Isnin, 12 Mei 2008

Melayu akan jadi kaum minoriti

"Melayu hanya akan bersatu setelah bangsa itu menjadi kaum minoriti di bumi sendiri", demikian petikan yang terkandung dalam artikel saya yang disiarkan pada tahun 1996.

Selepas artikal itu disiarkan, saya mendapat kecaman daripada pemimpin politik UMNO yang menuduh saya cuba bermain api dan menakut-nakutkan orang Melayu.

Saya terpanggil untuk menghasilkan artikel itu setelah saya terkejut melihat keadaan orang Melayu pada masa itu. Mereka berpecah-belah. Bergaduh sesama sendiri, bermasam muka sesama bangsa dan keturunan.

Hati mana tidak sedih melihat golongan yang lebih cerdik pandai, pintar dan berkelulusan tinggi turun ke kampung-kampung dan desa untuk menyemarakkan api kebencian dalam diri penduduk Melayu.

Lantas berlakulah peristiwa bapa tidak mengaku anak, suami menceraikan isteri, majlis kenduri orang UMNO di pulau orang Pas. Orang UMNO mati, orang Pas tidak ziarah. Barangan buatan orang UMNO tidak boleh disentuh oleh orang Pas dengan alasan haram.

Lebih ketara, anak yang fanatik dengan Pas tidak akan mengaku orang tuanya sebagai mak dan ayah kerana mereka fahaman UMNO. Sampai begitu sekali mereka berkafir mengkafir (ayat baru) ketika itu.

Peristiwa dan keadaan itulah menyebabkan saya berasa sedih dan mendorong untuk menghasilkan pandangan mengenai kedudukan orang Melayu jika mereka terus berpecah belah dan tuduh menuduh antara satu sama lain.

Justeru, terhasillah sebuah artikel bertajuk: Apabila Melayu menjadi bangsa majoriti.

Nampaknya apa yang saya perkatakan itu hampir menjadi kenyataan. Pas mengakui mereka bukan parti Melayu. Baginya Islam bukan bermakna Melayu dan Melayu tidak semestinya Islam.

Oleh itu, kekuatan Melayu tidak lagi berpihak kepada Melayu, sebaliknya mula terhakis satu demi satu. Ini yang menakutkan saya sebagai Melayu tulen.

Tiada ulasan: