Isnin, 20 Jun 2016

Kalah PRK: Azmin minta parti muhasabah diri






Semua parti politik pembangkang jangan menyalahi antara satu sama lain berikutan kekalahan dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, gesa Naib Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tegas Azmin, apa yang perlu dilakukan kini semua parti pembangkang harus tunduk kepada kehendak rakyat, malah perlu muhasabah atas apa yang telah berlaku.

Ia termasuklah perpecahan yang berlaku sendiri dalam kalangan pembangkang antara Pakatan Harapan (PH) dan PAS.

"Saya menuntut semua parti politik perlu muhasabah , perlu bersikap terbuka dan segera kembali ke meja rundingan untuk mengatur strategi baru menghadapi PRU14.

"Saya berharap keputusan ini bagi satu pengajaran kepada semua parti politik. Jangan menyalahkan sesiapa, malah perlu ambil sikap untuk bincang semula.

"Saya percaya semua parti politik perlu tunduk pada suara rakyat kerana kita pernah tewas sebelum ini walaupun dalam PRK, tapi kita boleh bangkit semula dan kebangkitan itu perlu adanya muhasabah dari setiap parti politik," katanya ketika ditemui pada program Rapat Ramadan Penjawat Awam Selangor di Shah Alam.

Azmin berkata demikian mengulas kekalahan dua PRK itu serta beberapa tindakan pemimpin yang dilihat cuba menyalahkan antara satu sama lain termasuk Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming semalam mendakwa Pas adalah punca kekalahan PRK Kuala Kangsar kerana menyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru.

Mengulas mengenai rundingan dengan Pas, Azmin katanya perlu berbincang dengan PKR, DAP dan PAN mengenai perkara itu.

"Terlalu awal untuk saya ulas lebih lanjut. Saya percaya semua parti politik akan meneliti secara terperinci. Kita akan bincang dan ini juga bukan perkara baru kerana saya dah tekankan dari awal lagi kita perlu berbincang atas kepentingan rakyat," ujarnya.

Tiada ulasan: