 |
| Muidin Maidin tidak dapat mengawal emosi apabila menendang jurufoto
Utusan Malaysia ketika dibawa keluar oleh anggota polis dari kamar
mahkamah selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, di Mahkamah
Tinggi Johor Bahru, semalam |
JOHOR BAHRU - Seorang buruh kontrak dihukum gantung sampai
mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah
membunuh kanak-kanak, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang, tahun
lalu.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Muidin
Maidin, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes
melampaui keraguan munasabah.
Muidin dituduh membunuh kanak-kanak itu di ladang kelapa sawit Jalan
Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai di sini antara pukul 11.30 pagi, 1 Mac
dan 12 tengah malam, 2 Mac 2012.
Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Halim berkata, tertuduh yang
memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah menerusi kandang saksi
itu gagal memberi penjelasan yang munasabah selain pembelaannya itu
bersifat penafian semata-mata.
Perbuatan kamu (tertuduh) ini amat kejam, tidak berperikemanusiaan
serta tidak bertamadun. Bagaimana kamu tergamak melakukan perbuatan itu
terhadap seorang kanak-kanak yang masih kecil.
Bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) digabungkan dengan bukti
cebisan kain pelikat tertuduh yang dijumpai pada mangsa, sampel tanah
yang sama pada motosikal tertuduh dengan tanah tempat kejadian dan
keterangan saksi menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan tersebut.
Profil campuran DNA yang dijumpai dalam kemaluan dan dubur mangsa
hanya melibatkan mangsa dan tertuduh. Kebarangkalian DNA itu
disumbangkan oleh tertuduh dan si mati adalah 700 trilion, katanya.
Beliau berkata, tidak timbul soal konspirasi pihak tertentu meletakkan
sampel darah tertuduh pada mangsa kerana kehadiran DNA itu di dalam
dubur dan kemaluan si mati hanya dapat diwajarkan dengan perlakuan atau
perbuatan yang aktif.
Menurut beliau, pembelaan tertuduh bahawa dia tidak pernah berdendam dengan keluarga si mati hanya penafian semata-mata.
Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac tahun lalu, ketika membeli mi
segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri
Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh
dan dibakar pada 12 Mac tahun lalu.
Misteri kehilangan Dirang terjawab apabila laporan Jabatan Kimia
Malaysia mengesahkan DNA ke atas mayat rentung yang dijumpai di sebuah
lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada
8 Mac tahun lalu adalah milik mangsa.
Sementara itu, beberapa ahli keluarga Dirang termasuk ibu, Roselyn
Alan, 27; bapa tiri, Lima Medeng, 27; datuk, Alan Alip, 50, dan nenek,
Milnah Jol, 58, yang sentiasa mengikuti prosiding kes sebak dan
menitiskan air mata sebaik sahaja keputusan dibacakan.
Muidin yang kelihatan sugul turut dilihat menitiskan air mata.
Dia bagaimanapun bertindak agresif sebaik sahaja dibawa keluar dari
mahkamah apabila cuba menendang beberapa jurufoto malah kamera milik
jurufoto Utusan Malaysia, Amin Farij Hasan turut menjadi mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Johor, Umar
Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar
manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Daud Ismail, Mohamad Abd. Kadir
dan Goh Tse Han.
Seramai 35 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan telah dipanggil sepanjang prosiding kes berlangsung.