Jumaat, 11 Januari 2013

Kalimah Allah: Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan



Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah.

Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. 

Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keterangan/Hujah: 
  1. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah trinity. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga, tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.
     
  2. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew, manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh,Elohim dan juga Yhwh.
     
  3. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.
     
  4. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
     
  5. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaanya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.
     
  6. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
     
  7. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.
     
  8. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.
     
  9. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.
     
  10. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.
     
  11. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.
Berikut adalah fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh setiap negeri:

MELAKA: Cadangan Pewartaan Fatwa Larangan Penggunaan Kalimah Allah Ke Atas Penganut Kristian dan Orang Bukan Islam

Keputusan: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil.1/2010 yang bersidang pada 10 Rabiulawwal 1431H bersamaan 24 Februari 2010M sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut :

Mengesahkan dan menerimapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengenai larangan penggunaan kalimah Allah ke atas penganut Kristian dan orang bukan Islam seperti berikut :

i) Bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

ii) Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

WILAYAH PERSEKUTUAN: Fatwa Larangan Penggunaan Kalimah Allah di Kalangan Bukan Islam

Keputusan: Mesyuarat telah meneliti kertas kerja yang dibentangkan dan mengambil keputusan bahawa

i.  Lafaz Allah (Lafz Al-Jalalah) merupakan kalimah suci yang khusus untuk agama dan umat Islam sahaja, dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam.

ii.  Wajib bagi umat Islam menjaga lafaz ini dengan cara yang terbaik.

iii.  Bahawa sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

iv.  Bahawa empat [4] perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan pengunaan oleh orang bukan Islam.

v.  Bersetuju supaya diadakan dan dikuatkuasakan Akta Kawalan dan Sekatan Penggabungan Agama Bukan Islam kepada orang Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan sepertimana di negeri-negeri lain.

Akta/Enakmen: Seksyen 34 – Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah – Wilayah Persekutuan) 1993

TERENGGANU: Isu tuntutan penganut Kristian terhadap kalimah “Allah”

Keputusan: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pada 17 Januari 2010 bersetuju menerima keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82, yang telah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

PAHANG: Hukum Menggunakan Kalimah Allah Dalam Buku Terbitan Penganut Kristian

Keputusan: Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil 2/2008 telah bersidang pada 11-12 Jun 2008 telah membincangkan hukum menggunakan kalimah Allah dalam buku terbitan penganut Kristian dan mesyuarat telah memutuskan seperti berikut :

1. Penggunaan kalimah Allah dan lain-lain istilah agama Islam yang dipakai oleh orang Islam untuk kegunaan agama Islam adalah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam samada bagi tujuan dalam penerbitan, percetakan, media elektronik, internet, filem dan lain-lain bahan penyebaran.

2. Kesalahan menggunakan kalimah Allah dan istilah agama Islam telah termaktub dalam Enakmen kawalan dan sekatan pengembangan agama-agama bukan Islam no.5 tahun 1989.

KELANTAN: Hukum Penggunaan Nama Allah Bagi Bukan Islam

Keputusan: Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 27 Dis 2009 telah membincangkan hukum penggunaan nama Allah bagi bukan Islam. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan bahawa hukum penggunaan nama Allah bagi bukan Islam adalah di haramkan.

SELANGOR: Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah

Keputusan: Menurut seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [En. 1/2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 3/2008 bertarikh 10 Jun 2008 dan atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan menyediakan fatwa yang dinyatakan dalam Jadual dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu.
  1. Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
     
  2. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan Undang-Undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
PERAK: Fatwa Mengenai Penggunaan Kalimah Allah Hanya Merujuk Kepada Tuhan Yang Maha Esa Dalam Agama Islam Sahaja

Keputusan:
 BAHAWASANYA Jawatankuasa Fatwa, pada menjalankan kuasanya di bawah seksyen 36 dan seksyen 27 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 [Enakmen 4 tahun 2004], telah menyediakan fatwa yang terkandung dalam ini:

Dan bahawasanya menurut seksyen 37 Enakmen yang sama, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan telah memperkenankan penyiaran fatwa ini dalam warta dan Kerajaan Negeri telah dimaklumkan tentang fatwa ini:

Maka, oleh yang demikian, pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, Jawatankuasa Fatwa, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat dan menyiarkan fatwa yang berikut:

(i) Penggunaan Kalimah Allah hanya dikhususkan kepada umat Islam;

(ii) Mana-mana penganut selain daripada penganut Agama Islam adalah dilarang daripada menggunakan Kalimah Allah untuk sebarang tujuan atau maksud;

(iii) Orang-orang yang bukan beragama Islam adalah dilarang daripada menggunakan Kalimah Allah dalam apa jua penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan sebagainya.

KEDAH: Fatwa Mengenai Larangan Penggunaan Kalimah Allah Oleh Orang Bukan Islam

Keputusan: Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 21(3) dan subseksyen 24(4) Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 [Enakmen 10] Jawatankuasa Fatwa dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Kedah Darul Aman dengan ini menyiarkan fatwa seperti dinyatakan dalam Jadual.

Bahawasanya penggunaan “Lafzul Jalalah” iaitu kalimah Allah hanya khusus dan eksklusif untuk umat Islam sahaja. Agama selain daripada Islam adalah tidak boleh dan dilarang menggunakannya dalam apa jua bentuk penerbitan bertulis, media cetak, media elektronik, audio visual dan yang seumpamanya.

Oleh yang demikian, maka inilah diisytiharkan fatwa tersebut seperti di atas untuk diwartakan.

JOHOR: Penggunaan Kalimah Allah Oleh Orang Bukan Islam

Keputusan: Menurut subseksyen 48(6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Johor) 2004 [Enakmen 16 Tahun 2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Johor, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku Sultan, memberi dan mengisytiharkan fatwa seperti berikut:

“Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, serta ditegah dan dilarang.”

PAS Sembah Patung

Umum sedia maklum bahawa orang-orang PAS menganggap parti mereka sebagai agama. Tetapi tahukah anda bahawa ‘agama PAS’ ini juga mempunyai berbagai mazhab? Ajaran mazhab-mazhab dalam ‘agama PAS’ ini pula berbeza mengikut ‘mood’ pemimpinnya, selain masa, tempat dan keadaan semasa.

Tidak dapat dipastikan ada berapakah mazhab di dalam PAS, tetapi yang dapat dikenalpasti ialah tiga iaitu Mazhab Hadi, Mazhab Nik Aziz dan Mazhab Azizan.

Antara perbezaan ajaran mazhab-mazhab ini ialah mengenai binaan patung.

Mazhab Azizan nampaknya berpegang kepada binaan patung adalah tidak salah. Oleh itu, setelah mengambil-alih Kedah, PAS tidak pernah langsung menyentuh soal kewujudan patung helang bersaiz gergasi di Pulau Langkawi sebagai berunsur syirik.

Ini amatlah berbeza dengan mazhab Nik Aziz dan mazhab Hadi yang mengambil soal patung sebagai sesuatu yang serius dan perlu dihapuskan dengan seberapa segera.

Kerana itu, sejarah pemerintahan PAS di Kelantan yang mengamalkan mazhab Nik Aziz, bermula dengan ‘memancung’ kepala patung-patung kijang di bulatan dekat jambatan Sultan Yahya sejurus selepas mengambil-alih negeri itu pada tahun 1990.

Pendirian yang sama dipegang oleh mazhab Hadi di mana pada 3 Mac 2000, selepas PAS mengambil-alih Terengganu, Exconya, Wan Hassan Mohd Ramli telah membuat kenyataan, “Terengganu akan roboh semua patung haiwan termasuk patung sotong dan udang di bandar Marang. Tindakan meroboh itu dibuat sebagai mengikut langkah Kerajaan Pas Kelantan yang merobohkan replika kijang di bulatan Tuan Padang, Kota Bharu sebaik sahaja memerintah negeri itu pada tahun 1990″.

Pendirian ini bagaimanapun semakin longgar kerana masih terdapat beberapa patung lain yang tidak dirobohkan di sekitar Terengganu. Justeru, pada 31 Mei 2000, tidak sampai pun dua bulan kemudian, Hadi membuat kenyataan, “patung-patung di kawasan lain akan dihapuskan secara berperingkat apabila masyarakat tempatan sudah mula faham mengenai hukum.”

Kelonggaran pendirian ini juga selaras dengan mazhab Nik Aziz yang mana menyaksikan kemeriahan pembinaan patung-patung yang berbagai rupa dan kedudukan dan bersaiz gergasi selepas 1990.

Antaranya, patung Buddha berdiri di Bachok yang dibina pada tahun 2002 dengan sumbangan orang ramai sebanyak RM 2 juta yang mempunyai ketingian 36 meter dan 30 meter garis pusat.

Kerajaan negeri sendiri telah meluluskan projek itu dan telah memberi sumbangan sebanyak RM60,000 melalui wakilnya, Datuk Anuar Tan.

Selain itu, terdapat juga 100 patung kecil pelbagai jenis dan dua ekor naga raksaksa. Berhala duduk yang berada di Jubakar, Tumpat pula mempunyai ketinggian menyamai lima atau enam tingkat bangunan.

Suatu ketika, dunia dikejutkan dengan tindakan Taliban memusnahkan patung Buddha di Bamiyan. Pantas, rakyat Malaysia mengaitkannya dengan mazhab Hadi dan mazhab Nik Aziz yang tidak menunggu lama untuk memusnahkan patung sejurus mendapat mandat dahulu.

Namun, terbukti bahawa pendirian kedua-dua mazhab itu telah benar-benar berubah dan seiring dengan mazhab Azizan kini apabila Hassan Shukri melalui Harakahdaily pada 25 Ogos 2001 menyatakan bahawa “mereka mahu memburukkan nama PAS seumpama Taliban di Afghanistan yang memusnahkan patung Buddha di Bamiyan sebelum ini.”

Jelas, PAS cukup terganggu dan tidak suka dikritik kerana menghapuskan patung-patung.

Kerajaan Barisan Nasional (BN), walaupun sering dituduh sebagai sesat dan tidak Islam oleh PAS tetap mengambil serius soal patung yang bertujuan untuk disembah iaitu syirik.

Oleh yang demikian, ketika pemerintahan BN di Kelantan, permohonan masyarakat Siam untuk membina sebuah tokong gergasi pada awalnya tidak diluluskan oleh kerajaan negeri (BN) memandangkan saiz yang dicadangkan terlalu besar dan tinggi.

Namun setelah dirayu berkali-kali dan mengambil kira kebebasan beragama, maka akhirnya pembinaan tokong itu diluluskan dengan beberapa syarat, iaitu ia mesti dibina dalam bentuk berbaring, tidak boleh dalam bentuk menegak seperti cadangan asal dan mestilah terlindung supaya tidak mengganggu masyarakat Melayu/Islam sekitarnya.

Namun, semua syarat-syarat ini jelas tidak relevan dalam agama PAS pada hari ini kerana membiarkan patung agama Buddha dibina tanpa syarat khas, selain menyokong PAS dalam pilihan raya.

Hari ini, kita melihat ketiga-tiga mazhab PAS itu telah sepakat bahawa ‘patung’ bukan lagi masalah dalam ‘agama PAS’, sekali gus soal syirik yang disebut dalam Islam adalah tidak timbul langsung.

Penganut PAS tidak pernah mempersoalkan perkara ini dan cukup akur dengan apa sahaja fatwa yang dikeluarkan oleh pemimpin mereka. Sama seperti masalah berkenaan bekerjasama dengan bukan Islam, undang-undang sekular, arak, judi, pusat hiburan dan sebagainya di mana dahulu haram, sekarang halal belaka.

Khamis, 3 Januari 2013

Kanang Anak Langkau Meninggal Dunia

KUCHING: Pahlawan Negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS), dipercayai akibat serangan jantung pada jam 1.45 pagi Khamis.

Beliau mengadu sakit dada ketika menonton televisyen di kediamannya di Sg Apong sebelum pengsan dan dikejarkan ke hospital.

Kanang, 65, adalah anak Sarawak yang menjadi kebanggaan negara kerana keberaniannya menentang komunis ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari 1962 hingga 1963.

Kerajaan Akan Beri Penghormatan Kepada Kanang Anak Langkau - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi penghormatan kepada pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau yang meninggal dunia, dipercayai akibat serangan jantung pada awal pagi Khamis.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk memberi penghormatan kepada mendiang di Sarawak pada Ahad ini.

"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengarahkan saya untuk meminta pegawai-pegawai pertahanan untuk melakukan persiapan bagi penghormatan kepada mendiang.

"Kerajaan negeri (Sarawak) juga akan mengkoordinasikan majlis penghormatan ini. Kami mengenang Kanang Anak Langkau kerana jasa-jasa beliau bukan sahaja kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi juga kepada negara kita ketika beliau berkhidmat sebagai salah seorang anggota tentera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Graduasi Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Malaysia Siri 32/2012 di sini, Khamis.

Ahmad Zahid berkata, beliau mengenali Kanang secara peribadi dan merasakan kehilangan seorang teman yang merupakan seorang pahlawan negara.
Menurutnya, jasa budi Kanang akan dikenang kerana mendiang berkesempatan untuk meriwayatkan perjuangan beliau menerusi beberapa wawancara dan pengkisahan.

"Saya agak terkilan kerana filem yang bertajuk 'Kanang Anak Langkau' belum sempat disiapkan. Bagaimanapun, saya akan meminta penerbit dan pengarah filem berkenaan agar menggunakan bahan-bahan penggambaran yang sedia ada untuk disiapkan bagi dipertontonkan kepada khalayak umum.

"Pengriwayatan beliau dalam bentuk wawancara, buku dan filem adalah sebagai mengenang jasa beliau dan menjadikan contoh kepada para pegawai dan anggota tentera yang lain," katanya.

Kanang dianugerahkan dengan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 7 Jun 1987 dan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (PSP) pada 3 Jun 1981 daripada Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini mendiang merupakan satu-satunya penerima kedua-dua anugerah terbesar negara itu.

Kanang merupakan Pengesan Jejak Iban (Iban Tracker) pada 21 April 1962 sebelum diserapkan ke Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963 dan beliau bersara dengan jawatan terakhirnya dalam ATM sebagai Pegawai Waran 1, selepas 21 tahun berkhidmat.

Antara perjuangan beliau yang menjadi kebanggaan negara apabila berani menentang komunis ketika bersama ATM dari 1962 hingga 1963.

Biodata



Kanang anak Langkau (1945 - 3 Januari 2013) ialah pahlawan dan askar Malaysia yang terkenal. Berasal daripada komuniti Dayak Iban di Sarawak. Beliau adalah daripada Rejimen Renjer Diraja dan merupakan Sarjan Mejar Rejimen kepada 8 Renjer dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Kanang dianugerahkan dengan pingat-pingat Panglima Gagah Berani dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa oleh Yang diPertuan Agong, Sultan Ahmad Shah pada 3 Jun 1981. Dilahirkan di Julau, Sarawak, Kanang menyertai perkhidmatan Renjer Sarawak sebagai Pengesan Jejak Iban pada 21 April 1962. Beliau diserap ke dalam Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.

Kanang menyiapkan perkhidmatannya selepas 21 tahun sebagai Pegawai Waran 1. Menyusuli kematian seorang askar di kawasan Tanah Hitam, Perak akibat serangan oleh pihak komunis pada 8 Februari 1980,  Platun Perisikan Pertempuran Unit dalam Renjer Diraja Batalion Ke-8 di bawah pimpinan Kanang ditugaskan untuk mencari dan memusnahkan kumpulan komunis.

Mereka menjejaki pihak musuh selama 11 hari di rupa bumi yang sudah biasa kepada pihak musuh. Pada sekitar jam 3 petang 19 Februari 1980, platunnya dapat menganggar kedudukan pihak musuh yang berhampiran.

Bagaimanapun, mereka kemudian menyedari mereka telah membuat kesilapan dan telah memasuki kawasan komunis apabila mereka menjumpai tali pintal komunikasi yang menghubungkan tempat terpencil sentri dengan pasukan utama pihak musuh.

Tali pintal itu biasanya diikat pada sebatang pokok yang rimbun atau tin kosong supaya sentrinya boleh menarik perhatian pasukan utama mengenai sebarang penceroboh.

Kanang yang ketika itu berada sejauh lapan meter dari tempat sentri pihak musuh, melancarkan serangan pada rusuk kanannya. Beliau kemudian mendapati bahawa pasukan utama pihak musuh berada di rusuk kirinya dan menyerang rusuk kiri dengan serta merta.

Dengan itu, beliau berjaya menumpaskan pihak musuh, dengan seorang komunis yang cedera ditangkap dan lima lagi komunis dibunuh. Seorang askarnya mengalami cedera parah, manakala Kanang pada dirinya sendiri terkena tiga tembakan, tetapi terselamat dan akhirnya kembali untuk meneruskan perkhidmatannya.

Beliau hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantung, yang merosakkan satu buah pinggangnya, usus perut terburai dan terlantar di hospital selama 14 bulan. Oleh itu beliau mengecam Mat Sabu yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero tragedi Bukit Kepong.
 
Ikon Pahlawan

Kanang dilantik sebagai ikon kategori pahlawan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 di Kuching, Sarawak  pada 20 April 2010.

Kenyataan Berita (ARKIB : 28/08/2011)

Mat Sabu pendokong komunis

KUCHING 27 Ogos - Wira negara, Pegawai Waran I (B), Temenggong Kanang Langkau melabelkan Mohamad Sabu sebagai pendokong komunis yang tidak layak mengambil bahagian dalam politik demokrasi di negara ini apabila mengangkat pengganas komunis sebagai hero tragedi Bukit Kepong.

Beliau yang menitiskan air mata apabila membaca laporan mengenai kenyataan prokomunis Timbalan Presiden Pas itu berkata, Mohamad Sabu juga adalah watak penghasut yang sewajarnya dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kanang yang tidak dapat mengawal perasaan apabila membaca laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini, menegaskan pemimpin pembangkang itu tidak layak menjadi rakyat Malaysia kerana tergamak membuat kenyataan sedemikian menjelang sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan negara Rabu ini.

“Orang ini (Mat Sabu) langsung tidak berguna, beginikah sikap bekas wakil rakyat? Kirim salam pada dia dan beritahu kalau mahu sokong komunis tidak perlulah lagi bertanding dalam pilihan raya.

“Dia simpati dengan komunis, maknanya dia juga komunis, selayaknya dibuang daerah,” katanya dalam nada terketar-ketar menahan marah kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Kanang, 67, ialah satu-satunya penerima dua pingat keperwiraan yang masih hidup iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB).

Mengulas lanjut, Kanang mengingatkan rakyat yang cintakan keamanan dan tanah air supaya tidak memberikan sokongan kepada Mohamad Sabu serta parti yang diwakili atau mana-mana parti yang bersekutu dengannya.

Katanya, gerak cara politik yang ditunjukkan Mohamad Sabu memalukan dan merupakan satu tragedi kepada rakyat Malaysia apabila sanggup melakukan apa sahaja demi meraih undi walaupun maruah dipijak-pijak.

“Saya terima kewujudan pembangkang dengan hati terbuka tetapi ini bukan cara berpolitik yang betul sampai sanggup jatuhkan moral rakyat, kalau rakyat tidak sedar saya tidak tahulah.

“Pastinya orang ini tidak pernah merasa bagaimanakah perasaan apabila parang diletakkan pada tengkuk mereka,” tegasnya.

Kanang Cerita Seorang Pahlawan

Sinopsis Novel ini mengisahkan kehidupan seorang perajurit, iaitu Kanang anak Langkau. Kanang yang berbangsa Iban dan beragama Pagan dilahirkan pada 2 Mac 1945 di Karangan Manok Nanga Meluan, Sarawak. Dia merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik.

Ketika kecil, ibu bapanya berpisah dan dia telah dihalau dari rumah kerana terlalu nakal. Kemudian, dia dipelihara oleh datuk dan neneknya. Kanang bersekolah hingga Darjah Tiga di “Local Authority”.

Selepas itu, dia melakukan pelbagai kerja seperti menjadi tukang masak, penoreh getah dan mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin. Seterusnya pada 21 April 1960, dia telah berjaya dalam temuduga dan diterima menjadi tentera sebagai Iban Tracker.

Kanang berkahwin dengan Helen Latai anak Intie dan dikurniai enam orang anak. Kanang meneruskan khidmatnya dengan Rejimen Ranger dan seterusnya dilantik sebagai eskut.

Pada 1 Januari 1966, dia dinaikkan pangkat sebagai Lans Koperal. Pada Mac 1973, dia berpindah ke kem Terentak Melaka, dia berkhidmat dalam Batalion Kelapan Rejimen Ranger. Di sana, dia dinaikkan pangkat sebagai Ketua Seksyen. Ketika menyertai Gerakan Pukat di Hutan Tanah Hitam, Perak, dia telah mengalami kecederaan parah ketika bertempur dengan pengganas komunis.

Akibat daripada kecederaan yang dialaminya itu, dia tidak sedarkan diri dan terlandar di wad selama setahun. Ramai menyangka Kanang tidak akan hidup lama, tetapi umurnya masih panjang.

Pada tahun 1980, Kanang telah dianugerah pingat Panglima Gagah Berani (PGB) sebagai mengenang jasa dan keberaniannya menentang pengganas komunis. Pada tahun 1981 pula, Kanang dikurniai bintang keberanian Seri Pahlawan Gagah Perkusa (SP).

Kanang meneruskan khidmat sebagai jurulatih di Sekolah Tempur Pegawai Muda. Pada 1 Mei 1981, dia telah dinaikkan pangkat sebagai Staf Sarjan dan seterusnya menjadi Kuatermaster Sarjan. Pada 1 Oktober 1980, dia dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran II dan sebagai Pegawai Waran I pada 17 Ogos 1985. Kanang bersara pada 30 Mei 1986. selepas bersara, dia dianugerahi ‘Bintara Bintang Sarawak’ oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasa-jasanya.

Tema Tema novel Kanang ialah keberanian dan semangat kontal dalam perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan negara dan semangat cinta akan negara di kalangan anggota tentera. Ini jelas diperlihatkan melalui watak Kanang dan rakan-rakannya yang berjuang mempertahankan tanah air daripada ancaman pengganas komunis.

Mereka sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan maruah dan kedaulatan negara. Kanang dan anggota tentera lain begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh, misalnya semasa Gerakan Pukat, Kanang berjuang habis-habisan menentang pengganas komunis.

Kanang telah mendapat cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis. Namun begitu, dia meminta rakan-rakan dalam pasukannya meneruskan perjuangan menentang pengganas komunis.

Persoalan yang terdapat dalam novel Kanang ialah semangat setia kawan dan sepasukan yang kuat. Sikap saling membantu antara sesama anggota tentera jelas dilihat. Kanang dan anggota tentera yang lain memberi bantuan kepada anggota tentera yang cedera dalam pertempuran dengan pengganas komunis dalam operasi Gerakan Setia 8179.

Persoalan lain yang terdapat dalam novel ini ialah keberanian melawan musuh terutamanya pengganas komunis. Anggota tentera sentiasa bersemangat untuk melawan musuh dan mengetepikan keselamatan diri sendiri.

Contohnya, Kanang dan rakan-rakannya begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh walaupun terpaksa berkorban nyawa. Selain itu, persoalan lain novel ini ialah menyelesaikan masalah dengan bijaksana.

Kanang menukarkan pakaian seragamnya dan menyamar sebagai orang awam dengan bertutur dalam bahasa Iban untuk mengelak daripada ditawan oleh tentera Siliwangi. Penghargaan kepada jasa dan pengorbanan juga merupakan persoalan novel ini.

Kanang menerima pelbagai anugerah kerana jasa dan pengorbanannya mempertahankan negara. Antaranya pingat yang dianugerahi kepada Kanang oleh kerajaan ialah Pingat Panglima Gagah Berani (1980), Seri Pahlawan Gagah Perkusa (1981) dan Pisau Angkatan Tentera (1982).

Plot permualan Kanang menghadapi kesusahan hidup kerana ayah dan ibunya berpisah semasa dia kecil. Kanang dipelihara oleh datuk dan neneknya selepas dihalau oleh ibunya kerana terlalu nakal.

Perkembangan sewaktu remaja, Kanang melakukan pelbagai kerja seperti penoreh getah, tukang masak dan mengangkut penumpang dengan perahu. Kemudian, dia diterima menjadi anggota tentera sebagai Iban Tracker. Dia berkahwin dengan Helen Latia anak Intie.

Perumitan Kanang berjuang menentang tentera Indonesia semasa zaman konfrontasi. Dia turut menyertai beberapa pertempuran dengan pengganas komunis dalam hutan dan berjaya membunuh beberapa orang pengganas komunis.

Klimaks dalam satu pertempuran dengan pengganas komunis, Kanang mendapat cedera parah dan tidak sedarkan diri. Dia terlantar di hospital selama setahun.

Peleraian selepas sembuh, Kanang meneruskan perkhidmatannya dalam tentera sehinggalah bersara pada 30 Mei 1986 dengan pangkat Pegawai Waran I. Kanang sekeluarga hidup dalam keadaan yang sederhana. Selepas bersara Kanang hidup sebagai petani dan isterinya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Walaupun kehidupan Kanang agak perit selepas bersara, namun dia bersyukur kerana semua pihak menghargai setiap pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan kepada negara. Watak dan perwatakan Kanang Anak Langkau Kanang lahir pada 2 Mac 1945 di karangan Manok Nanga Meluan. Dia ialah seorang yang berbangsa Iban dan beragama Pagan. Dia ialah seorang yang nakal semasa kecil sehinggakan dihalau oleh ibunya dan tinggal bersama datuknya.

Dia telah belajar di Sekolah Local Authority hingga darjah tiga. Dia telah menjadi tentera secara kebetulan. Semasa dia menghantar dua puluh orang pemuda yang hendak menghadiri temu duga bagi menyertai Iban Tracker di sebuah sekolah berhampiran kampungnya. Kanang dipelawa oleh seorang anggota tentera British lalu menyertai perbarisan dan menjalani temu duga. Akhirnya, Kanang diterima sebagai Iban Tracker.

Selepas itu, Kanang telah berkahwin dengan Helen Latai anak Intie dan dikurniai enam orang anak. Kanang ialah seorang yang amat mempercayai mimpi dan menganggapnya sebagai amanat atau maklumat yang boleh dipercayai betul dan berguna. Kanang juga ialah seorang yang berani, dia selalu menjadi peninjan pertama sewaktu melakukan gerakan.

Dalam pertempuran, dia bertindak berani dan menembak musuh tanpa mempedulikan nyawanya. Dia seorang yang patuh kepada arahan, majlisnya kerana ditugaskan dalam operasi mencari anggota 1st Loyal New Zealand Army yang hilang. Dia juga seorang yang berdedikasi, berani dan cinta akan negara. Dia telah berjuang menentang tentera Indonesia dan turut menyertai beberapa pertempuran dengan pengganas komunis di dalam hutan.

Helan Latai anak Intie Helen ialah isteri Kanang dan dikurniai enam orang anak. Dia ialah seorang isteri yang penyayang dan mengambil berat terhadap suaminya. Semasa Kanang cedera parah dan terlandar di hospital selama setahun, dia selalu menjaga suaminya di hospital. Dia juaga adalah seorang yang pandai menyesuaikan diri.

Setelah dia berkahwin dengan Kanang, dia tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan dia telah sesat semasa pergi pasar, tetapi dia telah berusaha gigih untuk menyesuaikan diri. Dia juga adalah seorang yang lemah semangat kerana dia telah pengsan setelah menerima berita tentang Kanang telah mengalami cedera parah dan terlandar di hospital.

Latar Latar Tempat 

1. Pasar Taiping, Perak : Isteri Kanang, Helan telan sesat di pasar Taiping ketika dia mula-mula belajar di pasar akibat malu bertanya kerana dia tidak tahu berbangsa Melayu.

2. Simanggang (Bandar Sri Aman) penghujung tahun 1964, di rumah Panjang Skra Hilir Sarawak : Kanang bersama bapa saudara Helen bertemu kali pertama dengan Helen Latai anak Intie. Kanang dan Helen kemudiannya berkahwin pada 25 Mei 1965 di Simanggang.

3. Rumah Kelamin pegawai di kem Terentak, Melaka : Kanang bertindak nakal. Dia telah mengambil helmet dan meletakkan di muncung senapang dan menyandarkannya ke dinding pos supaya orang menyangka senyri sedang berkawal.

Latar Masa

1. Bulan Mac 1962, pada waktu tengah hari dalam cuaca yang panas :Kanang menghantar dua puluh orang pemuda untuk menghadiri temu duga Iban Trackers.

2. Pada sebelah petang : Kanang bersama pasukan penjejak tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura untuk membantu pasukan 1st Singapura Infantry Regiment.

3. Pada 4 Jun 1979 : Kanang sebagan plantun sarjan telah menyenaraikan barang-barang penggarus dan meneruskan penggeladahan di kiri dan kanan sungai Piah.

Latar Masyarakat

1. Iban : Kanang - Rumah Panjang karangan manok ; Helen - Rumah Panjang Skra Hilir (Kaum Iban).

2. Pekerjaan masyarakat : Masyarakat Iban yang menjalankan pertanian seperti menanam padi, menjala ikan dan memburu binatang.

3. Pelbagai agama : Masyarakat Iban yang beragama Pagan.

Nilai murni

1. Bertanggungjawab - tanggungjawab sebagai pejuang tanah air amatlah besar dan harus disanjung tinggi.

2. Keberanian - para pejuang tanah air, terutama watak Kanang mempunyai sifat keberanian yang luar biasa dan sanggup mengadaikan nyawa demi orang lain dan negara.

3. Yakin pada diri sendiri - seseorang itu perlu yakin akan apa yang dilakukan dan tidak bertindak membuta tuli. Begitu juga dengan watak Kanang yang sentiasa yakin akan apa yang dilakukannya, terutama ketika bertugas di dalam hutan.

4. Cinta akan negara - negara merupakan tempat kita dilahirkan, tempat perlindungan, dan tempat kita mencari identiti diri. Oleh itu, kita harus berbangga terhadap negara sendiri.

5. Mengambil berat - jangan mengambil mudah dan bersikap sambil lewa terhadap sesuatu perkara yang berlaku.

6. Tabah - ketabahan merupakan perkara penting yang perlu ada dalam diri seseorang, lebih-lebih lagi ketika menghadapi tugas yang amat berat.

7. Berusaha dengan bersungguh-sungguh - jika kita memperoleh sesuatu yang dihajati, kita perlulah berusaha agar apa yang kita lakukan mendapat pengiktirafan daripada seseorang.

8. Bersyukur - setiap manusia perlu bersyukur dan berpuas hati atas sesuatu perkara yang diperoleh.

9. Faham-memahami - sekiranya mempunyai suami yang sentiasa bertugas demi negara, si isteri hendaklah memahami tugas suami itu.

10. Berdisiplin - setiap manusia mempunyai disiplin diri untuk melatih kita agar mempunyai jiwa yang teguh, berperaturan, dan dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna.

Pengajaran

1. Kita hendaklah sentiasa mencintai tanah air dan berasa bangga tinggal di tanah air yang aman damai ini.

2. Kita harus menyanjungi pengorbanan yang telah dilakukan oleh para perajurit negara dengan berderma kepada tabung pahlawan.

3. Kita tidak harus mudah berputus asa dalam apa jua yang kita lakukan kerana lambat-laun apa yang kita hajati itu akan tercapai akhirnya.

4. Janganlah kita mementingkan diri sendiri, kelak dibenci orang.

5. Sebagai rakyat yang tinggal di negara yang merdeka ini, kita harus bertanggungjawab menjaga keamanan, imej, dan nama baik negara.

6. Kita hendaklah sabar menghadapi dugaan hidup yang datangnya daripada Tuhan.

7. Kita tidak seharusnya berasa takut dalam perjuangan untuk mencapai kejayaan.

8. Kita seharusnya mempunyai semangat nasionalisme yang kuat, berani dan sanggup berkorban demi negara serta mempunyai semangat perjuangan yang tinggi.

9. Sebagai anggota tentera, kita hendaklah meningkatkan kemahiran dan profesionalisme agar dapat melahirkan satu masyarakat tentera yang bersemangat waja, kuat, dan cekap.

10. Pihak kerajaan, swasta, mahupun orang perseorangan perlulah membantu mana-mana pahlawan yang masih hidup dalam kemiskinan agar mereka turut merasai bahawa pengorbanan mereka dihargai dan mereka dapat hidup senang seperti orang lain juga.