Selasa, 13 November 2012

Darjat Nurul Izzah Lebih Tinggi Dari Dewan Ulama Pas

Selama ini, Pas sering menganggap bahawa Islam adalah hak ekslusif parti mereka. Kononnya, hanya ulama mereka yang layak bercakap mengenai Islam dan hukum hakam.
Kata-kata tok guru mereka mengatasi keputusan dan pandangan para Mufti mahupun Majlis Fatwa. Malah, seorang yang jahil juga, jika menjadi ahli Pas akan secara automatik dianggap alim.

Yang berzina, meliwat, berkhalwat, menipu, rasuah dan apa saja maksiat di dunia ini tidak menjadi soal sekiranya yang terlibat itu adalah ahli atau sekutu Pas.

Menentang Islam juga tidak salah, sekiranya bekerjasama dengan Pas untuk menjatuhkan UMNO.

Memperjuangkan hak untuk murtad juga boleh dijulang menjadi pejuang Islam, sekiranya tindakan individu tersebut mampu membantu politik Pas dan menjatuhkan UMNO.

Ertinya, sekiranya anda menjadi ahli Pas atau berbaik-baik dengan Pas atau memusuhi UMNO, maka anda boleh melakukan apa saja kejahatan atau maksiat di dunia ini dan akan tetap dipandang mulia atau jauh lebih Islam daripada UMNO.

Malah orang kafir yang menyokong atau bekerjasama dengan Pas juga adalah lebih Islam daripada UMNO.

Berdasarkan hakikat ini, maka kita merasa amat terkejut apabila dengan tidak semena-mena, Dewan Ulama Pas enggan mengambil pusing akan isu terbaru yang melibatkan agama, hukum Islam dan juga akidah umat Islam.

Malah, Dewan Ulama Pas menyerahkan kepada orang ramai untuk memutuskan sendiri akan perkara ini.

Mungkin kerana yang mengeluarkan kenyataan yang kontroversi itu adalah Nurul Izzah, maka Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib tiba-tiba kelu, tidak mampu mengeluarkan pendapat, pandangan mahupun hukuman dalam isu kebebasan memilih agama bagi umat Islam.

Menurut beliau, Nurul Izzah mempunyai pengetahuan yang tinggi dan tahu apa yang terbaik untuk semua pihak.

Secara tidak langsung, Harun Taib meletakkan Nurul Izzah lebih tinggi dari ulama dalam memperkatakan isu berkenaan agama sehinggakan beliau sebagai Ketua Dewan Ulama sendiri tidak layak untuk mengulas kenyataan Izzah.

Kata-kata Nurul Izzah adalah terang dan jelas, lengkap dengan rakaman video dan transkrip.

Kata beliau, “Bila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam agama…bagaimana saya boleh berkata, maaf ini hanya termaktub kepada bukan Melayu, sedangkan ia bersifat sama rata.”

Maksudnya juga mudah untuk ditafsirkan iaitu Melayu atau umat Islam juga berhak untuk menukar agama.
Benar, agama Islam adalah berakar tunjang dari hati atau roh dan tidak boleh diterjemahkan di atas kertas kad pengenalan mahupun tudung dan serban.

Namun, bagi Nurul Izzah untuk menyatakan bahawa umat Islam berhak menukar agama adalah satu kesalahan secara spiritual, syariat Islam dan perlembagaan negara.

“Untukku agamaku dan untuk mu agamamu.”

Jelas, Islam tidak memaksa, tetapi Islam meletakkan kesempadanan yang tegas terhadap murtad. Murtad atau keluar Islam atau menukar agama adalah satu kesalahan besar dalam Islam.

Murtad tidak boleh dimaafkan, dengan kata lain umat Islam tiada hak untuk murtad. Umat Islam murtad bukan kerana beliau berhak, tetapi kerana jahil atau sesat.

Namun, Izzah melihat ‘murtad’ sebagai hak asasi, sama seperti puak penyokong IFC dan penganut fahaman liberal dan pengamal pluralisme. Sedangkan, Islam mengatasi semua agama ciptaan manusia.

Oleh itu, ‘hak asasi’ untuk murtad adalah tidak relevan sama sekali bagi mereka yang benar-benar memahami Islam.

Memandangkan Izzah bukan ulama, maka tidak hairanlah jika beliau melihat Islam dari sudut mata kasar.

Tetapi, apabila Ulama Pas sendiri angkat tangan mengaku kalah dengan Izzah serta membiarkan orang ramai yang membuat keputusan sendiri, maka tidak salah jika kita menyatakan bahawa Ulama Pas bersetuju dengan Nurul Izzah iaitu umat Islam berhak menukar agama.

Dalam kata lain, Ulama Pas juga melihat Islam dari mata kasar sepertimana Izzah dan bukan memahaminya secara rohaniah.

Ini juga tidak mengejutkan kerana telah terbukti bahawa Ketua Dewan Ulama Pas sendiri meletakkan dirinya lebih rendah daripada Nurul Izzah dalam soal agama.

Justeru, wajarkah jika penyokong Pas terus menyokong parti itu atas alasan agama? Sedangkan Nurul Izzah seorang yang tidak pernah mendalami agama juga diletakkan lebih tinggi dari Dewan Ulama?

Bebas Pilih Agama… Kenyataan Bodoh, Melampau – Tun Mahathir

LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama adalah satu tindakan bodoh dan melampau.
Beliau berkata, orang Islam tidak boleh menukar agama sesuka hati dan orang bukan Islam mempunyai hak untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa ada sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

“Tak tau lah (Nurul Izzah) yang mahukan kebebasan dan berpolitik sampai tiada had. Kita orang Islam mana boleh tukar agama sesuka hati, tapi orang lain nak tukar mereka punya hal lah.

“Dalam Perlembagaan, masing-masing boleh amalkan agama mereka tanpa ada sekatan. Orang Islam dengan cara orang Islam dan kaum lain dengan agama masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Paintball Piala Dunia Asia (WCA) 2012 di Dewan Mahsuri, Padang Mat Sirat Ahad.

Dr Mahathir berkata, walaupun negara ini mempunyai ramai penduduk Islam dan diiktiraf oleh dunia sebagai negara Islam, ia tidak bermakna orang bukan Islam dipaksa menerima agama persekutuan itu.

Laporan portal berita pro pembangkang pada 3 November lalu memetik Nurul Izzah sebagai berkata: Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

“Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama…bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata,” katanya pada forum bertajuk ‘Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?’ di Subang Jaya.

Empat NGO Buat Laporan Terhadap Nurul Izzah

KLANG: Empat badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berikutan kenyataan kontroversinya mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu.
Laporan dibuat di Balai Polis Meru di sini, oleh Gerakan Masyarakat Prihatin Meru, Persatuan Penduduk Taman Datuk Bandar Meru, Persatuan Penduduk Kariah Kampung Haji Mohamad Sharif Meru dan Persatuan Kariah Surau Haji Kamarudin Meru pada pukul 1 tengah hari Ahad.

Mereka meminta polis menyiasat kenyataan Nurul Izzah itu yang didakwa berbaur hasutan.

Pengerusi Gerakan Masyarakat Prihatin, Jaya Kusuma Rosman berkata, Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai perlu bertanggungjawab sekiranya ada orang Melayu yang murtad ekoran kenyataannya itu.

Beliau berkata, Nurul Izzah juga perlu meminta maaf kepada orang Melayu dan berjanji tidak akan mengulangi kenyataannya itu lagi.

Laporan portal berita pro pembangkang pada 3 November lalu memetik Nurul Izzah sebagai berkata:
Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

“Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama…bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata,” katanya pada forum bertajuk ‘Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?’ di Subang Jaya.

Kenyataan Nurul Izzah Mempolitikkan Akidah, Jadikan Agama Gadaian

SANDAKAN: Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa orang Melayu Islam boleh memilih agama di bawah faktor kebebasan agama boleh menimbulkan suasana yang bukan sahaja sensitif, tetapi boleh menimbulkan kemarahan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan itu bersifat mempolitikkan akidah dan menjadikan agama sebagai gadaian.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk keselamatan, itu tidak akan kita benarkan.

“Jika dicampuradukkan politik dan pendekatan cakap tidak serupa bikin dengan agama dan isu kaum, ia memberi kesan yang boleh menjejaskan keselamatan negara,” katanya selepas merasmikan Program Rela Sabah Bersama Pemimpin di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau ingin mengetahui jawapan Pas kepada hujah Nurul Izzah itu kerana dahulu UMNO dikafirkan kerana berkawan dengan MCA dan Gerakan.

“Sekarang ini isu begitu sensitif, boleh diterima pula oleh Pas yang menunjukkan mereka tidak konsisten dalam pendirian mereka,” katanya.

Laporan portal berita pro pembangkang pada 3 Nov memetik Nurul Izzah sebagai berkata: Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

“Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama…bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai  kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata,” katanya.

Nurul Izzah berkata demikian pada forum bertajuk ‘Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?’ di Subang Jaya pada 3 November lalu.

Sabtu, 10 November 2012

Angkasa Nafi Laporan Bumi Akan Bergelap Selama Tiga Hari

KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Negara (Angkasa) pada Jumaat menafikan laporan blog dan artikel yang mendakwa bumi akan bergelap selama tiga hari mulai 23 Disember berikutan kedudukan bumi, matahari dan pusat Galaksi (Bima Sakti) akan berada pada kedudukan selari.

Di samping itu, laporan itu mendakwa, kedudukan awan-awan debu gelap atau Dark Dust Clouds berhampiran dengan Galaksi boleh menghalang penduduk dunia daripada melihat sebahagian daripada Galaksi, menurut kenyataan akhbar agensi itu yang dikeluarkan di sini, Jumaat.

Menurut kenyataan itu, berikutan senario tersebut, ada yang berpendapat bila bumi, matahari dan pusat galaksi selari (sejajaran) maka akan berlaku penumpuan daya gravity daripada bumi, matahari dan pusat galaksi sehingga boleh mengakibatkan kemusnahan alam semesta.

Selain itu mereka turut mendakwa bila bumi, matahari dan pusat galaksi selari, di mana terdapat awan-awan debu gelap berhampiran pusat galaksi maka bumi akan bergelap. Angkasa berkata semua andaian itu adalah tidak benar kerana pusat galaksi terlalu jauh dari bumi dan matahari iaitu 165 quadrillion batu, jadi kesan tarikan gravity adalah terlalu kecil.

"Awan-awan debu gelap menghalang penglihatan kita ke arah pusat Galaksi bukannya menghalang matahari daripada dilihat dari bumi," menurut agensi itu.

Malah, menurut Angkasa, terdapat juga video YouTube oleh pihak NASA yang telah disalahguna oleh pihak tertentu yang menunjukkan Pegawai Tabir NASA, Charles F.

Bolden, Jr memberi penerangan berkenaan persediaan peribadi dan keluarga sekiranya berlaku kecemasan, iaitu merujuk kejadian 911, puting beliung, gempa bumi dan sebagainya.

"Pihak-pihak tertentu telah memanipulasi video tersebut dengan artikel "Bumi Akan Bergelap Pada 23, 24 Dan 25 Disember 2012"," katanya. -BERNAMA

Tun Dr Siti Hasmah Berdebar Dengan Pementasan Teater

KUALA LUMPUR: Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengakui berdebar untuk menonton pementasan Tribute Teater Tun Dr Siti Hasmah yang bermula pada malam Jumaat hingga 19 November ini.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, perasaan itu timbul kerana dia berasa bahawa tiada perkara yang istimewa mengenai kisah hidupnya untuk ditonjolkan kepada khalayak.

"Saya berdebar sebenarnya dengan pementasan teater ini. Saya hanya orang biasa yang tidak mempunyai apa-apa yang istimewa untuk ditonjolkan kepada khalayak.

"Bagaimanapun, saya mengagumi kesungguhan produksi ini yang beria-ia memujuk saya lebih setahun semata-mata untuk mengangkat kisah hidup saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama tenaga produksi teater itu di Panggung Sari, Istana Budaya di sini, petang Jumaat.

Tokoh wanita itu meluangkan masa kira-kira satu jam bersama para pelakon sebagai pembakar semangat beberapa jam sebelum pementasan pertama pada malam Jumaat.

Beliau berkata, perkara yang paling penting untuk ditonjolkan adalah jasa dan khidmatnya kepada negara sebagai isteri pemimpin dan doktor wanita Melayu pertama di negara ini.

"Kisah hidup saya terlalu banyak dan panjang. Tentu sukar untuk mereka (produksi) memilih aspek penting untuk ditonjolkan.

"Namun, saya percaya mereka sudah lakukan terbaik dalam segenap aspek. Walaupun ada penambahan pada beberapa bahagian (untuk tujuan kesesuaian), ia boleh diterima dan tidak mengarut.

"Saya berharap mereka akan menerima apa juga kritikan atau komen mengenai pementasan ini dengan hati terbuka," katanya yang tidak dapat menyaksikan pementasan pada malam Jumaat itu kerana mempunyai urusan di luar negara.

Sebelum ini, teater arahan Erma Fatima itu berdepan pelbagai kontroversi sejak ia diumumkan beberapa bulan lalu.

Ia bermula dengan Adlin Aman Ramlie menarik diri sebagai pengarah dan digantikan Erma Fatima.
Kontroversi tercetus lagi apabila pelakon utamanya Erra Fazira dan Sofia Jane turut menarik diri kerana masalah jadual yang bercanggah dengan sesi latihan.

Tidak hanya membabitkan pelakon, tarikh asal pementasan yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos lalu itu turut ditunda dua kali iaitu pada 14 September dan terbaru pada 9 hingga 19 November.

Diterbitkan oleh World Islamic Network Television, teater itu dibintangi antaranya Siti Shariza Sharifuddin (Eja), Lisa Surihani, Esma Daniel, Nazim Othman, Azizah Mahzan dan Dira Abu Zahar.

Jumaat, 9 November 2012

Sekolah Pondok dipertahan


AMPANG: Institusi pondok di negara ini masih relevan kerana ia menjadi benteng mempertahankan identiti Melayu-Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata institusi ini perlu dipertahankan kerana ilmunya boleh diguna dan dirujuk untuk menangani pelbagai serangan ilmiah serta trend pascamodenisme yang sedang berlaku.
Beliau berkata, sistem pondok memenuhi maqasid syariah meliputi hal agama, akidah, kemanusiaan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan keamanan.

“Banyak buku karya besar diambil daripada teks pondok, malah ia turut dibaca oleh orientalis Barat dan musuh Islam,” katanya berucap pada majlis pelancaran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di Masjid Taman Bukit Indah di sini, semalam.

Beliau berkata, ulama dan intelek Islam perlu berdiri satu saf untuk melahirkan pemikiran Islam yang kukuh dan mantap serta meyakinkan bagi menghadapi musuh Islam.

“Bagi menghadapi isu kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had, sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama, maka hujah daripada teks pondok sangat mantap.

“Banyak kitab lama seperti karangan Sheikh Nuruddin al-Raniri, Sheikh Abdul Qadir al-Patani dan Sheikh Zainal Abidin al-Patani mengandungi penerangan jelas mengenai pelbagai hal agama serta worldview bangsa Melayu,” katanya. 
 
Sementara itu, Najib berkata, perlu disedari liberalisme dan pluralisme antara ancaman terbesar umat Islam di negara ini, malah fahaman itu sedang menular dan menggugat keharmonian serta kestabilan kehidupan beragama dan bermasyarakat.

Katanya, ada pihak jelas silap konsep kemajmukan sehingga melihat semua agama sama, sedangkan soal akidah mesti dipertahankan tanpa kompromi walaupun wujud nilai sejagat yang dikongsi bersama antara agama.

Beliau berkata, sungguh malang apabila golongan mengamalkan fahaman silap itu disokong pihak berkepentingan yang bersekongkol dengan mereka.

“Mutakhir ini, banyak tuduhan dan kenyataan tidak bertanggungjawab dibuat mengenai agama Islam dan amalannya di negara kita. Majoritinya tidak berdasarkan ilmu dan dibuat bagi memenuhi agenda pihak tertentu.

“Malangnya lagi, pengikut orang yang mengeluarkan pendapat itu juga kurang pengetahuan, lalu mudah mempercayainya.

“Mereka hanya mengulangi apa yang didengar tanpa memahami konsep sebenar dan tidak mampu membuat penilaian secara objektif.

“Mereka berdebat serta mempertikai tanpa memahami asal-usul perkara itu secara mendalam atau berdasarkan ilmu pengetahuan secukupnya, malah sewenang-wenang menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang benar,” katanya.

Najib berkata, agama, bahasa, pendidikan dan tempat ibadat adalah isu sensitif, justeru masyarakat jangan terbawa-bawa dengan sikap liberal melampau tanpa mengambil kira perasaan atau sensitiviti dan ketegangan kaum ketika membicarakannya secara terbuka dan bebas. - BERITA HARIAN