Isnin, 12 Mei 2008

Sajer-sajer ubat ngantuk

Tambah Cawangan Baru

Duhai isteriku....
Abang ingin kahwin lagi... bukan dirimu telah ku benci... cuma hadirnya tanpa ku sedari... dia rakan abang di tempat kerja... selalu sangat abang bersama... dah tugas bukan sengaja... abang takut syaitan menggoda...
memang abang akui dia cantik... lenggok jalannya buat hati berdetik... dia juga dari golongan baik-baik... beradab bersopan juga cerdik... dia tak pernah cuba menggoda... cuma abang nie perasan saje... bila bekerja berbincang bersama... ntah kepala nie dah melayang ke mana... mungkin dia tak rasa apa-apa...


bukan sayang sudah abang jemu... sayang masih lagi cantik seperti dulu... namun bukan cantik sayang yang abang perlu... layanan sayang itu yang buat tak jemu... cuma di office sayang tak ada... boring dan jemu datanglah juga... tak ada sapa nak ajak berbicara... itu sebab abang call hampir setiap masa... nak menunggu sampai di rumah tak terdaya... di rumah sibuk nak uruskan anak pula..

abang akui lengkap sudah dirimu... cuma abangkan berhak kawin dua... bahkan empat pun tak apa... sebab itu ketentuan yang Esa... DIA tahu lelaki tak boleh dipercayai... lelaki memang sukar mengawal gelora... itu dikurniakan akal sembilan... buat melawan nafsu godaan... namun kuatnya nafsu berpangkat sarjan... sembilan tentera terlalu mudah dikalahkan... lain perempuan nafsunya sembilan... tapi itu nafsunya pangkat bawahan... akalnya pula berpangkat sarjan..

Duhai isteriku... maafkan abang mencari selainmu.. ini demi menghalang maksiat berlaku.. sebelum terlanjur godaan nafsu.. kan lebih baik dihalalkan dulu.. abang berjanji seadil yang mampu..
"Pah butang baju abang mana Pah...."



Keluhan seorang isteri...

Duhai suamiku dunia dan akhirat... Kufahami bahawa kau memang berniat... menambah cawangan di satu lagi tempat...

Abang, bukannya niatku untuk menegah... Suara hati isterimu ini dengarkanlah... Kerana tiada guna kita berbalah... Sampai bila-bila pun tak akan sudah-sudah...

Memang di office mu diriku tiada.... Bukankah abang juga yang menegah bekerja... Katamu jadilah suri rumah sepenuh masa... Agar anak-anak menjadi manusia berguna... Kuturuti katamu walaupun aku berijazah juga...


Inikah pula yang patut kuterima?
Abang, Memang abang berhak berkahwin dua ataupun tiga... Tetapi mampukah abang untuk mengeluarkan belanja... Mampukah abang menanggung semuanya... Bukan sahaja dari segi material saja... Malah merangkumi aspek segala... Kubimbang nanti akhirat disana... Abang melangkah senget sebelah bahunya... Sedang aku dapat melihat cuma...


Abang, Kurelakan abang berkahwin lagi... Sekiranya layananku padamu tidak memuaskan hati... Tetapi seperti katamu aku lengkap segala segi... Apa sebenarnya yang kau cari???

Abang, Sejak akad telah dilafazkan... Telah kuserahkan jiwa dan perasaan... Ibu bapaku juga melepaskanku dengan pesanan... Hidupku jangan disia-siakan... Janjimu kini hanya tinggal kenangan...

Abang, Memang nafsu itu satu godaan... Sebenarnya tiada beza tentera ataupun sarjan... Hanya tekad dan akal yang mesti digunakan... Begitulah Islam menyarankan... Sekiranya tidak, tiadalah beza antara manusia dan haiwan ataupun syaitan...


Abang, Sanggupkah kau memikirkan apa yang kufikirkan?... Sanggupkah kau berkongsi pelukkan?... Sanggupkah kau berkongsi belaian?

Akhir sekali, Apa yang ingin kutegaskan di sini... Mulai daripada tika dan saat ini.... Aku akan berhenti menjadi.... Seorang isteri yang baik hati.... Kerana nampaknya kau tidak reti-reti untuk menghargai... Sekarang buatlah apa yang kau ingini... Aku sudah tidak peduli.... Daripada ku menghambakan diri.... Lebih baik aku pun mula mencari pengganti....

Butang baju? Sorry, cari sendiri!!
Bye banggggg...

Rindunya zaman kanak-kanak

Aku rindukan zaman kanak-kanak di era 60-an hingga pertengahan 80-an. Ketika itu, penduduk di kampung aku hidup muafakat. Seorang sakit demam, berpuluh datang menziarahi. Seorang dalam kedukaan, beratus datang memberi semangat.

Pada bulan Ramadan pula, sesebuah keluarga tidak menang tangan bertukar-tukar juadah masakan dan kuih muih sehinggakan tiba waktu berbuka, bermacam jenis lauk-pauk dan kuih muih dihidangkan.

Semua juadah itu bukan dibeli di pasar, tetapi sumbangan daripada jiran. Kalau makcik Timah hantar sepinggan kuih 'teri mandi', dia akan menerima balasan sepinggan kuih 'kepek hidung'.

Jika makcik Yam menghulurkan semangkuk sayur keladi, dia akan dibalas semangkuk sayur bayam. Begitu akrab Melayu ketika itu. Hidup mereka ibarat isi dengan kuku. Tidak pernah bergaduh. Sentiasa dalam hilai tawa.

Setiap pagi, mereka berkumpul di bawah pokok kekut (chery) sehingga tengah hari menunggu kedatangan Abang Noor membawa ikan dan sayur dengan motosikal buruknya.

Setiap malam pula selepas solat Isyak, kami berkumpul di rumah makcik Yam menonton rancangan televisyen. Hanya dia yang ada televisyen ketika itu. Kita sama-sama tengok filem Melayu seperti Pontianak, Sitora, Harimau Jadian dan Orang Minyak.

Kita juga rindukan filem Combat, Ba Ba Black Ship, Banana Splid, Star Trek, Hawaii Five O, Mission Imposible, gusti, filem Cina Bruce Lee dan tinju Muhamad Ali melawan Goerge Forman hingga larut malam.

Aku rindukan suasana dahulu. Kadang-kadang hati saya memberontak mahu kembali ke zaman makan nasi berlaukkan ikan selayang rebus, berkuah kicap. Sayur kubis campur ikan bilis.

Aku juga rindukan nasi bubur daun pandan yang ibu masak (kerana tidak ada lauk). Nasi campur hempedal dan hati ayam. Bestnya makanan yang mak sediakan ketika itu. Makanan orang tak ada duit. Lebih murah, kenyang dan menyelerakan.

Kalau hendak ke sekolah, mak cari raba-raba seluruh tiang lintang di dinding rumah. Cari duit kot kot ada tersimpan atau ada terletak sebelum ini. Akhirnya jumpalah dalam 15 sen. Dibahagi kepada tiga beradik. Saya, kakak dan abang dapat 5 sen seorang.

Dengan rasa tak puas hati...sedih dan menangis, tangan menyambut wang saku 5 sen dan paksa kaki pergi ke sekolah. Dalam hati kata, nak makan apa dengan 5 sen? Itulah kehidupan di awal tahun 1970-an.

Sekarang dunia sudah berubah. Satu keluarga demi satu keluarga Melayu di kampung itu telah berpindah ke kampung lain yang lebih moden sedikit. Tempat mereka yang kosong diganti keluarga Melayu celup yang memiliki motosikal dan kereta.

Dari situ, semangat kejiranan beransur hilang. Rumah yang pemiliknya mempunyai kereta sentiasa tertutup kemas. Keluarga yang tuannya ada motosikal agak jarang berada di rumah.

Justeru, Melayu tulen mula terasa asing di bumi sendiri. Mereka makan hati dan buat hal masing-masing. Kuih 'cucur teri' dan 'kepek hidung', sayur keladi dan sayur bayam dimasak bukan lagi untuk jiran, tetapi sekadar untuk hidangan sendiri.

Juadah itu tidak diagihkan seperti dahulu bukan kerana kedekut, tetapi disebabkan sikap jiran baru yang bertapak di kampung-kampung bukan dari jenis makcik Yam dan makcik Timah.

Mereka adalah dari jenis 'tidak suka menjaga tepi kain orang' dan dari spesies yang bersikap 'tidak mempedulikan' jiran. Itulah jenis Melayu yang ada hari ini.

Masing-masing membuat hal-hal sendiri. Mu mu. Aku aku. Sakit demam kena tanggung sendiri. Hospital ada. Berehatlah di situ. Jangan harap jiran datang menziarahi kerana mereka sentiasa sibuk dengan urusan harian.

Kini...aku teringat mak dan ayah di kampung. Apa khabar mak? Selamat Hari Ibu buat mu yang banyak berkorban untuk membesarkan aku.

Melayu akan jadi kaum minoriti

"Melayu hanya akan bersatu setelah bangsa itu menjadi kaum minoriti di bumi sendiri", demikian petikan yang terkandung dalam artikel saya yang disiarkan pada tahun 1996.

Selepas artikal itu disiarkan, saya mendapat kecaman daripada pemimpin politik UMNO yang menuduh saya cuba bermain api dan menakut-nakutkan orang Melayu.

Saya terpanggil untuk menghasilkan artikel itu setelah saya terkejut melihat keadaan orang Melayu pada masa itu. Mereka berpecah-belah. Bergaduh sesama sendiri, bermasam muka sesama bangsa dan keturunan.

Hati mana tidak sedih melihat golongan yang lebih cerdik pandai, pintar dan berkelulusan tinggi turun ke kampung-kampung dan desa untuk menyemarakkan api kebencian dalam diri penduduk Melayu.

Lantas berlakulah peristiwa bapa tidak mengaku anak, suami menceraikan isteri, majlis kenduri orang UMNO di pulau orang Pas. Orang UMNO mati, orang Pas tidak ziarah. Barangan buatan orang UMNO tidak boleh disentuh oleh orang Pas dengan alasan haram.

Lebih ketara, anak yang fanatik dengan Pas tidak akan mengaku orang tuanya sebagai mak dan ayah kerana mereka fahaman UMNO. Sampai begitu sekali mereka berkafir mengkafir (ayat baru) ketika itu.

Peristiwa dan keadaan itulah menyebabkan saya berasa sedih dan mendorong untuk menghasilkan pandangan mengenai kedudukan orang Melayu jika mereka terus berpecah belah dan tuduh menuduh antara satu sama lain.

Justeru, terhasillah sebuah artikel bertajuk: Apabila Melayu menjadi bangsa majoriti.

Nampaknya apa yang saya perkatakan itu hampir menjadi kenyataan. Pas mengakui mereka bukan parti Melayu. Baginya Islam bukan bermakna Melayu dan Melayu tidak semestinya Islam.

Oleh itu, kekuatan Melayu tidak lagi berpihak kepada Melayu, sebaliknya mula terhakis satu demi satu. Ini yang menakutkan saya sebagai Melayu tulen.

Sabtu, 10 Mei 2008

Kes Murtad: Mengapa kita perlu prihatin


Oleh: Roslan SMS
Saya bukan bertujuan mahu mengajak pembaca saya agar mencetuskan huru-hara ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang ini. Tidak! Keputusan ini perlu diterima dengan hati terbuka, kerana ia proses undang-undang, oleh kerana kita duduk dalam negara demokrasi yang menjunjung undang-undang dan Perlembagaan maka kita perlu patuh walaupun kecewa.

Apa yang saya bimbang adalah impaknya terhadap Islam, dan persepsi masyarakat bukan Islam terhadap Islam. Kerana itu saya akan menggunakan blog ini untuk mendesak agar kita semua bangkit menyedarkan pimpinan kita yang mempunyai kuasa, sama ada Raja-raja Melayu, Kabinet, Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, Ahli-ahli Parlimen dan ADUN kesemuanya agar bertindak memelihara Islam.
Tahukah anda apa reaksi Presiden MCA, contohnya terhadap keputusan ini (boleh dikuti di akhbar-akhbar tertentu). Kata Ong Ka Ting: It was Siti Fatimah is right to embrace Islam and like wise, it is also her right to return to her original faith. This is a matter for her to decide and no one else. (Ianya merupakan HAK Siti Fatimah untuk memeluk Islam sebagaimana beliau juga BERHAK untuk kembali ke agama asalnya. Ianya adalah sesuatu bagi beliau untuk memutuskan dan bukan pihak lain.)
Inilah persepsi bahaya yang kita bimbangkan. Masyarakat bukan Islam merasakan keluar masuk agama itu adalah HAK masing-masing. Mungkin bagi agama lain ianya HAK, tetapi bagi Islam tidak. Lalu siapakah yang mampu dan berkuasa untuk menyatakan perkara ini kepada mereka!
Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa ketika memberikan komennya terhadap kes ini dalam akhbar THE STAR menyebut: "Renouncing Islam is forbidden unless one has been forced to embrace Islam under duress. If one embraced Islam out of one is own free will, then one must be subject to Islamic law, and the law forbids the renouncing of Islam because it touches ones faith on the religion. (Tindakan keluar dari Islam dilarang sama sekali melainkan seseorang itu dipaksa memeluk Islam. Sekiranya seseorang memeluk Islam atas kerelaannya sendiri, ketika itu ianya mesti tertakluk kepada perundangan Islam, dan perundangan Islam melarang seseorang Muslim keluar dari agamanya, kerana ia melibatkan kepercayaan seseorang pada agama itu).

Boleh tak semua pemimpin Islam dalam negara berpegang kepada tafsiran yang sama? Boleh tak kita semua meletakkan nasib dan masa depan Islam dihadapan lebih tinggi dan utama dari fahaman politik masing-masing? Melalui kuasa yang dimiliki oleh kita, yang walaupun berlainan fahaman, tetapi atas aqidah yang satu, demi Allah, perbetulkanlah kelonggaran ini.
Malah Menteri di JPM yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal Islam, Ahmad Zahid Hamidi sendiri dilaporkan sebagai mengakui bahawa tidak ada undang-undang diperingkat Persekutuan yang melarangs eseorang Muslim dari murtad. Dan dari negeri-negeri yang ada cuma Negeri Sembilan sahaja yang melarang, sementara yang lain tidak.
Inilah puncanya, inilah masalahnya. Sampai bila kita mahu biarkan ia terus begini?Lantaran itu selagi ianya tidak ditangani atas keprihatinan mereka yang berkuasa, maka selagi itulah Islam di negara ini walaupun agama rasmi Persekutuan, tetapi agama yang boleh dipermain-main dan disenda-sendakan.
Syabas Fairus, mana yang lain?
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin (PKR) berjanji akan membawa keperhatian SPR Yang Dipertuan Agong darihal kemelut murtad dan menyarankan langkah-langkah bagi mengelakkan kejadian seumpama Siti Fatimah berulang lagi di Pulau Pinang, apabila beliau diperkenankan mengadap Tuanku nanti.
Kata Fairus, beliau sedih dan kecewa angkara kegagalan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) untuk membimbing si murtad sehingga keluarnya keputusan di Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang itu, yang membenarkan seorang Muslim keluar dari agamanya. Dan yang lebih penting lagi Fairus memberi amaran kepada semua pihak agar jangan mempolitikkan keputusan kes ini, perkara berkaitan agama jangan digunakan sebagai agenda politik.
Dalam akhbar THE STAR hari ini bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Koh Tsu Koon menyeru agar mahkamah bersikap lebih 'humane' (berperikemanusiaan) dalam mendengar kes-kes penganut Islam yang mahu keluar dari agamanya.
Katanya, orang-ramai akan lebih menghormati 'all great religions' (yang beliau mahu maksudkan di sini saya percaya adalah: "akan lebih menghormati Islam") jika keputusan liberal seumpama ini diambil terhadap mereka yang memohon untuk tukar agama. Maknanya kalau kita liberal, pinda dan ubahsuai Islam untuk kesesuaian lain, barulah kita dihormati!
Dalam hal kenyataan Fairus ini, saya rasa selain Timbalan Presiden PAS, sehingga ketakat ini, beliaulah pemimpin politik beragama Islam yang kedua terkanan memberikan reaksi dan komen terhadap kes ini dan menyarankan agar tindakan proaktif diambil bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang.
Yang lain bagaimana? Tiada siapakah lagi pemimpin Melayu/Islam yang sanggup tampil ke hadapan membuat saranan yang sama, atau apakah para pemimpin kita telah khayal didodoi lagu-lagu liberalisma dalam beragama (selesa dengan kedudukan masing-masing) sehingga tidak lagi terdetik dihati mereka untuk mengeluarkan kenyataan membela dan mempertahankan Islam?

Meninggal ketika berdakwah - Innalillah...

Jumaat, 9 Mei 2008

Kronologi Raja Petra ditahan



1. Pengendali Malaysia Today, Raja Petra yang satu ketika dulu pernah mendakwa beliau kebal dari undang-undang Malaysia kerana laman webnya didaftarkan di luar negara diminta hadir ke mahkamah majistret di Jalan Duta, Kuala Lumpur jam 9.30 pagi ini.
Beliau dijangka didakwa di bawah Akta Hasutan dipercayai berkaitan dengan artikel bertajuk ‘Let’s Send Altantuya’s Murderers To Hell’ yang disiarkan di laman itu pada 25 April lalu.
Artikel berkenaan mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan wanita Mongolia itu yang kesnya masih lagi dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Petang Jumaat lalu, Raja Petra telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman setelah pada sebelah pagi beliau ‘dikunjungi’ enam pegawai polis di rumahnya di Sungai Buloh.
Ini bukan kali pertama Raja Petra dipanggil polis kerana tahun lalu beliau turut dipanggil memberi keterangan berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Muhd Taib terhadap laman webnya yang dikatakan menyiarkan tulisan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Pada waktu itu beliau mendakwa tidak boleh disentuh oleh undang-undang Malaysia kerana laman webnya didaftarkan di luar negara.
Terbaru bulan lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar mengarahkan Raja Peta membayar RM2 juta kepada plaintif pertama, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Nordin Kardi dan RM2 juta lagi kepada plaintif kedua, UUM berhubung penyiaran artikel bertajuk Dato Dr. Nordin Kardi Ciplak Karya Saya?.
Dalam tulisannya mengulas kes itu, Raja Petra mendakwa beliau bukan saja langsung tidak mempedulikan surat saman yang dihantar oleh peguam dan sebaliknya membuang kesemuanya dalam tong sampah.
Berikutan artikel 25 April, pejabat Timbalan Perdana Menteri menerusi Setiausaha Akhbarnya, Datuk Tengku Sarifuddin Ahmad telah mengeluarkan kenyataan menafikan berbagai dakwaan yang terkandung di dalamnya.
Namun, Raja Petra masih menunjukkan sikapnya yang tak makan saman sekali pun artikel berkenaan boleh mencetuskan kesan negatif terhadap imej dan maruah Timbalan Perdana Menteri dan isteri beliau.
Beliau seolah-olah masih menganggap dirinya boleh dan berhak menulis apa saja yang beliau suka tanpa mempedulikan batas dan etika kewartawanan yang antara biasanya melibatkan pengesahan sesuatu maklumat dan sebagainya sebelum ia disiarkan.
"My article is political. My blog is political. Najib is political. Altantuya is a political issue," katanya kepada wartawan mengenai hal itu.
2. Raja Petra tidak mengaku bersalah...
Raja Petra Kamaruddin didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di bawah Akta Hasutan Selalu lalu berikutan artikelnya yang bertajuk ‘Let’s Send Altantuya’s Murderers To Hell’ yang disiarkan di laman web itu pada 25 April lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak mengaku salah di atas tuduhan itu. Raja Petra diwakili oleh barisan tujuh peguam yang diketuai Karpal Singh, manakala pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya, Nordin Hasan.
Di bawah akta tersebut, jika didapati bersalah, Raja Petra boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan atau denda tidak lebih RM5,000.
Mahkamah menetapkan perbicaraan kes berkenaan pada 6 hingga 10 Oktober 2008. Terdahulu, Raja Petra hadir di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada jam 9.20 pagi. Setelah menunggu kira-kira sejam beliau diarahkan pergi ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Hadir sama di mahkamah Jalan Duta ialah orang kuat DAP Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub; dan Ketua Penerangan PKR Tian Chua. Raja Petra yang ditemui wartawan berkata, beliau tidak gentar. Beliau juga mendakwa ini satu tindakan politik dan tiada apa-apa bukti terhadapnya.
3. Mogok lapar pula...
Raja Petra Kamaruddin yang memilih untuk ditahan reman kerana tidak mahu membayar ikat jamin meneruskan usaha meraih simpati dengan melancarkan mogok lapar dan menolak makanan yang diberikan oleh pihak penjara kepadanya.
Selain itu, beliau juga dikatakan tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pun di penjara termasuk isteri dan peguamnya. Perkara itu dimaklumkan isterinya, Marina Lee yang pergi ke penjara Sungai Buloh untuk menemui suaminya itu.

4. Berani buat berani tanggung
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan, pendakwaan terhadap pengendali laman Malaysia Today bukan merupakan usaha kerajaan hendak menyekat kebebasan blog.
Sebaliknya kata beliau, pendakwaan Raja Petra di mahkamah adalah merupakan satu proses undang-undang negara.
"Ini bukan soal nak memerangi blog ataupun usaha kerajaan untuk menyekat kebebasan blog, tetapi pada masa sama mereka tidak kebal daripada undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya adakah tindakan pendakwaan terhadap Raja Petra merupakan usaha kerajaan untuk memerangi blog.
Raja Petra dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta Hasutan kerana tulisannya yang didakwa menghasut dengan mengaitkan Timbalan Perdana Menteri dan isterinya dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibu.
Menurut Najib, negara mempunyai undang-undang dan sekiranya undang-undang tersebut dilanggar sesiapa sahaja perlu sedia untuk menghadapi sebarang bentuk tindakan.
5. Babak awal hero berakhir dengan ikat jamin…
Raja Petra Kamaruddin yang pada mulanya berkeras tidak mahu membayar ikat jamin sebanyak RM5,000 dan memilih tinggal di penjara serta tidak mahu bertemu dengan sesiapa termasuk isteri sendiri, akhirnya menamatkan ‘babak’ pertama dramanya apabila bersetuju untuk membayar ikat jamin.
Isterinya, Marina Lee Abdullah telah menyelesaikan urusan pembayaran ikat jamin di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kelmarin (Khamis 8 Mei 2008).
Namun berikutan urusan pentadbiran antara pihak Mahkamah dan penjara, Raja Petra akan terus berada di dalam penjara sehingga esok sebelum dibebaskan.
Selain bersetuju membayar wang jaminan berkenaan, Raja Petra yang menolak untuk mengambil makanan yang diberikan, menurut isterinya telah mula makan hari ini.
Sehingga kini sebanyak RM40,000 berjaya dikumpulkan oleh laman web Malaysia Today dalam kempen mereka untuk menyediakan wang jaminan buat Raja Petra.
6. Babak kedua hero dengan cerita ancaman pula
Babak kedua drama untuk terus jadi hero menyaksikan Raja Petra Kamaruddin yang dibebaskan daripada tahanan reman jam 9.30 pagi Jumaat selepas membayar ikat jamin diteruskan dengan dakwaan baru kononnya keselamatan dirinya terancam jika terus berada di penjara Sungai Buloh.
Menurut cerita yang menjadi plot dramanya, dia diberitahu oleh pihak penjara bahawa mereka tidak dapat member jaminan keselamatan dirinya ekoran adanya ancaman daripada tertuduh kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibu, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.
"Pihak penjara memaklumkan kepada saya mereka tidak dapat member jaminan keselamatan kepada saya kerana berdasarkan laporan, Sirul dan Azilah ada menjerit sesuatu akan berlaku ke atas diri saya," katanya kepada pemberita selepas dibebaskan pagi ini di Sungai Buloh.
Raja Petra ditahan reman sejak Selasa lalu kerana enggan membayar ikat jamin selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di bawah Akta Hasutan kerana tulisannya yang menuduh Timbalan Perdana Menteri dan isterinya terlibat dengan pembunuhan Altantuya.
Setelah memilih untuk tidak membayar ikat jamin akhirnya dia tukar fikiran dan bagi mewajarkan tindakannya dengan cuba memberikan gambaran kononnya Azilah dan Sirul yang menjadi tertuduh kes Altantuya mengancam keselamatannya.
Dakwa Raja Petra lagi, walaupun pihak penjara berjanji untuk menempatkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) bagi menjaga keselamatannya, tetapi tidak ada usaha bersungguh-sungguh ke arah itu dibuat.
Dakwaannya itu bagi menolak dakwaan bahawa dia sudah tidak tahan berada dia sudah tahan berada di dalam tahanan.

Rabu, 7 Mei 2008

Dunia bagaikan 'wanita tua' dalam peristiwa Isra' Mikraj

Siri Kedua H Fansuri:-
Dalam peristiwa Isra' Mikraj, Rasulullah S.A.W telah melihat gambaran dunia seperti wanita tua yang sedang memakai perhiasan. Wanita tua itu masih cantik dengan solekan, dandanan dan perhiasannya. Tetapi, dalam tubuhnya sudah bersarang pelbagai penyakit sejak lama.

Gejala tanah runtuh di Malaysia baru-baru ini, jalan retak di Johor akibat banjir besar, pemanasan global adalah gejala yang lahir daripada kesakitan yang dialami 'wanita tua' ini sejak puluhan ribu tahun dulu ketika manusia berperang, dan nazaknya makin kuat saat 'anak-anaknya' bersengketa, berlumba meletupkan nuklear, C4, water Canon, molotov.

Mungkin di bawah perut 'wanita tua' (bumi yang kerap digelar 'ibu pertiwi') di Johor itu telah ada batu-batuan yang telah mula retak, patah disimbah asid kilang yang sudah mendap, meresap jauh dalam tanah, merosakkan nadi-nadi, sendi-sendi, saraf, tulang belakang dan saraf tunjang di tubuhnya.

Dunia ini bagaikan ibu tunggal, wanita tua yang pernah jelita digilai pemuda ketika masa muda-muda dahulu. Dia mungkin sedang terbaring nazak, sambil memerhatikan gelagat insan yang masih gila berperang di hujung nyawanya. Dunia atau wanita jelita ini menjadi semakin tua lantaran karenah anak-anaknya yang sentiasa bersengketa!

Apakah proses penuaan? Menurut satu tafsiran penuaan ertinya suatu proses pengurangan air dalam tubuh badan. Makin meningkat usia, makin berkurangan air dalam tubuh kita.

Dunia kita begitu juga. Ia sudah tua dan peratus air laut berjumlah 70% itu berkurangan. Ia mungkin bukan berkurangan. Maksudnya, air yang berkualiti sejumlah 70% berkurang daripada peratus yang asalnya. Mungkin, kini cuma 30% air bersih. Dan baki 40% adalah air yang tidak berkualiti, tidak dirawat dengan sempurna, air keruh di Sungai Kelang dan Sungai Gombak dan lain-lain limpahan kekotoran di sungai-sungai lain di dunia!

Ben Halpern, saintis di Pusat Analisis Ekologi dan Sentisis Kebangsaan di Universiti California , Santa Barbara telah menyebut dalam satu kajian bersama pasukannya tentang lautan.
Menurutnya, ada dua hal yang tak terduga mutakhir ini mengenai lautan kita.

"Pertama, setiap sudut lautan di dunia sudah terjejas akibat sekurang-kurangnya satu kegiatan manusia. Kedua, lebih 40 peratus lagi terjejas akibat pelbagai kegiatan yang mereka lakukan.
Lautan kita tidak berada dalam keadaan yang baik," katanya.

Sementara itu, seorang penyelidik lain pula mendedahkan bahawa kadar oksigen di dalam air cetek di sepanjang pantai Oregon menurun hingga ke paras kosong untuk kali pertama pada 2006. Bagaimana hidupan laut ini akan bernafas di dalamnya? Jikalau tiada hidupan laut yang berzikir kepada Tuhan, nescaya dunia ini akan kiamat.

Dunia ini diwariskan kepada manusia untuk menjaganya. Disebutkan di dalam al-Quran: "Aku (Allah) ingin menciptakan atas bumi ini seorang Khalifah." Lihat bagaimana Allah meletak diriNya sebagai pihak pertama, dunia pihak kedua, dan manusia pihak ketiga.

Jadi, siapa yang paling hampir dan rapat kepada Allah antara bumi dan manusia? Kita dapat merumuskan pendirian bahawa bumi itulah yang paling dekat kepadaNya berbanding manusia itu sendiri. Sejauh manakah kita memelihara dunia yang dilihat Rasulullah S.A.W sebagai wanita tua ini?

Adakah kita memeliharanya sebagai isteri tercinta, atau wanita pelacur, wanita simpanan dan wanita jalang? Prof. Dr. Syed Hossein Nasr dalam sebuah karyanya yang pernah saya baca menyebutkan manusia hari ini menggunakan dunia serta sumbernya seperti melayan seorang pelacur dan bukannya isteri.

Seorang suami akan menjaganya setelah menikmati isterinya. Tapi, dunia hari ini telah dinilai sebagai wanita lacur di mana khazanahnya dipunggah untuk dinikmati dan hampas kekotoran telah disepahkan tanpa tanggungjawab.

Tidak mustahil bahawa suatu masa nanti wanita pelacur ini akan bangkit memberontak dengan caranya yang tersendiri. Siapa yang jatuhkan menteri kesihatan Chua Soi Lek? Siapakah Altantuya dari Monggolia? Siapa Sufiah pelajar Oxford yang pernah meniti laluan sejarah gemilang?

Mereka pada asalnya kaum baik, tetapi telah dibentuk oleh keadaan yang pincang, sistem yang musnah dan memusnahkan dan akhirnya mereka bangkit dan keluar memberontak dengan cara yang tersendiri. Jangan salahkan mereka. Mereka tak bersalah. Bukan salah ibu mengandung. Salahkan bapanya (penguasa) yang tidak memakai 'sarung'!

Pemberontakan perempuan ini sama seperti pemberontakan dunia sebagai wanita tua kita, iaitu bumi atau dunia atau alam buana yang pernah kita zaliminya sejak sekian lama. Bencana besar bakal melanda!

Kata sahibul riwayat, negara kita akan tertimpa bencana besar. Apabila saya sambungkan sanad riwayat ini kepada teman-teman, saya diketawakan. Apabila diajukan kepada orang tua di Bukit Tembaga, jawapannya, "Kena sedia dengan amalan, jangan hebahkan."

Kata sahibul riwayat lain, adapun amalan itu adalah 44 kali bacaan Al-Fatihah tiga kali Jumaat, (selepas solat Jumaat) secara berjemaah. Demikian kaifiatnya guna merawat roh alam yang sakit ini secara alternatif. Wallahu 'Alam.

Oleh kerana kita berasal daripada tanah, dunia kita menderita penyakit yang sama dengan kita. Dunia tidak ditimpa penyakit ketika dunia dihuni dinosaur dan haiwan-haiwan purba yang tidak banyak menggunakan senjata kimia.

Setiap haiwan ada satu senjata. Tapi, manusia berbekalkan satu senjata, iaitu akalnya, dia boleh mencipta scud, tomahawk, kapal selam perang daripada Perancis dan ribuan senjata lagi. Dalam perang antara Habil dan Qabil itulah darah pertama jatuh atas nama dendam, sakit dan iri hati.

Darah tertumpah atas niat jahat ini membuatkan dunia mula bergetar. Darah yang tumpah kerana kecelakaan jalan raya, penyembelihan haiwan untuk makanan tak termasuk dalam sebab yang boleh menyebabkan dunia bergetar. Lafaz talak misalnya, menurut satu riwayat boleh menggoncangkan tiang Arasy.

Demikian 'hebatnya' manusia! Setiap perlakuan manusia yang buruk dapat menyebabkan porak-poranda di dunia ini. Kali terakhir nazaknya berakhir dengan kiamat di mana dunia tidak lagi dapat menanggung segala kebejatan akhlak yang timbul akibat perang manusia.

Sungai-sungai di negara seperti pembuluh darah, urat-urat berselirat di dalam tubuh yang menjadi laluan darah selama ini. Tuhan mencipta sistem peredaran darah yang mengalir, mengaut sampah-sarap, mengangkut toksin di seluruh tubuh dan kemudian dihembuskan keluar sebagai karbon dioksida. (Bilakah sungai kota yang coklat akan jernih kembali?)

Merah darah yang semakin pudar itu akan kembali cerah dan segar warna merahnya saat ia bergabung dengan oksigen. Ini kitaran sungai darah di mana putaran itu menyebabkan darah sentiasa mengalir lancar dan tidak tersekat pula oleh sekatan-sekatan di liang-liang urat yang kerap tersumbat dengan semak-samun lemak dan lain-lain unsur.

Jika manusia sakit, maka doktor, tabib, pawang dan dukun itulah yang dirujukkan sebagai sandaran penawarnya. Tetapi, jika alam buana ini menderita kesakitan, kepada siapa yang kita majukan pertolongan, bantuan dan pengharapan?

Siapakah doktor, tabib, dukun dan pawang yang dapat menyembuhkan derita sekali gus merawar 'kesihatan dunia kini?

'Rawatan alternatif' kepada dunia?
Akhir-akhir ini timbul istilah 'rawatan alternatif' yang mana cara merawat bersandarkan kepada getaran, aura, cakra dan lain-lain unsur yang tidak dapat dicerap penglihatan mata kasar. Alam kita mungkin dapat dirawat dengan kaedah itu di samping kaedah yang boleh dicapai pancaindera seperti hubungan kerjasama sejagat menangani 'global warming'.

Di Bali, beberapa bulan lalu telah diadakan Sidang Kemuncak tentang Pemanasan Global dan Al-Gore yang pernah berlawan dengan Bush di Amerika telah menjadi juara di dalam sidang kemuncak tersebut. Beberapa resolusi telah pun dicapai. Itu kerja manusia Barat.

Mungkin usaha manusia Barat ini boleh dianggap sebagai doktor atau tabib yang mencari penawar untuk tubuh, raga, alam kasar. Tapi, rawatan ini bukan untuk penyembuhan roh, jiwa. Jika tubuh terluka, maka penawarnya bersifat zat yang boleh dipegang. Tetapi, jiwa, roh yang terluka, terkoyak, penawarnya bersifat ghaib yang tidak dapat dicapai indera.

Di mana usaha manusia Timur yang mana nenek moyang mereka dahulu terkenal dengan sifat mesra alam? Penyembuhan mereka ini dapat menumpukan kepada roh, jiwa. Di sini kita melihat peninggalan kesan jejak warisan terdahulu untuk menyembuhkan bumi ini.

Islam misalnya, mendidik kita bagaimana cara meminta hujan guna merawat kegersangan bumi yang tidak subur. Akal tidak dapat memikirkan bagaimana hubungan solat sunat ini dapat menyeru awan dan hujan kemudiannya akan turun.

Inilah rawatan alternatif kepada alam ini. Al-Gore dan ahli-ahli dalam Sidang Kemuncak Pemanasan Global tak akan pernah terfikir dan terjangkau akan kaedah rawatan alternatif seumpama ini. Pada Barat, bumi ini kering dan tiada roh yang hidup menaungi bumi ini.

Tapi, kita percaya bahawa alam ini punya roh tersendiri yang menghidupkan dan apabila ia pergi, maka kering dan gersanglah di sesebuah bumi itu dan apabila ia meninggalkan keseluruhan bumi, maka tamatlah usia bumi ini. Peristiwa ini dikenali sebagai kiamat.

Setiap pokok ada roh sendiri yang mana pada malam-malam mereka akan pergi beramai-ramai menuju ke suatu tempat. Nenek moyang kita menyedari akan hal ini. Sebab itulah mereka tersasar memuja semangat padi, kononnya agar semangat itu tidak melarikan diri.

Sehinggalah Islam tiba dan mengasuh mereka supaya sujud kepada Allah; tuan punya roh tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman ruji dan sebagainya, maka nenek moyang kita pun terlepas bebas daripada amalan khurafat tersebut.

Dalam tubuh kita begitulah juga. Ada beberapa anggota yang lumpuh menjelang hari tua seperti kaki, tangan. Ada beberapa tempat di bumi ini telah kering, gersang, lumpuh atau 'mogok', enggan bekerja seperti biasa untuk menumbuhkan pohonan hijau merendang.

Jadi jangan kita fikir manusia sahaja yang pandai mogok dan berpiket. Bumi kita ini akan mogok (tidak mahu bekerja seperti biasa) dan pandai berpiket juga. Dan ia tidak perlukan permit polis untuk berpiket. Ketika itu, segala macam kekuasaan di dunia ini akan hancur melebur, malah PBB pun tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya tinggal berputih mata.

Ada bumi yang mogok kerana perbuatan insan seperti operasi 'bumi hangus' yang dibuat oleh tentera Jepun dalam serangan mereka dahulu. Ada belahan bumi yang mogok hingga menyebabkan penduduknya terpaksa berpindah ke tempat lain.

Insan jahat (penghuni neraka) bagaikan virus dan bakteria yang akan berperang bersama insan kamil (ahli syurga) seumpama antibiotik dalam tubuh kita. Maka, bumi telah bersedia untuk mogok dan berpiket menantikan saat itu.

Adapun punca kenapa dunia ini bergolak adalah kerana penghuni neraka dan syurga telah berkongsi hidup yang sama di dunia ini. Sebab itu di akhirat nanti mereka akan dipisahkan antara syurga dan neraka sekali gus akan menghalang mereka daripada bertembung.

Dunia oh dunia! Dunia ini akan selamat dan berjaya diselamatkan oleh mereka yang kuat dan ikhlas bernafas, jujur menjalani kehidupannya sebagai insan kami manusia sempurna. Dunia bergolak bukan kerana ia didiami oleh haiwan, tapi ia hancur kerana perutnya telah melahirkan manusia berperangai haiwan. Bukan salah ibu mengandung.