SAYA bersetuju kalau ada suara-suara menyatakan majoriti daripada pemimpin UMNO sekarang adalah dalam kalangan mereka yang tidak ada pendirian, atau dengan kata lebih mudah, hipokrit dan retorik.
Sudah lama saya menyedari senario itu, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa melainkan mampu mengeleng kepala dan mengeluh melihat setiap keletah, feel dan perangai mereka.
Mereka ini kebanyakannya adalah dari spesies IKUT MUSIM atau IKUT KEADAAN. Siapa yang mereka rasakan kuat, ada pengaruh dan kuasa, pemimpin itu yang mereka sokong, dukung, pikul, jilat punggung, cium tangan dan ampu sampai ke bulan.
Kalau disuruh hidu kentut pemimpin berkenaan pun mereka sanggup dan kata wangi. Apatah lagi, kalau disuruh mencium punggung pemimpin itu. Malah, apa saja disuruh, mereka sanggup.
Lagaknya tidak ubah seperti pasangan yang sedang mabuk bercinta. Lautan api sanggup direnangi, apatahi lagi kalau girlfriend suruh panjat gunung berapi. Tidak ditolaknya.
Begitulah halnya dengan kebanyakan pemimpin UMNO. Rakan yang dicaci, dikeji, dimaki dan dituduh bukan-bukan selama ini tiba-tiba diangkat sebagai kawan. Inilah yang jelas nampak berlaku antara Datuk Mukhriz Mahathir dengan Khairy Pak Lah.
Sebelum ini iaitu sebelum Pak Lah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO, rata-rata pemimpin UMNO terutama dari sayap Pemuda memuja, memuji dan membuat kenyataan memberi sokongan kepada Khairy yang menyatakan hasrat bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Pada masa sama, Datuk Mukhriz pun menyatakan hasrat itu. Hendak bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Itu baru menyatakan hasrat, dia belum mengumumkan lagi, tetapi sudah kedengaran suara-suara termasuk kenyataan rasmi dalam akhbar daripada pemimpin Pemuda bersifat mengecam, memperlekeh dan mempersendakan hasrat Mukhriz.
Semua pemimpin Pemuda di seluruh negara sudah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Khairy. Malah, tidak sedikit memberi nasihat kepada Mukhriz agar melupakan sahaja hasrat itu.
Tidak cukup dengan itu, ada juga dalam kalangan mereka menuduh Mukhriz tidak layak bertanding jawatan nombor satu sayap Pemuda kerana selalu menentang arus dan mengkritik pentadbiran Pak Lah.
Takut rasanya mendengar komen dan kenyataan yang berpihak kepada Khairy, memperlekehkan Mukhriz. Sehingga saya membuat kesimpulan, harapan Mukhriz untuk mendapat jumlah pencalonan agak tipis dan tentunya Khairy akan menang besar, atau setidak-tidaknya menang tanpa bertanding.
Itulah tanggapan saya dan pemerhatian saya kepada perkembangan politik UMNO. Saya tidak berminat untuk mengambil tahu kisah dalaman parti MIC, MCA dan PPP kerana kemelut yang berlaku dalam parti berkenaan tidak sehangat dan sepanas UMNO.
Pemimpin parti itu tidak segila-gila pemimpin UMNO. Cina bergaduh akan bersatu, MIC berbalah akan bercantum, PPP bertengkar akan bertaut, tetapi UMNO bercakaran membawa rebah.
Kenapa boleh berlaku begitu? Kerana gila kuasalah. Mereka kan suka kepada pemimpin yang ada kuasa. Begitu juga mereka suka menjatuhkan pemimpin yang lemah. Tetapi, mereka akan cepat-cepat mengangkat pemimpin yang dijatuhkan itu jika mereka dapat menghidu pemimpin itu bakal memiliki kuasa suatu hari nanti.
Begitulah yang berlaku antara Mukhriz dan Khairy. Setelah Pak Lah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO Mac tahun depan, sepantas kilat itu juga sokongan yang dihamburkan kepada Khairy tiba-tiba beralih kepada Mukhriz.
Mereka tahu, jika Pak Lah tidak mempertahankan jawatan Presiden, manakan mungkin Pak Lah akan dapat mengekalkan jawatan Perdana Menteri pada masa akan datang. Dengan itu juga, secara otomatik, kuasa yang ada atau dimiliki oleh Khairy mula hilang. Jadi, siapalah Khairy selepas ini.
Sebab itu, dengan muka tidak malu, mereka terus sahaja memberi sokongan kepada Mukhriz. Bermacam-macamlah kata-kata yang berbentuk puji-pujian diberikan kepada Mukhriz, seolah-olah pemimpin itu tidak pernah membuat salah selama ini.
Dalam sekelip mata sahaja mereka sudah lupa caci nista yang dilontarkan kepada Mukhriz sebelum ini. Malah ayah Mukhriz, Tun Dr Mahathir pun dikecam dan dihinanya. Seolah orang tua itu tidak pernah membuat jasa kepada negara, agama dan bangsa.
Mereka sanggup menjadi penderhaka kepada bekas pemimpin terdahulu hanya kerana ketika itu mereka buta mata hati dan kiblat mereka ialah kepada Khairy iaitu menantu Pak Lah yang ketika itu mempunyai kuasa lebih hebat daripada Power Ranger atau Dragon Ball.
Sekarang, tiba-tiba sahaja yang dicela dan dicaci disanjung. Yang dipuji dan dipuja dibuang. Begitulah dua nasib berbeza yang dialami oleh Mukhriz dan Khairy.
Dalam mesyuarat perwakilan di peringkat Pemuda UMNO Bahagian di seluruh negara ketika ini, undi terbanyak mula berpihak kepada Mukhriz, bukan Khairy lagi. Sehingga kini, Mukhriz sudah mendapat 39 pencalonan iaitu yang melayakkan dia untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda.
Khairy dan seorang lagi calon, Datuk Seri Mohd Khir Toyo masih berputih mata ke sana ke mari melobi perwakilan untuk mendapatkan jumlah pencalonan bagi melayakkan mereka bertanding.
Sepatutnya, berdasarkan sokongan yang diberikan kepada Khairy, ketika bapa mentuanya belum mengumumkan keputusan tidak mempertahankan jawatan Presiden, Khairy sudah mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi, malah terlebih jumlah, tetapi sebaliknya pula berlaku.
Yang mencukupi sehingga hari ini ialah Mukhriz, bukan Khairy. Begitulah senario politik Malaysia hari ini. Segala-galanya mungkin berlaku. Hari ini kita di atas, esok jatuh terpenyek.
Kelmarin kita rebah, hari ini diangkat dan diampu. Semuanya tidak terduga belaka. Selagi UMNO mempunyai pemimpin dari jenis tidak berpendirian, selagi itu UMNO tidak akan tenang dan aman.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
1 ulasan:
saya suka ulasan ni.
Catat Ulasan