Isnin, 20 Jun 2016

Mastura rujuk Mufti Perak laksana tugas dalam tempoh idah

Datin-Mastura-Mohd-Yazid

Datin Mastura Mohd Yazid yang memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar akan merujuk kepada Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Mastura berkata, walaupun masih berada dalam tempoh idah selama empat bulan 10 hari, beliau perlu berkhidmat kepada penduduk Kuala Kangsar.

"Sekarang ini saya dipilih sebagai wakil rakyat di Kuala Kangsar, jadi saya perlu tahu daripada Mufti Perak apa garis panduan untuk saya berkhidmat,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Bukit Chandan hari ini.

Mastura, 55, memperoleh majoriti 6,969 undi berbanding majoriti 1,082 undi yang diraih penyandang kerusi itu, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Balu kepada Wan Mohammad Khair-il Anuar itu memperoleh 12,653 undi menewaskan calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684 undi), calon Amanah Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi) serta calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 54 undi dan hilang wang pertaruhan.

Mengenai majoriti undi lebih besar yang diperolehi beliau, Mastura berkata, antara faktor menyumbang kepada jumlah itu adalah komuniti Cina telah kembali menyokong BN, selain gerakan bersepadu jentera BN dalam kempennya pada PRK itu.

"Majoriti itu juga adalah satu manifestasi atau terjemahan perasaan pengundi Kuala Kangsar terhadap Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar, mereka (rakyat) sangat menghargai usaha dan kasih sayang arwah yang telah berkhidmat di Kuala Kangsar," katanya.

Pada pagi tadi, Mastura mula dikunjungi penduduk setempat yang memohon khidmat baktinya sebagai wakil rakyat.

Seorang penduduk dari Kampung Menora, Hashim Azaldin, 70, menjadi orang pertama bertemunya hari ini dengan berkunjung ke kediamannya di Bukit Chandan pada jam 9.45 pagi.

Mastura berkata, Hashim memohon bantuannya untuk mendapatkan rawatan matanya yang kabur.

Sementara itu, orang kelainan upaya, Ismail Awang Besar, 52, dari Kampung Sayong Lembah juga datang ke rumah Mastura untuk memaklumkan Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar pernah menempah ukiran khat kayu ayat suci al-Quran dengannya.

"Saya pernah meminta arwah membeli ayat suci al-Quran untuk diletakkan pada dinding rumah," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

BN bermula tahun 1959, 59 tahun kemudian BN jatuh

Tun Mahathir bersama barisan kepimpinan Pakatan Harapan mengadakan sidang media mengumumkan kemenangan. SIRI 1 KETIKA sahabat...