Sabtu, 31 Mei 2008

Memahami politik Ezam (imbas kembali)

Akhir-akhir ini, penganalisis membuat telahan dan tuduhan mengenai perpaduan Melayu yang menyaksikan penarikan diri beberapa pemimpin Parti Keadilan Nasional (PKR).

Daripada cara media melaporkan berita, kita boleh mendalami gaya berfikir penganalisis berkenaan yang mencorakkan perdebatan dan tanggapan, termasuk ‘’slant’’ berita yang kita tatapi di akhbar setiap hari.

Dalam proses pengukuhan demokrasi adalah penting kita tidak telan bulat-bulat hujah pihak yang berkepentingan.

Persoalan perpaduan Melayu , contohnya, menarik minat penganalisis termasuk yang dipengaruhi bermacam-macam kepentingan.

Seorang penganalisis dalam akhbar The Sun membuat kesimpulan bahawa ada yang tidak bersetuju diadakan perpaduan Melayu memandangkan Malaysia merupakan negara pelbagai kaum.

Tulisan beliau juga membangkitkan persoalan sama ada perjumpaan pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan Keadilan hanyalah bagi menyelamatkan UMNO.

PKR dalam mesyuaratnya menolak pelawaan UMNO, walaupun Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebelum itu sudah nyatakan persetujuan beliau.

Keadilan kini terpaksa memberi penerangan kepada orang Melayu, kenapa parti tersebut membelakangkan perpaduan Melayu yang menjadi penentu kestabilan politik negara.

Dari awal lagi sudah nampak tanda-tanda penolakan ini.

Mohamad Ezam Mohd. Noor (bekas penuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) nampaknya menentang usaha perpaduan Melayu.

Dalam surat terbuka beliau kepada Ketua Pengarang Utusan Malaysia yang saya baca dalam Internet, Ezam berkata: "... pemerintah hari ini tidak ada wibawa dan kredibiliti."

"Mereka tidak layak untuk membawa sebarang usaha murni sekiranya sebahagian besar rakyat tidak punya keyakinan terhadap kemurnian niat dan tindakan mereka disebabkan rekod buruk mereka kebelakangan ini."

Seperti juga Ketua Pemuda Pas, Mahfuz Omar yang bertegas tidak mahu debat beliau dengan Datuk Hishammuddin Tun Hussein ditangguhkan, Ezam adalah ahli parti politik pembangkang yang gigih berusaha melemahkan parti yang memerintah.

Ezam dan Mahfuz mahu menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin. Oleh itu, Ezam terutamanya, gigih membuat tuduhan.

Mereka tahu karier politik mereka seterusnya bergantung pada keberkesanan mencemarkan imej kerajaan Barisan Nasional.

Rakyat kini mempunyai tugas - membezakan karier politik Ezam dengan kebenaran. Jurang antara tuduhan-tuduhan Ezam dengan perkara sebenar begitu luas.

Setakat ini belum ada satu usaha mengkaji dan menghuraikan setiap tuduhan, kenyataan dan tindak-tanduk ahli politik seperti Ezam. Ini kerana cara berpolitik Ezam agak baru di Malaysia.

Sebagai pemerhati politik, saya sudah lama mengkaji tindak-tanduk Ezam. Seperti hujah saya dalam sebuah artikel yang disiarkan dalam ruangan Saturday Forum, New Straits Times, Ezam adalah pengamal politik populisme.

Beliau berusaha keras mengarahkan tumpuan rakyat terhadap sasaran yang dianggap mudah dipengaruhi. Beliau bermula dengan dakwaan bahawa terdapat enam kotak dokumen rahsia yang bakal menggegarkan negara.

Dalam setiap kenyataannya, Ezam cuba menyerang kewibawaan kerajaan. Tuduhan beliau tidak didukung oleh fakta dan bukti, tetapi beliau teruskan juga serangan.

Ada baiknya orang seperti Ezam terlibat dalam kancah politik. Ia (seharusnya) membuatkan kita berfikir, terutama mengenai strategi politik dan kenapa seseorang ahli politik bertindak dan berkata demikian.

Kematangan politik akan mengubah gaya berpolitik kerana mereka yang bertindak seperti Ezam dan Mahfuz tidak lagi boleh membuat tuduhan melulu.

Contohnya, orang ramai akan bertanyakan Ezam: "Kenapakah Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang telah menulis surat kepada pemimpin Pas dan Keadilan tidak boleh memulakan usaha murni.

"Siapakah Ezam untuk menghukum kemurnian niat seseorang pemimpin?

Ezam dan Mahfuz tahu bahawa mereka kini menentang dengan arus terbaru - rata-rata orang Melayu mahukan usaha perpaduan Melayu dilakukan dan mereka mahu melihat proses ini berjaya.

Tiada ulasan: