Jumaat, 9 Mei 2008

Kronologi Raja Petra ditahan



1. Pengendali Malaysia Today, Raja Petra yang satu ketika dulu pernah mendakwa beliau kebal dari undang-undang Malaysia kerana laman webnya didaftarkan di luar negara diminta hadir ke mahkamah majistret di Jalan Duta, Kuala Lumpur jam 9.30 pagi ini.
Beliau dijangka didakwa di bawah Akta Hasutan dipercayai berkaitan dengan artikel bertajuk ‘Let’s Send Altantuya’s Murderers To Hell’ yang disiarkan di laman itu pada 25 April lalu.
Artikel berkenaan mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan wanita Mongolia itu yang kesnya masih lagi dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Petang Jumaat lalu, Raja Petra telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman setelah pada sebelah pagi beliau ‘dikunjungi’ enam pegawai polis di rumahnya di Sungai Buloh.
Ini bukan kali pertama Raja Petra dipanggil polis kerana tahun lalu beliau turut dipanggil memberi keterangan berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Muhd Taib terhadap laman webnya yang dikatakan menyiarkan tulisan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Pada waktu itu beliau mendakwa tidak boleh disentuh oleh undang-undang Malaysia kerana laman webnya didaftarkan di luar negara.
Terbaru bulan lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar mengarahkan Raja Peta membayar RM2 juta kepada plaintif pertama, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Nordin Kardi dan RM2 juta lagi kepada plaintif kedua, UUM berhubung penyiaran artikel bertajuk Dato Dr. Nordin Kardi Ciplak Karya Saya?.
Dalam tulisannya mengulas kes itu, Raja Petra mendakwa beliau bukan saja langsung tidak mempedulikan surat saman yang dihantar oleh peguam dan sebaliknya membuang kesemuanya dalam tong sampah.
Berikutan artikel 25 April, pejabat Timbalan Perdana Menteri menerusi Setiausaha Akhbarnya, Datuk Tengku Sarifuddin Ahmad telah mengeluarkan kenyataan menafikan berbagai dakwaan yang terkandung di dalamnya.
Namun, Raja Petra masih menunjukkan sikapnya yang tak makan saman sekali pun artikel berkenaan boleh mencetuskan kesan negatif terhadap imej dan maruah Timbalan Perdana Menteri dan isteri beliau.
Beliau seolah-olah masih menganggap dirinya boleh dan berhak menulis apa saja yang beliau suka tanpa mempedulikan batas dan etika kewartawanan yang antara biasanya melibatkan pengesahan sesuatu maklumat dan sebagainya sebelum ia disiarkan.
"My article is political. My blog is political. Najib is political. Altantuya is a political issue," katanya kepada wartawan mengenai hal itu.
2. Raja Petra tidak mengaku bersalah...
Raja Petra Kamaruddin didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di bawah Akta Hasutan Selalu lalu berikutan artikelnya yang bertajuk ‘Let’s Send Altantuya’s Murderers To Hell’ yang disiarkan di laman web itu pada 25 April lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak mengaku salah di atas tuduhan itu. Raja Petra diwakili oleh barisan tujuh peguam yang diketuai Karpal Singh, manakala pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya, Nordin Hasan.
Di bawah akta tersebut, jika didapati bersalah, Raja Petra boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan atau denda tidak lebih RM5,000.
Mahkamah menetapkan perbicaraan kes berkenaan pada 6 hingga 10 Oktober 2008. Terdahulu, Raja Petra hadir di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada jam 9.20 pagi. Setelah menunggu kira-kira sejam beliau diarahkan pergi ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Hadir sama di mahkamah Jalan Duta ialah orang kuat DAP Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub; dan Ketua Penerangan PKR Tian Chua. Raja Petra yang ditemui wartawan berkata, beliau tidak gentar. Beliau juga mendakwa ini satu tindakan politik dan tiada apa-apa bukti terhadapnya.
3. Mogok lapar pula...
Raja Petra Kamaruddin yang memilih untuk ditahan reman kerana tidak mahu membayar ikat jamin meneruskan usaha meraih simpati dengan melancarkan mogok lapar dan menolak makanan yang diberikan oleh pihak penjara kepadanya.
Selain itu, beliau juga dikatakan tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pun di penjara termasuk isteri dan peguamnya. Perkara itu dimaklumkan isterinya, Marina Lee yang pergi ke penjara Sungai Buloh untuk menemui suaminya itu.

4. Berani buat berani tanggung
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan, pendakwaan terhadap pengendali laman Malaysia Today bukan merupakan usaha kerajaan hendak menyekat kebebasan blog.
Sebaliknya kata beliau, pendakwaan Raja Petra di mahkamah adalah merupakan satu proses undang-undang negara.
"Ini bukan soal nak memerangi blog ataupun usaha kerajaan untuk menyekat kebebasan blog, tetapi pada masa sama mereka tidak kebal daripada undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya adakah tindakan pendakwaan terhadap Raja Petra merupakan usaha kerajaan untuk memerangi blog.
Raja Petra dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta Hasutan kerana tulisannya yang didakwa menghasut dengan mengaitkan Timbalan Perdana Menteri dan isterinya dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibu.
Menurut Najib, negara mempunyai undang-undang dan sekiranya undang-undang tersebut dilanggar sesiapa sahaja perlu sedia untuk menghadapi sebarang bentuk tindakan.
5. Babak awal hero berakhir dengan ikat jamin…
Raja Petra Kamaruddin yang pada mulanya berkeras tidak mahu membayar ikat jamin sebanyak RM5,000 dan memilih tinggal di penjara serta tidak mahu bertemu dengan sesiapa termasuk isteri sendiri, akhirnya menamatkan ‘babak’ pertama dramanya apabila bersetuju untuk membayar ikat jamin.
Isterinya, Marina Lee Abdullah telah menyelesaikan urusan pembayaran ikat jamin di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kelmarin (Khamis 8 Mei 2008).
Namun berikutan urusan pentadbiran antara pihak Mahkamah dan penjara, Raja Petra akan terus berada di dalam penjara sehingga esok sebelum dibebaskan.
Selain bersetuju membayar wang jaminan berkenaan, Raja Petra yang menolak untuk mengambil makanan yang diberikan, menurut isterinya telah mula makan hari ini.
Sehingga kini sebanyak RM40,000 berjaya dikumpulkan oleh laman web Malaysia Today dalam kempen mereka untuk menyediakan wang jaminan buat Raja Petra.
6. Babak kedua hero dengan cerita ancaman pula
Babak kedua drama untuk terus jadi hero menyaksikan Raja Petra Kamaruddin yang dibebaskan daripada tahanan reman jam 9.30 pagi Jumaat selepas membayar ikat jamin diteruskan dengan dakwaan baru kononnya keselamatan dirinya terancam jika terus berada di penjara Sungai Buloh.
Menurut cerita yang menjadi plot dramanya, dia diberitahu oleh pihak penjara bahawa mereka tidak dapat member jaminan keselamatan dirinya ekoran adanya ancaman daripada tertuduh kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibu, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.
"Pihak penjara memaklumkan kepada saya mereka tidak dapat member jaminan keselamatan kepada saya kerana berdasarkan laporan, Sirul dan Azilah ada menjerit sesuatu akan berlaku ke atas diri saya," katanya kepada pemberita selepas dibebaskan pagi ini di Sungai Buloh.
Raja Petra ditahan reman sejak Selasa lalu kerana enggan membayar ikat jamin selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di bawah Akta Hasutan kerana tulisannya yang menuduh Timbalan Perdana Menteri dan isterinya terlibat dengan pembunuhan Altantuya.
Setelah memilih untuk tidak membayar ikat jamin akhirnya dia tukar fikiran dan bagi mewajarkan tindakannya dengan cuba memberikan gambaran kononnya Azilah dan Sirul yang menjadi tertuduh kes Altantuya mengancam keselamatannya.
Dakwa Raja Petra lagi, walaupun pihak penjara berjanji untuk menempatkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) bagi menjaga keselamatannya, tetapi tidak ada usaha bersungguh-sungguh ke arah itu dibuat.
Dakwaannya itu bagi menolak dakwaan bahawa dia sudah tidak tahan berada dia sudah tahan berada di dalam tahanan.

Tiada ulasan: