Khamis, 12 Mei 2016

Majlis Raja-Raja rakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter


Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir (tiga, kiri) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-241 di Istana Negara  
 
Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja merakamkan ucapan takziah kepada semua anggota keluarga mangsa nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada Khamis lepas.

Ucapan berkenaan dizahirkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-241 di Istana Negara di sini, hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja turut bersedih dengan kejadian yang berlaku dan berdoa serta berharap semoga ahli keluarga mangsa tabah menghadapinya.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja selama sehari itu dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan dihadiri semua raja Melayu kecuali Johor yang tidak diwakili.

Dalam tragedi Khamis lepas, helikopter jenis Eurocopter AS350 yang dinaiki lima penumpang serta juruterbang terhempas di Sungai Batang Lupar di Sebuyau.

Mereka yang terkorban dalam nahas itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun, Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha kementerian tersebut Datuk Dr Sundaran Annamalai dan juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas. - BERNAMA

Tiada ulasan: