Jumaat, 11 Julai 2008

Tanpa kuota saya menang – Ku Li



Setiap kali berlaku pertandingan di peringkat Majlis Tertinggi UMNO, nama Tengku Razaliegh Hamzah pasti menjadi sebutan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli UMNO tetapi juga orangramai.

Tengku Razaliegh (Ku Li) pernah mencabar dan hampir-hampir menyingkirkan Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam pertempuran yang sangat sengit pada tahun 1987 sehingga mewujudkan Team A dan Team B dan membawa kepada pengharaman UMNO melalui proses mahkamah.

Kini, dalam usia 71 tahun iaitu usia orang lain mencari jalan keluar dari gelanggang politik, Ku Li masih mahu bertanding merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan Disember ini.

Berbeza dengan pemilihan sebelumnya di mana beliau hanya mendapat satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri iaitu Gua Musang, Ku Li yakin kali ini beliau akan dapat melepasi halangan utama itu.

"Halangan yang paling besar ialah sistem kuota. Tanpa kuota, sekarangpun saya dah boleh menang," kata Ku Li dalam pertemuan di kediamannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau juga melihat kod-etika pemilihan kali ini sangat ketat dan merupakan satu lagi rintangan untuk calon merapati ahli atau perwakilan. Namun, beliau mengingatkan bahawa kod-etika itu juga boleh menjadi perangkap kepada pemegang jawatan.

Berikut sebahagian daripada sedutan temubual bersama Ku Li.

S: Apa sebab sebenarnya Tengku beria-ia sangat nak bertanding dari dahulu lagi?
J: Saya tengok selepas 62 UMNO ditubuh dan 50 tahun kita merdeka, Melayu masih tak maju ke tahap yang kita harap dan cita-citakan. Jadi berapa puluh tahun, berapa ratus tahun lagi nak tunggu. Nak tengok kejayaan Melayu sebenarnya. Kita asyik ulang dan main lagu lama je. Jadi saya, saya rasa dah berusia lanjut, tak tergamak, tak sanggup nak lihat... kerana orang lain lebih maju daripada kita sedangkan kita yang usaha memerdekakan negara kita.

Pertamanya, kita berpakat sesama kita, kerana itu UMNO lahir. Tujuannya...? Kita tidak ada apa-apa pada masa itu. Tujuannya nak gagalkan British daripada menakluki kita keseluruhannya. Tapi sejak itu kita nampak dibebankan dengan banyak tanggungjawab.

Dan, kita terus bertimbangrasa, tetapi orang lain tidak menghargai perasaan kita. Sehinggakan kita tak ke mana-mana dan saya tengok pemimpin kita banyak tolak ansur... bertolak ansur tak berhenti-henti... sehingga kita tidak ada apa benda nak ditolak ansurkan. Inilah yang saya dengar rintihan orang kita – sama ada cerdik pandai ataupun orang yang tidak mengaji (belajar).

Beritahu saya apa benda yang orang politik kita berjuang? Sedangkan kedudukan orang Melayu tu tak seberapa. Maju memang maju, tetapi orang lain lebih maju.


S: Maju ni banyak orang bercakap. Tengku bercakap, sejak Perdana Menteri pertama sehingga ke hari ini, semua Perdana Menteri menyebut fasal maju, tetapi selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, kekuatan Melayu nampak lebih terhakis. Orang bukan Melayu sudah boleh lakukan bermacam-macam hal mengenai orang Melayu. Dahulu pajakan tanah diberi 99 tahun, tetapi kini (di Perak) nak diberi 999 tahun.
J: Inilah yang saya sebut tadi, sebenarnya kita tidak ke mana-mana. Selepas merdeka dan 62 tahun UMNO, kita masih tidak ke mana-manapun. Masih nak bertolak ansur. Masih menyerah kepada orang. Kenapa begitu sedangkan kita mendapat mandat, mendapat kuasa dan kepercayaan rakyat. Kenapa kita tidak gunakan kuasa...? Bukannya nak rampas hak orang. Tidak sekali-kali, tetapi jaminlah orang Melayu kita diletak di tempat yang sewajarnya. Dari semua bidang, lapangan sosial, ekonomi, politik. Kenapa pemimpin kita tidak ada 'iman'...?

S: Tak ada 'iman' politik atau 'iman' agama?
J: Semualah...(ketawa). Sebab cepat yang nak bertolak ansur tu kerana ada benda yang dia dapat. Bukan untuk rakyat... itulah sebabnya dia (pemimpin) sanggup mengalah. Padahal itu sikap peribadi dia. Kehendak orang ramai yang beri kepercayaan seolah-olah dia tidak sanggup nak tunaikan.

Inilah yang sangat mendukacitakan saya. Pemimpin-pemimpin besar kita dah buat sempadan untuk kita bertindak, tetapi kenapa tidak mahu terima. Baik menteri besarnya, baik Ahli Majlis Mesyuaratnya, baik menterinya, sama sahaja.

OK... selama ini orang lain berkuasa..., kenapa kali ini saya tidak mencuba...(disulami dengan ketawa berdekah-dekah)

S: Pemimpin saling bertukar. Yang datang akan pergi, tetapi seperti yang Tengku cakap, trendnya sama iaitu main lagu lama. Orang yang ada dalam UMNO sekarang adalah orang yang sama juga dan Tengku sendiri akan keseorangan. Ditakdirkan Tengku menang adakah mereka boleh menjadi pengikut yang baik kepada Tengku?
J: Kita kena asuh dia orang, kita asuh jadi orang berani dan sanggup untuk tunai tanggungjawab yang dipikul. Kita tengok Tunku Abdul Rahman, dia berani, kalau tak berani tak mungkin dia boleh merdekakan kita. Kalau tak berani, takkan dia tubuhkan Malaysia, misalnya.

Inilah visi yang di luar dugaan rakyat. Tak terfikir nak jadi begini (maju dan merdeka). Tunku bukan tumpu kepada pembangunan sahaja... tidak juga serah kepada Allah sahaja..., sentuh juga bahasa, budaya, kemajuan, ekonomi dan lihatlah pelbagai dasar yang diciptanya. Ini semua kerana adanya dasar dan masalahnya, orang yang menjejak langkahnya tidak laksanakan sepenuhnya.

Harapan dan cita-citanya seperti yang diharapkan oleh rakyat yang menyokong kita semua. Sekarang ini, kita tengok saluran 3 dan 4 (dalam pilihan raya umum) tidak menyokong kita. Ia memberi gambaran seolah-olah orang muda tidak mahu dengan kita lagi. Jadi kalau orang muda tidak mahu dengan kita, habislah kita.

S: Mengenai pengundi saluran 3 dan 4, mereka adalah golongan remaja iaitu baru berusia 21 dan 22 tahun. Tempoh itu jugalah Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan bagi golongan ini, pemimpin mereka adalah Dr. Mahathir. Apa pandangan Tengku mengenai perkara ini?
J: Begitulah! Itu sebabnya dalam Majlis Tertinggi dahulu lagi saya dah kata di sekolah patut diasuhkan ajaran pengenalan sejarah – bukan sejarah pemerintahan British, tetapi bermula dengan sejarah kita. Sejarah Malaya dan sejarah Malaysia, Tanah Melayu dan macam mana kita lawan komunis, macam mana kita menghadapinya. Ini semua adalah kepewiraan rakyat kita sendiri. Tonjolkan Tunku (Abdul Rahman) dan Tun Abdul Razak. Ini tidak... mengagung-agungkan tokoh dari luar.

Mengapa tidak diperkenalkan mereka ini. Mereka inilah hero kita sebenarnya... sebut sahaja, Tunku, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan lain-lain kalau bukan mereka siapa lagi. Ini cerita dongeng Hang Tuah dan Hang Jebat sudahlah tu... ini bangsawan.

Bukanlah saya tidak hormat pada mereka, tetapi kita patut hidupkan kembali semangat lama dan semangat juang.

S: Ada yang merasakan usaha-usaha untuk menghalang dan mengekang Tengku masih berjalan... bagaimana tu?
J: Huh... Masih hebat... masih berjalan dengan kuat. Sebagai 'underdog' kita tak boleh nak komplen banyak sangat. Saya terimalah semua tu. Suratkhabarpun tak siar banyak mengenai kita... Kalau pergi majlis kitapun, tunjukkan kerusi kosong... Betullah ada kerusi kosong, tetapi banyak tempat saya pergi tu banyak juga orang datang.

S: Bagaimana pula dengan persiapan Tengku?
J: Saya sanggup berhadapan dengan sesiapapun. Saya tak ada takut apa-apapun. Saya tak pernah makan duit orang, tak pernah terima hadiah orang... (ketawa). Jadi saya sanggup berdepan dengan sesiapapun. Saya nak berjuang dengan seikhlas hati... Bukan kerana duit atau pangkat tetapi nak bekerja menghabiskan sisa-sisa hidup saya.

S: Ada juga orang berkata, jika benar Ku Li boleh membawa perubahan, kenapa tidak bawa ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dan ketika berada dalam MT UMNO. Apa reaksi Tengku mengenai pandangan ini?
J: Sebagai Menteri, tidak banyak dasar yang boleh dibuat. Saya hanya ikut arahan kabinet. Tetapi, sebagai orang nombor 1, boleh buat macam-macam.

Sebagai menteri, ada juga yang saya buat, seperti semakan semula gaji kakitangan awam kerana saya insaf di sana (Jabatan Perkhidmatan Awam) ada 80 peratus orang Melayu. Sekarang buat juga pelarasan gaji macam 2007, tetapi tidak kemas.

Pada tahun 1987 kita bincang peringkat kementerian, peringkat kabinet, semak semua. Dr. Mahathir pengerusi jawatankuasa dan saya timbalannya. Semua jabatan dan peringkat dilibat dan digabungkan. Kita ada tribunal untuk bincang anamoli dan tiada sesiapa yang tertinggal.

Dengan cara ini, lagi rapat hubungan kakitangan dalam perkhidmatan.

S: Ada pihak termasuk media yang meramalkan Tengku akan sukar mendapat pencalonan 30 peratus untuk melayakkan bertanding jawatan Presiden. Apa komen Tengku?
J: Memang benar sukar untuk mendapat 30 peratus. Apabila saya melawat ke bahagian-bahagian, ada ketua bahagian sendiri yang telefon ketua cawangan jangan hadir bertemu saya. Ada juga yang sabotaj kata saya tak jadi datang.

S: Buat masa ini ada tidak bahagian-bahagian tertentu yang umum akan bersama-sama Tengku?
J: Tak banyak yang secara terbuka nak calonkan. Yang kata nak sokong banyaklah.

S: Bagaimana pula dengan politik wang Tengku?
J: Cakap pasal dasar, orang sudah tidak tertarik, tetapi jika bagi RM100 atau RM200pun mereka datang...

S: Jadi apa yang boleh Tengku janjikan kepada UMNO dan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu?
J: Saya janjikan masa depan yang lebih baik. Dasar-dasar yang ada sudah baik. Cuma pelaksanaannya sahaja yang menjadi persoalan. Dasar bahasa, pembangunan dan kemajuan, ilmu dan sebagainya baik dah. Umpamanya dalam dasar budaya, kita nak tengok negara ini menjadi negeri Melayu. Ini sudah diterima dalam Dasar Kebudayaan Nasional.

Begitu juga dengan ekonomi. Golongan yang maju dan tidak maju harus diseimbangkan. Masyarakat Melayu mesti dibantu kerana mereka terdiri daripada 66 peratus rakyat negara ini.

S: Apa pula pandangan Tengku mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB)?
J: Dasar kita memang baik. DEB baik dah... cuma banyak penyelewengan. Dahulu kita tekankan pembangunan di luar bandar. Tanah orang Melayu di kampung dimajukan. Tak ada duit, kerajaan dahulukan. Dulu Melayu miskin, dengan DEB mereka jadi kaya. Orang Melayu dah pakai kereta, bukan satu atau dua, tetapi tiga. Dahulu cuma naik basikal sahaja.Sekarang ini Melayu dikerahkan ke bandar. FELDA pun dah terbiar. Orang Melayu dah ke bandar.

Saya akan teruskan DEB. Dasar itu terbuat dari darah daging. Ia dasar yang telah dipersetujui oleh semua pihak termasuk orang Cina. Ia juga bukan dasar Tun Razak, tetapi dasar semua pihak termasuk PAS dan DAP. Masalahnya sekarang, DEB disalahguna.

Dahulu dah capai 18 peratus penyertaan bumiputera / Melayu (daripada 30 peratus yang disasarkan oleh dasar itu). Kemudiannya turun menjadi 15 peratus dan turun lagi kepada 12 peratus. Salah kita biarkan keadaan begini... UMNO pula tidur sahaja.

S: Kenapa pula begitu, semasa dalam MT tidakkah Tengku bangkit perkara sebegini dan sebagai Menteri pula bagaimana?
J: Saya hanya follower... ikut sahaja. Memanglah orang akan tuding pada saya, tetapi kenapa tak puji atau sebut saya kerana Petronas (Ku Li adalah pengasas syarikat kerajaan itu). Tak apalah, saya sedia dikritik.

S: Selain mengasaskan Petronas, khabarnya tapak seluas 10 ekar kompleks Pusat Dagangan Dunia Putra dan ibupejabat UMNO itu adalah pemberian daripada Tengku?
J: Tak usah sebutlah fasal itu. Saya pejuangkan ini semua kerana bangsa…. Jangan sebut lagilah!

S: Bagaimana pertandingan kali ini berbanding dengan sebelumnya?
J: Ada perbezaan kali ini. Saya tidak terlibat dengan mereka (maksudnya berada di luar Kabinet). Saya tidak terlibat dengan mereka. Saya dah di luar sejak 1987. Yang baik mereka dapat puji, maklumlah mereka dalam parti. Saya tidak terlibat.

Yang kita nak cari ialah pemimpin Melayu yang kredibel, yang bersih…tak malu mata. Saya bukan nak angkat…saya tidak terlibat apa-apa kes pun.

Kali ini saya tidak mempunyai 'vehicle'... yang ada hanyalah kawan-kawan, tetapi tidak boleh pula berkumpulan... Ini nanti dikira berakit. Kalau saya berakit, saya boleh dikenakan tindakan.

Saya pula tidak ada kena mengena dengan sesiapapun kerana saya hanya berjuang untuk rakyat.

S: Tengku kelihatan bersendirian, bagaimana nak menghadapi pemimpin-pemimpin lain?
J: Siapa sekalipun parti pilih, saya boleh terima.

S: Apa pula pandangan Tengku mengenai sistem kuota untuk melayakkan pencalonan?
J: Sistem kuota ni menyalahi undang-undang iaitu Akta Pertubuhan 1966. Sepatutnya, Pendaftar sudah mansuhkan peraturan ini. Ia juga bertentangan dengan demokrasi UMNO.Pemegang jawatan memanglah mahukan kuota ini diteruskan, tetapi kena ingatlah ada kemungkinan juga merekapun takkan dapat.

S: Adakah Tengku melihat apa-apa lagi kekangan?
J: Sangat susahlah berhadapan dengan kod etika. Susah nak jumpa sesiapapun. Kod etika sekarang lagi susah, ada 23 mukasurat, dahulu pada 2001 hanya tujuh muka sahaja. Kalau kita tidak buat perubahan, dalam pilihanraya umum akan datang, kerusi yang adapun kita akan hilang... Dah ada yang kata akan bubarkan cawangan (UMNO) jika saya tak lepas kuota.

S: Jadi kuotalah yang menjadi masalah utama, bukannya pertandingan...?
J: Yes... yes... betul tu quota is the problem, not the battle. Dari segi perjuangan tanpa kuota... saya dah menang dah...

Saya dah ada jentera sendiri. Ada penyelaras bagi setiap bahagian. Rakyat dan pemimpin UMNO di peringkat negeri ramai yang dah tak mahu pada yang ada sekarang. Orang nak perubahan kerana mereka takut pada masa depan.

Kalau orang merasa masih boleh berpayung…takkan mereka lari. Cuma kita tidak faham membaca signal yang diberikan.

S: Sekiranya menang..., berapa lama pula Tengku akan bertahan?
J: Saya dah 71 tahun... Saya hanya mahu membawa perubahan dan pembaharuan. Saya sediakan pelapis untuk teruskan. Mungkin saya boleh bereskan dalam satu penggal sahaja. Dah selesai, saya tinggalkan.

Ada orang duduk lama, tetapi tak buat apa-apa... (ketawa).

S: Sudah adakah calon-calon pelapis yang Tengku sebut tu?
J: Dah ada... barangkali orang luar perlu dipelawa masuk, tetapi mestilah masuk UMNO dulu. Bawa juga tokoh-tokoh baru.

S: Adakah ini bermakna yang ada dalam UMNO kini tak boleh pakai semuanya?
J: Kalau tiada pilihan, saya akan tukar dan buat setting lain. Kalau boleh saya nak revamp.

S: Apalah agaknya sesuatu yang gah yang boleh Tengku ubah?
J: Kita akan beri kuasa pemilihan kepada ahli-ahli parti untuk memilih calon-calon yang dikehendaki. Sekarang Perdana Menteripun dipilih oleh ahli-ahli parlimen, bukan kuasa parti.

S: Jika begitu, bagaimanakah yang dikatakan parti menguasai kerajaan?
J: Kita akan pisahkan kuasa parti dan kuasa kerajaan. Parti sediakan dasar dan kerajaan laksanakan. Kalau nak beri sumbanganpun berilah pada kerajaan dan parti cari sumbangan sendiri.

Peralihan kuasa 2010 - apa kata mereka

Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam UMNO yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.

"Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira," katanya.

Oleh itu, katanya, ada anggota parti yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.

"Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang. Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing," katanya.

Muhyiddin berkata demikian mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Beliau berharap sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO tidak mengongkong mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang mereka fikir adalah yang terbaik untuk mereka.

Beliau berkata, sekiranya UMNO masih mengamalkan sistem demokrasi, ia pasti tidak akan menghalang anggota parti daripada menyuarakan apa yang terbaik untuk mereka dan parti.

Bagaimanapun, keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi adalah sesuatu yang perlu dihormati.

"Tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah pandangan setiap ahli UMNO yang diwakili di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ada kemahuan… mereka ada aspirasi… mereka juga ada harapan," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah membuat keputusan mengenai jawatan untuk ditandingi, Muhyiddin berkata: "Kita perlu lihat (reaksi ahli) keputusan ini (Majlis Tertinggi) dulu. Keputusan saya tidak penting.


Tengku Razaleigh:
Menyifatkan langkah Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 dan bertanding sebagai Presiden UMNO merupakan satu langkah yang silap.

Katanya, jawatan Presiden UMNO itu ditentukan oleh ahli UMNO dari peringkat akar umbi dan tidak wajar bagi Abdullah untuk serahkan kuasa kepada sesiapa pun.

"Banyak pihak tidak menyedari bahawa Perdana Menteri perlu mendapatkan restu pelbagai pihak terutama dari Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Beliau berkata, selama ini Abdullah merupakan "caretaker" (penjaga) kepada UMNO kerana pemilihan parti itu sepatutnya berlaku tahun lalu, tetapi ditunda berikutan pilihan raya umum ke-12.

Tengku Razaleigh berkata, keputusan Abdullah itu tidak akan mengubah pendirian beliau untuk bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan parti yang dijangka Disember ini.

Khamis, 10 Julai 2008

Jawatan PM - Najib melepas

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah petang ini (Khamis-10hb Julai 2008) mengumumkan keputusan akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.
Katanya, beliau telah maklumkan perkara itu pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan pada pertemuan dengan Exco Pemuda, Wanita, Puteri dan Ketua UMNO Bahagian seluruh negara.
Beliau sifatkan Najib adalah pengganti yang baik dan mampu memimpin UMNO.
Sementara itu, Najib pula dalam sidang media yang sama menghargai kepercayaan Perdana Menteri kepadanya.
Katanya, keputusan peralihan kuasa itu adalah bukti peralihan kuasa boleh dibuat dengan cara yang baik.
Najib juga turut memaklumkan beliau telah meminta seluruh pimpinan UMNO untuk beri sokongan penuh dan mencalonkan Abdullah bagi jawatan Presiden pada pemilihan parti akan datang.
Manakala beliau pula menawarkan dirinya bertanding Timbalan Presiden.
Katanya, beliau menyuarakan harapan itu pada pertemuan dengan semua Ketua UMNO Bahagian petang ini.

Rabu, 9 Julai 2008

Satu lagi komen panas

Satu lagi sms yang saya terima daripada pembaca Sinar Harian berhubung Rencana Pengarang Sekilas Pandang yang saya tulis. Kali ini daripada penghantar yang menggelarkan sebagai ANAK PETANI.

Diterima: 7hb Julai 2008
Saya berasa terguris dan marah dengan penulisan manzaidi (penyunting edisi Selangor) kerana merendah-rendahkan, menghina golongan petani dan nelayan. Apa salahnya jika golongan ini hendak berdebat @ bersembang tentang isu (ROSMAH-RAJA PETRA-ANWAR). Apa, ingat petani tak tau layari internet, tak tau membaca, tak tau beli surat khabar. Jangan digunakan pena yang diberi untuk merendah-rendahkan, menghina golongan lain. Mata pena lebih tajam dari pedang. Ianya mampu menguris dan melukakan hati dan perasaan orang lain ketika menulis - ANAK PETANI.

Ahad, 6 Julai 2008

Komen agresif penyokong fanatik Anwar Ibrahim

Sinar Harian bertarikh 6hb Julai 2008 / Ahad - muka surat N15 - Rencana Pengarang Sekilas Pandang - oleh Manzaidi, Penyunting Edisi Negeri Selangor.

Berikutan penyiaran rencana itu, saya menerima dua sms daripada pembaca sekitar Selangor. Seorang pembaca telah menghantar sms secara peribadi kepada Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Haji Hisamuddin Yaacob yang juga pemilik akhbar Sinar Harian. Satu lagi sms daripada pembaca kedua dihantar melalui telefon bimbit Pengarang Sinar Harian Selangor.

Berikut adalah sms mereka yang tidak berpuas hati dengan artikel saya dalam kolum Sekilas Pandang.

1. Askum Bro Dato Din, i'm now in KB. Pls ensure Rencana Pengarang especially columm Sekilas Pandang really neutral. This columm reflects the pattern of paper's thot. It shud give the idea on building the harmony for both party in crisis to reconcile for the benefits of nation. Sudah banyak akhbar2 yang memihak dan mengapi2 rakyat agar berperang. Pastikan Sinar benar2 sebagai adik bongsu yang sedang melakar kedamaian. Hanya secebis pandangan tulus. WANIB.

2. Kenapa manzaidi, penyunting edisi Selangor amat bodoh dan nampak macam tidak ada wacana peristiwa-peristiwa dan mereka yang terlibat dengan isu semasa. Rosmah tu isteri najib dan tak pernah hadapi masalah berat sebagai ahli politik macam anwar. Kan rosmah pun bagitau dia bukan politician. Apa dia nak risau... pihak berkuasa di kelilingnya, sedangkan anwar mengetuai pembangkang, gantikan kerajaan yang lemah dan tidak henti-henti buat kerja untuk kepentingan rakyat. Nampak sangat kebodohan melampau manzaidi terserlah. Teruskan jadi wartawan tin kosong.

Berikut adalah artikel saya:-

‘Fitnah’: Rosmah tenang, Anwar gelabah

SUKAR diterima akal. Dalam tempoh sebulan, dua isu, satu daripadanya kes besar yang menggegarkan negara. Isu pertama, kenaikan harga minyak. Tindakan kerajaan menaikkan sehingga 40 peratus harga petrol mengejutkan rakyat terutama dari golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Belum habis isu minyak yang menghantui rakyat sehingga kini, negara dikejutkan pula dengan akuan bersumpah pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang mengheret Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Dengan timbulnya isu itu, kemarahan rakyat yang sebelum ini membuak-buak terhadap kerajaan, secara perlahan-lahan beransur surut. Di mana-mana tempat, baik warung kopi, di pasar-pasar atau pun di tempat awam, rakyat tidak lagi membangkitkan soal kenaikan harga barang.

Episod Rosmah-Raja Petra-Altantuya menghiasi perbualan seharian mereka. Hatta petani dan nelayan pun turut berdebat sesama sendiri, walaupun mereka tidak tahu seratus peratus isi butir sebenar isu yang dibincangkan itu. Mereka hanya tumpang sekaki apabila heboh memperkatakan hal berkenaan.

Kesian rakyat. Yang tidak tahu pun turut terlibat. Bagi kerajaan, inilah masanya untuk mengalih kemarahan rakyat terhadap mereka. Isu besar boleh dijadikan penawar paling mujarab untuk memulihkan kesihatan rakyat. Memang, rakyat lupa seketika pasal petrol mahal, budu mahal dan belacan mahal, sebab terlalu ghairah sangat dengan drama Rosmah-Raja Petra-Altantuya.

Drama itu turut menyaksikan penglibatan beberapa pelakon tambahan iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menantunya, Khairy Jamaluddin dan dua watak sampingan, Leftenan Kolonel Aziz Buyong serta isterinya, Norhayati. yang kononnya adalah pegawai pengiring Rosmah.

Berita ini menjadi hangat kerana tidak ada seorang pun di kalangan 27 juta rakyat Malaysia menyedari bahawa kes pembunuhan warga Mongolia itu melibatkan isteri pemimpin nombor dua negara. Ia merupakan satu kejutan besar.

Rosmah akhirnya disiasat oleh polis. Dia tidak pun bertindak melarikan diri atau mendapatkan perlindungan daripada mana-mana kedutaan. Beliau tenang menghadapinya. Dia memberi kerjasama penuh kepada polis. Kenapa dia hendak lari? Kenapa dia perlu takut kalau dia berani kerana benar, takut kerana salah.

Kemunculan kes ini, sekali gus melenyapkan dua isu hangat sebelum ini. Kes yang hampir sama dengan kisah 10 tahun lalu. Ketika itu, empat mangsa didakwa diliwat. Kali ini hanya seorang sahaja. Bagaimanapun, dakwaan itu belum ada kesahihannya lagi sebab polis sedang menyiasat. Sama ada benar atau tidak, kita tunggu dan lihat.

Tetapi dalam kes ini agak pelik. Belum pun polis membuat dakwaan, Anwar telah menyembunyikan dirinya di Kedutaan Turki. Dia memberi alasan, dia menerima ugutan bunuh. Hairan juga, siapa yang berani hendak membunuh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sebelum ini dia bebas bergerak ke mana sahaja. Berpidato di pentas-pentas dan balik ke rumah sehingga lewat malam. Tidak pernah pun dia membuat laporan polis yang ‘dia menerima ugutan’ atau ‘dia diugut’.

Inilah yang menimbulkan persoalan kebanyakan rakyat. Kalau Rosmah yang hanya seorang wanita lemah boleh tenang menghadapi fitnah, kenapa Anwar yang gagah perkasa tidak dapat bertenang apabila berdepan dengan dakwaan yang dikatakan fitnah itu?

Rabu, 2 Julai 2008

Kenapa Wan Aziz melenting sangat?


Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail nampak agak emosi ketika sidang akhbar yang diadakan di lobi Parlimen petang ini (Selasa), selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau agak melenting apabila berdepan dengan soalan seorang wartawan yang bertanyakan "apakah bukti dan petanda yang menjadi asas dakwaan beliau wujudnya ancaman bunuh ke atas suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim."

Soalan itu dikira biasa bagi mana-mana wartawan, berdasarkan ramai yang tertanya-tanya mengenainya, termasuk ada yang kata ia tidak masuk akal melihatkan Anwar kebelakangan ini bebas sekali ke sana ke mari sebelum dan selepas pilihan raya umum 8Mac.

Kenapa pula tiba-tiba selepas timbul dakwaan pembantu khasnya Saiful Bukhari Azlan, terus timbul cerita keselamatannya di hujung tanduk. Jangan kata orang politik, orang biasa di warung-warung kopi pun hairan dan nak tahu apa bukti pada semua dakwaan macam itu.

Apa lagi bila Penasihat PKR itu lari untuk mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur. Wan Azizah nampak melenting sangat pasal soalan itu dan terus bercakap soal kes mata lebam Anwar yang lampau sebagai sandarannya bagaimana soal keselamatan Anwar tiada jaminan.

Ramai wartawan yang hadir di sidang akhbar itu tercengang melihat cara Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang tidak senang sekali dengan soalan itu. Ada juga melihat senario kes terbaru dakwaan ke atas Anwar ini macam kalut tak tentu hala.

Asasnya dakwaan itu terhad melibatkan Anwar vs Saiful saja. Ia kini cuba dibesarkan melalui dakwaan wujudnya konspirasi oleh kerajaan untuk kenakan Anwar. Setakat ini sandaran pada dakwaan itu hanyalah sekeping gambar Saiful bergambar dengan Khairil Anas Yusof, seorang pegawai di pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib sendiri sudah jelaskan gambar itu diambil ketika Mohd Saiful datang ke pejabatnya pada 12 Feb lalu bersama seorang rakan untuk berjumpa dengan pegawainya bagi mendapatkan sokongan untuk mendapatkan biasiswa dari kerajaan melanjutkan pelajaran.

“Dia (pegawai Anwar) seorang pemimpin di kalangan pelajar. Dia pun ambil gambar dengan pemimpin lain. Soalnya bukanlah peranan sesiapa, tetapi sama ada perkara itu berlaku atau tidak. Saya bukan orang di sebalik perkara ini. Itu terserah pada polis untuk tentukan,” katanya.

Katanya, adalah menjadi lumrah tetamu, terutama pelajar yang datang ke pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk mengambil gambar dengan pegawai-pegawai sebagai kenangan lawatan mereka.

Najib menyifatkan sebagai tidak berasas dakwaan yang dibuat oleh Dr Wan Azizah, kononnya gambar itu adalah satu bukti adanya pihak berniat jahat untuk membunuh karier politik Anwar.

“Ini (dakwaan Dr Wan Azizah) bertujuan untuk mengalihkan perhatian terhadap tuduhan sebenar,” kata Najib. Beliau berkata, tindakan Dr Wan Azizah membuat kenyataan itu serta menyebarkan gambar tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan salah sangka dalam kalangan umum.

Anwar dalam sidang akhbar di pejabat PKR di Tropicana dekat Petang Jaya, langsung mendakwa tiga orang yang dikenali Mohd Saiful terlibat dalam rancangan dakwaan meliwat membabitkan beliau.

“Saya pasti tuduhan ke atas saya mesti dirancang oleh ketiga-tiga karakter ini, bukan orang lain,” katanya.

Pada sidang akhbar itu Anwar juga mendakwa Saiful mempunyai hubungan akrab dengan Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Khairil Anas. Beliau bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang bukti pada dakwaan itu.

Anwar hanya menceritakan bahawa Mohd Saiful adalah seorang petugas sukarelawan dan bukan kakitangan tetap dan tidak bergaji tetap. Katanya, Mohd Saiful bukanlah pembantu khasnya seperti yang didakwa.

Menurutnya, Mohd Saiful diambil kerja menjelang pilihan raya 8 Mac untuk membantu tugas ketua para pegawainya bernama Ibrahim Yaacob dan seorang lagi yang dikenali sebagai Rahimi.

Ini kerana, tiga pegawainya yang lain, Nik Nazmi Nik Ahmad, Sim Tze Tsin dan Nurul Izzah bertanding dalam pilihan raya. Setakat ini tidak banyak diketahui mengenai latar belakang Mohd Saiful kecuali beliau adalah bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan pernah bergiat aktif dalam persatuan pelajar.

Tunangnya pula bernama Janna Syariza seorang penyampai berita di sebuah stesyen televisyen. Gambar pertunangan mereka telah tersebar luas dalam internet.

Janna dilaporkan oleh akhbar The Star sebagai berkata, beliau akan tetap berdiri teguh menyokong tunangnya itu dan bersama-sama akan mengharungi segala dugaan yang bakal mendatang.

“Saya juga sedar akan perjuangan yang menanti kami di hadapan. Insya-Allah kami akan menghadapinya bersama walaupun ia mengambil masa yang lama. Kebenaran akan terbukti jua...” kata Janna.

Mohd Saiful mendakwa, beliau telah diliwat oleh Anwar pada 26 Jun di Kondominium mewah di Damansara. Mohd Saiful telah membuat laporan polis pada Sabtu lalu.
Kadar sewa kondominium itu dikatakan sekitar RM7,000 sebulan.

Tidak dapat dipastikan bagaimana Mohd Saiful menampung perbelanjaan menyewa kondominium yang mahal itu.

Tidak kurang menarik ialah laporan akhbar itu yang memetik ayah saudaranya sebagai berkata, bahawa Mohd Saiful pernah nekad untuk membunuh diri kerana tertekan dengan apa yang telah dilakukannya.

Beliau yang enggan dikenali berkata, Mohd Saiful hampir mengambil jalan pintas untuk membunuh diri kerana dia sedar apa yang dilakukannya adalah satu dosa besar.

"Mohd Saiful membuat pengorbanan ini demi negara, walaupun dia sedar masyarakat akan memandang serong dan mencemuh dirinya dan keluarga selepas pendedahan ini," katanya lagi.

"Sebagai keluarga, kami akan berdiri teguh di belakangnya,” katanya. Beliau juga tegas berkata, tidak ada sesiapapun yang memaksa Mohd Saiful membuat pengakuan tersebut dan menyifatkan apa yang terjadi sebagai masalah keluarga.

"Kami tidak mendapat sokongan daripada kerajaan. Kami bersendirian dalam hal ini. Sebagai keluarga, kami akan menyokong penuh tindakan Mohd Saiful.

“Sebelum ini, kami pernah cuba meminta bantuan kerajaan, tetapi mereka memberitahu tidak mahu terlibat sama," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Utama dekat Petaling Jaya.

Beliau juga mengaku sudah beberapa kali menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, tetapi diberitahu agar tidak menghubunginya lagi.

Beliau juga memberitahu, bahawa anak saudaranya pernah pergi ke Bukit Aman untuk membuat laporan, tetapi pihak sana telah menyuruh dia balik setelah mendapat tahu siapa yang terlibat.

Mohd Saiful akhirnya telah membuat laporan di pondok polis Hospital Kuala Lumpur yang sanggup mengambil laporannya," kata ayah saudara Saiful.

"Mohd Saiful bukan berada di hospital, tetapi di bawah perlindungan polis dan keluarga kami sendiri tidak tahu di mana dia berada kini," katanya.

Ayah saudara Mohd Saiful mengaku beliau pernah menjadi penyokong kuat Anwar sebelum ini, tetapi tidak lagi selepas apa yang berlaku kini. Ketika ditanya mengenai gambar yang dirakam Mohd Saiful bersama beberapa Menteri Kabinet dan pegawai di Pejabat Perdana Menteri, beliau berkata, itu adalah perkara biasa bagi pelajar untuk mengambil foto dengan pegawai kerajaan.

Sementara itu, banyak persoalan yang belum terjawab ketika polis masih lagi menjalankan siasatan, termasuk di kondominium di mana kejadian didakwa berlaku.

Sekalipun tidak ada apa-apa bukti kukuh diperolehi setakat ini apa yang berlegar kini khususnya yang didakwa oleh Anwar dan PKR ialah wujudnya konspirasi yang merancang dakwaan itu.

Bagi sesetengah pemerhati, dakwaan wujudnya konspirasi ialah jalan termudah mengaburi senario kes itu. Cubaan untuk mengaitkan Timbalan Perdana Menteri dalam konspirasi itu juga adalah jalan paling mudah mengunakan modal gambar Mohd Saiful dengan Khairil Anas.

Ada pemerhati yang berpandangan Anwar tidak perlu mengelupur hingga nak buat roadshow satu negara menjelaskan kesnya.

"Beliau sepatutnya cool saja dan tunggu hingga selesai siasatan polis," kata salah seorang daripada mereka.

Malah menurut sesetengah pemerhati, tindakannya lari ke Kedutaan Turki sudah mencetuskan kecurigaan orang. Dalam pada itu, andaian yang popular kebelakangan ini kalau betullah ada konspirasi untuk kenakan Anwar, ia satu usaha yang bodoh untuk main balik dakwaan liwat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1999.

Juga kalau betul ada konspirasi, kenapa ia lekeh sangat dan tidak pasang perangkap betul-betul ke atas Anwar.

"Kalau macam kes video Datuk Chua Soi Lek itu betul boleh rasa ada perancangan dan konspirasi yang teliti... kalau macam inilah jawabnya, konspirasi bodoh," kata seorang lagi.

Katanya, kalau ada konspirasi high level ia pasti amat rapi dan video ala–Chua Soi Lek sudah pasti tersebar luas sekarang. Andaian itu membuat ramai juga yang lebih melihat dakwaan ini terhad kepada Mohd Saiful vs Anwar saja.

Selasa, 1 Julai 2008

Anwar keluar dari Kedutaan Turki


Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya keluar dari Kedutaan Turki pada jam 6.45 petang semalam. Beliau yang diiringi isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail dikatakan terus menunju ke rumah mereka di Segambut. Satu sumber memberitahu, Anwar akan adakan program ceramah umum di ibu pejabat PKR di Tropicana malam jam 9 malam ini.

Anwar diarah keluar kedutaan
Anwar Ibrahim telah diminta keluar dari Kedutaan Turki pada jam 5 petang ini. Perkara itu dimaklumkan Duta Turki kepada Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim ketika beliau dipanggil bertemu Rais di Wisma Putra petang Isnin. Menurut sumber, Duta berkenaan turut memaklumkan kepada Rais bahawa pihaknya tidak pernah menjemput Anwar untuk mendapatkan perlindungan di kedutaan berkenaan. Anwar difahamkan telah menghubungi beberapa pemimpin PKR memaklumkan beliau akan keluar pada jam 6 petang.

Najib nafi terlibat konspirasi
Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan wujudnya konspirasi atau pun beliau terbabit dalam konspirasi untuk menjatuhkan politik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dakwaan pembabitan Najib timbul berikutan kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa ada gambar bekas pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan dengan pegawai Khas Najib sebagai bukti wujudnya konspirasi untuk jatuhkan Anwar yang melibatkan Najib. Menurut Najib, gambar yang dimaksudkan itu dirakam beberapa bulan lalu sewaktu Saiful datang bertemu dengan pegawainya bagi memohon sokongan untuk mendapatkan biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajarannya.

Anwar fail saman terhadap Saiful
Anwar Ibrahim hari Isnin memfailkan saman terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, berhubung laporan polis palsu yang didakwa memfitnah beliau. Khamis lalu Saiful membuat laporan polis di Balai Polis Travers mendakwa dia diliwat oleh Anwar.

Wan Azizah mahu jaminan keselamatan
Ini sudah pelik... Datin Seri Dr Wan Azizah minta Perdana Menteri memberi jaminan keselamatan sebelum suaminya Anwar Ibrahim keluar dari Kedutaan Turki.

Kenapa sekarang timbul ancaman bunuh
Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mempertikaikan permohonan Datin Seri Dr Wan Azizah yang mahukan Perdana Menteri memberi jaminan keselamatan kepada Anwar Ibrahim sebelum keluar dari Kedutaan Turki.
Katanya, selama ini Anwar bebas pergi ke seluruh negara ‘mengata’ kerajaan dan tiada siapa yang ‘kacau’ beliau.
“Kenapa sekarang timbul pula soal ancaman bunuh,” kata Syed Hamid.

Jangan takut kalau tidak salah
Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mempertikai tindakan Anwar Ibrahim bersembunyi di Kedutaan Turki. Katanya, jika Anwar yakin tidak bersalah beliau tidak perlu takut dan bersembunyi. Malah katanya, beliau sedia untuk menemani Anwar jika takut untuk berhadapan dengan proses penyiasatan. Katanya, beliau sedia temani Anwar sekalipun masuk lokap bersama untuk disoalsiasat oleh polis.

Wisma Putra panggil Duta Turki
Wisma Putra akan memanggil Duta Turki bagi memberikan penjelasan tindakan mereka memberikan perlindungan kepada Anwar Ibrahim.
Anwar bersembunyi di kedutaan itu sejak awal pagi Ahad setelah adanya laporan polis ke atas dirinya yang didakwa meliwat pembantu khasnya. Menurut sumber Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim akan bertemu dengan Duta Turki itu petang Isnin

Kesian Wan Azizah
Itulah komen Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika diminta mengulas penyiaran gambar beliau dengan Saiful Bukhri Azlan, mangsa yang dakwa diliwat Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun Azalina berkata, beliau faham tindakan Datin Seri Dr Wan Azizah yang menunjukkan gambar sebagai bukti seolah-olah wujudnya konspirasi yang melibatkan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan untuk menjatuhkan Anwar.
Katanya, sebagai isteri sudah tentu Wan Azizah akan mempertahankan suaminya. “Dalam situasi sebegini banyak orang waras akan bertindak tidak waras,” katanya.
Gambar Azalina turut disiarkan berikutan tindakan Wan Azizah menunjukkan gambar Saiful dengan seorang pegawai khas Timbalan Perdana Menteri sebagai ‘bukti’ wujud konspirasi jatuhkan Anwar oleh Timbalan Perdana Menteri.

Babak baru… lepas dakwaan liwat timbul pula ancaman bunuh
Ini lagi satu hal yang buat ramai terkejut dan tertanya-tanya. Kenapa Anwar Ibrahim lari untuk mendapat perlindungan di Kedutaan Turki di Jalan U Thant, Kuala Lumpur?
Sehingga awal petang wartawan dan jurugambar yang ‘berkampung’ di Hotel Quality, Shah Alam cuba merisik di kalangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat yang berada di situ di mana Anwar berada, namun semuanya memberi tanda tidak tahu.
Datin Seri Dr Wan Azizah ketika hadir dalam sidang akhbar di situ menafikan soalan wartawan bahawa Anwar ketika itu berusaha mendapat perlindungan politik dari sebuah kedutaan asing.
Beliau hanya sekadar berkata, suaminya kini terpaksa 'bersembunyi' setelah menerima ugutan bunuh seminggu lalu.
Ugutan bunuh?... Itulah berulang kali dinyatakan olehnya.
Namun lewat petang jawapan menjelma. Anwar mengeluarkan satu kenyataan pada jam 5.30 petang mengesahkan beliau berada ‘dalam perlindungan’ di Kedutaan Turki.
Katanya, beliau dibawa ke kedutaan itu pada awal pagi Ahad kerana bimbang keselamatannya. Beliau mendakwa sejak pilihanraya 8 Mac terdapat sumber-sumber yang layak dipercayai dari kalangan kerajaan dan risikan tentera menasihatkannya bahawa terdapat sesetengah pihak dalam pimpinan Barisan Nasional mengadakan rancangan untuk mengugat keselamatannya dan keluarganya.
Anwar mendakwa ini melibatkan kemungkinan cubaan membunuhnya untuk menyekat perubahan yang sedang berlaku di Malaysia.

Kenapa Anwar memilih Kedutaan Turki?
Ikut ceritanya, ini ada kaitan dengan hubungan rapat beliau dengan Perdana Menteri Turki Reccep Erdogan.
Mengikut peraturan diplomatik berada dalam kedutaan sesebuah negara adalah sama seperti berada di dalam lingkungan wilayah negara itu.
Makanya Anwar tidak boleh disentuh.
Ini juga dijangka akan menyulitkan polis menyelesaikan siasatan. Andaian yang berlegar ialah Anwar nak cuba jadikan kesnya ini satu isu antarabangsa.
Apa yang menjadi persoalan kenapa kali ini beliau mengambil langkah 'lari' ketika timbul tuduhan liwat muncul dari pembantu khasnya?
Ada yang merasakan dakwaan cubaan bunuh dalam satu hal yang boleh direka oleh sesiapa saja. Siapa yang boleh buktikan ada rancangan seumpama itu?
Lagipun Malaysia tidak dikenali dengan budaya seumpama itu selama ini.
Anwar sendiri sejak sebelum dan sesudah pilihan raya kelihatan bebas ke sana ke mari. Malah difahamkan kalangan pimpinan pembangkang sendiri binggung melihat tindakan Anwar kali ini.
Ini kerana sewaktu berdepan dengan tuduhan sama pada tahun 1997 Anwar sanggup menghadapinya secara terbuka.
"Boleh percaya ke ada cubaan nak bunuh Anwar...?” kata seorang dari mereka.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan berkata, tindakan Anwar berselindung di Kedutaan Turki dengan mendakwa keselamatan beliau terancam adalah tidak masuk akal.
"Tindakan itu diambil semata-mata untuk mengalihkan tumpuan, sama seperti ketika beliau dituduh suatu masa dahulu,” katanya.
Katanya, Anwar pernah membuat dakwaan kononnya beliau cuba dibunuh dengan racun arsenik, memerlukan pembedahan tulang belakang dan menghadapi masalah tengkuk.
Manakala Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim dilaporkan berkata, Dia (Anwar) bukan pelarian politik. Mengapa dilindungi di sana. Kedutaan itu sendiri jelas telah mencabul perundangan negara.
Kedutaan asing di negara ini dilarang 'menyimpan' dan melindungi individu yang didakwa melakukan kesalahan jenayah dengan alasan tuntutan suaka politik.
Menurut Rais, Anwar tidak perlu meminta perlindungan daripada mana-mana kedutaan dengan alasan ancaman keselamatan.
"Mengapa dia ke sana? Tiada siapa yang mengancam keselamatannya.
"Dia bebas ke mana-mana. Jangan dakwa diri diancam jika sebenarnya tiada apa-apa ugutan yang timbul," katanya.

UMNO tidak fikir nak kacau dia...
"UMNO tidak fikir nak kacau dia... tak ada... BN pun tak fikir nak menyusahkan dia," itulah yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat terhadap Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat pembantu khasnya.
Sehubungan itu, katanya, memandangkan laporan polis telah dibuat, polis akan menyiasat perkara berkenaan dan terserah kepada polis untuk menentukan tindakan selanjutnya.
Beliau menafikan kononnya laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bukhri Azlan itu adalah perancangan UMNO dan BN untuk menganiaya Anwar bagi memastikan beliau tidak boleh bangkit semula dalam politik.
"UMNO tak fikir nak kacau dia macam ini, tidak ada. BN pun tak fikir nak menyusahkan dia, nak kacau dia atau nak timbulkan perkara yang macam ini... tidak ada niat seumpama ini, tak terlintas dalam fikiran saya langsung kot-kot nak buat khianat dia dan saya percaya kawan-kawan saya... Datuk Seri Najib Razak dan siapa pun tak berfikir begitu.
“Benda itu sudah berlaku dan orang yang berkenaan yang terbabit sudah buat laporan. Kita nak buat apa lagi, dia ada hak membuat laporan, kita tidak boleh tegah dia daripada buat laporan. Kita serah kepada polis, kita tidak ada sebarang rancangan untuk buat sesuatu kepada dia kerana dia kata dia dah pulih balik dalam politik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Bumi Hijau Warga Putrajaya hari Ahad.
Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat oleh pembantu khas Anwar, Saiful Bukhri Azlan yang mendakwa diiwat oleh Anwar. Laporan polis berkenaan dibuat hari Sabtu.
Sambil menyatakan terkejut dengan laporan polis itu, Abdullah yag juga Presiden UMNO berkata, UMNO dan BN tidak terlibat dalam soal berkenaan apatah lagi hendak menggunakan isu berkenaan bagi menghalang kebangkitan semula Anwar di dalam politik tanah air.
Katanya, kerajaan tidak boleh menghalang individu terbabit dariapda membuat laporan polis kerana ia adalah hak individu berkenaan sebagai mana Anwar juga berhak untuk menafikan melakukan perbuatan tersebut.
“Kalau dah begitu polislah kena ambil apa-apa tindakan yang wajar, laporan polis sudah dibuat dan polis yang akan membuat sisatan dan menentukan sama ada perkara itu betul atau tidak betul. Soal Anwar apa yang dia nak kata, bukan sesuatu yang kita boleh tentukan. Dia tentulah buat penafian, lazimnya orang yang dituduh buat penafian, tetapi kalau sudah ada bukti dan polis akan siasat, siasatlah,” ujar beliau.

Komen Dr Mahathir…
“Ini kes baru. Kita tengoklah apa polis nak kata. Apa pihak kerajaan nak kata,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai dakwaan bahawa Anwar Ibrahim meliwat seorang pembantunya. Beliau menjawab soalan wartawan selepas bertemu Presiden Bosnia dan Herzegovina, Dr Haris Silajdzic semasa lawatan presiden itu ke Colmar Tropicale dan Japanese Village di Bukit Tinggi Ahad.

Imej pembangkang tercalar
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta polis melakukan siasatan secara terperinci terhadap dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dengan jenayah liwat.
Sambil melahirkan rasa sedih dengan dakwaan tersebut, beliau berkata, tuduhan terbaru itu boleh mencalarkan imej pembangkang.
“Ye lah tuduhan ini boleh mencalarkan imej (pembangkang) dan saya sebagai ketua kampung (Mursyidul Am PAS) sedih kenapa ada tuduhan seperti ini,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu, hari Ahad.
Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan polis yang mendakwa Anwar meliwat pembantu khasnya.
Menurut Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, tuduhan itu juga boleh dikaitkan dengan konspirasi untuk menjatuhkan seseorang pemimpin parti politik seperti Anwar.
Nik Aziz berkata, dalam Islam tuduhan berat seperti itu memerlukan saksi bagi mengelakkan tertuduh menerima aib.
“Tuduh menuduh seperti ini kena ada saksi. Liwat ni orang tak buat tengah jalan, dia buat sulit jadi kena ada saksi. Boleh jadi ini konspirasi juga kerana mereka pemimpin politik. Tetapi tidak tahulah (benar atau tidak),” katanya.
Beliau juga kecewa dengan fitnah yang juga banyak dilemparkan di blog tertentu yang membabitkan pemimpin negara.