Isnin, 12 Mei 2008

Rindunya zaman kanak-kanak

Aku rindukan zaman kanak-kanak di era 60-an hingga pertengahan 80-an. Ketika itu, penduduk di kampung aku hidup muafakat. Seorang sakit demam, berpuluh datang menziarahi. Seorang dalam kedukaan, beratus datang memberi semangat.

Pada bulan Ramadan pula, sesebuah keluarga tidak menang tangan bertukar-tukar juadah masakan dan kuih muih sehinggakan tiba waktu berbuka, bermacam jenis lauk-pauk dan kuih muih dihidangkan.

Semua juadah itu bukan dibeli di pasar, tetapi sumbangan daripada jiran. Kalau makcik Timah hantar sepinggan kuih 'teri mandi', dia akan menerima balasan sepinggan kuih 'kepek hidung'.

Jika makcik Yam menghulurkan semangkuk sayur keladi, dia akan dibalas semangkuk sayur bayam. Begitu akrab Melayu ketika itu. Hidup mereka ibarat isi dengan kuku. Tidak pernah bergaduh. Sentiasa dalam hilai tawa.

Setiap pagi, mereka berkumpul di bawah pokok kekut (chery) sehingga tengah hari menunggu kedatangan Abang Noor membawa ikan dan sayur dengan motosikal buruknya.

Setiap malam pula selepas solat Isyak, kami berkumpul di rumah makcik Yam menonton rancangan televisyen. Hanya dia yang ada televisyen ketika itu. Kita sama-sama tengok filem Melayu seperti Pontianak, Sitora, Harimau Jadian dan Orang Minyak.

Kita juga rindukan filem Combat, Ba Ba Black Ship, Banana Splid, Star Trek, Hawaii Five O, Mission Imposible, gusti, filem Cina Bruce Lee dan tinju Muhamad Ali melawan Goerge Forman hingga larut malam.

Aku rindukan suasana dahulu. Kadang-kadang hati saya memberontak mahu kembali ke zaman makan nasi berlaukkan ikan selayang rebus, berkuah kicap. Sayur kubis campur ikan bilis.

Aku juga rindukan nasi bubur daun pandan yang ibu masak (kerana tidak ada lauk). Nasi campur hempedal dan hati ayam. Bestnya makanan yang mak sediakan ketika itu. Makanan orang tak ada duit. Lebih murah, kenyang dan menyelerakan.

Kalau hendak ke sekolah, mak cari raba-raba seluruh tiang lintang di dinding rumah. Cari duit kot kot ada tersimpan atau ada terletak sebelum ini. Akhirnya jumpalah dalam 15 sen. Dibahagi kepada tiga beradik. Saya, kakak dan abang dapat 5 sen seorang.

Dengan rasa tak puas hati...sedih dan menangis, tangan menyambut wang saku 5 sen dan paksa kaki pergi ke sekolah. Dalam hati kata, nak makan apa dengan 5 sen? Itulah kehidupan di awal tahun 1970-an.

Sekarang dunia sudah berubah. Satu keluarga demi satu keluarga Melayu di kampung itu telah berpindah ke kampung lain yang lebih moden sedikit. Tempat mereka yang kosong diganti keluarga Melayu celup yang memiliki motosikal dan kereta.

Dari situ, semangat kejiranan beransur hilang. Rumah yang pemiliknya mempunyai kereta sentiasa tertutup kemas. Keluarga yang tuannya ada motosikal agak jarang berada di rumah.

Justeru, Melayu tulen mula terasa asing di bumi sendiri. Mereka makan hati dan buat hal masing-masing. Kuih 'cucur teri' dan 'kepek hidung', sayur keladi dan sayur bayam dimasak bukan lagi untuk jiran, tetapi sekadar untuk hidangan sendiri.

Juadah itu tidak diagihkan seperti dahulu bukan kerana kedekut, tetapi disebabkan sikap jiran baru yang bertapak di kampung-kampung bukan dari jenis makcik Yam dan makcik Timah.

Mereka adalah dari jenis 'tidak suka menjaga tepi kain orang' dan dari spesies yang bersikap 'tidak mempedulikan' jiran. Itulah jenis Melayu yang ada hari ini.

Masing-masing membuat hal-hal sendiri. Mu mu. Aku aku. Sakit demam kena tanggung sendiri. Hospital ada. Berehatlah di situ. Jangan harap jiran datang menziarahi kerana mereka sentiasa sibuk dengan urusan harian.

Kini...aku teringat mak dan ayah di kampung. Apa khabar mak? Selamat Hari Ibu buat mu yang banyak berkorban untuk membesarkan aku.

Tiada ulasan: