Jumaat, 16 Mei 2008

Wajarkah laporan didedahkan kepada umum?

Apakah motif kerajaan untuk mendedahkan kepada umum berhubung laporan klip video Lingam?

Adakah kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat turut 'terlibat' dalam kes itu, maka Kabinet bersetuju agar laporannya didedahkan?

Apakah laporan itu dianggap lengkap walaupun Tun Dr. Mahathir menyatakan kesangsiannya dengan keseluruhan rakaman itu.
Ketika memberi komen, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau meragui kesahihan rakaman video berkenaan yang disifatkan tidak lengkap dan kemungkinan berlaku penapisan sebelum dijadikan bukti mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ketika bercakap kepada pemberita kelmarin menyatakan, kabinet bersetuju laporan Suruhanjaya Diraja siasatan klip video Lingam didedahkan kepada umum.
Laporan setebal 186 muka surat itu telah disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Pengerusi suruhanjaya berkenaan, Tan Sri Mohamed Haidar Mohd Noor minggu lalu.
Menurut Zaid, Kabinet juga mengeluarkan arahkan kepada Jabatan Peguam Negara agar memulakan siasatan serta-merta ke atas segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan tersebut.
Mereka ialah Tun Dr. Mahathir, Datuk V.K.Lingam, Tan Sri Vincent Tan, Datuk Sri Tengku Adnan Tengku Mansor dan dua bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim serta Tun Eusoff Chin.
Kata Zaid lagi, sesiapa yang hendak salinan laporan suruhanjaya itu boleh membelinya dengan harga RM541.
Inkuiri suruhanjaya Diraja ke atas klip video selama 14 minit itu dijalankan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur selama 17 hari bermula 14 Januari lalu.
Seramai 21 saksi termasuk Tun Dr. Mahathir dan tiga bekas Ketua Hakim Negara dipanggil memberi keterangan.

Tiada ulasan: