Jumaat, 6 Mei 2016

Serpihan Helikopter Ditemui 9.50 Pagi Di Batang Lupar

Gambar hiasan

KUCHING – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan telah menerima maklumat mengenai penemuan serpihan helikopter RPC6828 yang hilang petang Khamis, kira-kira pukul 9.50 pagi Jumaat.

Dalam sidang media di pejabat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Sarawak di sini hari ini beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai bangkai serpihan itu berdekatan kawasan Sungai Batang Lupar.

Sebahagian daripada pintu helikopter, dinding pesawat, kerusi dan beberapa lagi bahan lain telah pun ditemui. Pasukan SAR ujar beliau kini berusaha untuk mencari bangkai utama helikopter Hornbills Skyways itu.

Kawasan kemalangan adalah bersebelahan Sungai Batang Lupar yang agak luas dan ini mungkin menyukarkan operasi SAR namun segala usaha aset yang ada ujar Najib akan diguna pakai dalam operasi kali ini.

"Kita amat bimbang mengenai laporan sebuah helikopter hilang antara Betong dan Kuching. Misi mencari dan menyelamat digerakkan. Marilah kita doakan akan keselamatan mereka (di dalam helikopter),” katanya.

hel

Penerbangan menggunakan helikopter jenis AS350 itu dilaporkan berlepas pukul 4.12 petang dari Betong sebelum hilang daripada radar kira-kira pukul 4.32 petang di sekitar kawasan Triso dalam daerah Sri Aman.

Najib turut mengesahkan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Noriah Kasnon yang juga ahli Parlimen BN Sungai Besar di Selangor antara penumpang dalam helikopter berkenaan.

Turut termasuk ialah suami beliau, Tuan Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha MPIC, Datuk Dr. Sundaran Annamalai dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad.

Beliau juga merupakan Ahli Parlimen BN Kuala Kangsar, Perak. Selain itu, helikoper tersebut turut dinaiki pengawal peribadi dikenali dengan nama Ahmad Sobri Harun manakala juruterbangnya ialah Kapten Rudolf Rex Ragas.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran