Ahad, 13 April 2008

Isytihar sebelum masuk Islam tidak betul


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan satu peraturan mewajibkan mereka yang mahu memeluk Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka sebagai tidak betul.
Beliau berkata, sesiapa sahaja yang ingin memeluk Islam tidak perlu mengisytiharkannya tetapi untuk menjaga keharmonian keluarga ia boleh dilakukan.
"Dia nak masuk masuk Islam tidak payah bagi tahu, tetapi untuk jaga harmoni keluarga perlu beri tahu mereka.
"Tetapi beri tahu dulu sebelum masuk Islam tidak betul kerana Islam datang dari kalbu sendiri.
"Bila manusia hendak pada sesuatu benda perlu apa lagi cakap pada orang lain, cuma untuk jaga keharmonian elak daripada kecil hati," katanya ketika ditemui selepas Majlis Muhibah Antara Kaum di Taman Hijau di Kota Bharu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk Islam perlu mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam secara senyap-senyap seperti yang diamalkan sebelum ini, mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ia juga bagi mengelakkan seseorang itu tidak jadi memeluk Islam disebabkan dimarahi oleh ibu bapa.
"Ini semua masalah teknikal saja, jangan sampai tidak jadi masuk Islam kerana orang tua marah, tidak betul.
"Islam datang dari iman dari hati kalbu kita, mana boleh manusia sekat cetusan hati, bila kita yakin dia akan datang sendiri," katanya.

Tambah stok beras negara - Mustapa


Kerajaan akan menambah stok simpanan beras negara bagi menampung kekurangan bekalan bahan makanan itu berikutan bekalan yang ada sekarang hanya cukup untuk tempoh tiga bulan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, langkah itu diambil kerana negara kini hanya mempunyai 600,000 tan metrik beras yang hanya mampu menampung penggunaan untuk tempoh tiga bulan.
"Cadangan untuk menambah stok simpanan beras telah pun diputuskan dan kini segala perancangan mengenainya sedang dirangka," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Projek Estet Padi di Kampung Jelai.
Menurut beliau, ketika ini negara bergantung pada tiga jenis stok yang menampung keperluan beras dalam negara iaitu stok simpanan beras kebangsaan yang diuruskan oleh Beraspadi Nasional Berhad (Bernas).
"Dua stok lagi ialah yang disimpan oleh pemborong-pemborong di seluruh negara termasuk pengilang dan stok padi yang boleh dikisar menjadi beras pada bila-bila masa," katanya.
Mustapa turut memberitahu, negara tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan beras dari negara luar walaupun berlaku krisis bekalan itu di pasaran dunia.
"Bernas merupakan sebuah syarikat terbesar yang kukuh dan mempunyai prestasi terbaik terutama daripada segi bayaran.
"Malah Bernas telah mengimport bekalan beras sehingga bulan Ogos ini sebanyak 600,000 hingga 700,000 tan metrik untuk keperluan negara," katanya.

Jumaat, 11 April 2008

Siapa itu Sufiah???


"Siapa itu Sufiah?"
"Loyer? Majistret? Doktor?
"Bukan..."
"Sufiah bukan doktor... Dia pelacur."
"Habis tu kenapa kerajaan beriya-iya sangat sehingga menubuhkan jawatankuasa untuk mencari dan memujuknya supaya kembali ke pangkal jalan? Istimewa sangatkah budak perempuan yang suatu ketika dahulu dikatakan genius matematik?

Sepanjang dia bergelar genius matematik, apakah jasanya kepada Malaysia? Adakah nama negara naik dengan kejayaan budak perempuan itu? Di mana dia tinggal ketika namanya naik?


Tentunya bukan di Malaysia. Dia berada di sebuah negara yang mengamalkan pergaulan bebas. Lelaki dengan lelaki boleh kahwin, perempuan dengan perempuan boleh nikah.

Minggu lalu Sufiah membuat pengakuan bahawa dia seronok menjadi pelacur. Katanya, dia senang dengan kerjayanya sekarang. Itu pengakuan jujur yang keluar dari mulut Sufiah sendiri.


Kalau dia senang dengan kehidupannya sekarang kenapa kita perlu berhabiskan duit hendak 'menyelamatkan' perempuan yang secara sukarela memilih cara hidup sedemikian?

Banyak lagi yang perlu kita tumpukan hal ehwal dalam negeri dan negara sendiri. Di ibu kota contohnya, ribuan kupu-kupu malam berpelesiran mencari 'rezeki' untuk hidup. Kenapa golongan ini tidak diselamatkan?

Lebih malang, majoriti daripada mereka adalah anak gadis Melayu beragama Islam. Rata-rata mereka berusia seawal 15 hingga. Asal usul mereka kebanyakannya dari kampung. Datang ke ibu kota untuk mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Malangnya langkah mereka kurang baik. Mereka terjebak dalam kerjaya maksiat yang menjanjikan pendapatan lumayan. Mereka bekerja sebagai pelayan pelanggan di kelab-kelab malam, di restoran-restoran yang dimiliki orang bukan Melayu.

Di mana maruah anak Melayu? Sudah lama hilang. Desakan hidup dan kesempitan hidup mendorong mereka untuk memilih haluan salah.

Malah kebanyakan pelanggan yang melanggan dan dilayan oleh anak-anak gadis ini juga bukan dari golongan Melayu. Tidak adakah usaha untuk menyelamat mereka? Kenapa apabila berita mengenai Sufiah menjadi pelacur tiba-tiba meletup dan menimbulkan simpati umum?

Kenapa kita tidak bersimpati dengan nasib anak gadis Melayu kita yang menjual tubuh di ibu kota? Sebab mereka bukan Sufiah. Kalau ada yang bernama Sufiah pun, mereka bukan dari spesies genius matematik.

Oleh itu, baik kita lupakan Sufiah. Kita beri tumpu kepada usaha bagaimana hendak mengembalikan ke pangkal jalan anak-anak gadis kita yang tersesat jalan. Yang tubuhnya dirangkul, dipeluk, digendong dan disentuh oleh pelanggan bukan Melayu.

Gandum dan mi...naik jangan tak naik

Dua tanda terima kasih kerajaan kepada rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008:-

Pertama, kerajaan membisu ketika Persatuan Pengilang-Pengilang Tepung Malaysia mengumumkan kenaikan harga tepung gandum berprotein tinggi dan sederhana sehingga RM10 bagi setiap 25 kilogram. Maknanya sekarang seguni tepung bagi sukatan 25 kilogram boleh dibeli dengan harga RM62.15 berbanding RM52.15 sebelum ini.

Kedua, kerajaan masih juga membisu ketika Persatuan Peniaga-peniaga Roti, Biskut, Manisan dan Mi Malaysia menaikkan harga mi kuning dari 20 sen hingga 70 sekilogram. Kenaikan mi kuning itu kononnya disebabkan bahan asas untuk memproses mi telah naik harga menyebabkan pengusaha mi tidak boleh memproses mi kalau harga mi kuning tidak dinaikkan.

'Kuat' jugalah alasan persatuan itu untuk menaikkan harga tepung gandum dan mi kuning sehingga kerajaan sehingga kini pun belum tampil membuat sebarang kenyataan sama ada membantah atau bersetuju dengan tindakan persatuan itu.

Ke mana agaknya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad ketika ini? Masih seronok 'berhoneymoon' lagikah dia? Atau apa yang berlaku di luar sana itu belum sampai kepengetahuannya lagi?

Alangkah malangnya rakyat. Baru 12 hari selesai memilih kerajaan, tiba-tiba mereka dihadiahkan dengan kenaikan harga tepung. Bagaimanapun, 21 hari kemudian iaitu selepas 20 Mac, rakyat sekali lagi menerima ucapan 'terima kasih' daripada kerajaan dengan menghadiahkan kenaikan harga mi kuning.

Tentu pengusaha dan peniaga mi kuning akan tersenyum lebar dalam usahanya mengaut keuntungan kerana tiada sebarang halangan pun diterimanya daripada kerajaan. Mereka boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga roti canai dan semua jenis roti serta kek. Begitu juga menaikkan harga mi goreng, mi lakna, mi rebus, mi kari dan semua jenis masakan berasaskan mi.

Rakyat 'tertanya-tanya', takkan dua bahan itu saja yang naik tahun ni?

Jawabnya, "jangan risau", selepas ini harga beras pula akan menyusul. Kemudian akan diikuti telur ayam, telur itik, telur angsa, telur serati, lobak, kubis, cili, ulam-ulaman, ikan, sotong, ketam, bawang merah bawang putih, bawang besar, halia, lengkuas, kunyit, kicap, budu, cuka, garam dan macam-macam jenis lagi.

Ikan darat pun ada ura-ura akan naik. Inilah yang terkandung dalam 'manifesto' kerajaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat selepas rakyat memberi mandat kepada mereka melalui pilihan raya umum lalu.

Ke mana perginya pemimpin-pemimpin berjiwa rakyat? Adakah mereka hanya mempunyai jiwa rakyat ketika musim pilihan raya? Kemudian selepas pilihan raya, mereka bukan lagi ada jiwa rakyat?

Jangan kita yang bergaji RM5,000 ke atas dan mempunyai dua atau tiga tanggungan menganggap kenaikan harga bahan asas itu tidak ada kesan. Kita harus memikirkan kesan yang akan dihadapi oleh golongan berpendapatan RM1,000 ke bawah yang mempunyai lima hingga 12 tanggungan.

Renung-renung dan fikir-fikirkanlah.

Abdullah akui beliau antara punca BN hilang undi


"Saya merasakan bertanggungjawab untuk membuat sebaiknya-baiknya untuk memulihkan BN dan UMNO." demikian akui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, beliau mengakui beliau merupakan antara faktor yang telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan undi pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata, disebabkan perkara tersebut, beliau merasakan bertanggungjawab untuk berbuat sebaik-baiknya bagi memulihkan BN dan UMNO.
"Saya merasakan saya adalah penyebab kepada 'pembuangan undi' (undi tidak diberikan) kepada Barisan Nasional. Saya merasakan bertanggungjawab untuk membuat sebaiknya-baiknya untuk memulihkan BN dan UMNO," katanya kepada pemberita di Johor, semalam.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan lebih dua jam dengan Badan Perhubungan UMNO Johor yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden UMNO, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak hadir kerana Menteri Pelajaran itu kini berada di Paris atas urusan rasmi kerajaan.
Perdana Menteri berkata, beliau memahami banyak perkara dan antaranya ialah perubahan-perubahan yang telah dijanjikan kepada rakyat sebelum ini, tetapi masih belum ditunaikan oleh kerajaan sehingga kini.
Perubahan yang dijanjikan kepada rakyat itu, katanya, meliputi pelbagai perkara seperti sistem kehakiman, pembanterasan rasuah, menurunkan kadar jenayah serta hubungan di antara kaum di negara ini.
Bagaimanapun, katanya, ada di antara perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan itu perlu mengambil masa sebelum ianya menunjukkan hasil yang positif.
"Oleh kerana itu, saya akan terus memberikan perhatian untuk membawa perubahan-perubahan yang telah dijanjikan kepada rakyat.
Malah ia telah pun dimasukkan di dalam janji-janji kerajaan BN di dalam manifesto (BN) pada (pilihan raya umum) 2004," katanya.
Abdullah berkata, sejak 2004 beliau telah berusaha untuk menangani beberapa masalah seperti keadaan defisit kewangan negara yang besar, isu-isu ekonomi dan pembangunan serta yang berkaitan dengan pembaharuan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Di dalam penggubalan dasar-dasar oleh kerajaan, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memastikan ianya dapat diterima oleh rakyat dan sebarang kesilapan akan diperbaiki secepat mungkin.
"Dasar-dasar yang dilaksanakan itu sentiasa diberikan perhatian, di mana ada silap-silapnya, kita akan memperbaikinya secepat mungkin supaya ia tidak membebankan rakyat," katanya.
Mengenai perjumpaan itu, Abdullah berkata mereka telah berbincang secara terbuka tentang beberapa perkara berkenaan kedudukan parti.
"Saya mengambil kesempatan dari perjumpaan hari ini untuk menghuraikan beberapa isu yang perlu difikirkan bersama (oleh ahli Perhubungan UMNO Negeri)," katanya.
Katanya, ahli Badan Perhubungan UMNO Johor juga mengemukakan beberapa cadangan kepada beliau tentang usaha-usaha memulihkan parti, tetapi enggan mengulas lanjut.

Khamis, 10 April 2008

Kesihatan Presiden PAS tidak membimbangkan

Ahli dan penyokong PAS diminta bertenang serta tidak bimbang dengan tahap kesihatan Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada jam 7.20 pagi tadi setelah disyaki terkena tanda-tanda awal penyakit stroke dan dinasihatkan oleh doktor agar berehat secukupnya.
Harakah dimaklumkan, Tuan Guru Abdul Hadi menyedari kesihatannya terganggu ketika bangun untuk bersahur jam 5 pagi tadi dan dibawa ke HSNZ oleh ahli keluarga pada jam 7.30 pagi.
Anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi, 31, menafikan laporan media mengatakan Presiden PAS itu dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung.
"Kami (keluarga) hendak nafikan ada laporan media hari ini kata Dato' Seri Abdul Hadi masuk hospital kerana serangan jantung.
"Dia (ayah) bukan sakit jantung, tetapi 'stroke ringan' dan tanda-tanda awal ke arah terkena penyakit stoke (angin ahmar)," ujarnya pada sidang akhbar di HSNZ, hari ini.
Katanya, pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh doktor menunjukkan tekanan darah dan jantung berkeadaan baik dan stabil.
Menurut Khalil, doktor menasihatkan Tuan Guru agar banyak berehat kerana masih berada dalam pengawasannya.
Sehubungan itu, kata beliau, ayahnya meminta agar ahli serta penyokong PAS di seluruh negara bertenang kerana keadaannya tidak membimbangkan.
"Ayah (Abdul Hadi) pesan kepada semua ahli dan penyokong PAS supaya tidak bimbang dengan tahap kesihatannya dan mendoakan supaya cepat sembuh.
"Dia (ayah) mahu cepat sembuh untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara," ujarnya.
Antara pimpinan PAS negeri yang melawat Dato' Seri Abdul Hadi ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; dan ADUN Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
Manakala, pimpinan PAS Pusat iaitu Naib Presiden PAS Pusat, Dato' Husam Musa dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob.
Sebelum itu, Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato' Ahmad Said turut melawat Presiden PAS itu sebelum berangkat ke Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, Ustaz Hadi perlu berehat dengan cukup dan pihak hospital perlu mengawasi agar dapat menghadkan kunjungan pelawat.
Manakala, sebelah petang pula bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato' Abdul Rahman Bakar kelihatan turut melawat Presiden PAS itu. - Harakahdaily 10 Apr 08.

Selasa, 8 April 2008

Ini adalah mengenai Nilai Kasih Ibu

Saya ada menerima emel hikmah daripada seorang sahabat. di akhir emelnya itu dia meminta agar si penerimanya dapat memforwardkan mesej yang tak ternilai harganya ini kepada para sahabat. Lalu, saya mengambil kesempatan untuk memaparkan dalam blog saya sebagai amal jariah. Selamat membaca.


Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur, lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu.
Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.

Kos upah membantu ibu:
Tolong pergi kedai RM4
Tolong jaga adik RM4
Tolong buang sampah RM1
Tolong kemas bilik RM2
Tolong siram bunga RM3
Tolong sapu sampah RM3
Jumlah: RM17

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar di mindanya.
Si ibu mencapai sebatang pen lalu menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu - PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA


Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh si ibu. Si anak menatap wajah ibu, memeluknya dan berkata, "Saya Sayangkan Ibu".

Kemudian si anak mengambil pen dan menulis 'Telah Dibayar, malah terhutang' pada muka surat yang ditulisnya.

Diriwayatkan seorang telah bertemu Rasulullah SAW dan bertanya,"Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak mendapat layanan baik dariku?" Rasulullah menjawab, "Ibumu (dan diulang sebanyak tiga kali), kemudian ayahmu, kemudian saudara-saudara terdekatmu."

Amin Amin Ya Robbal A'lamin.
Wassalam