Jumaat, 13 Mei 2016

Abang Jo, Douglas, James Masing timbalan... Dr Sim menteri penuh


ADUN Batu Kawah dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dr. Sim Kui Hian dijangka mengangkat sumpah sebagai menteri penuh Kabinet Sarawak pada Jumaat.

Upacara tersebut dijadualkan diadakan di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri Sarawak pada kira-kira jam 3 petang.

Sumber memberitahu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mahu Dr. Sim membiasakan diri dengan urusan pentadbiran kerajaan negeri dahulu sebelum melantiknya ke jawatan lebih senior seperti Timbalan Ketua Menteri.

Difahamkan jawatan Timbalan Ketua Menteri akan diisi oleh Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, dan Tan Sri James Jemut Masing, manakala untuk menteri penuh ialah Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Fatimah Abdullah, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, Datuk Sri Wong Soon Koh, Datuk Dr. Sim dan Datuk Stephen Rundi Utom.

Melihat senarai itu, Adenan secara tidak langsung membayangkan kedudukan Abang Johari sebagai pengganti beliau kerana janjinya untuk berkhidmat hanya sepenggal sahaja.

Abang Jo yang juga ADUN Satok adalah wakil rakyat paling kanan kini dan sebelum ini pernah disebut sebagai calon Ketua Menteri menggantikan Tun Taib Mahmud bersama Adenan.

Dalam pada itu, seorang lagi pemimpin senior BN Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom digugurkan daripada kabinet.

Sebelum ini Mawan yang juga ADUN Pakan dan Ahli Parlimen Saratok adalah Menteri Pembangunan Sosial.

Beliau diuar-uarkan menyertai PBB bersama dua lagi calon langsung BN dari bekas Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang.

Mawan juga dikatakan bakal dilantik ke jawatan menteri dalam kabinet persekutuan menggantikan kekosongan ditinggalkan Uggah.

Lantikan Uggah yang telah meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di peringkat persekutuan itu pada 9 Mei lalu, seolah-olah bukan lagi rahsia. Kemunculan beliau pada PRN11 telah mengukuhkannya.

Bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban pada 7 Mei lepas, beliau menumbangkan pesaingnya, Noel Changgai Bucking daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 4,599 undi.

Sebelum menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Uggah yang kini berusia 60 tahun adalah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2008-2013).

Sementara itu, menurut Dr. Sim, perbincangan mengenai wakil Cina dalam kabinet negeri telah diadakan dan menjadi prerogatif Ketua Menteri menentukannya.

“Kami memang telah berbincang dengan Yang Amat Berhormat sebelum ini dan ia berkaitan peruntukan dalam kabinet negeri untuk kaum Cina, selain isu calon langsung BN.

“Seperti apa yang anda ketahui, banyak perubahan dan dinamik sedang berlaku buat masa sekarang dan saya sudah menghulurkan jemputan kepada Parti Rakyat Bersatu (UPP), bukan sahaja kepada wakil rakyat, tetapi juga ahli kerana dari mula lagi kami berasal daripada keluarga yang sama,” katanya.

Menurut Dr. Sim, SUPP ikhlas mempelawa kembali bekas pemimpin dan ahli SUPP berkaitan dan bukan gimik semata-mata.

"Saya cukup ikhlas untuk memberitahu anda bahawa apabila kita melakukan perkara ini, kita perlu mematuhi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana ada peraturan dan prosedur.

"Ia adalah tidak bertanggungjawab bagi saya untuk menjanjikan anda itu dan ini, tetapi kemudian, anda hanya perlu berjumpa dengan seorang individu untuk membuat laporan kepada ROS dan pendaftaran kami dibatalkan," tegasnya lagi sambil memberitahu, beliau tidak mahu melihat situasi sebelum ini di mana pada 2014, SUPP nyaris dibatalkan pendaftarannya.

Tambah beliau, kini sudah tiba masanya bagi semua pihak kekal bersatu dalam satu entiti sepertimana yang digambarkan pada keputusan pilihan raya baru-baru ini dan ia pasti mengekalkan mandat kuat untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal tiba.

"Namun untuk memilih wakil Cina dalam kabinet negeri ia terpulang kepada Ketua Menteri dan saya telah menyatakan kepada beliau, amat penting Cina ada wakil.

"Apabila pengundi Cina beralih arah memberi sokongan kepada BN ia menjadi petunjuk, mereka mahukan wakil dalam kerajaan dan itu keikhlasan yang digambarkan mereka," katanya.

Pada keputusan PRN minggu lepas, Dr. Sim merampas semula kerusi kubu kuat DAP apabila mengejutkan penyandang Christina Chiew dan calon Bebas, Liu Thian Leong dengan majoriti 2,085 undi.

Sementara itu, Setiausaha Agung SUPP, Sebastian Ting menang di Piasau termasuk dua Naib Presiden iaitu Francis Harden Hollis (Simanggang) dan Lee Kim Shin (Senadin).

Parti itu turut memenangi kerusi Repok yang ditandingi Dr. Huang Tiong Sii, Meradong (Ding Kuong Hiing dan kerusi baru Batu Kitang (Lo Khere Chiang).

Bekas pemimpin SUPP yang menang sebagai calon langsung adalah Wong Soon Koh (Bawang Assan), Dr. Jerip Susil (Mambong), Dr. Johnichal Rayong Ngipa (Engkilili) dan Ranum Mina (Opar), manakala bekas ahli SUPP, Tiong Thai King menang di Dudong.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran