Sabtu, 25 Jun 2016

Pengumuman rombakan Kabinet Isnin...angkat sumpah Selasa

 
 
Kalau betul bagai dikata, besar kemungkinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan umum rombakan Kabinet pada Isnin ini.
 
Rombakan berkenaan ‘kecil saja’.
 
"Pengumuman pada Isnin, manakala majlis angkat sumpah depan Yang di-Pertuan Agong pada Selasa," kata satu sumber kepada Agendadaily.
 
Difahamkan, walaupun ada tiga menteri sudah berhenti, namun hanya dua yang bakal diisi.
 
Tiga menteri berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang tamat tempoh dua penggal menjadi Senator dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang tamat sepenggal tempoh menjadi Senator dan tidak mahu sambung lagi.
 
Datuk Seri Douglas Uggah Embas pula melepaskan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak dan dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak.
 
Portfolio Idris ialah jaga Pemandu, manakala Abdul Wahid pula jaga Unit Perancangan Ekonomi (EPU).
 
"Kemungkinan tempat Idris tidak diisi kerana tidak menjejaskan apa-apa.
 
"Tempat Wahid dan Douglas Uggah Embas akan diisi.
 
Untuk jawatan Timbalan Menteri pula terdapat dua kekosongan.
 
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berikutan kematian Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan kerana Datuk Seri Ahmad Bashah dilantik jadi Menteri Besar Kedah.
 
Menurut sumber berkenaan, rombakan kecil ini adalah untuk melengkapkan Kabinet dan memudahkan pentadbiran kerajaan.
 
Mengenai lantikan pula, sumber itu jangka kemungkinan kouta yang kosong akan diisi mengikut kouta negeri.
 
Seperti kouta Selangor mungkin menyaksikan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizan Ibrahim dilantik mengisi tempat Allahyarham Noriah.
 
"Ahli Parlimen dari Kedah dilantik mengisi tempat Ahmad Bashah dan seorang dari Sarawak mengisi tempat Douglas Uggah," ujarnya.
 
Agendadaily sebelum ini melaporkan ramai pemerhati politik yang dok tanya sana sini mengenai bilakah rombakan Kabinet akan dibuat Perdana Menteri.
 
Dari bisik dan cakap mereka yang berada di koridor kuasa ia 'very soon'.
 
Kabinet kali terakhir dirombak 28 Julai tahun lalu menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan diganti dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, manakala Menteri  Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal digantikan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
Ketika rombakan itu, seramai tujuh Menteri dan sembilan Timbalan Menteri baharu telah dilantik.
 
Daripada tujuh menteri baharu itu, tiga merupakan timbalan menteri yang dinaikkan pangkat. Mereka ialah Datuk Hamzah Zainudin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), dan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan).
 
Muka baharu ialah Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia).
 
Dua muka lama yang menyertai semula kabinet ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II)-23/6/2016  - OLEH HELME HANAFI

Tiada ulasan:

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...