Ahad, 27 Januari 2013

Peringatan Kepada Anwar, Azmin: Kafir Sekutu Allah

IPOH: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pada Sabtu mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan kalimah Allah.

Beliau menjelaskan jika umat Islam membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan Allah.

"Maka persetujuan itu juga menjadikan kita (umat Islam) kafir. Justeru kita mesti bersatu mempertahankan aqidah kita.

"Kita tak boleh terima dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang mempersekutukan Allah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat Damara Care and Herbs Sdn Bhd di sini Sabtu.

Harussani berkata hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan.

Justeru beliau meminta pihak berkenaan menghentikan cadangan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu kerana ini akan mencabar kesabaran umat Islam di negara ini.

Jika cadangan ini diteruskan, beliau bimbang akan menjejaskan keharmonian beragama serta perpaduan kaum di negara ini.

OMBAK Kutuk Nasruddin Tang Tawi Cemuh PM Ke Gaza

Memang patut pemimpin muda dan tua Pas ni dilabelkan sebagai golongan laknatullah, orang-orang yang dilaknat oleh Allah, sebab mereka-mereka ini telah sewenang-wenangnya dan dengan sengajanya mempergunakan al-Quran dan agama untuk kepentingan diri dan parti.

Bagi mereka, apa saja orang Islam lain berbuat kebajikan, tidak disukainya. Mereka ini akan bersifat syaitan dan iblis untuk menghasut orang ramai supaya membenci dan tidak menerima kebaikan yang dilakukan oleh orang Islam lain.


KOTA BHARU: Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), mengutuk keras kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan Tantawi, yang melabelkan usaha Rombongan Perdana Menteri ke Gaza sebagai ‘hipokrik tahap durjana’.

Presiden OMBAK, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, kenyataan tersebut menunjukkan Nasruddin gagal memanfaatkan ilmu yang ada untuk dirinya sendiri.

“Ini merupakan satu kenyataan bodoh dari seorang muda. Kenyataan yang paling laknat ini tidak sepatutnya keluar dari seorang pemimpin muda yang menerajui sayap parti yang dikatakan memperjuangkan Islam dan dikatakan berilmu.

“Saya terkejut dan tertanya-tanya apakah yang ada di dalam pemikiran pencacai ini sehingga sanggup mencaci maki dengan cacian yang begitu dahsyat kepada seorang muslim yang mempunyai niat suci bagi membantu saudara seIslam di Gaza yang dilambung pergolakan menjangkau 65 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan bagi mengulas kenyataan Nasruddin yang mencemuh lawatan bersejarah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Palestin.

Nasrudin dalam laman Facebooknya dipetik sebagai berkata, lawatan Perdana Menteri ke Palestin dan pertemuannya dengan Perdana Menteri Kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh sebagai hipokrit tahap durjana.

Najib mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama mengadakan lawatan ke bumi Palestin sambil menawarkan bantuan menjadi orang tengah bagi menjayakan pelan damai antara Fatah dan Hamas.

Mengulas lanjut Wan Khairul Ihsan berkata, tindakan pemimpin muda Pas itu tersasar jauh dari tuntutan agama dalam konsep bantu membantu sesama umat Islam di dalam kesusahan.

Beliau melahirkan rasa hairan terhadap sesetengah pemimpin parti Pas yang seringkali melihat negatif bila hasrat atau rancangan murni membabitkan pimpinan Kerajaan Pusat.

“Mereka sepatutnya melihat perkara ini dari sudut positf kerana usaha Perdana Menteri itu sebenarnya mewakili seluruh rakyat Malaysia. Perkara sebegini tak perlu dipolitikkan.

“Sikap Nasruddin itu sebenarnya sudah cukup bagi melambangkan bahawa beliau seorang pemimpin muda yang paling bodoh, sombong dan angkuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendesak agar Nasruddin menarik balik kenyatan dangkalnya itu kerana ia telah menimbulkan kemarahan orang ramai.

Jumaat, 25 Januari 2013

Urutan Perbicaraan Kes Sosilawati (Pathmanabhan)

Pathmanabhan Beritahu Akan Dibunuh Tiga Lelaki, Jika Biarkan Mereka Hidup


SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain hari ini berkata dia telah diberitahu oleh N.Pathmanabhan bahawa tiga lelaki, termasuk pemandu jutawan kosmetik itu dan seorang peguam yang dikatakan dibunuh dan dibakar di sebuah ladang diBanting, akan membunuh bekas majikannya jika mereka dibiarkan hidup.

R.Kathavarayan, 32, berkata demikian ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff sama ada dia mengetahui punca kejadian itu berlaku.

"Awak tahu mengapa mereka dibunuh dan dibakar," soal Ishak.

"Saya tidak tahu alasan sebenarnya tetapi saya telah diberitahu oleh Pathmanabhan," jawab Kathavarayan.

"Apa Pathmanabhan beritahu kamu?" soal Ishak.

"Dia beritahu saya: "Jika saya (Pathmanabhan) biarkan mereka, mereka akanbunuh saya". Kemudian dia beritahu saya (Kathavarayan) tidak akan faham," jawabtertuduh keempat.

Kathavarayan diperintah membela diri di Mahkamah Tinggi di sini bersama Pathmanabhan, 44, T.Thilaiyalagan, 22, dan R.Matan, 23, atas pertuduhan membunuhSosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil AbdulKarim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, JalanTanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30Ogos 2010.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam keterangannya sebelum ini, Kathavarayan berkata dia ternampak tigalelaki, iaitu pemandu Sosilawati, seorang peguam dan seorang lagi yang tidakdicam wajahnya, terbaring di kawasan bersebelahan dengan longgokan kayu api diladang itu pada 31 Ogos 2010.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Pathmanabhan, Kathavarayan berkata dia menghormati dan takut dengan bekas majikannya itu kerana tahu apa akan dilakukan oleh Pathamanabhan sekiranya tertuduh pertama itu marah.

"Beritahu mahkamah apa perkara yang boleh menyebabkan Pathmanabhan marah,"soal Ishak.

"Biasanya dia akan marah sebab makanan, kalau tidak dengar cakap dia dan tipu dia. Saya pernah lihat dia marah polis trafik," jawab tertuduh keempat.

Kepada soalan lain, Kathavarayan berkata dia ada memberikan sepasang sarungtangan kain selepas diminta oleh Pathmanabhan.

Tertuduh keempat berkata bekas majikannya itu telah menggunakan sarung tangan berkenaan ketika memandu sebuah kereta jenis BMW bernombor pendaftaranAAJ 5 keluar dari ladang pada malam 30 Ogos 2010.

Keterangan saksi di mahkamah sebelum ini mengesahkan bahawa kereta itu adalah milik Ahmad Kamil.

"Saya katakan tujuan Pathmanabhan pakai sarung tangan untuk mengelakkansebarang cop jari," kata Ishak dan Kathavarayan menjawab "ya".

Tertuduh keempat seterusnya memberitahu Pathmanabhan turut mengarahkan seorang lagi pekerja ladang, U.Suresh untuk memandu keluar sebuah lagi kereta jenis BMW bernombor pendaftaran WTL 11 dari ladang pada hari yang sama.

"Suresh ada beritahu saya Pathmanabhan suruh dia pergi parking kereta diluar dan tunggu Pathmanabhan di situ," kata Kathavarayan.

Menurut keterangan saksi di mahkamah sebelum ini, kereta itu dinaiki olehSosilawati dan Kamaruddin pada hari mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos 2010.

"Semasa kereta WTL 11 keluar dari ladang dan kereta AAJ 5 dipandu Pathmanabhan keluar, di mana Sosilawati, pemandunya, peguam dan banker itu?" soal Ishak.

"Ada di bahagian belakang ladang," jawab tertuduh keempat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.


Pathamanabhan Akan Gantung Diri Kalau Timbul Masalah, Kata Kathavarayan 


SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu pada Selasa mendakwa tertuduh pertama, N.Pathmanabhan memberitahunya supaya tidak bercerita kepada sesiapa mengenai kejadian bunuh yang dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010 itu kerana jika timbul masalah bekas peguam itu akan menggantung dirinya.

R.Kathavarayan, 33, berkata, Pathmanabhan juga meminta supaya dia (Kathavarayan), tertuduh kedua, T.Thilaiyalagan, tertuduh ketiga R.Matan dan seorang lagi pekerja ladang, U.Suresh berlakon baik seolah-olah kejadian itu tidak berlaku.

Suresh, 29, dan seorang lagi pekerja ladang, K.Sarawanan, 22, kini menjalanihukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, kerana kesalahan melupuskan bukti berkaitan kes pembunuhan itu.

Menceritakan mengenai perbincangan pada 3 Sept 2010 di dalam kereta jenis BMW milik Pathmanabhan, Kathavarayan berkata, bekas peguam itu bertanyakan sama ada dia (Kathavarayan) ada bercerita kepada sesiapa mengenai kejadian bunuh yang dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010 itu.

"Dia (Pathmanabhan) beritahu tolong jangan beritahu apa-apa pada sesiapapun, jika berlaku apa-apa atau ada apa-apa masalah dia (Pathmanabhan) akan gantung diri," katanya.

Seterusnya, Kathavarayan berkata, pada 4 September 2010, Pathmanabhan memberitahubahawa dia (Kathavarayan), Thilaiyalagan, Matan dan Suresh akan ditangkap polis dan perkara itu menyebabkan mereka berasa takut.

"Pada mulanya Pathmanabhan suruh kami beritahu bahawa tidak berlakunya kejadian(pembunuhan) ini...tiada kejadian berlaku di ladang. Andai kata salah seorang antara kami mengaku dengan polis dia (Pathmanabhan) pohon jangan tunjukkantempat-tempat ini dengan tepat seperti tempat dipukul. Kemudian kami tanya kenapa perlu berbuat demikian dan Pathmanabhan beritahu jika ditunjukkan tempat yang tepat akan memudahkan polis untuk mendapatkan DNA.

"Pathmanabhan berkata jika tidak beritahu dengan tepat pada polis kebiasaannya statement (kenyataan) yang diambil buat kali pertama hakim tidak akan terima sebagai keterangan dalam mahkamah dan kita boleh beritahu statement diambil dengan cara memukul. Oleh demikian statement pun akan ada masalah dan kita boleh keluar dengan mudah," katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini.

Tertuduh keempat berkata, mereka kemudian bertanyakan kepada Pathmanabhan sama ada mereka boleh keluar dari ladang sebelum ditangkap polis dan tertuduh pertama menjawab polis sudah tentu mengetahui siapa yang tinggal di ladang dan jika mereka melarikan diri, polis boleh membuktikan kes itu.

"Pathmanabhan berkata jika kita tinggal di ladang paling kurangpun polis hanya boleh buat tahanan reman sahaja dan jika boleh tahan sebulan serta tidak bercakap apa-apa pada polis, selepas tempoh reman tamat kami semua boleh keluar," katanya.

"Adakah awak yakin dengan kata-kata Pathmanabhan," soal Ishak.

"Ya, saya yakin," kata Kathavarayan.

"Sebab dia seorang peguam yang bergelar Datuk?," soal Ishak.

"Ya, sebab dia seorang peguam, bukan sebab dia 'Datuk' tetapi sebab dia mempunyai ramai kenalan dan rakan-rakan yang merupakan anggota polis," jawab tertuduh keempat.

Terdahulu, pada prosiding sebelah pagi, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Kathavarayan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menerima ugutan daripada seorang tahanan di Penjara Sungai Buloh petang Isnin.

Hasshahari memaklumkan perkara itu kepada Hakim Datuk Akhtar Tahir sebelum peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan menyambung soal balasnya ke atas tertuduh keempat itu.

"Saya dimaklumkan oleh anak guam saya bahawa dia menerima ugutan semalam (Isnin) dan telah memaklumkan kepada pegawai penjara. Ada seorang tahanan menghampiri diadan maklumkan tentang keterangan dia di mahkamah sebelum ini.

"Pagi ini di lokap mahkamah pun ada...berlaku kekecohan tentang keterangan(tertuduh) tetapi saya tidak dapat maklumat lanjut lagi (mengenai kejadian di lokap mahkamah). Pohon mahkamah benarkan anak guam saya membuat laporan polis," katanya.

Akhtar berkata, perkara itu perlu dibawa untuk perhatian pihak penjara dan beliau mahu pihak berkenaan menyiasat dakwaan tertuduh serta mengambil tindakan yang perlu.

Beliau juga membenarkan tertuduh keempat membuat laporan polis ketika prosiding mahkamah ditangguhkan.

"Tolong ingatkan tertuduh keempat dia perlu memberi keterangan di mahkamah tanpa rasa takut...dia tidak akan diapa-apakan. Dia juga tidak boleh mencari masalah dengan orang lain," katanya.

Kathavarayan Nafi Mohon Program Perlindungan Saksi Kerana Wang

SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini Isnin, menafikan dia memohon diletakkan di bawah program perlindungan saksi kerana ingin mendapatkan bantuan kewangan.

R. Kathavarayan, 32, ketika disoal balas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga R.Matan, juga menafikan cadangan peguam itu bahawa dia berbuat demikian selepas tidak berjaya mendapatkan wang daripada tertuduh pertama N.Pathmanabhan.

Sebaliknya tertuduh keempat itu berkata dia memohon untuk berada di bawah program itu kerana bimbangkan keselamatan isteri dan anak-anaknya.

Amer Hamzah: Saya katakan kamu membuat dakwaan itu (takutkan keselamatan keluarga) kerana kamu nak letakkan diri kamu dan keluarga bawah program perlindungan saksi.
Kathavarayan: Ya.

Amer Hamzah: Kamu tahu atau tidak unit perlindungan saksi terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kathavarayan: Tidak tahu.

Amer Hamzah: Saya katakan, sebab itulah sejak 14 Jan lepas, ada pegawai dari JPM yang memerhatikan kes ini kerana kamu sudah memohon untuk program perlindungan saksi.

Kathavarayan: Tidak.

Amer Hamzah: Kamu tahu atau tidak, di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009, keluarga kamu boleh diberikan bantuan kewangan?

Kathavarayan: Tidak tahu.

Amer Hamzah: Saya katakan pada kamu, selepas kamu tidak berjaya dapatkan wang daripada Pathmanabhan kamu memutuskan untuk memohon program perlindungan saksi untuk dapatkan bantuan kewangan dan lain-lain.

Kathavarayan: Tidak.

Kepada soalan lain Amer Hamzah, Kathavarayan menafikan bahawa dia pernahmemberitahu seorang tahanan di Penjara Sungai Buloh bahawa dia akan mengenakanPathmanabhan, Thilaiyalagan dan Matan.

Tertuduh juga menafikan bahawa dia ada berbincang dengan tahanan itu mengenai kes yang sedang dihadapinya.

Terdahulu, ketika disoal balas peguam Gurbachan Singh yang mewakili Thilaiyalagan, Kathavarayan tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa dia ada memberitahu Thilaiyalagan mengenai permintaan Pathmanabhan supaya keluarganya (Kathavarayan) berpindah keluar dari banglo milik tertuduh pertama itu.

Tertuduh keempat itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Gurbachan Singh bahawa dia telah meminta pertolongan Thilaiyalagan untuk memberitahu Pathmanabhan supaya tidak meminta keluarganya berpindah keluar dari banglo itu.

Gurbachan Singh: Bila kamu buat permintaan, Thilaiyalagan cakap dia tidak mahu campur dalam hal ini dan bila dia tidak mahu campur kamu sangat marah padanya.

Kathavarayan: Tidak setuju.

Gurbachan Singh: Saya cadangkan kepada kamu, kamu telah beri keterangan yang tidak memihak kepada Thilaiyalagan dan tertuduh lain untuk selamatkan diri kamu sendiri.

Kathavarayan: Tidak setuju.

Gurbachan Singh: Saya cadangkan kepada kamu, kamu beri keterangan yang tidakmemihak kepada Thilaiyalagan kerana kamu berdendam dengan dia kerana tidak menolong kamu untuk bercakap dengan Pathmanabhan.

Kathavarayan: Tidak.

Gurbachan Singh: Saya cadangkan kepada kamu, pada 14 November 2012 ketikaPathmanabhan minta keluarga kamu berpindah dari rumah dia dan ketika kamu mintaRM100,000 daripada Pathmanabhan, Thilaiyalagan ada mendengar perbualan itu.

Kathavarayan: Tidak setuju.

Kathavarayan Nafi Rancang Pembebasan Dengan Menjadi Pemberi Maklumat Polis

SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menafikan bahawa dia membuat perancangan dengan pihak polis mengenai pembebasannya sebagai 'ganjaran' menjadi pemberi maklumat kepada mereka.

R.Kathavarayan, 32, membuat penafian itu ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N.Pathmanabhan.

Manjeet Singh mengingatkan Kathavarayan yang dia memberitahu Manjeet Singh semalam yang dia akan mengadakan kenduri dalam tempoh dua bulan dan akan dibebaskan.Kathavarayan bagaimanapun menafikan bahawa dia ada berkata demikian kepada Manjeet Singh.

"Semalam saya berada di dalam lif bersama kamu dan dua anggota polis pengiring, kamu tanya saya kenapa saya tidak belikan makanan tengah hari untuk kamu dan saya beritahu kamu saya tak akan belanja kamu makan tengah hari," kata Manjeet Singh dan tertuduh menjawab ya.

"Kamu kata, kamu akan adakan kenduri dalam dua bulan lagi dan kamu jemput saya...jawab dengan jujur yang kamu ada berkata begitu," soal Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "ya".

"Saya tanya kamu di mana kenduri itu sama ada kamu akan bebas, adakah saya bertanya kamu demikian?" soal Manjeet Singh dan tertuduh menjawab "ya".

"Kamu kata dalam masa dua bulan kamu akan akan bebas," kata Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".

"Adakah kamu memberitahu mahkamah bahawa saya berbohong? Kamu kata kamu akan balik dan adakan kenduri dalam masa dua bulan," kata Manjeet Singh.

"Saya tidak kata begitu," jawab tertuduh.

"Saya cadangkan kepada kamu bahawa itulah yang kamu katakan. Ini sebahagian daripada perancangan bagi kamu menjadi pemberi maklumat polis," kata Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".

"Kamu kata (semalam), kamu pemberi maklumat polis...tolong polis tangkap orang lain," kata Manjeet Singh.

"Saya hanya beritahu saya ada bantu polis, saya bukan pemberi maklumat, jawab Kathavarayan.
Ketika ditanya Manjeet Singh sama ada dia ada menerima ganjaran kerana membantu pihak polis, tertuduh menjawab "tidak".

Kepada soalan oleh Manjeet Singh, Kathavarayan berkata tidak berlaku sebarang kejadian pembunuhan pada 30 Ogos 2010.

"Jadi, pertuduhan (bunuh) ke atas kamu dan tiga tertuduh lain yang dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010 antara 8.30 malam dan 9.45 malam tidak benar, betulkan," soal Manjeet dan tertuduh menjawab "ya".

Tertuduh 'Serang' Pathmanabhan Kerana Dendam Kesumat - Peguam

SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis dikatakan mengubah keterangannya di mahkamah dan 'menyerang' N.Pathmanabhan kerana menyimpan dendam kesumat terhadap bekas peguam itu.

Peguam Manjeet Singh Dhillon ketika menyoal balas R.Kathavarayan mencadangkan bahawa tertuduh menyalahkan Pathmanabhan kerana anak guamnya itu telah meminta isteri dan anak-anak Kathavarayan berpindah keluar dari banglo miliknya (Pathmanabhan) yang terletak di Sepang.

Saksi keempat pembelaan itu bagaimanapun berkata dia telah meminta isterinya untuk berpindah keluar dari rumah itu kira-kira enam bulan lepas.

Ketika Manjeet Singh mencadangkan kepada Kathavarayan bahawa pada pertengahan November tahun lepas Pathmanabhan ada memberitahu bahawa dia mahukan banglo itu semula kerana keluarganya terpaksa berpindah keluar dari rumah, tertuduh keempat menjawab, Pathmanabhan tidak berkata begitu.

Kathavarayan juga tidak bersetuju dengan cadangan Manjeet Singh bahawa dia menggunakan tertuduh kedua, T.Thilaiyalagan untuk cuba memujuk Pathmanabhan supaya tidak menyuruh keluarganya berpindah keluar dari banglo itu.

"Saya katakan isteri kamu masih duduk di rumah banglo itu hari ini dengan anak-anak kamu," soal Manjeet Singh dan tertuduh menjawab: "Saya tidak tahu kerana saya tidak hubungi dia (isteri)."

"Saya mencadangkan kepada kamu bahawa kamu telah meminta wang daripada Pathmanabhan untuk membeli sebuah rumah supaya keluarga kamu boleh berpindah ke situ," kata Manjeet Singh dan tertuduh menjawab "tidak".

"Pathmanabhan menolak permintaan kamu. Kamu kemudian mengugutnya yang kamu akan mengenakannya di mahkamah," cadang Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".

"Saya katakan kamu ubah cerita kamu (di mahkamah) kerana dendam disebabkan peristiwa di penjara di antara kamu dan Pathmanabhan dan kerana Thilaiyalagan tidak mahu bantu kamu," kata Manjeet Singh dan tertuduh menjawab tidak.

"Saya katakan kepada kamu yang kamu seorang pemutar belit, kamu seorang yang boleh mengubah keadaan untuk faedah diri sendiri," kata Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".

Kathavarayan seterusnya disoal Manjeet Singh mengenai laporan polis yang dibuat pada 3 Disember tahun lepas dan dia berkata laporan polis itu dibuat kerana dia bimbangkan keselamatan isteri dan anak-anaknya.

"Siapa yang kamu takutkan? Siapa yang kamu fikir akan mencederakan keluarga kamu," soal Manjeet Singh dan tertuduh menjawab "Pathmanabhan".

"Kamu bimbangkan keselamatan mereka dan hari ini mereka tinggal di rumah Pathmanabhan. Laporan kamu mengarut, satu laporan yang sengaja direka," kata Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".

Pada satu ketika Kathavarayan kelihatan lemah dan tidak selesa ketika diasak dengan pelbagai soalan oleh Manjeet Singh, dan apabila ditanya sama ada dia ingin berehat, tertuduh menjawab dia ingin meneruskan keterangan.

Keadaan itu menyebabkan Manjeet Singh menempelak tertuduh dengan berkata: "Saya cadangkan kepada kamu bahawa kamu seorang tukang karut. Kamu hendak raih simpati daripada mahkamah, kamu buat-buat sakit untuk dapatkan simpati."

"Saya sedang mendapatkan rawatan," jawab Kathavarayan.

Manjeet Singh kemudian mencadangkan kepada tertuduh bahawa kakaknya ada datang ke ladang pada 30 Ogos 2010.

Dalam keterangan sebelum ini, kakak Kathavarayan dan keluarganya dinyatakan datang ke ladang pada 30 Ogos 2010.

"Tidak, bohong. Ini diajar oleh peguam yang mewakili saya sebelum ini," kata tertuduh.

"Siapa peguam kamu," soal Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "Ravi Nekoo.

Selasa, 15 Januari 2013

Bukti cinta seorang suami

PENYAKIT boleh menyerang sesiapa sahaja meski dengan amaran atau tanpa sebarang tanda. Seperti kanser yang menyerang isteri tercinta, tidak pernah kami menduga, tidak pernah kami meminta, penyakit datang sekelip mata.

Namun saya galas semuanya, menjaga isteri sedaya upaya, agar dia kembali seperti sediakala. Kami mendirikan rumah tangga pada 1999 dan dikurniakan seorang anak lelaki. Isteri saya guru sekolah dan saya pula pegawai di sebuah syarikat petroleum.

Episod kanser isteri saya bermula pada 2008. Ketika itu, dia mengalami kencing berdarah.Saya membawanya menjalani pemeriksaan dan doktor mendapati buah pinggang sebelah kiri isteri saya agak besar (hampir 13 sentimeter) berbanding sebelah kanan. Isteri saya disahkan menghidap kanser buah pinggang.

Pada 2010, isteri menjalani pembedahan membuang buah pinggang sebelah kirinya. Pasca pembedahan, isteri nampak sembuh namun beberapa bulan selepas itu, dia mula hilang selera makan dan demam. Tubuhnya jadi teramat letih dan seluruh badannya kekuningan.

Saya sedaya-upaya membawa isteri berubat, berulang-alik ke hospital mendapatkan rawatan.
Semakin lama, keadaan isteri bertambah tenat. Saya ambil keputusan berhenti kerja demi memberi 100 peratus perhatian kepadanya.

Pemeriksaan doktor mendapati pankreas isteri saya telah rosak. Diabetesnya menunjukkan kandungan tahap gula 17 hingga 19 dan tidak pernah turun akibat kerosakan pankreas. Saya bawa isteri bertemu pelbagai pakar untuk membantunya kembali pulih.

Pada 2011, doktor menjalankan rawatan ke atas isteri saya berikutan buah pinggang dan pankreas gagal berfungsi. Ketika itu, isteri saya koma selama seminggu.

Doktor panggil saya dan memberitahu bahawa tahap penyakit isteri saya sudah kronik. Doktor mengesan kanser sudah merebak ke seluruh anggota tubuhnya.

Saya tidak mampu berkata apa-apa melainkan reda dan berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan getir ini.

Di samping menjaga isteri yang sakit, saya perlu melakukan tugas harian, memasak, menghantar anak ke sekolah dan segalanya. Saya tidak pernah berehat kerana perjuangan menyembuhkan isteri tercinta, tidak perlukan rehat. Melihatnya kembali senyum, sudah cukup menghilangkan segala lelah saya.

Pada masa isteri melalui saat-saat kritikal, doktor mengesan satu lagi penyakit iaitu ketumbuhan dalam bahagian kiri otaknya.

Ketika itu, hanya Allah yang tahu perasaan saya. Namun, saya tabahkan hati dan kuatkan semangat. Bagi saya, tiada yang mustahil dengan izin-Nya.

Setelah itu, isteri menjalani rawatan radioterapi di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur. Setiap hari, Isnin hingga Jumaat, lima kali seminggu. Ketika itulah isteri mula mengalami kesan-kesan sampingan.

Dia tidak boleh mengunyah makanan, percakapannya makin perlahan dan berat badannya susut mendadak.
Doktor memberitahu keadaan isteri teramat tenat. Sel kanser telah merebak ke seluruh tubuh dan berada pada tahap empat. Isteri saya koma bermula Februari sehingga Jun 2011.

Lebih perit, doktor yang merawatnya memberitahu bahawa ilmu perubatan beliau hanya setakat itu sahaja. Tiada lagi kaedah rawatan lain yang boleh digunakan kerana kanser yang dihidapi isteri saya ketika itu telah merebak ke seluruh anggota badan.

Rawatan kemoterapi tidak boleh diberi memandangkan keadaan tubuhnya yang sangat lemah. Kanser tersebut merosakkan organ utama tubuhnya. Bermula saat itu, saya bawa isteri pulang dan menjaganya sendiri di rumah. Bermacam-macam ikhtiar saya lakukan.

Ketika itu juga ujian berat datang menimpa keluarga kami. Kami hadapi kesulitan wang. Saya terpaksa berniaga kecil-kecilan untuk menampung kos perubatan isteri.

Pada masa sama, kami terima surat tuntutan hutang kad kredit isteri bernilai hampir RM20,000. Baki hutang meningkat, dicampur faedah tahun ke tahun. Allah sahaja tahu penderitaan kami ketika itu.

Pada April 2011, saya kunjungi Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah. Mulanya, saya hanya bawa gambar isteri berserta sebotol air kerana isteri saya sedang koma. Kemudian saya dukung dia ke klinik untuk mendapatkan rawatan susulan.

Setiap kali rawatan, saya terima beberapa ayat al-Quran untuk dibaca kepada isteri serta doa mohon keberkatan dan rahmat Allah menyembuhkan penyakit isteri yang saya cintai.

Saya juga amalkan solat malam, solat hajat dan segala zikir yang disarankan. Ketika itu, hati saya terasa amat dekat dengan Allah. Saya serahkan urusan ini kepada-Nya. Saya berdoa dengan penuh pengharapan agar Allah sembuhkan penyakit isteri saya.

Ketika itu jugalah saya amalkan solat sunat taubat, menangisi kiranya ada dosa silam kami terdahulu yang tidak disedari.

Setelah mengamalkan bacaan ayat-ayat al-Quran ini, saya dapat lihat perubahan isteri. Dia mula sedar dan mampu duduk. Ingatannya makin pulih, memori lama dia boleh ingat. Tangan dan kakinya boleh bergerak. Isteri makin pulih dan boleh bertindak balas bila saya bertanya.

Tidak lama kemudian dia boleh bercakap. Derianya makin bertambah. Makan tidak lagi pakai tiub. Hanya mata masih kabur. Perubahan itu beransur-ansur baik hari demi hari.

Saya tidak tinggalkan amalan membaca al-Quran ini kerana saya yakin, inilah ubat yang saya cari selama ini.
Ketika itu juga, pihak bank menghantar surat melupuskan hutang kad kredit isteri. Saya menangis dan bersyukur. Betapa Allah mendengar doa para hamba-Nya.

Memasuki 2013, meskipun isteri sudah beransur baik, mampu mengunyah makanan sendiri, duduk di atas kerusi roda, bercakap semula biarpun tersekat-sekat, saya masih tetap meneruskan amalan bacaan al-Quran ini.

Itulah hikmah dugaan ini. Kini, saya berasa lebih dekat dengan Allah dan kasih kepada isteri semakin hari semakin bertambah.

Pada 21 Disember lalu, saya bawa isteri menjalani ujian darah kanser antigen dan hasilnya: Alpha-Fetoprotein pada tahap 1.8 (normal bawah 15), ujian CA 19.9 pada tahap 22.9 (normal bawah 37), ujian CA 15.3 pada tahap 14 (normal bawah 28) dan CA 125 pada tahap 21.8 (normal bawah 35).

Nasihat saya buat para suami yang senasib dengan saya, jagalah isteri kita sebaik mungkin. Ini adalah amanah Allah kepada kita.

Isnin, 14 Januari 2013

Kalimah 'Allah', sekejap boleh, sekejap tak boleh

HARI INI:

Kalimah Allah Tidak Boleh Diterjemah Ke Dalam Mana-Mana Bahasa - Majlis Syura PAS 

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa di dunia kerana ia tidak menepati kehendak sebenar kalimah ini.

"Tindakan menterjemahkan kalimah 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibenarkan kerana ia salah dari segi makna dan tidak menepati kehedak sebenar," kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada malam Ahad.

Beliau menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bagi penganut bukan Islam boleh membawa kepada kekeliruan yang nyata justeru tindakan tersebut perlulah ditegah.

"Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya.

"Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut.

"Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah," menurut kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, Nik Aziz dan Haron Din sepakat menegaskan kalimah Allah adalah alami kerana Allah Tuhan sekalian alam dan sesiapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab jahiliah yang bukan Islam menyebutnya.

"Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan Yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, tunggal tidak beranak dan tidak diperanakkan," katanya.

Mesyuarat Majlis Syura PAS yang bersidang pada malam Ahad, diadakan khas bagi membincangkan mengenai isu kalimah Allah dan Amanat Hadi pada malam Ahad bermula pada pukul 9 malam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.

Pemimpin PAS dan ahli Majlis Syura yang hadir bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan sebaliknya hanya kenyataan media sahaja diedarkan kepada kira-kira 20 wartawan yang menunggu.

Selasa lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam namun ia tidak boleh disalah guna untuk kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi polemik apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi mesej sempena sambutan Hari Krismas mendesak Kerajaan Pusat membenarkan perkataan Allah digunakan dalam kitab Bible bahasa Melayu.

Kenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya dari kepimpinan Umno dan ulama bebas.

Malah sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu PAS kali ini turut tidak bersetuju dengan desakan berkenaan.

Bukan itu sahaja, pemimpin tertinggi PAS sendiri termasuk Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, Haron Din, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyatakan pendirian tegas mereka, tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh penganut bukan Islam.

Dalam perkembangan lain, Majlis Syura PAS turut mendesak kerajaan supaya membenarkan Abdul Hadi menjelaskan mengenai isu 'Amanat Hadi' dan ia perlu disiarkan secara langsung selama satu jam di TV1 dan TV3.


SEBELUM INI:

Bukan Islam Boleh Guna Kalimah Allah - Hadi 


KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam namun ia tidak boleh diterjemah ke dalam mana-mana bahasa.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penggunaan kalimah Allah tidak wajar disalah gunakan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.

"Penganut Islam pelbagai bangsa boleh tetap menyebut perkataan Allah apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

"Selain itu Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PKR dan DAP menyambut baik pendirian PAS dalam isu penggunaan kalimah Allah.

“Kenyataan PAS kita sambut baik dan ia selari dengan pendirian Islam. Oleh demikian, kita tidak halang namun dalam mesyuarat kita suarakan keprihatinan kita supaya tidak ada pihak mempermainkan isu ini.

“Pihak-pihak gereja juga perlu menghormati prinsip ini sebagaimana orang Islam meletakkan dan memuliakan nama Allah,” katanya.

Diminta mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, Hadi bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Cukuplah dengan kenyataan saya sebelum ini…PAS konsisten dengan pendirian dalam isu ini seperti yang dikeluarkan pada 4 Januari 2010,” katanya.

Isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi polemik apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi mesej sempena sambutan Hari Krismas mendesak Kerajaan Pusat membenarkan perkataan Allah digunakan dalam kitab Bible bahasa Melayu.

Kenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya dari kepimpinan Umno dan ulama bebas.

Malah sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu PAS kali ini turut tidak bersetuju dengan desakan berkenaan.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, pendirian parti itu jelas bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah 'God' dengan 'Tuhan' dan bukannya 'Allah' untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal kitab berkenaan.

KL112: Model Remaja Dikecam Ekoran Tweet Sensasi

PETALING JAYA: Seorang 'bintang Twitter' dilahirkan selepas penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat (KL112) anjuran pembangkang berlangsung pada Sabtu lalu.

Model sambilan, Shasha Mendoza secara tiba-tiba menjadi sensasi di alam siber selepas menghantar tweet menyokong kerajaan.

Dia menerima kritikan daripada penyokong pembangkang. Tweet-nya berbunyi: "Kepada penyokong #KL112, jika anda tidak suka Malaysia, anda boleh keluar daripada Malaysia. Sekurang-kurangnya hargailah apa yang dilakukan oleh kerajaan.

"Anwar berjanji untuk memberikan pendidikan percuma untuk rakyat. Itu semua adalah pembohongan. Mana Anwar nak dapatkan berjuta-juta ringgit untuk bayar hutang rakyat? Fikir."

Pandangannya itu kemudianya menerima kritikan apabila dia 'diserang' penyokong pembangkang di laman sosial berkenaan.

Seorang pengguna Twitter menghantar tweet kepada Shasha: "Saya pasti anda bodoh kerana anda hanya menonton berita TV3."

Bagaimanapun pelajar universiti berusia 19 tahun berkata, kritikan ganas yang diterimanya itu tidak akan menjejaskan atau mengubah pendiriannya kepada Barisan Nasional (BN).

"Saya tidak takut diserang oleh penyokong pro-pembangkang. Saya akan berdiri teguh dan masih akan menyokong kerajaan.

"Kerajaan kita sudah menyediakan pelbagai bantuan yang diperlukan rakyat termasuk pendidikan yang baik, akses yang mudah kepada kemudahan kesihatan dan elaun khas bagi golongan yang memerlukan.

"Namun ada sesetengah orang tidak menyedari perkara ini," katanya kepada The Star pada Ahad.

Menurut Shasha dia tidak ditekan untuk memadam mana tweetnya dan menambah: "Kita hidup dalam sebuah negara yang aman dan harmoni dengan ekonomi yang stabil kerana dasar-dasar kerajaan.

"Sudah tentu beberapa dasar yang dibuat tidak berlaku dengan sempurna tetapi saya percaya kita hidup dalam sebuah negara yang begitu diberkati."

Ditanya jika dia merancang untuk menyertai politik, dia menyatakan minat tetapi hanya akan melakukannya selepas mencecah usia 21 tahun dan menamatkan pengajiannya.

Ahad, 13 Januari 2013

Janji PR: Bagai Lembu Pakai Cermin Mata Hijau

KUALA LUMPUR: Setelah dipalitkan dengan pelbagai dakwaan salah laku moral dan kronisme, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menagih simpati rakyat agar memberi peluang kepada pembangkang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau yang kerap kali berkata 'suara rakyat, suara keramat' seolah-olah menghantar mesej kepada rakyat agar berbuat sesuatu bagi memastikan gagasan itu berjaya mencapai cita-citanya untuk berkuasa di Putrajaya. 

"Beri peluang supaya suara rakyat menjadi suara pentadbiran di negara ini. Suara rakyat, suara keramat," kata Anwar.

Beliau kemudiannya mengulangi janji Pakatan Rakyat jika berjaya membentuk kerajaan kelak.

"Hari pertama kita memerintah, harga minyak akan diturunkan. InsyaAllah, PTPTN kita akan hapuskan, tol dan AES kita akan tumbangkan.

"Jadi berilah peluang pada Pakatan Rakyat sebab kita peka, bukannya pekak macam Barisan Nasional," ujar Anwar kepada lebih kurang 45,000 peserta himpunan yang hadir.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilihat cuba mempengaruhi rakyat melalui cadangan penubuhan 'Malaysia Baru' pakatan pembangkang dengan alasan untuk perkara tersebut diimpikan rakyat.

"Ini bukan lagi satu impian, anda semua yang ada di sini Malaysia Baru di tangan kita," katanya.
Beliau turut memperlekehkan komitmen kerajaan membantu rakyat melalui program-program yang disalurkan.

Beliau mendakwa kerajaan tidak ikhlas membantu rakyat apabila berkeras untuk melaksanakan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) walaupun mendapat tentangan banyak pihak.

Katanya bantuan kewangan RM500 yang diberikan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diperoleh semula oleh kerajaan dengan mengenakan saman terhadap rakyat.

"Tapi jangan suka terlalu awal, tangan kanan bagi duit, tangan kiri ambil balik. Kita nak haramkan dan hapuskan AES 1Malaysia," kata beliau ketika berucap.


Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya dilihat tersasar daripada matlamat asal himpunan pembangkang.

Hadi tidak ubah hanya mengulangi 'mentera' lamanya dengan menghentam kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) berbanding menekankan mengenai sepuluh tuntutan himpunan ini.

"Walaupun menerima konsep Islam agama rasmi persekutuan, hak bumiputera Melayu, hak bahasa ibunda, raja mengikut perlembagaan, Umno gagal memperkasakan Islam. Gagal memperkasakan Melayu Bumiputera. 

"Malah pemimpin Umno tidak tunjuk wajah Islam sebenar, hanya wajah rasuah, wajah penyelewengan, penipu," kata beliau dalam ucapan.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Marang itu berkata pakatan pembangkang akan menangani Umno dengan menawarkan pelbagai keperluan rakyat dengan bersih dan adil.

"(Kita) akan hapuskan tol di Malaysia kalau kita ke Putrajaya, bebaskan cukai.

Pengerusi sekretariat himpunan Mohamad Sabu sebelum itu menafikan dakwaan bahawa peserta-peserta yang hadir ke perhimpunan tersebut dibayar sejumlah wang.

"Yang tak suka (himpunan), kata kita bayar RM150...kamu semua yang datang hari ini yang bayar, yang keluarkan duit untuk Pakatan," ujar beliau lagi.

10 Tuntutan Himpunan Pembangkang:

1.      Piihan raya yang bebas, adil dan telus merangkumi media yang bebas
2.      Prestasi, wibawa dan reputasi Felda diselamatkan
3.      Sabah-Sarawak diiktiraf adil setara dengan semenanjung Malaysia
4.      20% royalti minyak dikembalikan kepada negeri pengeluar minyak
5.      Kerajaan iktiraf dan tingkat profesionalisme, jamin kebajikan, lindungi masa depan kakiktangan awam termasuk guru-guru dan anggota keselamatan
6.      Kehidupan dengan persekitaran alam yang bersih dan menyihatkan
7.      Bahasa Kebangsaan dimartabat, bahasa ibunda dijulang, bahasa Inggeris ditingkatkan dan pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia
8.      Semua tahanan politik yang ditahan dibebaskan segera
9.      Agar kampung-kampung tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan
10.    Kehidupan yang lebih baik untuk kaum wanita seperti mana termaktub di dalam agenda wanita Malaysia