"TIADA sebab tukar Annuar." Demikian tajuk muka depan akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan 29 April lalu. Berita itu adalah maklum balas daripada beberapa pemimpin UMNO negeri yang mahu ketuanya kekal menerajui parti.
Maklum balas itu adalah susulan daripada kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa yang baru-baru ini menyatakan hasratnya sedia berundur jika pucuk kepemimpinan parti hendak beliau berbuat demikian.
Bagi mereka, kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, tak boleh dijadikan faktor atau sebab untuk ketuanya meletakkan jawatan. Mereka mahu semua bertanggungjawab. Kata mereka, kalau berat, sama-samalah memikul, ringan sama-sama menjinjingnya.
Sehingga hampir dua bulan pilihan raya berlalu (Khamis ini genap dua bulan), Annuar adalah pemimpin pertama mengeluarkan kenyataan itu, manakala Datuk Seri Mohamad Khir Toyo merupakan pemimpin pertama meletakkan jawatan sebagai Pengerusi UMNO Selangor.
Yang lain hanya retorik dan hipokrit. Membuat kenyataan sekadar untuk ‘test line’ atau ‘test market’. Kalau banyak yang memberi maklum balas positif atau ada yang merayu-rayu supaya tidak berbuat demikian, mereka tidak akan meletakkan jawatan.
Sekurang-kurangnya mereka tidak malu untuk kekal dalam jawatan yang dipegangnya selama ini. Mereka ada alasan kukuh. Katanya, ahli tidak izin, kehendak ahli harus diutamakan. Inilah mainan politik pemimpin masa kini. Nama ahli digunakan sewenang-wenangnya untuk mempertahankan diri.
Sedangkan sebelum ini, suara ahli, rungutan ahli dan teguran ahli tidak pernah diendahkan. Kalau ada yang lantang menegur, mereka dituduh pembelot dan menderhaka. Dalam laporan yang dihantar ke peringkat pusat atau negeri menyatakan ahli berkenaan diambil tindakan kerana memihak kepada pembangkang.
Ini yang berlaku di peringkat akar umbi di seluruh negara. Nasihat atau pandangan ahli yang mempunyai formula untuk mengukuhkan parti tidak didengar. Tidak dilayan. Malah dengan sombong dan bongkak pemimpin itu bertanya, "Siapa kamu hendak mengajar aku?"
Hasil daripada sikap ego, alpa dan cuai segelintir pemimpin, inilah yang berlaku kepada UMNO dan diri sendiri. Orang lain bergelar Yang Berhormat, kita pula terpaksa berputih mata dan menanggung kesal tidak sudah.
Tidak adil rakyat dipersalahkan dengan kekalahan BN. Undi rakyat berpindah kepada pembangkang baru-baru ini bukan kerana mereka menyokong atau mahu mengubah selera, tetapi mereka hendak memberi pengajaran kepada pemimpin berkenaan.
Mereka tidak mempunyai cara lain lagi untuk memberi kesedaran, melainkan memangkah calon pembangkang. Walaupun hakikatnya, berat hati hendak berbuat demikian. Tetapi apakan daya, itu sahaja kaedah terbaik untuk mengajar dan memberi kesedaran kepada pemimpin ego yang mudah lupa diri.
Untuk menyelamatkan UMNO. Demi keutuhan parti Melayu pada masa akan datang. Wajar mana-mana pemimpin yang merasakan dirinya tidak lagi sesuai atau gagal menerajui parti, meletakkan jawatan. Tidak perlu lagi bersandiwara atau hendak ‘test line’ atau ‘test market’. Masa untuk berdrama sudah habis.
Sekarang bukan masanya untuk 'sedia letak', tetapi adalah masa terbaik untuk 'terus letak'.
- Manzaidi
Sinar Harian 03 Mei 2008 / ms N6
Tiada ulasan:
Catat Ulasan