Sabtu, 7 Mei 2016

Mayat kedua sah Datuk Dr Sundaran - Najib

 
KUCHING, 7 Mei (Bernama) -- Mayat kedua nahas helikopter, Khamis lepas, disahkan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mayat kedua itu ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Batang Lupar, Lingga pada 8.34 pagi tadi.

Katanya, pengesahan jasad Sundaran, 57, dibuat hasil proses identifikasi oleh pakar forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, pada 11.15 pagi ini.

"Identiti mayat telah disahkan melalui padanan cap jari, selain penemuan barang peribadi pada diri mangsa," katanya kepada pemberita di HUS selepas menziarah anggota keluarga mangsa nahas helikopter itu .

Mayat yang ditemukan dalam keadaan masih memakai tali pinggang keselamatan itu kemudian dibawa dengan helikopter dan tiba di hospital kira-kira pukul 11 pagi untuk proses bedah siasat, identifikasi dan pengecaman oleh waris keluarga.

Ini adalah mayat kedua yang telah dikenal pasti selepas mayat Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti, Datuk Noriah Kasnon disahkan semalam.

Najib berkata, mayat ketiga yang dijumpai tengah hari tadi belum disahkan identitinya kerana masih dalam proses bedah siasat.

Turut berada dalam helikopter itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah; Sundaran, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, pengawal peribadi, Ahmad Sobri Harun serta juruterbang Kapten Rudolf Rex Ragas.

Helikopter itu berlepas dari Betong pada 4.12 petang Khamis dalam penerbangan ke Kuching sebelum pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan udara.- BERNAMA

Tiada ulasan:

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...