Khamis, 20 November 2008

Kisah saya dengan Ayah Pin

Lokasi Ayah Pin dikesan.
Itulah tajuk berita yang dipaparkan dalam semua akhbar di negara ini. Apa motif dan tujuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kenyataan itu kepada media.

Adakah dia mahu Ayah Pin atau pengikutnya membaca berita itu, kemudian cepat-cepat melarikan diri ke tempat lain yang lebih selamat atau lebih jauh daripada pemerhatian pihak berkuasa jabatan agama.

Atau adakah dia hendak memberitahu Ayah Pin, tempat persembunyiannya berjaya dikesan dan tangkapan akan dilakukan bila-bila masa?

Di sini timbul persoalan dan tanda tanya. Kenapa pihak berkuasa jabatan agama tidak terus saja menangkap Ayah Pin, kemudian barulah menteri itu membuat kenyataan yang Ayah Pin sudah ditangkap?

Membuat kenyataan media lebih awal daripada tangkapan, menunjukkan pihak berkuasa jabatan agama tidak serius menangani ajaran sesat di negara ini. Sehingga berita ini ditulis, sudah tiga setengah tahun Ayah Pin masih bebas. Tiada sebarang tangkapan dibuat.

Dalam tempoh itu, sekurang-kurangnya lima orang yang mukanya hampir sama dengan Ayah Pin telah ditahan untuk soal siasat. Penahanan mereka ini mendapat publisiti murahan.

Saya masih ingat satu malam pada September 2005, saya bersama empat Detektif Polis (SB) sedang menikmati satay Mat Yie di Kota Kubang Labu. Sedang asyik makan sambil berbual-bual, tiba-tiba telefon bimbit keempat-empat detektif itu berbunyi selang beberapa saat antara satu sama lain.

Tidak sampai 30 saat menjawab panggilan itu, keempat-empat sahabat saya itu bergegas dengan motosikal dan terus hilang dalam arah yang sama. Tinggallah saya terkontang kanting seorang diri dalam kebinggungan.

Siapa hendak habiskan empat gelas teh tarik dan sepinggan besar satay yang baru tujuh atau 10 mocok (cucuk) baru dimakan itu? Saya sendiri pesan teh tarik gelas besar. Tangki perut saya bukan jenis 1,500 cc boleh habiskan empat gelas teh tarik yang semuanya masih panas dan baru sikit dihirup.

Nak tak nak, saya panggil Mat Yie supaya datang ke meja saya untuk teman berbual. Malangnya, Mat Yie ketika tu sibuk melayan pelanggan. Termanggu saya seorang diri mengenangkan nasib dan memikirkan sepinggan besar satay.

Memang hajat nak minta Mat Yie bungkus, tetapi nak beri kepada siapa? Keluarga jauh. Ah! apa nak susah (renggus hati saya). Aku tunggulah dalam sejam lagi kat sini. Mana tau malaun-malaun tu datang pula lepas habis tugasannya.

Bukan sejam saya menunggu. Tempoh ditetapkan sudah mencecah ke dua jam. Punggung sudah kematu. Bilangan satay pun tinggal separuh saja lagi. Perut dah mula sekok. Loya dan pening sebab tak sedar empat gelas teh tarik malaun-malaun tu saya telah habiskan.

Akhirnya, tika saya bangun hendak menarik dompet di poket belakang, tiba-tiba sampailah malaun-malaun tu dan duduk di kerusi masing-masing. Ada yang tanya saya, "dah nak balik ke? Nantila dulu... jangan balik lagi, ada cerita besar ni,".

Mendengar kata-kata itu saya sambung duduk semula dan mengeluarkan sebatang rokok. Entah ke berapa belas batang dah tu. Mat Yie datang minta order. Mereka pesan lagi teh tarik.

"Kawe minta maaf... gi tangkap Ayah Pin," katanya. Saya terkejut dan pada masa sama hati saya gembira kerana saya akan dapat berita eksklusif. Tanpa usul periksa saya hubungi ketua saya. Ketika itu jam dah 1.30 pagi. Panggilan tidak dijawab. Saya faham sebab malam itu adalah malam Jumaat. Kata suami2 perantau, "malam permintaan kaum ibu (isteri)."

"Kalau kau nak maklumat, kau hubungi OCPD. Ayah Pin ada di balai dot dot dot sekarang ni.

"Kau confirm ke yang kau tangkap tu Ayah Pin?" tanya saya nak kepastian.

"Betul. Ni gambarnya.." jawab seorang malaun sambil menunjukkan gambar yang dirakamkan melalui telefon bimbitnya.

"Ya... betullah Ayah Pin," kata saya terkejut dan teruja kerana saya adalah wartawan pertama dapat melihat Ayah Pin ditangkap (sebab malaun tu setuju nak bagi gambar yang dia tangkap tu kepada saya.

Keesokkan hari, pagi-pagi lagi saya hubungi Tuan OCPD minta pengesahan penangkapan Ayah Pin malam tadi. Tuan OCPD beri kerjasama. Dia kata memang ada seorang lelaki ditangkap malam tadi, tetapi belum dapat mengesahkan sama ada lelaki itu Ayah Pin.

Di pejabat, saya melaksanakan tugas saya sebagai wartawan yang boleh dikatakan cukup ditakuti atau digeruni oleh rakan-rakan sejawatan dalam media lain di Kelantan. Sebab saya selalu dapat berita eksklusif dan berjaya skop mereka.

Prinsip saya mudah saja, kerja adalah kerja, kawan adalah kawan. Kita perlu profesional dalam bab kawan dan kerja. Walau baik dan pernah tidur sebantal sekali pun, kalau berita itu eksklusif, kawan harus faham.

Esoknya di muka depan Berita Harian dan Metro terpapar gambar Ayah Pin sedang makan nasi ayam, ditangkap. Gambar yang terbaik saya dapat daripada malaun-malaun. Rupanya, mereka meninggalkan saya malam tu kerana dapat maklumat Ayah Pin sedang makan nasi ayam di sebuah kedai yang jaraknya kira-kira 100 meter dari kedai saya makan satay malam tu.

Tapi kerana malaun-malaun tu menggunakan lorong sempit, saya tidak tahu pun mereka bergegas ke kedai nasi ayam itu untuk membuat intipan dan sekali gus menangkap Ayah Pin.

Saya bangga amat sangat. Banyak pujian dilontarkan. Saya buat dono jer...kembang kempislah lubang hidung dengar pujian tu. Tengah hari tu saya makan nasi free. Ketua saya belanja, kerana dapat siarkan berita eksklusif. Padahal tika tu saya menerima banyak panggilan dari kawan-kawan sejawatan. Mereka marah dan bising-bising. Mereka saya tak boleh dijadikan kawan kerana tidak maklumkan kepada mereka saya dapat berita Ayah Pin ditangkap.

Timbul rasa sedih juga, sebab ada sebab mereka marah saya. Sebabnya mereka sudah ditengking dan diherdik oleh ketua masing-masing kerana tidak dapat berita penangkapan Ayah Pin.

Sebagai peringatan kepada rakan-rakan wartawan: Kalau ketua kita sedang marah, jangan sekali-kali menjampuk atau beri alasan. Nanti tidak pasal-pasal perkataan kurang enak didengar dihamburkan. Hah!...baru padan muka kita. Hahahaha...itulah petuanya.

Selang jam 5 petang, seorang daripada malaun-malaun saya hubungi saya. Suaranya macam ada nada frust. Saya dah tak sedap hati. Manalah tahu takut-takut gaduh dengan isteri dan isteri tidak benarkan dia balik rumah malam ni.

Saya tanyalah kenapa sedih ni. Kalau tak boleh balik rumah, saya sedia tumpangkan dia di rumah sewa saya sementara isterinya sejuk. Serta merta dia menyumpah-yumpah saya. Lahabau la mu Zaidi. Aku bukan gaduh dengan bini. Ni!! aku nak bagtau kau, mamat yang kita orang tangkap semalam tu bukan Ayah Pin la.

Singggggggggggg!!! berdesing telinga saya. Gelap rasanya. Bilik yang saya duduk tu ada ekon rasa seperti bara api. Saya tanyalah malaun tu. Kalau bukan Ayah Pin, siapa lelaki tu? Mukanya memang sebiji macam Ayah Pin.

Malaun: "Di, lelaki tu adalah tauke nasi ayam lah. Kedai yang aku serbu tu kedai dialah.

Aku: "Habis tu, kalau kerja berbelas tahun sebagai malaun, takkan kau tak kenal tauke kedai tu. Mustahil kau tak penah tengok mukanya...

Malaun: "Kedai tu memang kepunyaan lelaki tu dan aku memang tak penah tengok mukanya sebab dia banyak habis masa di KL dan Johor urus kedai nasi ayamnya. Kedai dia kat sini tu adalah cawangan kelima.

Aku: "Habis tu macamana? Surat khabar aku dah keluar besar-besar cerita dan gambar Ayah Pin ditangkap?

Malaun: "Baik kau hubungi OCPD aku sekarang. Dia sedang cari kau tu.

Aku: "Kenapa cari aku? Semalam bila aku call, dia mengesahkan lelaki tu Ayah Pin.

Malaun: "Memanglah, siapa-siapa tengok muka mamat tu sekali pun memang sangkakan dia tu Ayah Pin. Adusss... malu la Di.

Aku: Ah.., apa nak dimalukan. OCPD kau yang buat statement tu, biar dialah tanggung. Takkan dia tak ada alasan?

Akhir cerita, laporan penangkapan Ayah Pin yang media laporkan itu adalah yang kelima 'Ayah Pin' ditangkap. Sedangkan Ayah Pin pencipta kerajaan langit masih lepas bebas sehingga kini.

Dan hari ini kerajaan memberitahu rakyat, mereka sudah dapat kesan lokasi persembunyian Ayah Pin dan tangkapan akan dilakukan bila-bila masa.

Sebagai orang yang pernah berdepan dengan pengalaman lalu, saya mengambil sikap berhati-hati. Cuma saya membuat tekaan, siapalah mangsa keenam puak malaun kali ini.

Selasa, 18 November 2008

Antara kepercayaan, amanah dan tanggungjawab

Saya telah diberi kepercayaan besar oleh syarikat untuk mengendalikan bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian selama tiga hari dari Rabu, Khamis dan Jumaat (19, 20 dan 21 Nov 08).

Setelah menerima surat jemputan rasmi daripada syarikat hari ini, saya menganggap pemilihan saya untuk mengendalikan bengkel itu sebagai amanah dan tanggungjawab amat besar syarikat letakkan atas bahu saya.

Pada masa sama, saya bangga kerana tidak sia-sia pengalaman yang saya ada hasil menimbanya selama 24 tahun dalam dunia kewartawanan dapat dicurah dan dikongsikan dengan rakan-rakan tidak sejawatan dan sejawatan.

Antara peserta bengkel yang saya kendalikan atau sebagai tenaga pengajar itu ialah Editor, Penolong Editor, Senior Sub-Editor, Sud-Editor Muda, Sub-Editor Kadet, Ketua Wartawan, Penolong Ketua Wartawan dan Wartawan Kanan dari tujuh edisi iaitu Edisi Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Comm (Nasional), Melaka/Negeri Sembilan dan Utara (Pulau Pinang, Perlis dan Kedah).

Harapan saya pada bengkel ini ialah KEJAYAAN. Insya-Allah.

Isnin, 17 November 2008

Muak dengan politik Melayu

"SAYA dah muak baca berita pasal politik wang, boleh tak Sinar Harian jangan siar lagi?"

Itu antara SMS yang saya terima daripada seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai MUAK, kuala Selangor.

Selepas membacanya, saya tersenyum. Saya tak tau nak komen apa lagi pasal politik wang yang semakin teruk dan parah berlaku dalam UMNO iaitu parti terbesar membela orang Melayu.

Saya tertanya-tanya, betulkah UMNO ni parti membela orang Melayu? Kalau betul, kenapa Melayu masih mundur dan ramai yang miskin serta hidup melata tanpa arah tuju?

Apa pemimpin UMNO buat sejak 62 tahun parti itu ditubuhkan. Sepatutnya dalam tempoh itu, orang Melayu sudah maju, berani dan terkehadapan, tetapi apa yang berlaku, Melayu masih mundur dan hendak kembali ke zaman batu.

Yang gege riuh nak berbogel dalam sehari dua ni orang Melayulah. Melayu yang arwah Hang Tuah kata, "Jangan Melayu hilang di dunia" tu. Melayu tu dan Melayu nilah yang nak berbogel, kononnya kerana tidak puas hati dengan tindakan kerajaan Selangor nak menaikkan harga sewa rumah bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) baru-baru ini.

Tindakan yang sama bodoh. Melayu nak berbogel pun bodoh, Melayu yang nak tindas rakyat Melayu miskin pun bodoh. Macam tidak ada kaedah lain nak bantah dan nak kutip duit rakyat.

Sebagai Melayu Islam, mereka harus hormat kepada agama. Tidak mahu hormat pada maruah diri, sekurang-kurangnya hormatlah pada agama suci Islam. Islam menganjurkan umatnya menutup aurat, tetapi ada Melayu Islam nak berbogel depan khalayak. Tidakkah itu bodoh.

Yang kerajaan negeri pula, dah tau rakyat yang tinggal di PPR tu majoritinya miskin, tiba-tiba nak naikkan kadar sewa sehingga sekali ganda, apa tujuan dan motifnya? Kalau hendak tolong Melayu buat cara nak tolong Melayu. Jangan anak beruk di hutan di susukan, anak sendiri kelaparan. Ini lagi bodoh.

Islam tidak menganjurkan umatNya menindas yang miskin. Sepatutnya yang dilantik khalifah mesti mencari jalan untuk meringankan beban rakyat. Bukan memberatkan lagi beban mereka.

Inilah yang dikatakan Melayu bukan sahaja mudah lupa, tetapi leka, alpa dan celupar. Saya sendiri pening.

Berbalik kepada politik wang (ini asal tuju saya nak tuliskan - tapi dah terlanjur ke isu lain).

Politik wang dalam UMNO sebenarnya berlaku. Kalau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz nak bukti, dia boleh dapatkan daripada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithaudeen. Banyak ada bukti. 900 kes dilaporkan. Nak kambus Nazri pun boleh dengan jumlah kes tu.

Nazri tidak perlu menderhaka kepada bes ketuanya, Tun Dr Mahathir. Dia sepatutnya memberi sokongan kepada Tun kerana apa yang Tun kata atau komen mengenai amalan politik wang dalam UMNO adalah betul.

Tun lebih dahulu makan lada daripada Nazri. Jadi tak perlulah Nazri nak biadab dengan Tun. Dia patut hormat Tun kerana Tun yang menaikkan dia dalam barisan Kabinet dan parti amnya. Inilah yang dikatakan, lupa daratan.

Manusia memang mudah lupa gembala. Macam anjing. Tika tersepit, moyok minta dilepaskan, bila dilepaskan terus gigit. Saya benci pemimpin seperti ini. Terus terang saya katakan, saya amat benci pemimpin seperti itu. Majoriti yang ada sekarang seperti itu termasuk di Kelantan dan seluruh negara.

Stop kat sini dulu...

Al-Fatihah

Sedih:
Pagi ini (16hb Nov 08), ketika saya tengah mamai (masih tidur), saya menerima panggilan daripada adik menyatakan sepupu saya meninggal dunia. Allahyarhamah Rohani Abdullah (Ani Pak Su Lah), 50-an yang tinggal di Lorong Rogayah Pasir Mas kembali ke rahmatullah pada jam 8.40 pagi tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas iaitu kubur yang menempatkan seluruh ahli keluarga bagi pihak ayah. Suami Allahyarhamah, Arwah cikgu Zain juga telah meninggal dunia hampir setahun lalu dan dikebumikan di tanah perkuburan itu.
Bagaimanapun, saya tidak dapat pulang untuk bersama-sama ahli keluarga meratapi pemergian waris tersayang. Apapun, saya doakan semoga roh arwah ditempatkan bersama-sama orang beriman dan semoga dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Jumaat, 14 November 2008

Sekilas Pandang

Ex-gratia, dengan rakyat pun hendak berahsia

PEMBERIAN jumlah ex-gratia kepada enam hakim kanan termasuk mantan Ketua Hakim Negara sudah terjawab.

Walaupun pada dasarnya kerajaan bersetuju merahsiakan jumlah RM itu daripada pengetahuan rakyat, tetapi sekarang tidak menjadi rahsia lagi sebab pemberian itu tidak tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim yang berjanji kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk merahsiakan jumlah itu terpaksa menerima hakikat hak rakyat perlu dimaklumkan kepada rakyat.

Persoalannya, kenapa dia hendak merahsiakan jumlah itu daripada rakyat. Kalau rakyat tahu sekali pun, apa sangat rakyat boleh buat? Rakyat hendak membantah? Sejauh mana kesannya. Hanya sekadar seperti anjing menyalak bukit sahajalah.

Sebetulnya Zaid harus tahu, selepas kerajaan bersetuju memberikan pampasan (ex-gratia) kepada enam hakim kanan itu, rakyat reda dan akur. Tetapi apabila dia enggan mendedahkan jumlahnya, rakyat memendam rasa.

Rakyat terasa hati dengan tindakan kerajaan kerana setiap hari, minggu, bulan dan tahun mereka membayar cukai. Mereka berhak tahu ke mana wang yang diamanahkan itu diguna dan disalurkan.

Sekian lama rakyat membuat andaian sendiri berapa ringgit setiap hakim kanan itu menerima pampasan, yang menurut mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mereka dipecat setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kira-kira 20 tahun lalu.

Kalau dipecat kenapa perlu diberi pencen. Kalau pampasan memang logik sebab itu adalah imbuhan sebagai mengenang jasa mereka.

Tetapi kalau diberi pencen, rakyat akan bertanya, begitukah dasar kerajaan terhadap penjawat awam yang dikenakan tindakan sehingga membawa kepada perlucutan jawatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazri Aziz ketika memberitahu Dewan Rakyat beberapa hari lalu menjelaskan semua enam hakim kanan itu tidak dipecat, tetapi diminta bersara awal.

Bagaimanapun, Khamis lalu beliau memohon maaf dan membetulkan kenyataannya dengan mendakwa, enam hakim kanan itu bukan diminta bersara awal, sebaliknya dipecat. Dan jumlah ex-gratia yang diberikan kerajaan kepada mereka berjumlah kira-kira RM10.5 juta.

Daripada jumlah itu, katanya, RM5 juta dibayar kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, manakala Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri George Edward Seah Kim Seng masing-masing RM2 juta, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Suleiman Pawanteh dan Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer pula masing-masing mendapat RM500,000.

Selain ex-gratia, mereka juga menerima bayaran pencen antara RM4,000 hingga RM6,000 sebulan.

Saya percaya, kalau Zaid masih dalam kerajaan, beliau tentu menghalang rakan sejawatannya itu daripada berbuat demikian (mendedahkannya), kerana dia sudah berjanji kepada Pak Lah dan hakim berkenaan untuk merahsiakannya.

Kenapa kerajaan perlu merahsiakan daripada rakyat? Kalau duit itu daripada poket Zaid memang wajarlah, tetapi RM10.5 juta itu adalah duit rakyat.

Tidak wajar setiap penggunaan atau pengaliran wang rakyat dirahsiakan. Rakyat ada hak mengetahuinya ke mana dan apa duit mereka digunakan.

Apa rasionalnya Zaid mahu merahsiakan jumlah ex-gratia itu kepada rakyat sehingga menimbulkan tanda tanya kenapa penjawat awam yang dipecat diberi pencen.

Memang wajar Zaid kecewa, sebab sekurang-kurangnya dia dapat merasai sebagaimana rakyat rasai sikapnya sebelum ini. (Siaran 15hb November 2008)

Rabu, 12 November 2008

Supian Wood mengamuk...





Aksi juara golf dari Johor. Sdr Supian Wood.

Berita dari seberang...

Radar Bojonegoro [ Rabu, 12 November 2008 ]
Amrozi Angkat Image Lamongan Karena Eksekusi dan Pemakaman Berjalan Tenang

LAMONGAN - Pelaksanaan eksekusi sekaligus pemakaman jenazah Amrozi dan Ali Ghufron alias Mukhlas, dua di antara tiga terpidana mati kasus bom Bali I asal Lamongan membuat image Lamongan terangkat. Sebab, proses itu berlangsung tenang.

Pernyataan tersebut disampaikan pakar marketing internasional Hermawan Kartajaya saat menjadi pembicara dalam workshop soal branding dan marketing di Ruang Sasana Nayaka Pemkab Lamongan kemarin (11/11).

"Image positif tersebut terjadi karena pelaksanaan eksekusi dan pemakamannya berlangsung dengan tenang dan tidak ada gejolak yang berarti," kata pria yang juga ketua asosiasi marketing dunia itu.

Menurut direktur MarkPlus Institute of Marketing itu, menjaga image untuk Lamongan sebenarnya cukup sulit. Sebab, Kota Soto ini ter-image negatif dengan adanya pelaku kasus bom Bali I yang asal Lamongan tersebut. Juga, karena kultur masyarakatnya yang konservatif.

"Sehingga tugas pak Masfuk sebagai bupati Lamongan sangat berat untuk menjaga image Lamongan. Tapi, beliau bisa menjalankan tugasnya itu dengan baik, sehingga investor tetap mengalir ke Lamongan," katanya.

Faktor lainnya, lanjut dia, menyangkut kekompakan antara eksekutif dan legislatif setempat.

Menurut Hermawan, atas pertimbangan tersebut dirinya bersama dewan juri pemilihan bupati terbaik dalam Regional Trade, Tourism and Investment (RTTI) Award 2008 memilih Masfuk sebagai pemenangnya.

"Karena tantangan di Lamongan cukup berat tapi berhasil dalam bidang trade (perdagangan), tourism (pariwisata) dan termasuk investment (investasi) yang merupakan bidang tersulit," ungkapnya.

Meski demikian, Hermawan menilai Lamongan masih perlu dua hal agar kemajuannya bisa semakin cepat. Yakni, branding untuk meningkatkan pencitraan daerah dan pendidikan birokrasi.

"Antara branding dan pendidikan birokrasi harus sejalan, karena birokrasi yang akan mengelola branding daerah tersebut," terangnya.

Hermawan menegaskan, keberadaan branding sangat vital untuk marketing suatu daerah atau negara. Hampir setiap negara atau daerah saat ini mempunyai branding.

"Thailand, misalnya, mengangkat branding happines on earth (bahagia di atas bumi)," katanya.

Dengan branding itu, kata dia, negara tersebut semakin mantap sebagai tujuan wisatawan dari seluruh dunia untuk bersenang-senang.

"Meski kondisi politiknya sangat labil, tidak membuat surut wisatawan dan kondisi ekonomi tetap stabil," terangnya.