Khamis, 20 September 2018

Pas, UMNO gila talak?

PAS dan UMNO kata, politik tanah air telah mencatatkan sejarah apabila kedua-dua parti itu bekerjasama dalam blok pembangkang baru melawan Pakatan Harapan (PH).
Kerjasama itu, yang pada dasarnya lebih kepada ikatan atas kertas, dimeterai secara rasmi pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, 18 Ogos lalu.
Secara pandangan mata kasar, memang wujud kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu, dengan kehadiran beberapa pemimpin kanan Pas dan pemimpin kanan UMNO.
Mereka berpegangan tangan mengiringi calon Pas, Dr Halimah Ali pada hari itu, tetapi sejauhmana pula ikatan itu diterima oleh pemimpin dan ahli kedua-dua parti di peringkat akar umbi?
Persoalan juga timbul, kenapa Pas tidak menampakkan kesungguhannya dengan ‘kerjasama’ itu pada PRK DUN Sungai Kandis 4 Ogos lalu, ketika calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO melawan calon PH dari PKR?
Tidak nampak pun pemimpin kanan Pas turun membantu Datuk Lokman Noor Adam berkempen melawan Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Kenapa apabila tiba giliran Pas bertanding di Seri Setia, mereka tiba-tiba menguar-uarkan bekerjasama dengan UMNO dan jelas nampak kehadiran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan?
Di mana Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada hari penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis?
Siapa yang kemaruk hendak bekerjasama? Pas atau UMNO?
Kalau lihat pada senario PRK yang sudah selesai (DUN Sungai Kandis) dan yang akan berlangsung (DUN Seri Setia dan DUN Balakong), yang nampak kemaruk nak bekerjasama ialah UMNO.
Selepas kalah teruk dalam PRU14, nampak sangat UMNO dan BN terhegeh-hegeh mahu mencari rakan politik untuk bergabung, termasuk menerima Pas yang pernah mengguris dan melukakan parti itu sebelum ini.
Pas pula, walaupun tidak banyak kehilangan kerusi Parlimen, malah berjaya mengalahkan UMNO, BN di Terengganu, hanya lebih mementingkan diri sendiri sahaja. Untuk bergabung dengan UMNO, BN tidak sama sekali, tetapi sekadar bekerjasama, boleh.
Ini yang dikatakan pelik dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO, BN di akar umbi. Kenapa kerjasama boleh, bergabung tidak boleh?
Apa bezanya bergabung dengan bekerjasama? Apa salahnya kalau mereka terus saja isytihar bergabung, bukan mengelirukan ahli dan rakyat dengan bekerjasama?
Di sini, nampak jelas ketidakikhlasan Pas. Mereka hanya sekadar mahu bekerjasama, bukan bergabung. Sedangkan UMNO, BN pula bekerjasama boleh, bergabung pun boleh.
Untuk makluman dan pengetahuan umum, kerjasama Pas dengan UMNO, BN bukan suatu yang pelik. Kedua-dua parti itu pernah bergabung pada tahun 1972 dan bercerai enam tahun kemudian pada tahun 1978.
UMNO yang dianggap parti tertua dalam politik Malaysia terpaksa akur dengan keputusan Pas untuk keluar dari gabungan BN dan sejak itu juga Pas yang menjadi janda BN meneruskan kehidupannya ‘berkahwin’ dengan DAP dan PKR.
Namun, Pas tidak lama dengan DAP, apabila mengisytiharkan berpisah dengan DAP pada Jun 2015 dan mengakhiri hubungannya dengan PKR secara rasmi pada PRU14.
Hari ini, selepas 40 tahun menjanda, Pas mahu kembali bersama UMNO dengan cara kerjasama, bukan bergabung. Ia sama seperti bertunang, tapi bukan berkahwin.
Orang tua-tua kata, ‘gila talak’. – MalaysiaGazette (Siaran 23 Ogos 2018)

Selasa, 7 Ogos 2018

Sungai Kandis catat rekod PRK tanpa bendera, poster

KEMPEN kedua-dua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini semakin rancak dengan pemimpin besar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) turun membantu calon masing-masing.
Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tidak menang tangan bergilir mengikut pemimpinnya iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam program bersama masyarakat.
Begitu juga jadual padat calon BN, Datuk Lokman Noor Adam yang terpaksa membahagikan masa kempennya untuk bersama dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Khiry Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, termasuk bersama pemimpin Pas.
Pendek kata, apabila hampir dengan penamat, makin galak kempen dilakukan, walaupun ada sesetengah tempat kehadiran penduduk kurang 10 orang.
MalaysiaGazette difahamkan, kurangnya kehadiran itu bukan disebabkan sabotaj dari parti lawan, tetapi kerana terlalu acap penduduk menerima tetamu sehingga ada antaranya ‘melarikan’ diri, cuba mengelak daripada bertemu mata untuk sekian kali.
PKR juga mengehadkan pemasangan bendera dan poster calon sebagai langkah. foto AFFAN FAUZI
PKR juga mengehadkan pemasangan bendera dan poster calon sebagai langkah penjimatan. foto AFFAN FAUZI
Begitulah situasi kempen di DUN Sungai Kandis, yang mana pada minggu pertama kempen, semuanya kelihatan hambar, tanpa bendera parti dan poster calon, seolah ada kesepakatan antara BN dan PKR untuk sama-sama tidak berperang bendera dan poster.
Ini satu perkara yang baik. Sekurang-kurangnya kempen DUN Sungai Kandis boleh dijadikan perintis permulaan kepada pilihan raya kecil seterusnya untuk tidak lagi membazir dengan poster dan bendera parti.
Sungai Kandis boleh membuktikan kepada jentera parti masing-masing, bahawa tanpa memasang bendera dan poster secara keterlaluan pun, orang ramai tahu di kawasan mereka berlaku pilihan raya.
Tidak ada istilah, parti mana yang pasang bendera lebih banyak, calon mereka akan menang. Itu istilah lapuk yang harus dihapuskan, kerana pemilihan calon berdasarkan sejauh mana penerimaan rakyat kepada jasa-jasanya selama ini.
Satu perkara yang harus dipuji bagi pihak PH ialah jentera medianya bijak mengurus masa antara calon dengan wartawan, berbanding jentera media BN, yang nampak agak kelam kabut.
Setiap hari, bermula hari pertama kempen, iaitu selepas hari penamaan calon 21 Julai lalu, mulai jam 12 tengah hari, calon akan mengadakan sidang media. Di situ, beliau bebas memberi apa saja kenyataan berdasarkan input daripada program walkaboutnya.
BN pula, banyak program calon tidak dapat diikuti oleh media kerana tidak selaras dengan jadual. Bahkan, cadangan pernah diberikan kepada jentera media BN agar Lokman turut mengadakan sidang media setempat setiap hari, tidak dilayan.

Apabila banyak laporan berita mengenai calon PKR terpapar di dada akhbar dan media sosial, jentera media BN bising, mendakwa media berat sebelah. Sedangkan, mereka sombong, tidak mahu mendengar pandangan media. – MalaysiaGazette (Siaran 30 Julai 2018)

BN, PKR tekan gear akhir malam ini

TEPAT jam 12 tengah malam ini, tempoh berkempen bagi dua parti bertanding pada dalam PRK DUN Sungai Kandis berakhir.
Parti UMNO dari Barisan Nasional (BN) dan parti PKR dari Pakatan Harapan (PH) diberi tempoh 13 hari oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari 21 Julai lalu sehingga tengah malam 3 Ogos, malam ini.
Dalam PRK ini, calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni  dilihat mempunyai kelebihan kerana beliau bukan sahaja di pihak kerajaan negeri yang mentadbir Selangor bahkan partinya turut menguasai kerajaan Persekutuan.
Dengan itu, semua jenteranya dari rakan komponen PH iaitu DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turun berkempen membantu kempen.
Sementara itu, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pula dilihat sebagai under dog.
Beliau bukan sahaja keseorangan dalam kempen untuk memenangi hati rakyat, parti komponen BN seperti MIC, MCA dan MyPPP jarang kelihatan turun membantu.
Tambahan pula, Mohd. Zawawi adalah anak tempatan DUN Sungai Kandis yang tentu lebih rapat dengan pengundi di situ berbanding Lokman yang dianggap sebagai calon luar atau dengan kata lain, bukan anak tempatan.
Hal ini diakui sendiri oleh Lokman pada sidang medianya di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja kelmarin.
Beliau mengakui tidak dapat turun di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) kerana kekangan masa dan PRK pula diadakan secara tergesa-gesa oleh kerajaan PH.
Dari aspek segi perang poster pula, PKR lebih mendahului dan nampak meriah di sepanjang jalan raya dan lorong dalam DUN Sungai Kandis berbanding poster dan bendera BN yang suram m dan jarang-jarang sekali kelihatan.
Bagaimanapun, kemeriahan poster dan bendera parti bukan ukuran seseorang calon itu akan menang atau kalah.
Yang penting, sejauhmana jentera parti termasuk calon dapat mempengaruhi atau memperdayakan pengundi agar mengundi mereka pada Sabtu 4 Ogos ini.
Bagaimanapun, Mohd. Zawawi mempunyai jentera yang kuat dan aktiviti berkempen boleh dikatakan seratus peratus sudah selesai tetapi beliau tetap menzahirkan kebimbangan kalau-kalau tidak dapat mengekal atau menambah jumlah majoriti yang ditinggalkan penyandangnya, Allahyarham Mat Suhaimie Shafiei.
Kebimbangannya itu bukan disebabkan tempoh kempen yang singkat atau merasakan masih ada pengundi yang tertinggal dari program ziarahnya tetapi bimbang kalau-kalau ramai pengundi tidak keluar mengundi esok disebabkan berasa yakin dengan kemenangan PH.
“Faktor ini yang membimbangkan saya dan jentera parti. Mungkin pengundi di sini menganggap baharu saja selesai mengundi pada PRU14, maka pada PRK ini tidak perlu lagi mereka keluar mengundi,” katanya kepada wartawan pada satu program di Sungai Kandis baru-baru ini.
Bagi Lokman pula, jika jumlah pengundi yang keluar mengundi kurang daripada 80 peratus seperti disasarkan, beliau bakal berdepan dengan kekalahan.
Menurutnya, Mohd Zawawi mempunyai kelebihan kerana dibantu oleh kemudahan dan jentera yang cukup.
Bagaimanapun, BN juga tidak kurang hebatnya dari segi psywar dan kempen.
Semua tiga sayap UMNO, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri turun ‘berkampung’ di semua PDM sejak hari pertama kempen lagi.
Mereka bergerak dari rumah ke rumah sebagai usaha terbaik mendekati penduduk dan dari situ, mereka dapat berkongsi masalah dengan golongan sasar dari hati ke hati.
Selain itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan, Naib-Naib Presiden seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Nordin Mohamed Khaled Nordin juga turun berkampung membantu calon BN.
Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sekurang-kurang tiga kali turun  diikuti Ahli-Ahli MT, ketua-ketua sayap dan pemimpin dari negeri turut bersengkang mata berkempen meyakinkan rakyat betapa perlunya mereka mempunyai suara tambahan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
PKR juga tidak kurang hebatnya dalam bab kempen. Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sering meluangkan masa dalam program bersama rakyat.
Apa pun keadaannya, kira-kira 52,000 pengundi DUN Sungai Kandis akan menterjemahkan sokongan pada kertas undi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 pagi esok.
Keputusannya, siapa menang kalah, akan diumumkan selewat-lewatnya jam 10 malam esok. – MalaysiaGazette (Siaran 03 Ogos 2018)

BN tewas kerana mainan ‘hukum’, ‘fatwa’ Pas?

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam masih gagal menembusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH), walaupun mereka terpalit dengan pelbagai isu dan masalah seperti gagal menunaikan 10 janji yang dikemukakan dalam tempoh 100 hari.
Ternyata, isu dan masalah itu tidak memberi kesan kepada pengundi dalam DUN Sungai Kandis, apabila kekal untuk memberi kemenangan kepada PKR.
Namun, jumlah undi yang diperolehi oleh Mohd Zawawi sebanyak 15,427 undi dan Lokman sebanyak 9,585 undi serta calon Bebas, K Murthy 97 undi telah menimbulkan beberapa tanda tanya.
Antaranya, kenapa lebih 26,000 iaitu lebih separuh daripada 51,217 pengundi berdaftar dalam DUN itu tidak keluar mengundi? Sedangkan pada PRU14, hanya kurang 8,000 orang sahaja.
Mohd Zawawi sendiri gagal mendapat kesemua 23,998 undi yang diperolehi oleh penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafiei pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Lokman juga gagal mendapat kembali jumlah undi yang diperolehi Datuk Kamaruzzaman Johari yang mendapat 11,518 undi pada PRU14.
Cuma tanda tanya timbul bagi pihak Lokman ialah, adakah ahli dan penyokong Pas yang memberi undi kepada calonnya, Mohd Yusof Abdullah pada PRU14 lalu seramai 7,573 orang tidak keluar mengundi?
Ini kerana, jika semua mereka keluar memberi sokongan kepada BN sebagaimana disarankan pucuk pimpinan Pas, sudah tentu kemenangan berpihak kepada Lokman dengan perolehan 17,158 undi dengan majoriti 1,731 undi.
Bagaimanapun, UMNO dan BN tidak boleh menyalahkan ahli serta penyokong Pas tidak keluar mengundi, kerana ahli dan penyokong UMNO sendiri juga tidak berbuat demikian, berdasarkan kekurangan undi kepada Lokman sebanyak 1,933 undi lagi.
PKR pun berdepan dengan masalah sama seperti Lokman apabila jumlah undi yang dimenangi Mohd Zawawi menunjukkan beliau juga kehilangan sebanyak 8,571 undi daripada ahli PKR dan penyokong PH.
Dengan mudah kata, jawapan yang perlu dicari oleh kedua-dua parti bertanding, jika mahu dilakukan pos mortem ialah kenapa peratusan keluar mengundi hanya 49.4 peratus, bukan 80 peratus sebagaimana disasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini.
Sedangkan cuaca sepanjang hari mengundi semalam dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang adalah baik, walaupun mendung dan redup pada sebelah pagi dan tengah hari.
Kekangan kerja tidak boleh dijadikan alasan, kerana hari mengundi diadakan pada hari Sabtu, yang mana kebanyakan kakitangan awam cuti, dan yang bekerja di sektor swasta diberi cuti oleh majikan masing-masing.
Ini bermakna, ada sesuatu ‘masalah’ yang tersimpan dalam hati kira-kira 26,000 pengundi berdaftar, yang mendorong mereka untuk tidak keluar mengundi.
Satu daripada masalah yang penulis jumpa ialah ada dalam kalangan pengundi tidak tahu pun di kawasan mereka berlaku pilihan raya kecil. Ini berdasarkan cakap-cakap di kedai kopi pada hari pengundian semalam.
Faktor atau masalah lain, mungkin sebahagian daripada mereka merasa selesa dengan kemenangan PKR selama tiga penggal dari PRU12, PRU13 dan PRU14, lalu membuat tanggapan, jika tidak keluar mengundi pun PKR boleh menang.
Memang betul mereka tidak keluar mengundi PKR boleh menang, tetapi pada perkiraan politik, tindakan mereka itu bahaya, tidak boleh dijadikan amalan setiap kali berlaku PRU mahupun pilihan raya kecil.
Dan faktor lain, pada perkiraan penulis, mungkin disebabkan ada dalam kalangan pengundi PKR dan PH melakukan mogok dalam diam-diam untuk tidak keluar mengundi, kerana kecewa dengan kerajaan mereka (PH) gagal menunaikan janji dalam 100 hari.
Bagi mereka yang berpegang pada janji, jika pemimpin memungkirinya, mereka akan membalasnya dengan tidak lagi memberi undi kepada pemimpin atau partinya pada musim pemilihan (pilihan raya) akan datang.
Berbalik kepada ahli dan penyokong Pas yang tidak memberi sokongan kepada BN, walhal pemimpinnya telah ‘berfatwa’ boleh mengundi BN, kesalahan ini harus diletakkan kepada pemimpin mereka sendiri, bukan kepada pengundi.
Selama ini, mereka dimomokkan oleh pucuk pimpinan kononnya UMNO adalah parti sekular, kalau memberi undi kepada UMNO, BN samalah seperti menyokong orang kafir.
Kata-kata itu, atau ‘fatwa’ itu yang termakan dan tersimpan kemas dalam diri setiap ahli dan penyokong Pas, tetapi tiba-tiba bila parti dalam keadaan terdesak, dibolehkan pula mengundi UMNO, BN.
Ini soal ‘hukum’. Kalau hukum Islam mengatakan haram, maka haramlah. Kalau hukum Islam membenarkan, maka mereka boleh menerimanya. Tambahan pula, umum tahu, Pas memperjuangkan Islam, dan setiap ‘fatwa’ dari pemimpin tertingginya, dianggap sebagai ‘hukum’.
Mengikut al Quran dan Hadis, setiap hukum dalam Islam tidak boleh diubah. Ia kekal sehingga kiamat.
Jadi, disebabkan ‘fatwa’ dan ‘hukum’ itu, makanya UMNO, BN menerima padah pada pilihan raya kecil Sungai Kandis. – MalaysiaGazette (Siaran 05 Ogos 2018)

Sabtu, 28 Julai 2018

Calon kempen sendirian, mana yang lain?

KEMPEN pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis dalam daerah Shah Alam, Selangor masuk hari kedua hari ini.
Kedua-dua calon yang bertanding sama-sama hebat, sama-sama berwibawa. Jentera mereka pun sama-sama kuat dan bersemangat tinggi.
Dua parti yang bertanding, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). PH meletakkan calon PKR, Ustaz Mohd. Zawawi Ahmad Mughni manakala BN pula meletakkan calon dari UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.
Kalau mengikut fakta betul, berlaku pertandingan tiga penjuru bagi pilihan raya kecil DUN ini, tapi sengaja saya abaikan kewujudan calon Bebas, K. Murthy kerana ia tidak ada peranan pun dalam perlawanan.
Masa pada hari penamaan calon Sabtu lalu lagi, semua mata, sama ada dari media, penyokong PKR, penyokong BN dan para pemerhati serta pemantau hanya tahu dua calon sahaja akan bertanding, Ustaz Mohd. Zawawi dan Lokman.
Tak sangka pula, sebaik pintu pusat penyerahan kertas calon dibuka tepat jam 9 pagi kelihatan kelibat seorang lelaki berbadan kurus memakai topi turut menyerahkan borang pencalonan.
Hebatnya K. Murthy yang mendakwa pesara penjawat awam itu borang pencalonannya yang diserahkan pada jam 9.09 pagi terus diterima tanpa ada ralat atau bantahan dari penyokong serta pencadang kedua calon lawannya.
Pihak media yang memerhatinya sepanjang satu jam masa diperuntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi proses penamaan dan penyerahan kertas atau borang pencalonan, dia kelihatan steady dan tenang.
Begitu juga ketika namanya diumumkan sebagai calon yang sah yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, dia yang duduk di posisi tengah dengan selamba membiarkan kedua-dua tangannya dipegang dan diangkat oleh Ustaz Mohd. Zawawi dan Lokman.
Memang hebat calon bebas ini tetapi, malangnya, sebaik selesai pengumuman, dia terus ‘ghaib’ hilang dicelah-celah ratusan penyokong PKR dan BN yang herkumpul sejak jam 7 pagi di depan pintu masuk Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam.
Okey, cukuplah setakat itu saya mempromosi K. Murthy. Soal berapa dia bakal dapat undi, sama-samalah kita tunggu jam 10 malam 4 Ogos nanti. Yang pasti, mengikut ramalan saya, dia akan kehilangan wang pertaruhan.
Berbalik kepada kempen Ustaz Mohd Zawawi dan Lokman. Masuk hari kedua hari ini, hanya calon yang bergerak aktif berjumpa pengundi. Pemimpin pusat dan yang ternama dari kedua-dua belah calon belum kelihatan.
Sekurang-kurangnya, Ustaz Mohd Zawawi dibantu juga oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari walaupun nama-nama besar seperti Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan.
Begitu juga dengan calon BN, si Lokman. Beliau bergerak seorang diri. Pembantunya hanya pemimpin cawangan serta sahabat-sahabatnya sahaja.
Penceramah tersohor seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Rahman Dahlan, Datuk Seri Mohamad Hassan juga tidak kelihatan.
Apa pun, saya mahu bersangka baik dengan ketidaknampakan kelibat pemimpin-pemimpin ini. Mungkin mereka sedang bermesyuarat dan berbincang di peringkat pusat untuk bagaimana nak atur dan susun strategi supaya penduduk tempatan Sungai Kandis memberi undi kepada calon masing-masing.
Bahkan, agak menarik pilihan raya kecil kali ini, dan mungkin boleh difikirkan untuk dimasukkan dalam Buku Malaysia of Record ialah suasana sunyi, sepi dan muram dapat dilihat sepanjang DUN ini.
Hari kedua kempen, belum ada satu pun bendera parti atau poster kedua-dua calon disangkut, ditampal atau digantung. Kalau orang luar datang ke DUN ini, mereka mungkin sama sekali tidak jangka, kawasan yang mereka berada itu adalah kawasan pilihan raya kecil.
Dari satu sudut, baguslah begitu. Sekurang-kurangnya kedua-dua parti dapat menjimatkan wang. Lagipun, apa ada pada bendera dan poster.
Dalam keadaan rakyat baru selesai dua raya, pertama, PRU-14 dan kedua Hari Raya Aidilfitri, kali ini mereka akan beraya lagi dalam pilihan raya kecil. Tentu ramai yang muak dengan ‘perayaan’ ini dan kebarangkalian juga, ramai tidak akan keluar mengundi 4 Ogos ini.
Kemungkinan ini yang merisaukan Ustaz Mohd Zawawi dan beliau mengharapkan angka 23,998 yang dimenangi penyandang, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafie pada PRU-14 lalu kekal diperoleh pada pilihan raya kecil ini.
Dan kebimbangan beliau kemungkinan ramai pengundi atau penyokong PH tidak keluar mengundi kali ini amat menebal sekali. Beliau dah mula merasa takut walaupun jumlah majoriti diperolehi penyandang ketika itu sebanyak 12,450 undi.
Bagi Lokman pula, beliau merasa agak selesa kerana menjangkakan memperoleh undi solid dari penyokong BN sebanyak 11,518 (yang diperoleh calon BN terdahulu, Datuk Kamaruzzaman Johari) dan dicampur dengan jumlah undi Pas sebanyak 7,573 (yang diperoleh calon Pas, Ustaz Mohd. Yusof Abdullah).
Beliau hanya ketinggalan sebanyak 4,907 undi sahaja lagi untuk menyamai jumlah undi PKR dan tidak mustahil jumlah itu akan diperoleh Lokman sekiranya kebimbangan ustaz Mohd. Zawawi menjadi kenyataan.
PRKl Sungai Kandis ini adalah kayu ukur kepercayaan rakyat kepada PH yang baharu mengambil alih kerajaan dan BN yang kehilangan pusat pentadiran Putrajaya serta perdana menterinya.
Jika undi diperoleh Ustaz Mohd. Zawawi bertambah bermakna isu kegagalan PH menunaikan janji 100 hari tidak memberi kesan kepada rakyat dan jika jumlah undi berkurangan, maknanya rakyat mula sedar kerajaan PH hanya “cakap tak serupa bikin”.
BN pula, kalau Lokman menang, ia sama sekali tidak dapat membentuk kerajaan baharu Selangor. Dan, jika kalah, ia memang sudah dijangka. – MalaysiaGazette (Siaran 23 Julai 2018)

Hari pertama BN belajar jadi pembangkang..

SERONOK tengok Dewan Rakyat Penggal ke-14 yang mula bersidang semalam.
Seronok sebab untuk tempoh 59 tahun, Parlimen telah mencipta sejarah tempat duduk bagi ahli-ahli Parlimen.
Kalau dari sidang pertama tahun 1959, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ditempatkan di sebelah kanan Yang Dipertua Dewan atau Speaker sebagai kerajaan, hari ini mereka dipindahkan ke sebelah kiri Speaker sebagai pembangkang.
Apabila BN yang selama ini jadi kerajaan, tiba-tiba bertukar jadi pembangkang, tentulah terpingga-pingga dan rasa kekok.
Tambahan pula, BN baru sedar ada saja yang pihak kerajaan lakukan, tidak ikut prosedur, menyalahi undang-undang dan macam-macam lagi.
Sebelum ini, ketika berada di kerusi kerajaan, mereka todak nampak benda-benda kecil dan remeh remeh seperti itu. Hanya bila duduk di kerusi pembangkang baru nampak. Semut merayap di lengan baju Speaker pun mereka nampak.
Hakikatnya begitulah. Bukan senang menjadi kerajaan dan bukan kerja mudah menjadi pembangkang. Dua-duanya ada peranan. Pembangkang, menegur dan mengkritik. Kerajaan pula perlu menerima teguran dan kritikan itu.
Inilah yang berlaku dalam politik tanah air hari ini. BN jadi pembangkang, Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan. Apapun, pihak kerajaan pun tidak dapat lari dari rasa kekok. Maklum, 59 tahun asyik membangkang. Bila sesekali jadi kerajaan, terdiam dibuatnya. Tidak tahu nak buat apa.
Malah, mereka melihat saja gelagat pembangkang, dan masing-masing pakat ketawa. Sedangkan, sebelum ini, itulah gelagat mereka, yang diketawakan oleh BN ketika menjadi kerajaan.
Apa yang saya nak kongsikan tulisan saya di Bawah Kolong ini ialah tindakan sekumpulan Ahli Parlimen BN dan Pas keluar dewan sebaik sahaja Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Mohamad Ariff Mohamad Yusof masuk ke dewan.
Ada pro dan kontra dengan tindakan Ahli Parlimen BN dan Pas ini. Ada yang kata, tidak wajar. Ada juga yang dakwa, ia wajar bagi memberi pengajaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar lain kali tidak sewenang-wenangnya mempermainkan undang-undang.
Sebagai penegak dan pengubal undang-undang, kerajaan mahupun pembangkang yang diamanahkan oleh rakyat harus mematuhinya, tidak kira kes itu kecil atau besar. Jika ia berkaitan dengan prosedur, elok ia dipatuhi.
Apa yang berlaku pada hari pertama sidang dewan tadi berpunca dari rasa tidak puas hati pembangkang, yang melenggah-lenggahkan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum 2 Julai lagi.
Ketika Setiausaha Dewan mengingatkan kerajaan supaya menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum dua minggu Parlimen bersidang, pihak kerajaan masih berdiam diri. Tidak ada klu langsung kerajaan akan mengumumkan nama sebelum 2 Julai.
Tetapi apabila dua hari nak bersidang, baru nama Yang Dipertua Dewan Rakyat diumumkan, itu tidak masuk akallah. Macam mana kerajaan nak menegakkan undang-undang kalau prosedur Dewan Rakyat bagi kes pelantikan Speaker pun tidak dipatuhi?
Itu baru hari pertama dan langkah pertama. Bagaimana pula pada sesi persidangan seterusnya dalam tempoh lima tahun ini, yang mana kebiasaannya Parlimen bersidang dua atau tiga kali setahun? Jenuh BN dan Pas nak membangkang.
Jadi, pada saya, tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan adalah keputusan yang patut dilakukan mereka sebagai tanda protes dengan kegagalan kerajaan baharu mengendalikan sesi mesyuarat Parlimen.
Walaupun, tindakan itu dilihat sebagai “tidak cerdik” oleh sesetengah pihak, tetapi, ia memberi kesan besar kepada pihak kerajaan, yang umum melihatnya sebagai pihak tidak ada kepandaian atau pengalaman untuk mengurus atau mengenalikan sesi persidangan.
Jika kerajaan Pakatan ada maruah, mereka wajar untuk berasa malu dengan kesilapan yang berlaku itu. Dan, pembangkang juga telah menunjukkan sikap “gentlemen” apabila tidak memandang ringan kes seumpama itu.
Kalau hendak diberikan markah, saya memberikan 10 markah kepada pembangkang dan kosong markah kepada kerajaan. Kerajaan patut terima hakikat, mereka telah melakukan satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.
Jika mengikut peraturan, pembangkang boleh untuk mendesak kerajaan menangguhkan sesi persidangan selama dua minggu bermula hari ini, bagi memberi peluang kepada pihak kerajaan untuk mengikut prosedur dalam pelantikan Yang Dipertua Dewan secara betul.
Ia dilihat remeh, tetapi, apa maknanya kerajaan memerah otak untuk melengkapkan akta, enakmen, peraturan, subseksyen dan undang-undang sebagai Perlembagaan Parlimen kalau kerajaan sendiri tidak patuh dan melanggarnya?
Sudah jelas lagi nyata, dalam hal pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat ini, peraturan Dewan seperti di bawah perkara 4(1) harus dipatuhi. Ia dengan jelas menyatakan bahawa;
“Tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama seorang ahli Dewan itu atau seorang yang layak dipilih menjadi ahli Dewan itu hendaklah mempastikan terlebih dahulu iaitu ahli itu suka berkhidmat jika ia dipilih, dan juga hendaklah memberitahu kepada Setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum mesyuarat”.
Itu syarat dan peraturannya. Ia terkandung dalam buku Peraturan Dewan. Jadi, ia bukan perkara kecil atau remeh. Ia adalah kes besar yang berkaitan dengan mematuhi peraturan yang kita sendiri gubal, tubuh dan wujudkan.
Pihak kerajaan kena betul-betul menjalankan tugas dan amanah sebagai kerajaan, bukan terbawa-bawa perangai lama sebagai pembangkang. Tahulah, 59 tahun menjadi pembangkang, tetapi sebagai pemimpin politik, mereka kena bila-bila masa berada dalam keadaan bersedia.
Dalam politik, macam-macam boleh berlaku. Hari ini pembangkang, esok menjadi kerajaan. Hari ini sebagai kerajaan, mana tahu esok bertukar jadi pembangkang. Oleh itu, mereka harus sentiasa bersedia, dan perlu bijak menyesuaikan diri. – MalaysiaGazette (Siaran 17 Julai 2018)

Senarai Pengerusi FELDA 1956 - 2018

Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor 
Mula Berkhidmat: 27.07.2018

Tan Sri Shahrir Abdul Samad
Mula Berkhidmat: 01.01.2017

Tan Sri Isa Samad
Mula Berkhidmat: 01.01.2011

Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor
Mula Berkhidmat: 01.07.2001

YM Raja Tan Sri Muhamad Alias
Mula Berkhidmat: 01.05.1979

Datuk Harun Arifin
Mula Berkhidmat: 01.01.1973

Tun Musa Hitam
Mula Berkhidmat: 01.09.1971

Tan Sri Taib Andak
Mula Berkhidmat: 14.10.1958

D.E.M Fiennes
Mula Berkhidmat: 01.08.1956