Nasib Khairy, rezeki Mukhriz
SEORANG rakan menghubungi saya bertanyakan perkembangan terkini persidangan Pergerakan Pemuda UMNO di peringkat bahagian dan negeri di seluruh negara.
Saya kata kepadanya, semuanya ok. Berjalan lancar. Tidak ada kejadian tumbuk menumbuk. kecuali ada sikit-sikit unsur cah keting.
Rakan itu bertanya lagi, kenapa Khairy Jamaluddin yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO belum cukup pencalonan, sedangkan beliau antara pemimpin sayap kanan parti yang paling popular, tersohor dan berpengaruh sebelum ini?
Katanya, mengikut senario semasa ketika itu, Khairy seolah-olah akan menang tanpa bertanding jawatan nombor satu Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berbanding pencabarnya, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo.
Bagaimanapun, menurut rakan itu lagi, sebaliknya pula berlaku apabila keputusan yang direkodkan sehingga kini menunjukkan Khairy belum lagi melepasi jumlah pencalonan ditetapkan, manakala pencabarnya, Mukhriz yang sebelum ini disindir dan dikecam hebat oleh barisan kepemimpinan Pemuda peringkat negeri dan bahagian telah melepasi kuota.
Saya kata, dalam parti, hal-hal demikian adalah biasa. Kalau tidak ada perkara luar biasa dalam parti, itu bukan politik namanya. Semuanya tidak terjangka dan terduga.
Hari ini kita disanjung, dipuja, dipuji, diangkat dan diampu, esok belum tentu kita diagung-agungkan seperti itu lagi.
Kehidupannya sama seperti 'congek cakdong' atau jongkang-jongkit. Sekejap di atas, sekejap di bawah.
Begitulah nasib Khairy atau pemimpin-pemimpin yang menumpang tuah orang lain. Ini bahaya. Ketika orang itu ada kuasa, kita dengan mudah diangkat naik dari paras bumi ke tingkat 50 dalam sekelip mata.
Sekarang, bila orang yang kita bergantung harap itu sudah hilang kuasa, dalam sekelip mata juga kita boleh jatuh.
Apabila sudah jatuh, jangan harap kita hendak mendapat sokongan atau mendengar kata-kata semangat berbaur ampu atau bersifat puji-pujian lagi, kerana ia juga turut hilang dalam sekelip mata.
Namun, Khairy dan Mukhriz iaitu dua pemimpin berwibawa dan berwawasan ini tidak semudah itu boleh diperkotak-katikkan. Mereka tentu arif dengan mainan politik anak buah.
Sebab itu perlu diingatkan, dalam kita menerima puji-pujian melangit, jangan sampai kita lupa diri, bangga diri dan hidung tinggi.
Kita harus sentiasa ingat bumi tempat kita pijak, langit tempat kita junjung.
Walaupun pihak musuh menyatakan 'saham' Khairy merudum kerana bapa mertuanya bakal kehilangan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, tetapi sehingga laporan ini ditulis, ia ditutup bercampur-campur. Maknanya, ada juga yang berminat membeli 'saham' itu, walaupun tidak seratus peratus berbanding sebelumnya.
Namun, saya bersetuju kalau ada suara-suara menyatakan majoriti daripada pemimpin UMNO sekarang adalah dalam kalangan mereka yang tidak ada pendirian atau dengan kata lebih mudah, hipokrit dan retorik.
Sudah lama saya menyedari senario itu. Mereka adalah dari golongan ikut musim atau ikut keadaan. Siapa yang mereka rasakan kuat, ada pengaruh dan kuasa, pemimpin itu yang mereka sokong, dukung, pikul dan ampu.
UMNO dalam keadaan bahaya jika tiada usaha dilakukan untuk membersihkan parti itu daripada virus berkenaan. Sudah sampai masanya UMNO melakukan anjakan paradigma atau perubahan di peringkat dalaman dan luaran.
Buang yang berjiwa kewangan, tamak projek dan kepentingan diri. Ganti kepada yang berjiwa perjuangan, mementingkan agama, bangsa dan negara. (Siaran 18 Okt 2008)
Sabtu, 18 Oktober 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan