara mereka yang terawal memperjuangkan hak dan nasib wanita di negara kita,” ujar Nori.

Tambah beliau, Azah juga diingati sebagai insan yang begitu tekun mengenengahkan resam budaya bangsa menerusi penulisan beliau. Antara judul buku tersebut ialah Sayang: Pantun dan Seloka Kanak-Kanak yang padat dengan pantun dan puisi nasihat dalam bentuk yang menarik dan mudah difahami oleh anak-anak kecil.

Rujukan menulis

Sementara itu, Pengarang Kanan Unit Majalah Keluarga di Utusan Karya, Normala Hamzah yang pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Malaysia sekitar tahun 1980-an memberitahu, Azah ibarat ibu untuk tujuan rujukan mengenai penulisan.

“Sebagai wartawan yang kurang berpengalaman ketika itu, saya menjadikan Azah Aziz sebagai individu penting untuk rujukan sebelum menulis terutamanya mengenai fesyen, busana tradisional Melayu, budaya dan sebagainya.

“Para pengarang berita dan rencana dahulu juga menggalakkan wartawan baharu untuk mendapatkan pandangan beliau kerana beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas,” katanya yang terkejut dengan berita pemergian ikon budayawan itu semalam.

Normala memberitahu, sepanjang mengenali Azah, beliau adalah seorang individu yang lemah lembut, penyayang dan tidak lokek dengan senyuman.

“Walaupun tidaklah begitu rapat dengan beliau, tetapi peluang menemubual beliau sepanjang bertugas di Utusan Malaysia ketika beliau menjadi penulis jemputan memberi peluang kepada saya mengenali sedikit karakternya.

“Beliau mempunyai naluri keibuan yang sangat kuat dan ia terserlah melalui karakternya,” kata Normala. - KOSMO

Khamis, 28 Jun 2012

Antara Perdana Menteri Palestin dengan Presiden Pas

Puak-puak Pas dan PKR atau dengan lain perkataan puak-puak pembangkang cuba memainkan gambar ini dalam laman sosial mereka untuk membuat perbandingan kononnya Perdana Menteri Palestin bersifat sederhana dalam pelbagai aktiviti kehidupannya seperti makan, minum, berpakaian, tempat tinggal dan perbelanjaan.

Ramai pengomen-pengomen dalam wall berkenaan mengutuk cara kepemimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mereka sifatkan sebagai pemboros, joli, makan makanan yang mewah-mewah sehingga lupa pada rakyat yang miskin.

Sekali... bila puak-puak Umno memainkan gambar Presiden Pas sedang tankedarah dan mempedal dengan seekor kambing panggang di atas meja depan mata, terus puak-puak Pas, PKR dan pembangkang terdiam diri.

Mungkin ada yang selak terngangga apabila melihat gambar pemimpin mereka sedang meratah makanan yang enak-enak, yang langsung tidak mencerminkan sebagai pemimpin Islam yang sederhana.

Itulah, lain kali sebelum nak mengata orang, tengok, tilik dan cermin diri sendiri dulu. Selak kain kat punggung tu, banyak kurap, panau dan kudis buta tertempek. Busuk lagi membusukkan.

Ahad, 17 Jun 2012

Kisah Mayat Membaca Surah Yasin di Mekah

Ini adalah cerita benar yang telah diceritakan oleh pelajar-pelajar Malaysia di Arab Saudi. Peristiwa ini baru saja berlaku dan disahkan benar oleh Ustaz Halim Naser, penceramah bebas yang terkemuka di Malaysia.

Ceritanya begini...

Pada suatu hari di musim haji yang lepas, pelajar Malaysia yang sama-sama menunaikan haji telah mengikut seorang Arab untuk mengebumikan jenazah seorang jemaah yang meninggal dunia pada musim haji. Makam tersebut terletak di Ma’la iaitu tempat pengebumian para jemaah haji yang meninggal dunia di Mekah.

Cara mereka kebumikan ialah dengan meninggalkan mayat dalam lubang yang disediakan dan menutupnya untuk kira-kira lapan bulan. Selepas lapan bulan, lubang itu akan dibuka semula untuk mengebumikan mayat yang baru.

Pada hari tersebut, apabila satu lubang dibuka untuk mengebumikan mayat yang baru, orang Arab tersebut bertempiaran lari kerana dia nampak mayat sedang bersila, bukan tidur seperti kebiasaannya.

Penuntut Malaysia ini memberanikan diri merangkak ke dalam kubur tersebut untuk melihat dengan lebih jelas. Hasilnya dia mendapati memang mayat tersebut sedang bersila dan mayat itu sedang membaca al-Quran dan al-Quran itu memang yang asli.

Selepas dilihat seterusnya. Ayat al-Quran yang terbuka ialah Surah Yassin. Satu lagi perkara ialah mayat tersebut tidak reput dan kain yang membalutinya juga tidak reput. Yang reput hanyalah kapas yang diletakkan di antara mayat dengan kain kapan (kain ihram).

Setelah dibuat kajian, rupa-rupanya mayat tersebut ialah mayat seorang lelaki berkulit hitam yang kerjanya ialah membersihkan Baitullah daripada tumpahan air zam-zam.

Kerjanya tiada lain selain daripada membersihkan Baitullah jika ada tumpahan air zam-zam. Jika tiada tumpahan, dia akan duduk di satu sudut Baitullah dan membaca Surah Yassin.

Itulah kelebihannya bagi orang yang berbakti ke jalan Allah. Inilah yang membuatkan kita semakin berkobar-kobar untuk mengunjungi Baitullah.

Selepas peristiwa itu, lubang kubur itu pun dipatri (disimen) dan ditandakan agar tiada mayat lagi yang akan dikebumikan di situ. Inilah bukti akan janji-janji Allah pada hamba-Nya yang taat dan ikhlas bekerja kerana-Nya.