Ahad, 5 Jun 2016

Polis rakam keterangan Tun M

68c0bb0ceee82c3597fc530f4d6fc5e4
Pasukan pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, merakam keterangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Al-Bukhari, Taman Tasik Perdana, di sini, petang tadi.

Dalam sesi rakam keterangan itu, polis menanyakan sebanyak 37 soalan berkaitan Deklarasi Rakyat dan kenyataan Dr. Mahathir berhubung tahanan rumah ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Dr. Mahathir, Ahmad Bazlan Che Kasim, berkata anak guamnya itu menjawab semua soalan yang diajukan empat pegawai polis yang hadir menemuinya.

"Antara semua soalan yang dikemukakan, 80 peratus adalah soalan berkaitan Deklarasi Rakyat, manakala selebihnya berhubung dakwaan tahanan rumah Yang di-Pertuan Agong.

"Proses berkenaan berlangsung selama setengah jam bermula 3.20 petang dalam suasana yang tenang," katanya ketika ditemui media sebentar tadi.

Ahmad Bazlan berkata, polis berpuas hati dengan sesi merakam percakapan berkenaan, namun tidak menyatakan sebarang tindakan yang bakal dilakukan dalam masa terdekat.

Terdahulu Dr Mahathir dilihat meninggalkan bangunan Yayasan Al-Bukhari dengan diiringi pasukan polis pengiring sejurus selesai keterangannya diambil.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran