Perhimpunan Agung UMNO 2009 sudah selesai. Seramai 2,500 perwakilan dalam kalangan pemimpin Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Putera mula pulang ke negeri, bahagian, peti undi dan cawangan masing-masing. Pulang secara beransur-ansur. Kalau masih ada lagi pun mungkin terlekat di rumah saudara mara, tetapi yang pasti mereka akan pulang.
Harap-harap kali ini mereka akan pulang dengan menggenggam erat amanat Presiden parti untuk disampaikan secara telus dan terus kepada semua ahli serta ummah di peringkat akar umbi termasuk yang berbeza fahaman politik.
Ini hasrat pucuk pimpinan, mahu semua peringkat faham dan sedar apa yang parti akan serta sudah lakukan kepada mereka.
Itu harapan Presiden baru, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kepemimpinannya. Beliau tidak akan bertemu seorang demi seorang perwakilan memaksanya mendengar dengan tekun amanatnya.
Beliau tidak akan tanya perwakilan faham atau tidak apa yang disampaikannya. Beliau bersikap profesional dengan menaruh keyakinan seratus peratus perwakilan yang hadir mempunyai pemikiran matang dan mampu memahami apa yang tersirat dalam sanubarinya.
Beliau juga sama sekali tidak akan menyatakan secara terbuka kepada perwakilan, “...Wahai perwakilan, dengarlah betul-betul amanat aku ini... ia penting untuk kamu bawa balik ke akar umbi dan maklumkan kepada seluruh ummah betapa aku mahu UMNO terus kuat dan jitu.
Datuk Seri Najib telah mempertaruhkan dirinya memberi persetujuan untuk meminda beberapa peruntukan dalam perlembagaan parti. Baginya, kalau pindaan itu dapat menyelamatkan parti, apa salahnya ia dipinda. Tetapi dapatkah pindaan itu mengubah sikap pemimpin?
Sebagaimana perhimpunan agung yang sudah-susah, sebaik sahaja tamat persidangan, perwakilan berduyung-duyung keluar dewan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
Ada yang pulang segera ke kampung halaman kerana sudah lama tinggal anak isteri, suami, tunang dan 'kawan baik', ada juga yang lepak-lepak di ‘coffee house’, di lobi-lobi hotel, di warung-warung dan di mana-mana saja tempat lagi yang difikirkan sesuai serta selesa.
Mereka berborak-borak dari malam sampai ke pagi, dari pagi sampai larut malam dengan topik permulaan ialah kesimpulan ucapan dasar Presiden, kemudian beralih kepada isu-isu lucu yang dibangkitkan perwakilan ketika perbahasan, maka berderailah hilai-ketawa.
Kemudian perbincangan bertukar pula kepada kelengkapan kereta mewah/separuh mewah, peralatan rumah yang diimport dari negara itu negara ini, pakaian berjenama, projek berjuta-juta ringgit dan lain-lain lagi.
Apabila sampai di rumah, badan penat kerana kurang rehat, mata mengantuk tidak cukup tidur. Di situ sudah ambil masa beberapa hari untuk rehat, kononnya nak pulihkan kembali tenaga yang hilang kerana hadir persidangan.
Hari seterusnya bergerak ke pejabat, kerja-kerja yang terbengkalai dan ditinggalkan atas meja perlu diselesaikan segera. Minggu berikutnya hubungi rakan-rakan seperniagaan ajak berborak, bermain golf.
Minggu ketiga dan keempat sudah lupa hasrat Presiden yang mahukan mereka sampaikan amanatnya kepada akar umbi dan seluruh ummah. Sehinggalah enam bulan kemudian apabila ada program parti, mereka mula kelam kabut memikirkan apakah amanat Presiden yang hendak disampaikan.
Bagi mengelak timbul prasangka ahli, terpaksalah mereka berbohong di pentas. Berdegar-degar berucap memberitahu kepada ahli, kononnya itulah amanat Presiden yang perlu dihayati, diperkasakan dan sentiasa bersiap-siaga.
Malangnya, setiap isi disampaikan itu hanyalah sebuah lagu lama yang diputarkan semula. Padanya tidak mengapa putar lagu lama pun, ahli bukan tahu sebab tidak hadir di PWTC tempoh hari. Maka, tiadalah perkara baru meresap dalam jiwa dan sanubari ahli. Pi mai pi mai, tang tu juga.
UMNO terus dengan kehidupan sedia kala. Amanat Presiden hilang dibawa angin entah ke mana, perubahan tidak ada, pindaan perlembagaan tinggal pindaan semata-mata. Ia hanya menjadi kenangan di atas sekeping kertas yang disimpan dalam almari atau rak buku.
Saya sendiri secara peribadi sukar untuk menerima hakikat perwakilan akan pulang menyiap-siagakan parti. Mereka tidak ada masa untuk turun padang menjelaskan amanat yang panjang lebar itu.
Malah ada juga yang keliru dan tercari-cari di mana hendak memulakannya. Akhirnya mereka dipilih lagi untuk hadir pada perhimpunan agung akan datang.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan