Selasa, 28 Oktober 2008

Sketsa Pesisir - ii

Ediramle Ismail:
Sepertinya agak kurang aktif mengirimkan kata bicara ke egroups. Begitupun bukan dikeranakan punca kesihatan fizikal maupun kekurangan komitmen. Tapi sepertinya kini telah kembali ke dalam kelazatan membaca yang juga selain buku-buku bercetak juga e-buku dan tulisan-tulisan di internet yang berkaitan terutamanya dengan kegemaran baru yang mula dirasakan keindahan dan keserasiannya.
Dengan adanya kegemaran baru, bukan bererti kegemaran lama dikesampingkan, ianya tetap juga diteruskan kerana antaranya saling berkaitan, saling genap mengenapi.
Hidup menjadi lebih bererti sekiranya ruang-ruang fikiran negatif diisi dengan fikiran positif dan ruang-ruang kejemuan diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Supian Hassan:Semua warga Pesisir patut membaca akhbar Berita Harian hari ni, ruangan Sastera muka surat 19.

Manzaidi MohdAmin:
Salam... Terima kasih banyak2 kpd sdr Nazmi. Sdr telah menaikkan nama Pesisir di seluruh negara. Pesisir kini ditatap dan disebut oleh jutaan pembaca. Tahniah dan syabas kepada warga Pesisir terutama sdr Nazmi.

hashim latiff:
Saya dah baca tulisan sdr. nazmi. Moga keakraban terjalin kukuh spt isi dengan belulang.

Samhani ismail:
Assalamualaikum... Saya terlepas membaca ruangan tersebut di BH semalam. Harapnya En Nazmi boleh memasukkan entri tersebut di dalam blog ya.. terima kasih..
Satu lagi, saya nak tahu tentang teknik2 mengambil gambar dengan baik... kalau ada sesiapa yang bisa membantu saya? Walaupun saya jarang mencelah dalam group pesisir, tetapi rakan2 dalam pesisir ini umpama guru saya. Saya suka membaca perbincangan2 kalian..

Manzaidi MohdAmin:
Salam... Bab teknik ni kena tanya sifu kita sdr Ediramle. Dia mahir mengenai apa saja pasal kamera. Sungguhpun gitu, pencelahan Samhani dalam group ini amat dialu-alukan. Sekurang-kurangnya makin ceria dan banyak ilmu baru akan diperoleh.

Ediramle Ismail:
Tentang teknik ambil gambar saya pun belum mahir lagi, bagaimanapun elok juga kiranya pesisir sekali lagi anjurkan kursus fotografi. Sdr. Ramo,(Pengerusi Unit ICT Pesisir) ada pengalaman dalam perkara ini, begitu juga beberapa orang rakan di Pesisir ada yang mahir dalam teknik fotografi termasuk yang artistik.
Mohon pandangan, apakah kita perlu adakan sekali lagi kursus fotografi?

elqudus:
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘teknik mengambil gambar yang baik’? soalan samhani terlalu umum.

Aziz Mohd Nor:
Ada banyak faktor untuk menjadikan gambar itu bagus, misalnya komposisi, “angle of view”, “exposure” dan banyak lagi. Jenis kamera yang digunakan juga merupakan salah satu faktor, ada kamera kompak (compact), prosumer @ bridge, dan (d)slr. antara kamera yang selalu digunakan untuk mengambil gambar yang bagus adalah (d)slr, sebab keupayaannya yang tinggi dan flexiable untuk menjadikan gambar yang diambil bagus element2 ini mesti ada walau pun tidak memenuhi semua faktor itu. harap ini dapat membantu sedukit sebanyak

Muhammad Saiful Haq Hussin:
Bijak juga saudara Aziz kita ni dalam hal dan teknik mengambil gambar. Apa-apa pun Selamat Hari Raya dan dengan pertanyaan: “Bagaimana dengan status pengajian saudara sekarang?”

Manzaidi Mohd Amin:
Salam Tuan Ipul, Saya masih bercuti sederhana (tak panjang, tak pendek), esok baru saya masuk ofis. Esok saya akan beri perhatian mengenai promosi program Tuan dalam paper Sinar. Dan untuk makluman rakan-rakan semua, Saya bertugas di Edisi Selangor & KL sehingga Rabu lusa. Mulai Khamis tulat, saya bertugas di Edisi Utara, tetapi masih di meja, kerusi dan komputer yang sama, cuma tugas berlainan dan serba baru. Saya akan berdepan dengan wartawan baru, gaya penulisan baru, feel perangai skuad yang baru, dan serba baru... termuntah pula lah saya. Baru dapat bernafas setelah jaga Kelantan 2006, dipertanggungjawabkan pula ke Edisi Selangor (awal 2008)... bila dah stabil, diletak pula ke Utara (tulat)... Pendek kata, saya akan sentiasa berdepan dengan benda-benda baru... cuma isteri saja belum ada yang baru. (Syyyyy jangan bising-bising tau).

Muhammad Saiful Haq Hussin:
Salam kembali,
Terima kasih banyak atas perhatian yang tuan berikan. Apepe pun TAHNIAH saya ucapkan kepada Tuan Man atas kejayaan yang sentiasa bersama dengan Tuan, begitulah kalau orang yang bekerja dengan jujur dan ikhlas, akan diberi kepercayaan walau di mana sekalipun kita berada, yang pasti KEPERCAYAAN begitu bukan mudah diraih, namun sekiranya kita menaruh kepercayaan kepada diri kita nescaya orang lain akan dapat menilainya dan memberikan kepercayaan yang sama sebagaimana KEIKHLASAN yang Tuan amalkan itu. Semoga Tuan akan terus berjaya dalam bidang yang ditekuni.

Manzaidi MohdAmin:
Terima kasih kembali. Begitu tinggi puji-pujian Tuan Ipul, tak termampu oleh hamba hendak menerimanya. Apapun, berita mengenai persidangan itu Insya-Allah akan disiarkan lusa (24hb Okt 08). Esok saya off. Rehat sebab nak berdepan dgn suasana baru. Macam faham-faham je bos bagi cuti kat saya sebab dia tahu, lusa saya akan bergelumang dengan staf yang baru merangkak dalam bidang kewartawanan.

Muhammad Saiful Haq Hussin:
Terima kasih lagi sekali atas keprihatinan tuan. Apepe pun kembali tentang pujian tu sebenarnya adalah perangsang. Namun apa yang pasti saya yakin dan percaya Tuan lebih mengenali diri Tuan kan? Dan sampai bila pun Tuan adalah Tuan, dan Tuan bukannya orang lain... Oleh hal yang demikian kalau pengiktirafan itu layak kita terima, maka terimalah dengan seadanya. Apa yang lebih penting ialah, berusahalah mempertingkatkan kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi. Jangan lupa untuk merealisasikan KEIKHLASAN & KEJUJURAN dalam kehidupan ini mesti. direalisasikan.

Manzaidi Mohd Amin:
Salam Tuan Ipul. Saya nak minta maaf sebab tersilap inform kat Tuan mengenai berita persidangan antarabangsa pengajian Melayu tu. Oleh kerana saya off semalam, maka berita itu tidak dijumpai oleh petugas yang bekerja. Hari ni saya baru masuk kerja dan telah memasukkannya dalam muka surat S13. Maka dengan rasminya esok (25hb Okt) berita tu keluar. Saya sudah pastikan dengan cerak berita tu akan siar esok. Saya benar-benar minta maaf sebab mungkin Tuan Ipul telah membeli paper Sinar hari ni dan mendapati berita itu tidak ada (tidak disiar). Jadi, esok betul-betul siar. Begitulah manusia, apa yang dirancang tidak akan menjadi kenyataan tanpa dengan izin Yang Maha Kuasa.

Muhammad Saiful Haq Hussin:
Salam kembali buat Tuan Man.
Saya pun ingin memohon berbanyak maaf daripada Tuan Man kerana gak lewat memberikan respon tentang liputan tersebut, sebenarnya saya pun membeli edisi 25hb tu dalam perjalanan saya untuk pulang ke Kota Bharu untuk menyampaikan kuliah di PPL/UPM, Cawangan Kota Bharu. Dan kerana kesibukan, maka pada pagi ini setelah masuk ke opis barulah sempat membalas e-mel Tuan.
Tak apa, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Tuan atas kerjasama dan penyiaran berita tentang seminar antarabangsa yang telah tuan siarkan itu. Di sini ternyatalah kepada saya bahawa Tuan sememangnya orang yang bertanggungjawab. Saya mendapati bahawa segala tanggapan dan tohmahan negatif terhadap insan yang bergelar wartawan seperti Tuan tidak sebagaimana yang digambarkan. Memang kita hanya merancang, tetapi Allah SWT yang menentukan, kerana usaha dan ikhtiar tidak akan mampu mengatasi ketentuan yang berasaskan qada dan qadar. Semoga dengan penyiaran berita tersebut akan menyemarakkan lagi persidangan antarabangsa yang dijangkakan itu, nanti saya akan terus berhubungan lagi dengan Tuan.

Saiful,
Jabatan Bahasa Melayu,
Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya.

Sketsa Pesisir - i

Mohd Rozlan Mohamed Noor:
Sketsa persis menjentik hati, mungkinkah Rani Mukherjee akan turut bergelar Datuk? Seorang sahabat berSMS dengan saya dari Terengganu.

Ediramle Ismail:
Pada saya apa salahnya Shah Rukh Khan bergelar Datuk kerana dia memang layak. Lagi pula satu pemilihan yang kreatif oleh pihak yang menganugerahkannya. Mungkin separuh orang orang di dunia ni kenal nama dia. Itu bermakna dia ada kehebatannya yang tersendiri. Kalau Rani Mukarjee dapat datuk pun elok juga. Sekadar pandangan.

azle abdullah:
PAKSI akan menganjurkan Program Penghayatan Seni di Kuala Pahang, Pekan Pahang pada 01 Nov. 2008 mulai jam 8.00 pagi - hingga malam. Semua teman yang berminat di jemput hadir. terutama yang berada di Pahang, juga semua AJK dan Ahli Persatuan Sasterawan Pahang. (inderapura) Program ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari Inderapura.

Manzaidi MohdAmin:
Alahhh apa nak herankan... pingat banyak. Tak ada had. cakap jer tahun ni nak bagi berapa, mereka buatlah jumlah yang nak diberikan. Lagipun, sama ada Shah Rukh atau Rani dapat atau tidak, tak rugi apa-apa pun. Hanya satu atau dua butir jer... kalau dua-dua artis tu tak dapat, pingat tu tak ke mana pun. Bukannya mereka nak hulurkan pada kita. Malah kalau rakyat kita yang dapat anugerah sekali pun bukannya mereka kenal kita. Orang luar dapat pun, kita macam ni juga, sama telah orang kita dapat, pun macam ni juga kedudukan kita. So, tak payahlah kita nak habiskan masa bincang pasal pingat memingat ni. Mereka ada prosedur nak pilih yang layak dapat pingat. kalau kita nak jugak, hah! cepat-cepat cari menantu. Tunggu setahun, dapatlah anugerah Datuk. Tak gitu kek nih rakan-rakan?

azle abdullah:
idea yang kreatif. betul tu, kita fikirkan tentang periok nasi kita lebih baik, tentang dunia sastera kita lebih baik. buatlah kerja kita. selama ini pun bukan orang nilai kita, edi yang dah teruk jaga pesisir, cikgu pengerusi yang dah pimpin pesisir begitu lama pun masih ada yang pertikai jasanya, peranannya, apa lagi sebut pasal bagaimana nak balas jasa dan budinya pada pesisir. tetapi kita bekerja bukan untuk anugerah! paling-paling tidak dapatlah sekeping sijil....

Supian Hassan:
Kita ni kadang-kadang jadi sibuk dengan kerja orang, buat kerja kita sebaik dan seikhlas mungkin, ganjaran serah saja pada tuhan, pasti balasannya adil dan saksama.

Ahad, 26 Oktober 2008

Three Stoges bertemu di gelanggang

Ketua Pemuda UMNO: Mukhriz vs Khairy vs Khir Toyo

Walaupun ramai yang mengidam hendak tengok pertandingan satu lawan satu antara Datuk Mukhriz Mahathir dengan Khairy Jamaluddin, tetapi Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo tetap bersemangat hendak menjadi orang ketiga.

Debaran mengejar pencalonan oleh Khairy dan Mohd Khir berakhir pagi ini apabila bekas Menteri Besar Selangor itu sudah sah dan layak menyertai Ahli Parlimen Jerlun dan Rembau merebut jawatan nombor satu Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang dikosongkan oleh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Beliau mendapat pencalonan dari Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau dan Pemuda UMNO Tanjong Karang menjadikannya 40 pencalonan iaitu lebih satu dari kuota 39.

Sepanjang Sabtu, beliau berjaya merangkul lapan pencalonan menjadikannya 38 iaitu kurang satu untuk mencukupkan kuota 39.

Ramai yang berminat mengikuti satu per satu pencalonan mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian pada Sabtu lalu kerana hendak mengetahui sama ada Dr Mohd Khir mampu atau tidak sampai ke garisan penamat.

Sepanjang hari itu, Dr Mohd Khir mendapat pencalonan dari Pemuda Sandakan, Parit, Petaling Jaya Utara, Maran, Lumut, Kluang, Sipitang dan Seputeh.

Sehingga kini, Mukhriz yang mendahulu dua calon itu sudah mendapat 65 pencalonan manakala Khairy pula 44.

Pertandingan antara ketiga mereka dijangka menjadi perhatian dalam pemilihan UMNO Mac tahun depan, selain dari perebutan jawatan Naib Presiden UMNO dan mungkin Timbalan Presiden.

Happy Deepavali

Selamat menyambut Deepavali kepada kawan, rakan, sahabat dan teman yang berada di dalam negara dan luar negara. Semoga Deepavali tahun ini dapat mengeratkan silaturahim antara kawan dengan rakan, sahabat dengan teman.

Sabtu, 25 Oktober 2008

Surat seorang ibu

Sekilas Pandang

MANZAIDI
Penyunting Edisi Utara

Cadangan tender: Siapa menghina siapa

AHLI Majlis Tertinggi UMNO (MT), Datuk Seri Dr Rais Yatim dikatakan telah menghina parti apabila mencadangkan agar semua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan secara ‘tender’ pada musim pemilihan akan datang.

Beliau mengemukakan cadangan itu setelah mendapati UMNO kini dalam keadaan bahaya dan akan musnah bila-bila masa jika tiada usaha diambil untuk mengekang gejala politik wang. Kebimbangannya itu pernah disuarakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini, tetapi dipandang sepi.

Sehingga kini, hanya Menteri Luar itu yang berani mengemukakan cadangan. Tetapi diperlekehkan. Cadangan itu dikatakan menghina parti. Pemimpin lain nampaknya menyepi diri. Mungkin takut cadangan atau pandangan mereka dibidas secara melampau.

Ada juga yang mengambil sikap tunggu dan lihat atau menunggu reaksi daripada ketua terlebih dahulu, sebelum bangkit dengan pandangan dan formula masing-masing.

Seharusnya, setiap cadangan pemimpin yang berkaitan usaha hendak menghapuskan amalan politik wang diambil positif. Bukan merendah-rendah atau mempersendakannya. Ini akan memburukkan lagi keadaan dan seolah-olah membenarkan politik wang diamalkan.

Niat Dr Rais jujur. Beliau antara pemimpin yang dilihat sebagai bimbang dengan amalan politik wang sejak mutakhir ini dan seakan menjadi darah daging atau kemestian kepada calon bertanding (tidak semua calon).

Bagaimanapun, bidasan berbisa bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dua hari lalu, secara tidak langsung telah melunturkan semangat pemimpin lain yang bersedia dengan pandangan dan cadangan masing-masing.

Sama ada Shahidan bergurau atau sebaliknya, dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada media, menganggap saranan Dr Rais itu sebagai menghina UMNO.

Tentu Dr Rais rasa terhina apabila Shahidan dilaporkan pula berkata, "jika beliau diminta menilai Dr Rais secara tender, maka nilai yang akan diberikan kepadanya hanya RM1."

Apa motif Shahidan berkata demikian kepada Dr Rais. Pada mulanya saya menganggap Shahidan tidak berkata begitu. Mungkin wartawan tersalah dengar. Tetapi setelah meneliti beberapa akhbar lain, ternyata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu tidak tersilap.

Beliau secara sinis menyatakan, gejala politik wang tidak akan dihapuskan melalui sistem tender kerana akan menenggelamkan amalan demokrasi. Katanya, kalau marah kepada politik wang, jangan sampai nak adakan sistem tender dalam UMNO.

Jika dibandingkan cadangan Dr Rais dengan kenyataan Shahidan, siapa menghina siapa. Banyak lagi alasan lain yang boleh digunakan Shahidan jika tidak bersetuju dengan cadangan itu. Lagipun maksud Dr Rais adalah jelas. Tiada kaitan dengan pemimpin berwang membiayai mesyuarat rasmi parti.

Yang dimaksudkan Dr Rais, ada pemimpin atau calon bertanding menyogok sejumlah wang kepada perwakilan agar memberi undi kepadanya. Itu yang berlaku di setiap bahagian, negeri dan pusat. Sedangkan kalau dinilai secara fizikal atau mental, calon berkenaan langsung tidak layak menang kerana tidak ada ketokohan kepimpinan.

Tetapi calon itu menang besar. Sebab dia menggunakan wang untuk membeli undi, bukan memancing undi. Itu yang berlaku dalam kebanyakan UMNO cawangan di beberapa negeri. Mesyuarat cawangan diadakan secara ‘bungkus’.

Ahli tidak dipanggil menghadiri mesyuarat. Tiba-tiba dimaklumkan mesyuarat sudah selesai dan memilih si polan sebagai calon merebut jawatan sekian-sekian. Ini yang menimbulkan huru-hara dalam parti.

Di Pasir Mas, contohnya, beberapa perwakilan mengakui menerima telefon bimbit percuma daripada seorang calon yang kaya raya. Mereka memaklumkan, ketika calon berkenaan menyerahkan 'sagu hati' itu, dia ada berbisik “undi saya” ke telinga penerima.

Itu yang dikatakan politik wang, bukan membiayai mesyuarat disifatkan sebagai politik wang. Tidak ada dalam mana-mana perlembagaan parti melarang pemimpin membiayai mesyuarat rasmi parti, kecuali jika pemimpin itu mempunyai niat membeli undi. Itu dianggap salah.

Shahidan harus faham, dan saya pun yakin beliau bukan tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Dr Rais. Mungkin juga Shahidan hendak mencari publisiti, walaupun dia sudah menarik diri daripada hasratnya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Politik wang berlaku dalam semua parti. Baik UMNO mahupun Pas. Bahkan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) pun berlaku amalan itu.

Cuma hendak mensabitkan kesalahan atau membuktikan seseorang itu mengamalkan politik wang agak sukar kerana mereka yang memberi bijak beralasan (menafikan), walaupun yang menerima membuat pengakuan disogokkan sejumlah wang bagi tujuan memberi undi kepadanya. - Sekilas Pandang siaran 25hb Oktober 2008 N6.

Isnin, 20 Oktober 2008

Jangan marah Pak Lah, nanti kena jual

Manzaidi menulis:
Apabila kita diberi amanah dan tanggungjawab untuk memimpin sesebuah organisasi, parti, pertubuhan atau kerajaan, kita tidak boleh meletakkan diri kita sebagai orang yang serba pandai dan serba tahu.

Sebagai khalifah, kita tidak semestinya lengkap. Kita perlu sentiasa mengamalkan sikap hendak belajar, menerima teguran, pandangan dan nasihat. Kita tidak boleh melenting tidak tentu pasal.

Ada sebab kalau orang lain menegur atau mengkritik kita. Ada sesuatu kelemahan pada diri kita jika orang lain menghulurkan teguran atau nasihat. Tidak salah untuk kita mendangar pandangan itu.

Jangan cepat melenting. Ini bukan sifat dan sikap seorang pemimpin berwibawa dan berwawasan. Mana-mana teguran atau nasihat yang kita fikir baik, apa salahnya kita ambil dan lakukan perubahan. Kita ada kuasa, kita boleh melakukannya untuk kebaikan bersama.

Inilah halnya apa yang berlaku kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau melenting dan marah benar dengan bekas Perdana Menteri sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, Tun tidak perlu menjadi orang yang suka menjaga tepi kain orang. Kalau sudah keluar dari UMNO buatlah seperti orang yang keluar dari parti. Jangan sibuk2 hendak mencampuri urusan parti yang tidak ada kena mengena dengannya lagi.

Begitulah lebih kurang persepsi Pak Lah terhadap Tun Mahathir. Kenyataannya agak keras, sekeras batu tumpat. Sebelum ini Pak Lah tidak seagresif ini. Beliau dilihat sebagai seorang yang penyabar dan sentiasa tersenyum setiap kali tuduhan atau kritikan dilontarkan kepadanya.

Tetapi entah kenapa, tetiba sahaja hari ni Pak Lah cukup melenting. Seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam jiwanya sekarang. Mungkin Pak Lah tertekan tahap dewa dengan kemelut politik hari ini.

Yalah, mana nak handle karenah MCA lagi, MIC lagi, Gerakan lagi dan krisis dalam UMNO sendiri yang lebih teruk daripada rakan-rakan Barisan Nasional (BN) yang lain. Tambahan pula, menantu harapannya Khairy sehingga kini masih gagal mendapat jumlah pencalonan untuk melayakkan dia bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Ditambah pula dengan pelbagai kenyataan daripada Tun Mahathir sejak akhir-akhir ini yang seolah memperlekehkan Pak Lah, tentulah dia berasa tertekan dan melenting. Harap Pak Lah tidak marah-marah lagi, takut nanti kena jual macam nasib Tiga Abdul.

Walauapapun Pak Lah harus bertenang. Pak Lah kan ada Tuan Penasihat, kenapa tidak sahaja guna khidmat Tuan Penasihat untuk kaji dan nilai setiap komen orang luar terhadap diri kita. Kalau Tuan Penasihat tidak boleh memberi nasihat, buat apa lantik atau pelihara Tuan Penasihat. Buang sahajalah ke dalam longkang.

Pak Lah tidak wajar melenting. Kenyataannya hari ini cukup menggambarkan kepada rakyat siapa Pak Lah sebenar. Topeng Pak Lah telah tertanggal. Rakyat sudah nampak siapa Pak Lah sebenarnya.

Walaupun ada yang bersimpati dengan nasib Pak Lah, tetapi tidak sedikit mula sangsi dengannya. Rakyat sangsi kerana apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir itu ada kebenarannya. Tun Mahathir tidak akan bercakap kalau tidak ada bukti. Itulah perangai Tun Mahathir.

Sepatutnya Pak Lah panggil Tun Mahathir dan bincang empat mata. Tanya Tun Mahathir, betul ke apa yang dia cakap tu. Kalau betul, Pak Lah kena minta pandangannya bagaimana nak elak, tangani atau atasinya. Bukan terus hentam keromo tak tentu pasal.

Sebagai Perdana Menteri yang dilantik menerusi peralihan kuasa pada tahun 2003, Pak Lah tidak boleh mengetepikan begitu sahaja pandangan, teguran atau kritikan bekas ketuanya (Tun Mahathir).

Sejarah membuktikan Tun Mahathir antara pemimpin paling lama memegang jawatan Perdana Menteri. Banyak kejayaan yang dilakarkannya sehingga Malaysia dikenali di seluruh ceruk negara-negara di dunia.

Pergilah ke mana-mana negara pun termasuk nama yang tidak pernah kita dengar, kalau kita sebut Mahathir, otomatik rakyat negara yang tidak tersohor itu menyatakan: "Oh Mahathir" (dalam bahasa atau loghat pekat negaranya).

Jadi kenapa Pak Lah hendak sisihkan Tun Mahathir?

Tidak salah kalau kita belajar dari bekas bos kita. Sebelum kita memegang jawatannya, kita sanjung dan puja bos kita, tetapi kenapa jika mengambil tempatnya dan dia sudah tidak lagi memegang jawatan itu, kita harus sisih dan membelakangkan setiap idea dia?

Ini yang menyebabkan UMNO sentiasa berada dalam krisis. Sikap tidak mahu mendengar pandangan orang lain menyebabkan UMNO sentiasa berada diambang perpecahan dan tidak pernah aman.

Kemasukan pemimpin-pemimpin baru yang langsung tidak ada semangat perjuangan, terlalu mentah dalam politik dibenarkan untuk menerajui parti di peringkat bahagian, negeri dan negara tanpa ditapis.

Apabila seseorang yang kurang mahir diberi tanggungjawab menerajui parti, maka perpecahan dan kehancuranlah yang terjadi. Inilah yang ditegur oleh kebanyakan orang luar termasuk Tun Mahathir.

Mereka menegur bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk masa depan parti, bangsa Melayu, agama dan negara. Mereka tidak mahu nanti Melayu akan menjadi kaum minoriti di negara sendiri. Negara Tanah Melayu.