Khamis, 23 Jun 2016

Tiada tekanan tamat kontrak awal - Abu Kassim


Post Pic

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohammad menegaskan beliau tidak menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk tarikh tamat kontrak perkhidmatannya dipercepatkan.
 
Menurut Abu Kassim, beliau sendiri telah tiga kali memohon kepada kerajaan untuk penamatan kontraknya dipercepatkan dan beliau bersyukur permohonan kali ketiga itu diluluskan oleh kerajaan.
 
"Tiada tekanan kerana ini adalah permintaan saya sendiri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
 
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa hari ini mengumumkan perkhidmatan Abu Kassim yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018, dipercepatkan kepada 1 Ogos 2016.
 
Jelas Abu Kassim, antara sebab beliau memilih untuk menamatkan perkhidmatan awal adalah kerana menerima tawaran daripada International Anti-Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan di Universiti Pencegahan Rasuah di Austria.
 
Beliau yang akan bersara daripada perkhidmatan awam pada tahun 2020 memberitahu, selain daripada peranan di peringkat antarabangsa, beliau akan turut menjadi penyelidik dan perunding di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tiada ulasan: