MANZAIDI
Penyunting Edisi Utara
Cadangan tender: Siapa menghina siapa
AHLI Majlis Tertinggi UMNO (MT), Datuk Seri Dr Rais Yatim dikatakan telah menghina parti apabila mencadangkan agar semua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan secara ‘tender’ pada musim pemilihan akan datang.
Beliau mengemukakan cadangan itu setelah mendapati UMNO kini dalam keadaan bahaya dan akan musnah bila-bila masa jika tiada usaha diambil untuk mengekang gejala politik wang. Kebimbangannya itu pernah disuarakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini, tetapi dipandang sepi.
Sehingga kini, hanya Menteri Luar itu yang berani mengemukakan cadangan. Tetapi diperlekehkan. Cadangan itu dikatakan menghina parti. Pemimpin lain nampaknya menyepi diri. Mungkin takut cadangan atau pandangan mereka dibidas secara melampau.
Ada juga yang mengambil sikap tunggu dan lihat atau menunggu reaksi daripada ketua terlebih dahulu, sebelum bangkit dengan pandangan dan formula masing-masing.
Seharusnya, setiap cadangan pemimpin yang berkaitan usaha hendak menghapuskan amalan politik wang diambil positif. Bukan merendah-rendah atau mempersendakannya. Ini akan memburukkan lagi keadaan dan seolah-olah membenarkan politik wang diamalkan.
Niat Dr Rais jujur. Beliau antara pemimpin yang dilihat sebagai bimbang dengan amalan politik wang sejak mutakhir ini dan seakan menjadi darah daging atau kemestian kepada calon bertanding (tidak semua calon).
Bagaimanapun, bidasan berbisa bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dua hari lalu, secara tidak langsung telah melunturkan semangat pemimpin lain yang bersedia dengan pandangan dan cadangan masing-masing.
Sama ada Shahidan bergurau atau sebaliknya, dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada media, menganggap saranan Dr Rais itu sebagai menghina UMNO.
Tentu Dr Rais rasa terhina apabila Shahidan dilaporkan pula berkata, "jika beliau diminta menilai Dr Rais secara tender, maka nilai yang akan diberikan kepadanya hanya RM1."
Apa motif Shahidan berkata demikian kepada Dr Rais. Pada mulanya saya menganggap Shahidan tidak berkata begitu. Mungkin wartawan tersalah dengar. Tetapi setelah meneliti beberapa akhbar lain, ternyata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu tidak tersilap.
Beliau secara sinis menyatakan, gejala politik wang tidak akan dihapuskan melalui sistem tender kerana akan menenggelamkan amalan demokrasi. Katanya, kalau marah kepada politik wang, jangan sampai nak adakan sistem tender dalam UMNO.
Jika dibandingkan cadangan Dr Rais dengan kenyataan Shahidan, siapa menghina siapa. Banyak lagi alasan lain yang boleh digunakan Shahidan jika tidak bersetuju dengan cadangan itu. Lagipun maksud Dr Rais adalah jelas. Tiada kaitan dengan pemimpin berwang membiayai mesyuarat rasmi parti.
Yang dimaksudkan Dr Rais, ada pemimpin atau calon bertanding menyogok sejumlah wang kepada perwakilan agar memberi undi kepadanya. Itu yang berlaku di setiap bahagian, negeri dan pusat. Sedangkan kalau dinilai secara fizikal atau mental, calon berkenaan langsung tidak layak menang kerana tidak ada ketokohan kepimpinan.
Tetapi calon itu menang besar. Sebab dia menggunakan wang untuk membeli undi, bukan memancing undi. Itu yang berlaku dalam kebanyakan UMNO cawangan di beberapa negeri. Mesyuarat cawangan diadakan secara ‘bungkus’.
Ahli tidak dipanggil menghadiri mesyuarat. Tiba-tiba dimaklumkan mesyuarat sudah selesai dan memilih si polan sebagai calon merebut jawatan sekian-sekian. Ini yang menimbulkan huru-hara dalam parti.
Di Pasir Mas, contohnya, beberapa perwakilan mengakui menerima telefon bimbit percuma daripada seorang calon yang kaya raya. Mereka memaklumkan, ketika calon berkenaan menyerahkan 'sagu hati' itu, dia ada berbisik “undi saya” ke telinga penerima.
Itu yang dikatakan politik wang, bukan membiayai mesyuarat disifatkan sebagai politik wang. Tidak ada dalam mana-mana perlembagaan parti melarang pemimpin membiayai mesyuarat rasmi parti, kecuali jika pemimpin itu mempunyai niat membeli undi. Itu dianggap salah.
Shahidan harus faham, dan saya pun yakin beliau bukan tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Dr Rais. Mungkin juga Shahidan hendak mencari publisiti, walaupun dia sudah menarik diri daripada hasratnya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.
Politik wang berlaku dalam semua parti. Baik UMNO mahupun Pas. Bahkan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) pun berlaku amalan itu.
Cuma hendak mensabitkan kesalahan atau membuktikan seseorang itu mengamalkan politik wang agak sukar kerana mereka yang memberi bijak beralasan (menafikan), walaupun yang menerima membuat pengakuan disogokkan sejumlah wang bagi tujuan memberi undi kepadanya. - Sekilas Pandang siaran 25hb Oktober 2008 N6.
Sabtu, 25 Oktober 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan