Sabtu, 28 Mei 2016

Balu jadi calon BN pertahan kerusi arwah suami

Gambar Mastura bersama arwah suaminya, Wan Mohamad Khair-il.

Balu Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Datin Mastura Mohd Yazid diumum sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar sebentar tadi.

Pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon BN dan pelancaran jentera pilihan raya kecil itu di Pusat Arahan BN di sini kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Mastura, 55, merupakan seorang graduan undang-undang daripada Lincoln's Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun.

Ibu kepada empat orang anak itu bergiat dalam dunia politik dan menjadi AJK Umno Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan kepada keluarganya serta arwah suaminya.

Meskipun tidak menyandang sebarang jawatan rasmi namun ramai mengetahui Mastura merupakan penasihat peneman setia arwah suaminya dalam kerja-kerja politik sebagai wakil rakyat di Bukti Chandan dan seterusnya mewakili Parlimen Kuala Kangsar.

Terdahu, Pas mengumumkan Ketua Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad manakala Parti Amanah Negara belum mengumumkan calonnya.

Kekosongan kerusi Parlimen Kuala Kangsar berikutan kematian penyandangnya, Wan Mohammad Khair-il Anuar meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il memperoleh 14,218 undi dengan majoriti 1,082 undi menyingkirkan calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah dan Calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim.--MalaysiaGazette

Tiada ulasan: