Khamis, 6 Disember 2007

Kesihatan penyair tersohor Abdulhadi semakin baik

Penyair tersohor Kelantan, Abdul Hadi Mohamed, 53, atau nama penanya Abdulhadi kini semakin baik setelah menderita menghidap penyakit asma sejak beberapa bulan lalu.

Setelah hampir tiga bulan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab ll, Kota Bharu kini Abdul Hadi telah dipindahkan ke wad Teratai.

Adiknya, yang juga seorang penulis skrip drama radio, puisi dan teater terkenal Kelantan, Rosli K Matari, ketika dihubungi memberitahu keadaan abangnya kini semakin beransur pulih.

Bagaimanapun, katanya, Abdulhadi belum mampu bercakap sebagaimana biasa.

"Kalau dia minta sesuatu dia hanya akan menulis," katanya.

Rosli memberitahu, sebelum ini abangnya separuh sedar dan dirawat di ICU memandangkan keadaannya yang semakin tenat.

Abdul Hadi, merupakan seorang penyair terkenal tanah air melalui puisi-puisi puitisnya yang bertemakan kemanusiaan, kemasyarakatan, keagamaan, alam dan politik.

Kebanyakkan puisi-puisinya mendapat tempat di media-media tempatan sejak akhir 70-an hingga kini.

Namanya tersenarai antara penulis-penulis tersohor tanah air sebaris Nawawi Mohamed, Hazmi Yusoff, Maswan Salleh (antara beberapa nama) dan juga merupakan nama besar penulis Kelantan yang cukup dikenali ramai.

Abdul Hadi juga merupakan pengasas Grupemuisi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akhir tahun 70-an, bergerak aktif dalam persatuan khususnya Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan pernah memegang jawatan sebagai Anggota Jawatankuasa persatuan tersebut.

Dalam pengabdiannya sebagai seorang penulis khususnya puisi, beliau pernah memenangi beberapa anugerah di antaranya menang Hadiah Sastera Malaysia dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1984/85 melalui puisinya Urir char 1986/87 Di Meja Makan 1986 (Chernobyle, Russia).

Selain itu, Hadi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pengajian Islam) turut memenangi hadiah Utusan-Publik Bank di samping pernah melahirkan antologi puisi persendirian yang bertajuk ‘Ruang Dalam’ dan ‘Racun Abadi’.

Selain itu juga, beliau pernah memenangi syembara puisi kebangsaan anjuran Esso-Gapena pada tahun 1989.
Paling membanggakan salah sebuah puisinya juga pernah diterjemahkan dalam Bahasa Russia sekitar tahun 80-an.

"Beliau juga merupakan seorang penulis yang berpegang pada ajaran Islam, sebab itu kita dapati hasil karyanya lebih bertemakan keislaman dan kemanusiaan,"ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakan penyair seluruh negara termasuk pendokong dan peminat sastera tanah air mendoakan kesejahteraan abangnya agar segera sembuh sebagaimana biasa.

"Mudahan dengan kesembuhannya itu beliau dapat menggarapkan lagi puisi-puisi indah bertemakan keislaman dan kemanusiaan, insya-Allah.

Selasa, 4 Disember 2007

Mahkamah Jepun tolak rayuan Raja Munirah


KUALA LUMPUR: Sebuah Mahkamah Tinggi di Jepun hari ini menolak rayuan pelajar Malaysia Raja Munirah Raja Iskandar bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo tahun lepas.
Peguamnya Rosal Azimin Ahmad, ketika dihubungi berkata, mahkamah bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah selama 100 hari, yang bermakna dia akan dipenjara selama tujuh tahun sebulan.
Rosal Azimin berkata mahkamah tidak menerima keterangan laporan forensik siber, iaitu laporan data SMS, bagi mengetepikan semua mesej SMS antara Raja Munirah dan lelaki Iran bernama Milad, yang didakwa oleh Raja Munirah sebagai orang yang menganiayainya.
Katanya mahkamah mendapati keterangan menerusi laporan forensik siber itu tidak mencukupi selain meragui kesahihan laporan data SMS itu.
Rosal Azimin berkata beliau bersama sekumpulan peguam Jepun akan merayu kepada Mahkamah Agung dalam masa 10 hari ini.
Raja Munirah, 22, pelajar bidang sebaran am di sebuah kolej swasta di Malaysia, telah mengaku bersalah terhadap tuduhan itu pada 20 Dis tahun lepas.
Dia mendakwa diperdaya oleh Milad untuk membawa beg melepasi pusat pemeriksaan kastam tanpa mengetahui kandungannya.
Dia kini berada di pusat tahanan Kosuge di Tokyo.Bapanya, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, berkata beliau pasrah dengan keputusan mahkamah itu namun berharap tempoh untuk membuat rayuan ke Mahkamah Agung dilanjutkan bagi membolehkan pihaknya mengumpul bukti yang lengkap supaya ia tidak dipersoalkan lagi kelak.
"Saya difahamkan banyak bukti yang dikemuka sebelum ini dipertikaikan oleh mahkamah, jadi kali ini kami akan berusaha untuk mengumpul bukti yang lebih kukuh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Raja Iskandar Shah juga berharap supaya Polis Diraja Malaysia atau Interpol turut membantunya dalam usaha mengumpul bahan bukti bagi membolehkan anak gadisnya itu dibebaskan.
Beliau turut meminta jasa baik manamana kementerian berkaitan yang prihatin dengan nasib keluarganya untuk sama-sama campur tangan bagi memudahkan proses rayuan itu.
"Sebelum ini saya hanya dapat sokongan dan bantuan daripada saudara mara serta rakanrakan. Belum ada kementerian terbabit ataupun pihak berkuasa tempatan yang tampil untuk menghulurkan bantuan," katanya.

UMNO Bantu Ibu Bapa Umi Azlim


Umno-Bantu
UMNO USAHA BANTU HANTAR IBU BAPA UMI AZLIM KE CHINA
PASIR PUTEH - Umno Bahagian Pasir Puteh akan cuba berusaha menanggung kos pemergian keluarga Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, yang dijatuhi hukuman mati kerana menyeludup dadah ke negara China.
Pegawai Penyelaras Umno Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal Tuan Mustaffa Tuan Mat berkata sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengumpul antara RM30,00 hingga RM50,000 bagi kos pemergian bapa Umi, Mohamad Lazim Jusoh, 50, dan ibunya Umi Slaia Ibrahim, 45, ke China.
Umi Azlim telah ditahan di China pada Januari lalu atas tuduhan membawa masuk heroin seberat 2,983 gram ke negara itu dan telah dijatuhi hukuman mati pada Mei lalu.
Bekas pelajar Universiti Malaysia Sabah itu telah diberi tempoh dua tahun dari tarikh hukuman untuk membuat rayuan.
"Kita akan menghubungi Wisma Putra untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai kes itu," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga terbabit di Kampung Tok Kamis di sini, hari ini.
Tuan Mustafa berkata beliau akan cuba mendapatkan sumber kewangan daripada pelbagai pihak bagi membantu keluarga terbabit termasuk mengutip derma daripada penduduk kampung itu sendiri.
Beliau berkata pihaknya memerlukan perbelanjaan tersebut termasuk kos guaman dan khidmat juru bahasa.
Sementara itu, Mohamad Lazim, seorang pesara tentera, berkata beliau dan keluarganya mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada orang ramai kerana beliau tidak mampu untuk menanggung kos yang begitu tinggi.
Katanya pendapatannya yang bekerja sebagai mekanik di sebuah syarikat Proton di sini serta pendapatan isterinya dari hasil jualan goreng pisang dan air minuman hanya cukup bagi menampung keperluan lima orang anak yang masih dalam tanggungan.
-- BERNAMA

Polis bantu gadis Kelantan dihukum mati

Polis bantu dapatkan maklumat gadis Kelantan yang dihukum mati

KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha untuk bekerjasama dengan kerajaan Republik China bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes gadis rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman mati atas tuduhan membawa masuk heroin ke negara itu pada 19 Januari lalu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar, pihaknya akan berhubung dan meminta kerjasama baik dari kerajaan republik itu untuk menyiasat kes tuduhan terhadap tersebut secara lebih terperinci.
Ketika bercakap kepada pemberita, beliau meminta seluruh rakyat di negara ini dan PDRM sendiri perlu menghormati undang-undang yang ditetapkan oleh Negara China dan akan mencari jalan untuk menghantar wakil bagi berbincang mengenai rayuan terhadap kes gadis berkenaan.
"Kita kena ikut semua prosedur yang ditetapkan, dan dalam kes ini, dia (Umi Azlim) masih boleh merayu, kita akan cuba usaha untuk bantunya," katanya ketika ditemui selepas satu majlis sempena rangka lawatan kerjanya selama dua hari ke kontinjen Kelantan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru, semalam.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujudnya satu sindiket yang menggunakan rakyat Malaysia terutamanya wanita sebagai alat untuk membawa masuk dadah ke mana-mana negara.
Jelasnya lagi, sindiket tersebut dipercayai beroperasi di sebalik aktiviti dan syarikat yang menggunakan pelbagai taktik termasuk menawarkan pekerjaan yang lumayan tanpa disedari dan diketahui oleh mereka yang terlibat menjadi mangsa.
"Kita nasihatkan orang ramai dan rakyat, berwaspada dan sentiasa berhati-hati dalam perkara sebegini," katanya.
Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai seorang gadis, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, dari Pasir Puteh, Kelantan, yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-Undang Jenayah Guangzhou republik itu pada 15 Mei lepas atas kesalahan menyeludup masuk heroin seberat 2.983 gram.
Kelmarin, ibu Umi Azlim, Umi Slaia Ibrahim, 45, memberitahu anak perempuan sulungnya itu yang baru beberapa bulan bekerja selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Sains Biologi dilaporkan bekerja dengan sebuah syarikat yang menjual alat mengurut kaki milik seorang yang hanya dikenali sebagai 'Datuk Anas' di ibu negara.
Menurut Umi Slaia, oleh kerana anaknya fasih berbahasa Inggeris telah dipilih oleh syarikat itu untuk menjalankan urusan di luar negara, namun ekoran hubungan yang terputus sejak Januari lalu, wanita terbabit yang khuatir akan keselamatan Umi Azlim bertindak ke Jabatan Imigresen Kelantan dan diminta merujuk ke Wisma Putra untuk maklumat lanjut.
Umi Slaia memberitahu dia bagaimana pun percaya anak gadisnya itu tidak bersalah dan telah dianiaya oleh lelaki Nigeria yang bernama 'UG' berdasarkan kepada keterangan Umi Azlim dan saksi lain dalam surat mahkamah yang dikirimkan ke Wisma Putra itu.

Gadis Kelantan dihukum mati di China


Pada dasarnya, dalam naluri hati kecil saya... Saya amat bersimpati dengan nasib rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara. Tetapi apa boleh buat. Polis negara itu bukan saja-saja hendak menahannya. Ada sebab kenapa mereka ditahan. Tambahan pula, kes penahanan yang melibatkan gadis Malaysia bukan perkara baru. Ia berlaku saban tahun. Macam-macam kes dilaporkan yang berakhir dengan keputusan negatif dan positif.

Secara peribadi, saya tidak tahu apa yang mereka fikirkan ketika ditawarkan oleh seseorang untuk 'bekerja' di luar negara. Adakah mereka hanya memikirkan duit? Tanpa memikirkan yang terselindung di sebalik pemilihan mereka ke luar negara?

Sejarah membuktikan, tidak ada perkara yang baik berlaku dengan pemergian mereka ke luar negara melainkan mereka ditahan kerana membawa dadah.

Walaupun mereka menafikan dadah itu miliknya, tidak semudah itu untuk polis mempercayainya. Begitu juga dengan polis kita jika ada kes seumpama itu berlaku di negara ini. Mereka perlu menjalani proses undang-undang. Jika terbukti mereka bersalah, maka bersalahlah. Jika mahkamah mendapati mereka tidak bersalah, mereka akan dibebaskan. Dan ia akan menjadi pengajaran. Malangnya pengajaran itu hanya untuk mereka sahaja, bukan dikongsi oleh orang ramai.

Gadis Kelantan dihukum mati
Diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman untuk membuat rayuan. Hampir setahun tanpa khabar akhirnya sebuah keluarga di sini menerima berita buruk mengenai anak perempuan sulung keluarga itu telah ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke negara itu pada 19 Januari lalu.
Lebih memilukan, menerusi sepucuk surat ke Wisma Putra bertarikh 12 Julai lalu, dikatakan Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, telah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou republik itu pada 15 Mei lalu atas kesalahan menyeludup masuk heroin seberat 2,983 gram.
Ibu Umi Azlim, Umi Slaia Ibrahim, 45, berkata, anaknya itu diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman itu untuk membuat rayuan.
"Inilah yang membuatkan saya sekeluarga merasa sangat sedih. Sudahlah beberapa bulan tidak mendengar berita akhirnya anak saya ditahan di China atas kesalahan berat ini dan telah dijatuhi hukuman mati.
"Saya dimaklumkan dadah itu untuk diserahkan kepada seorang rakyat Nigeria yang bernama ‘UG’ sebaik tiba di Shantou (China) apabila menerima satu bungkusan di Bangkok (Thailand)," katanya ketika ditemui di rumah keluarga itu di Kampung Tok Kamis di sini semalam.
Umi Slaia berkata, dadah itu ditemui tersorok dalam baju sejuk di bagasi anaknya sebaik tiba di Shantou.

Umi Azlim yang baru beberapa bulan bekerja selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Sains Biologi dilaporkan telah bekerja dengan sebuah syarikat yang menjual alat mengurut kaki milik seorang yang hanya dikenali sebagai ‘Datuk Anas’ di ibu negara.
Menurut Umi Slaia, oleh kerana anaknya fasih berbahasa Inggeris telah dipilih syarikat itu untuk menjalankan urusan di luar negara.
"Sebelum ini Umi selalu menelefon saya sehinggalah terputus hubungan sejak Januari lalu," katanya.
Umi Slaia berkata disebabkan khuatir keselamatan Umi Azlim, dia telah ke Jabatan Imigresen Kelantan di sini tetapi telah diminta merujuk kes itu ke Wisma Putra.
"Pegawai Wisma Putra di Putrajaya memberi jaminan untuk cuba mengesan Umi Azlim jika benar berada di luar negara tetapi akhirnya telah dimaklumkan anak saya kini ditahan di China kerana kes dadah," katanya sebak.
Umi Slaia percaya anak sulungnya itu tidak bersalah dan telah dianiaya oleh lelaki Nigeria itu berdasarkan kepada keterangan Umi Azlim dan saksi lain dalam surat mahkamah yang dikirimkan ke Wisma Putra itu.
Mengikut keterangan Umi Azlim di mahkamah, dadah jenis heroin itu telah diserahkan kepadanya oleh seorang wanita rakyat China bila tiba di Bangkok dan telah diminta menyerahkan barang berkenaan kepada lelaki Nigeria itu sebaik tiba di Shantou.
"Anak saya tidak akan buat perkara ini dan dia tidak tahu apa-apa jika tidak dianiaya," katanya.
Bapanya Mohamad Lazim, 50, seorang bekas tentera yang kini bekerja di bengkel servis Proton di sini berkata, Umi Azlim adalah harapan keluarga dan merupakan anak yang baik dan rajin.
"Dia sanggup buat kerja yang susah asalkan dapat bantu keluarga dan kehilangan tanpa berita ini sangat merunsingkan kami," katanya.
Perkongsian hidup Mohamad Lazim dan Umi Slaia telah dikurniakan enam cahaya mata - tiga lelaki, tiga perempuan.
Adik Umi Azlim, Mohamad Azlizan kini belajar di Universiti Medan dan yang lainnya masih bersekolah kecuali Mohamad Azkairunaim, 20, yang telah bekerja.
Keluarga ini mengharapkan ada pihak yang sudi membantu mereka untuk mendapatkan peguam bagi Umi Azlim untuk membuat rayuan itu.
"Saya dan isteri hendak sangat berjumpa Umi Azlim di Penjara Guangzhou tetapi kami orang susah apatah lagi nak dapatkan peguam.
"Kami nak dengar sangat apa cerita sebenar yang berlaku dan saya berharap rakyat Malaysia tolonglah kami terutama anak kami sedang berdepan dengan maut," kata Mohamad Lazim. - BERNAMA

Isnin, 3 Disember 2007

Lagi remaja kita ditahan di luar negara kerana dadah


Satu lagi kes rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana membawa dadah. Kes ini melibatkan remaja perempuan berasal dari Kelantan.

PASIR PUTEH, 3 Dis -- Mohamad Lazim Jusoh, 50, bersama isterinya Umi Slaia Ibrahim, 45, menatap gambar anaknya Umi Azlim, 24, ketika ditemui di Kampung Kamis dekat sini hari ini.Umi Azlim telah ditahan dan dipenjara di negara China atas tuduhan membawa masuk dadah ke republik itu pada Jan lalu.Umi Azlin pelajar lepasan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Jurusan Sains Biologi dilaporkan telah bekerja dengan sebuah syarikat yang menjual alat mengurut kaki milik seorang "Datuk" yang hanya dikenali sebagai "Datuk Anas" di ibu negara.

Sabtu, 1 Disember 2007

Wanita Pembawa Dadah-Bawa Padah

Nak kata tak bagi nasihat, sudah banyak nasihat diberikan. Nak kata media tidak dedahkan kes-kes sebelum ini, sudah banyak kali disiarkan, baik TV mahupun akhbar. Tetapi kenapa masih ada lagi kes wanita kita ditahan di luar negara kerana membawa dadah? Ini yang peliknya. Nak kata mereka bodoh, berdasarkan rekod yang dilaporkan semuanya adalah berpendidikan tinggi. Mungkin kerana nak ubah selera nafsu barang kali. Yalah, 'barang Melayu' mana best kalau tak kena 'barang' pak Arab, Pak Iran, Pak Salleh. Sekarang siapa yang susah? Diri sendiri dan ibu bapa. Tepuk dada tanya selera.


Dadah-Perdaya (Eksklusif)
PEMBAWA DADAH: 30 WANITA MALAYSIA JADI MANGSA TAHUN INI

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) - Kes wanita rakyat Malaysia yang menjadi mangsa diperalatkan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa semakin meningkat dan tahun ini sahaja sebanyak 30 orang ditahan dan kini merempat di penjara beberapa negara asing.

Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Bakri Zinin berkata kes seumpama itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa malahan tekanan kepada ibu bapa dan keluarga mereka kerana hukuman bagi kesalahan itu kebiasaannya amat berat termasuk hukuman mati.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata walaupun telah banyak ingatan dibuat menerusi media, kes melibatkan wanita Malaysia berumur antara 20-an dan 30-an diperalatkan sindiket dadah terus berulang.

"Tahun ini sahaja sebanyak 30 kes seumpama itu yang melibatkan wanita tempatan dikesan. Terbaru pada bulan Oktober sahaja, tiga lagi wanita tempatan yang bertindak sebagai "drug courier" (pembawa dadah) bagi menyeludup dadah sama ada secara sedar atau tanpa sedar ditahan di dua buah negara," katanya.

Dua daripada wanita itu ditahan di Caracas, Venezuela manakala seorang di Australia dan risikan mendapati wanita terbabit telah diperdaya oleh lelaki Nigeria dan Iran untuk menyeludup dadah ke negara berkenaan, katanya.

Katanya, daripada jumlah itu, wanita Melayu adalah yang tertinggi ditahan pihak berkuasa luar negara iaitu sebanyak 15 orang manakala India (tujuh), Cina (enam) dan kaum lain (2).
Bakri berkata daripada 30 tangkapan itu, sembilan daripada mereka ditahan di Peru, enam (Argentina), lima (China), empat (Australia), lima (Venezuela) manakala seorang di Jepun.
Mereka ditahan setelah didapati membawa dadah jenis Kokain, Ephedrine, Methamphetamine, Syabu dan Heroin.

"Sejumlah 86.5 kilogram dadah telah dirampas dan yang paling berat pernah dibawa ialah dadah jenis kokain seberat 10 kilogram di Argentina," kata Bakri.
Beliau berkata polis Malaysia sebenarnya menghadapi kesukaran untuk membantu dalam siasatan kes seumpama itu walaupun ada desakan daripada keluarga.

"Amat sukar untuk kita mengetahui atau mengikuti segala perkembangan siasatan kes di luar negara terutama untuk mengesan dalang sebenar yang terlibat."

Menurutnya mengikut prosedur, bahagian risikan tidak boleh berhubung dan menemubual mereka yang terlibat melainkan melalui saluran Imigresen.

"Kita perlu menghormati undang-undang negara berkenaan sepertimana mereka perlu menghormati undang-undang di negara ini," katanya.

Ogos lepas, Bernama pernah melaporkan bahawa kerana ingin hidup mewah dan terlalu percaya kepada teman lelaki sebagai punca wanita tersebut terjebak dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Anggota sindiket itu dikesan masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelajar dengan modus operandi menjalinkan hubungan dengan wanita terbabit dan setelah mendapat kepercayaan mereka, wanita itu dihantar ke luar negara dengan diberikan kemudahan dan kemewahan.

Antara kes yang mendapat liputan meluas media Malaysia ialah penahanan Raja Munirah Raja Iskandar, 22, oleh pihak berkuasa Jepun kerana menyeludup dadah jenis syabu seberat 690 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Dis tahun lepas.

Pelajar jurusan komunikasi massa sebuah kolej swasta di sini mendakwa tidak mengetahui membawa bungkusan berisi dadah setelah diperdaya lelaki Iran yang hanya dikenali sebagai Milad yang menawarkan kerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) di syarikatnya yang kononnya berpangkalan di Jepun dengan gaji kira-kira RM9,000 (AS$2,500) sebulan.

Raja Munirah kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun empat bulan sementara menunggu perbicaraan rayuan kesnya pada 4 Dis ini di Mahkamah Tinggi Jepun.

Bakri yang jelas bimbang dengan keadaan yang semakin serius itu berharap ibu bapa dapat memainkan peranan dengan lebih prihatin terhadap pergerakan anak mereka terutama anak gadis yang mula ingin berdikari.

Katanya bagi menyedarkan masyarakat terutama golongan sasaran, Jabatan Narkotik PDRM mengadakan ceramah ke seluruh negara termasuk di pusat pengajian tinggi .

-- BERNAMA