Rabu, 29 Jun 2016

Guan Eng ditahan SPRM, dakwa di mahkamah esok

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan bekas pemilik banglo di Jalan Pinhorn di sini, Phang Li Koon, menurut sumber SPRM.

Menurutnya Lim ditahan di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini petang ini oleh beberapa pegawai SPRM yang berada di Komtar sejak tengah hari ini.

Sumber itu berkata Lim dan Phang dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini dan kedua-dua mereka akan didakwa di mahkamah esok.

Lim dibawa ke ibu pejabat SPRM dengan diiringi peguamnya R.S.N Rayer yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Delima, dengan kereta rasmi kerajaan negeri pada 6.30 petang.

Sebelum ditahan, Lim berada di pejabatnya di tingkat 28 Komtar di sini mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri.

Pada tengah hari, Lim turut mengadakan sidang akhbar berhubung debat terowong dasar laut yang diadakan di sini malam tadi.

Terdahulu, empat lelaki dipercayai pegawai SPRM diiringi kakitangan kerajaan negeri masuk ke pejabat ketua menteri kira-kira pukul 4.45 petang.

Penasihat DAP yang juga bapa Guan Eng, Lim Kit Siang dalam Tweetnya hari ini berkata anaknya itu ditahan SPRM atas dua tuduhan rasuah.

Sementara itu, beberapa anggota keluarga Guan Eng dilihat berada di ibu pejabat SPRM di sini.

Guan Eng sebelum ini disiasat SPRM berhubung pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini dengan harga RM2.8 juta daripada Phang dan dikatakan di bawah harga pasaran.

Mei lepas, Guan Eng dan isterinya Betty Chew memberi keterangan di pejabat SPRM berhubung siasatan pembelian banglo itu dan penjualan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin, di sini, bagi membina rumah mampu milik kepada sebuah syarikat swasta.

Mac lepas, Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan kedua-dua isu itu pada persidangan Dewan Rakyat.-- BERNAMA

Tiada ulasan: