Selasa, 29 Jun 2010

Biasiswa Mara: Ibrahim melulu, Khairy terlajak

Sinar Harian
Tan Melaka

Memanglah wajar bagi Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mempertahankan Ketua Pemuda MCA, Wee Ka Siong daripada tuduhan biadab yang dibuat Presiden Perkasa, Ibrahim Ali kerana beranggapan Wee telah menyentuh Hak Istimewa Orang Melayu berhubung biasiswa Mara kepada anak-anak Melayu.

Wee menjelaskan maksudnya ialah apabila biasiswa JPA dihapuskan kepada pelajar-pelajar, maka tidaklah ada lagi peluang biasiswa kepada pelajar bukan Melayu, tetapi pelajar Melayu masih ada biasiswa Mara.

Dalam hal ini, nampak Ibrahim Ali melulu dan keterlaluan dan Khairy menonjolkan sikap yang rasional, sesuai dengan usaha untuk pemupukan semangat Barisan Nasional dan 1Malaysia.

Bagaimanapun apabila Khairy mengecam Ibrahim sebagai penghalang kepada gagasan 1Malaysia dan menjalankan pendekatan politik kampung, maka terdedahlah kebenaran persepsi terhadap Ketua Pemuda UMNO itu, bahawa beliau tidak menghayati politik akar umbi UMNO dan tidak menyedari kesilapan politik Kampung Modennya (Modern Village) yang menyumbang kepada kemerosotan pengaruh dalaman dan luaran UMNO.

Khairy juga tidak membuat perhitungan politik masa depannya apabila menganggap Ibrahim tidak wajar membuat teguran itu kerana beliau bukan anggota UMNO. Khairy tidak nampak sebahagian besar daripada orang Melayu yang menyokong Perkasa sekarang ini bukan sahaja orang luar, tetapi ramai daripada ahli-ahli UMNO sendiri.

Ibrahim dapat menjadikan Perkasa saluran orang UMNO yang tidak berpuas hati dengan UMNO dan juga penyokong-penyokong UMNO yang bukan ahli UMNO untuk menyalurkan perasaan dan fikiran menerusi saluran betul dan terkawal secara konstruktif dan tidak bersifat anti UMNO, tidak boleh dinafikan.

Ini adalah suatu kejayaan yang dicapai Ibrahim, malah sumbangan yang sangat bererti kepada membina semula kepercayaan Melayu atas pagar terhadap UMNO setelah Tsunami 2008.

Harus diingatkan bahawa tidak semua yang menyokong calon UMNO atau Barisan Nasional (BN) dalam tiap pilihan raya adalah ahli UMNO, tetapi mereka yang di atas pagar yang melihat kebenaran perjuangan UMNO selama ini.

Penolakan UMNO dan BN dalam pilihan raya 2008 adalah kerana beberapa kesilapan dilakukan terhadap asas-asas kekuatan UMNO dan BN yang dibina pemimpin-pemimpin besar UMNO, terutama Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir sendiri, malah lebih buruk lagi apabila Tun Dr Mahathir cuba dibawa ke mahkamah.

Dalam beberapa hal, kegelojohan Pemuda UMNO di bawah pimpinan Khairy untuk mengambi alih kepimpinan UMNO daripada veteran UMNO tanpa mengira, sama ada mereka telah menyumbang kepada kekuatan BN atau tidak, telah memberi sumbangan besar terhadap pengikisan moral ahli-ahlinya dan juga penyokong di luar UMNO.

Khairy telah mengambil kesempatan daripada kedudukan bapa mertuanya untuk menaikkan kedudukannya dalam UMNO dan menggunakan TV3 dan NST serta lain-lain media untuk menjalankan perang saraf terhadap musuh-musuh politiknya atau pemimpin-pemimpin UMNO yang berpotensi untuk menjadi penghalang kepada cita-citanya, tidak boleh lagi dilindungi oleh sehelai lalang.

Demikianlah juga sikap pemuda UMNO dalam berusaha mengetepikan pengaruh Tun Dr Mahathir dan menyokong gerakan-gerakan untuk menggelapkan warisan kepimpinannya menerusi NST, di samping berusaha memperbaiki hubungan dengan Anwar Ibrahim yang telah disingkirkan. Sekalipun mereka yang menyokong usaha ini di NST telah disingkirkan, tetapi luka lama tetap berdarah.

Kerana tidak memahami perasaan UMNO inilah maka Khariy telah berani bertindak menghantar pasport kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk berubat keluar negara selepas dia dibebaskan yang sangkanya akan menjadikannya popular, tetapi sebaliknya menimbulkan reaksi marah terhadapnya daripada dalam UMNO sendiri.

Beliau tidak memahami perasaan orang UMNO terhadap Dr Mahathir pada masa itu dan mempunyai anggapan bahawa masih ramai penyokong Anwar dalam UMNO, dan dengan berbuat demikian akan mencemerlangkan masa depannya. Berikutan dengan itu berbagai kenyataan dan langkah terpaksa diambil bagi menenteramkan perasaan ahli-ahli UMNO.

Maka apabila Khairy tidak dapat membaca kesan daripada usaha Perkasa untuk mengembalikan sokongan ramai kepada UMNO, termasuk akibat kerosakan yang dilakukannya, malah menggagapnya sebagai menjalankan politik kampung, maka ternyatalah beliau benar-benar tidak tahu menilainya, tidak mengenalinya dan tidak menghayati politik kampung.

Tepat sekali sindiran Ibrahim, bahawa Khairy lebih memahami politik Oxford yang tidak berjejak kepada bumi Malaysia yang penonjolan amalannya telah menyebabkan rakyat kampung berasa terasing daripada Pemuda UMNO dan kepimpinan Abdullah Badawi berbanding Tun Dr Mahathir yang sekali pun fikirannya mencapai awan, tetapi kakinya tetap di bumi.

Khairy tidak memikirkan kesan politik kepada dirinya sendiri atau pendedahan sikapnya yang tidak berjejak di bumi nyata apabila beliau menyifatkan Ibrahim sebagai “jaguh politik kampung dalam zaman globalisasi, sudah lapuk dan sudah tidak laku lagi”

Hal ini menyerlahkan kebenaran, bahawa penolakan ramai termasuk ahli-ahli UMNO sendiri yang tersinggung dan merajuk kepada UMNO dalam pilihan raya 2008 adalah kerana Pemuda UMNO tidak menghargai politik kampung, sombong dan bongkak dan tidak dapat mengaitkan globalisasi sebagai glocal seperti yang telah dihasratkan Datuk Seri Najib sejak beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi.

Isnin, 21 Jun 2010

PENJARA PUDU - Dalam kenangan















TINGGALAN SEJARAH ... Pejalan kaki melintasi Tembok Penjara Pudu yang dipenuhi dengan mural yang bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah Jalan Pudu bagi memudahkan pengguna jalan raya pada masa hadapan. Pembinaan laluan bawah tanah ini merupakan alternatif yang menghubungkan Jalan Pudu menuju ke Cheras dan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Jalan Hang Tuah. Mural Penjara Pudu dilukis oleh beberapa banduan yang diketuai oleh Khong Chong Yen dengan menggunakan 2,000 liter cat sepanjang 384 meter dan setinggi 4.5 meter. Ia dilukis pada tahun 1983 dan memakan masa lebih setahun untuk disiapkan dan pernah diiktiraf oleh Guinness Book of Records. Tembok itu akan mula dirobohkan pada waktu malam mulai 20 hingga 23 Jun ini. - Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Tiba detik 10 malam ini (21hb Jun 2010), tembok Penjara Pudu di sini, yang berusia 100 tahun, setinggi 4.5 meter (m) dan sepanjang 394m yang menghadap Jalan Pudu akan dirobohkan.

Seandainya tembok itu boleh berkata-kata, mungkin ia akan mengatakan bahawa 100 tahun sudah cukup baginya menyaksikan pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis dan kini tiba masa untuk merelakan dirinya tumbang menyembah bumi setelah 14 tahun dilanda kesepian.

Mungkin ia juga akan mengatakan bahawa dirinya yang dahulunya gah dengan mural sepanjang 384 meter yang mencatatkan rekod sebagai yang terpanjang di dunia, kini sudah tidak tidak bererti lagi.

Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.

Tembok penjara yang dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen dan diimport dari negara penjajah Britain, mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada Ogos 189. Kos bagi pembinaan tembok ini sahaja bernilai RM15,360.90 (harga pada tahun 1800-an).

Namun, kedudukannya di dalam kawasan segitiga emas Bukit Bintang yang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit dan kesesakan arus lalulintas terutamanya di Jalan Pudu menyebabkan bangunan penjara ini tidak lagi dapat dipertahankan dan terpaksa akur pada arus pembangunan.

Apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail mengumumkan cadangan merobohkan tembok penjara Pudu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah di Jalan Pudu baru-baru ini memberi isyarat bahawa penjara yang menyimpan seribu satu kenangan yang nyata dan misteri itu akan hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Salah satu bahagian penjara yang banyak melakarkan cerita misteri ialah di Blok D yang menempatkan bilik akhir dan bilik gantung yang menyaksikan 180 pesalah menjalani hukuman gantung sampai mati di situ dari tahun 1960 hingga 1993.

Penjara berusia lebih seratus tahun ini juga pernah mencatat sejarah hitam yang tersendiri iaitu pada tahun 1985 apabila dua orang awam, Dr Radzi Jaafar dan Dr Abdul Aziz Abdul Majid ditawan oleh enam orang banduan reman yang diketuai Jimmy Chuah. Penawanan berakhir selepas enam hari apabila banduan itu menyerah diri.

Pada tahun 1985 penjara ini juga mencatatkan bilangan banduan yang tertinggi iaitu seramai 6,550 orang pada satu masa yang menyebabkan kesesakan dan memaksa banduan tidur secara bergilir-gilir.

Ekoran itu pada 1996 setelah 100 tahun menabur bakti, Penjara Pudu ditutup dan digantikan dengan Penjara Sungai Buluh, Selangor, 36km dari bandaraya Kuala Lumpur. - BERNAMA

Ahad, 20 Jun 2010

Hukum solat Jumaat bagi Muslimat

Solat Jumaat adalah solat yang ditunaikan pada hari Jumaat. Kewajipan menunaikannya adalah perkara yang telah diijmakkan oleh seluruh ulama muslim.

Solat Jumaat hendaklah ditunaikan dengan berjamaah. Kewajipan menunaikannya diberatkan kepada muslim, lelaki, berakal, merdeka, baligh, bermukim dan berkemampuan untuk menunaikannya.

Adapun yang lain dari itu, tidak diwajibkan kepada mereka solat Jumaat, bahkan yang wajib bagi mereka adalah menunaikan solat Zohor.

Sabda Nabi SAW;
الجمعة حق واجب على كل مسلم في جماعة إلا أربعة: عبد مملوك، أو امرأة، أو صبي، أو مريض

Maksudnya;
"Jumaat adalah hak yang wajib atas setiap muslim dengan jamaah melainkan empat, iaitu hamba yang dimiliki, atau perempuan, atau kanak-kanak, atau orang sakit"


Sabda Nabi SAW lagi;
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر، فعليه الجمعة إلا امرأة ومسافراً وعبداً ومريضاً

Maksudnya;
"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menunaikan solat Jumaat melainkan perempuan, orang bermusafir, hamba dan orang yang sakit[4]”


Walaupun begitu, sekiranya perempuan atau muslimat menunaikan solat Jumaat bersama dengan kaum lelaki, maka tidak perlu lagi mereka menunaikan solat Zohor, bahkan memadai dengan solat Jumaat yang mereka tunaikan.

Keadaan ini disandarkan kepada wanita-wanita di zaman Nabi yang hadir di masjid dan menunaikan solat Jumaat bersama Baginda SAW.

Hukum Muslimat solat Jumaat

Melihat kepada ulasan di atas, didapati bahawa muslimat tidak diwajibkan menunaikan solat Jumaat. Lalu, apakah hukum muslimat yang tetap menghadirkan diri mereka untuk menunaikan solat Jumaat?

Menurut Al-Fadhil Dr As-Syaikh ‘Atiyyah Saqqar didalam kitab “Al-Fatawa min Ahsan Al-Kalam fi Al-Fatawa wa Al-Ahkam”. Beliau menyatakan, ulama membahaskan perkara ini seperti berikut;

Ahnaf: Yang paling afdhal bagi perempuan menunaikan solat zohor di rumahnya, samada perempuan itu tua atau muda.

Malikiyyah: sekiranya perempuan itu bersangatan tua yang tidak menarik perhatian lelaki, maka harus bagi perempuan itu menunaikan solat jumaat. Adapun sekiranya perempuan itu boleh menarik perhatian kaum lelaki yang tidak membawa fitnah, maka hukum menghadiri solat jumaat adalah makruh. Adapun boleh mendatangkan fitnah, maka hukumnya adalah haram.

Hanabilah: diharuskan perempuan menghadiri solat jumaat sekiranya tidak berhias. Adapun berhias, maka hukumnya adalah makruh.

Syafiiyyah: makruh perempuan menghadiri solat jumaat sekiranya ianya boleh disyahwati, walaupun ianya dengan memakai pakaian tebal sekalipun. Begitujuga, makruh perempuan menghadiri solat jumaat, sekiranya ianya tidak disyahwati, tetapi dia berwangi-wangian atau berhias.

Pun begitu, ulama-ulama menyatakan haram kehadiran perempuan kepada solat jumaat yang boleh menimbulkan fitnah[7].

Dari perbahasan ini, dapat dilihat, perdebatan dikalangan ulama tentang keizinan ulama ini sehabis-habis rendah pun adalah “keharusan” sahaja. Yang ianya tidak membawa amalan itu sebagai amalan yang dituntut, samada berbentuk sunat atau wajib.

PERKARA HARUS BUKAN TUNTUTAN
Setelah dilihat, serendah-rendah hukum yang boleh diberikan kepada kehadiran perempuan dalam solat jumaat adalah harus, maka dalam perbincangan ini perlu di perjelaskan, adakah harus ini adalah perkara tuntutan atau tidak?

Berdasarkan kepada definisinya, Harus adalah salah satu dari jenis-jenis hukum taklifi.

Harus memberi maksud "khitab yang menunjukkan kepada pemberian pilihan terhadap mukallaf antara melakukan perbuatan atau meninggalkan perbuatan" atau "perkara yang tidak dikaitkan dengan perbuatannya itu mendapat pujian dan celaan"

Ulama fiqh dan ulama usul Fiqh sepakat menyatakan, harus adalah amalan yang tidak berbentuk suruhan (sama ada suruhan buat atau suruhan tinggal). Pendapat ini menyalahi Kha’bi dan pengikut-pengikut pendapat mu’tazilah.

Dari ini, difahami bahawa, perkara harus bukanlah satu tuntutan. Maka dengan itu, secara taklifinya, tuntutan hak muslimat untuk menunaikan solat jumaat adalah satu yang tidak tepat.

HARUS BOLEH BERTUKAR KEPADA TUNTUTAN
Pun begitu, tidak dinafikan, sesuatu perkara yang hukumnya taklifinya adalah harus, kadangkala boleh bertukar hukumnya kepada tuntutan, samada wajib atau sunat, atau bertukar hukumnya kepada larangan, samada haram atau makruh.

Asal hukum makan adalah harus, tetapi sekiranya dengan tidak makan menyebabkan mudharat kepada tubuh, maka hukum harus itu bertukar menjadi wajib, yang memberi maksud, dengan tidak makan itu boleh memudharatkan tubuh, maka tidak makan hukumnya adalah haram.

Pertukaran hukum harus kepada wajib atau haram atau sunat atau makruh ini disebut dalam ilmu usul Fiqh sebagai "Hukum Wadii".

Maka dengan itu, dalam perkara yang melibatkan kepada muslimat untuk menunaikan solat jumaat, adakah perdebatannya boleh membawa kepada kepada tuntutan sehinggakan muslimat mesti melakukan tuntutan hak untuk menunaikan solat jumaat bersama kaum lelaki?

Sekiranya alasan untuk mendengar khutbah, maka alasan ini tidaklah dikira sebagai alasan yang kukuh. Ini adalah kerana di Malaysia, radio Malaysia menyediakan ruang untuk mendengar khutbah yang disampaikan oleh imam-imam masjid.

Maka dengan itu, pandangan ini perlu dinilai dengan alasan-alasan yang kukuh. - Al-Bakistani

2.
Tidak ada khilaf bahawa perempuan tidak diwajibkan solat jumaat. Ibnu Munzir telah berkata dalam kitabnya (Ijmak):

"Telah bersepakat semua ulama yg kami tahu; tidak wajib solat jumaat kpd wanita."

Dalilnya adalah hadis Nabi s.a.w:
(الجمعة حق واجب على كل مسلم في جماعة إلا أربعة:عبد مملوك أو إمراءة أو صبي أو مريض)


Maksudnya: Solat Jumaat adalah hak yang wajib bagi setiap Muslim secara berjemaah, melainkan empat golongan: 1. Hamba sahaya. 2. Perempuan. 3. Budak yang tidak baligh. 4. Pesakit. (HR Abu Daud).

Perempuan yang pergi solat Jumaat
Perempuan dibenarkan pergi solat Jumaat, walaupun sembahyang di rumah lebih baik. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:
(لاتمنعوا نساءكم المساجد وبيوتهن خير لهن)

Maksudnya: Jangan kamu tegah isteri dan anak perempuan kamu untuk solat di masjid; solat di rumah lebih baik bagi mereka.(HR Abu Daud)

Jika mereka hendak ke masjid hendaklah mereka dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah seperti memakai wangian dan sebagainnya.

Nabi bersabda:
(لا تمنعوا إماء الله المساجد ولكن ليخرجن تفلات)

Maksudnya: Janganlah kamu tegah wanita-wanita di bawah tanggunganmu ke masjid; tetapi hendaklah mereka keluar dengan tidak memakai wangian.(Bukhari dan Muslim)

Ke masjid pun tidak boleh wangi-wangian, inikan ke tempat-tempat lain. Wanita hendaklah tidak menjadikan diri mereka fitnah pada lelaki. Lelaki pula janganlah cuba menimbulkan fitnah pada diri wanita. Berhati-hatilah pada tipu daya nafsu dan syaitan.

Adakah perlu melakukan solat Zuhur?
Perempuan yang sudah solat Jumaat tidak perlu solat Zuhur.

Ibnu Munzir berkata:
Para ulama telah bersepakat mana-mana wanita yang telah solat Jumaat, maka itu mencukupi baginya (tidak perlu buat solat Zuhur) kerana gugur solat Jumaat adalah satu keringanan bagi mereka. Jika mereka buat yang lebih susah, maka ianya memadai seperti orang yang sakit.
- Rujukan: Fehul Marah oleh Dr Jasim...Ghurfati

3.
Katakanlah saya dalam perjalanan jauh pada hari Jumaat. Pada waktu Zohor, abang saya berhenti di sebuah masjid untuk menunaikan solat Jumaat.Soalannya, adakah saya juga perlu menunaikan solat Jumaat sedangkan saya adalah perempuan?

Keputusan:
Bagi musafir tidak perlu menunaikan solat Jumaat.Dia hanya perlu solat Zohor, tetapi sekiranya dia solat Jumaat ianya sah dan ia tidak dikira sebagai ahli Jumaat. Bagi wanita tidak wajib solat Jumaat sama ada waktu bermusafir ataupun bermukim.

Selasa, 15 Jun 2010


















IPOH (KAMPUNG GUNUNG RAPAT) – Dua pekerja binaan rakyat Bangladesh maut ditimbus tanah runtuh di tapak pembinaan di Jalan Raja Nazrin Shah semalam.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja menanam besi cerucuk, sebelum tanah di cerun bukit berkenaan tiba-tiba mengelungsur dan menimbus mangsa.

PR Perak kata ADUN BN akan lompat parti, tapi...

Ketika itu cuaca agak redup. Pak Zul sibuk membawa mulut mengatakan tiga anak Pak Yie ditahan polis kerana terlibat dalam dadah. Punya Pak Yie risau hanya Tuhan yang tahu. Pak Yie cuba mendapatkan maklumat daripada rakan-rakan anaknya untuk mengetahui kesahihan dakwaan Pak Zul.

Dua hari dua malam Pak Yie tak dapat tidur memikirkan sejauh mana kesahihan dakwaan Pak Zul itu. Untuk mendapatkan maklumat sendiri, Pak Yie tidak dapat berbuat demikian kerana ketiga-tiga anaknya itu sudah dua tiga hari tidak pulang. Perbuatan ini menambahkan lagi keyakinan Pak Yie akan dakwaan Pak Zul, yang anak-anaknya ditangkap polis.

Tetapi pada masa sama, Pak Yie tidak yakin anak-anaknya itu terlibat dalam dadah kerana sepanjang membesarkan mereka, Pak Yie pasti benar semua anak-anaknya itu mendapat ajaran agama secukupnya, didikan rohani dan jasmani secukupnya, selain diberi perhatian yang adil, telus dan saksama.

Dalam semua jiran tertunggu-tunggu akan kesahihan berita itu, tiba-tiba tersebar berita anak Pak Zul ditahan polis kerana mencuri barang kemas di pusat bandar. Ketika itu juga ketiga-tiga anak Pak Yie pulang dan semua mereka berada dalam keadaan sihat dan ceria. 'Kehilangan' tiga beradik itu bukan kerana ditahan polis, tetapi membantu polis menyelesaikan kes kecurian barang kemas.

Kini semua jiran tahu, bukan anak Pak Yie terlibat dadah atau ditahan polis, sebaliknya anak Pak Zul yang bersifat diam-diam ubi berisi telah mencalitkan arang di muka kedua orang tuanya. Mendengar berita itu, Pak Zul tidak lagi berani keluar rumah kerana berasa malu dengan mulut tempayannya dan suka menabur fitnah.

Inilah yang berlaku di Perak dalam seminggu dua ini. PR mencanangkan mengatakan tiga ADUN BN akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat, sebaliknya apa yang berlaku ialah ADUN DAP lompat parti menyertai Bebas dan menyokong BN.

Empat hari lalu, Ketua Penerangan PKR Perak, Zulkifli Ibrahim mendakwa tiga ADUN BN akan mengumumkan keluar parti itu untuk menyertai Pakatan Rakyat dalam masa terdekat. Bagaimanapun, hari ini, ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh Kashmir Singh dari DAP mengumumkan lompar parti menyertai Bebas.

RAMADAN

Hari demi hari kita lalui. Masa demi masa kita lewati. Bulan demi bulan pun berganti. Tidak terasa kita telah memasuki bulan Rejab. Ini bermaksud tidak sampai dua bulan lagi kita akan berjumpa dengan tetamu istimewa. Kita akan menyambut kedatangan bulan yang mulia.

Kita mungkin merasa biasa-biasa saja saat berada di bulan Rejab seperti sekarang ini. Kita mungkin merasa sama saja ketika Ramadan kian dekat. Dan, inilah yang membezakan generasi kita hari ini dengan generasi pertama umat Islam. Sebagaimana bezanya kita dengan mereka saat berada di hari Jumaat. Sebagaimana bezanya kita dengan mereka di waktu sepertiga malam terakhir.

Dari hadith yang sampai kepada kita, dapat kita buat kesimpulan bagaimana bezanya persiapan kita dan persiapan mereka. Rasulullah SAW mengajarkan kepada sahabatnya -juga seluruh umatnya - sebuah doa ketika memasuki bulan Rejab:

اللهم باركنا في رجب وشعبان وبلغنا في رمضان
"Ya Allah berkahilan kami di bulan Rajab dan Sya'ban, serta berkatilah kami di bulan Ramadhan." (HR. Ahmad).


Doa tersebut menggambarkan betapa Rasulullah SAW dan para sahabatnya telah mempersiapkan diri untuk menanti kehadiran bulan Ramadan iaitu dua bulan sebelumnya. Seperti saat-saat sekarang ini, Ramadan telah melekat di hati, dinanti, dirindui, dan jiwa raga dipersiapkan menghadapinya, sebaik-baiknya.

Oleh kerana itu kita berharap dapat menuruti jejak sejarah para sahabat Nabi SAW yang selalu merindukan Ramadan, berharap semua bulan adalah Ramadan. Di antara mereka ada yang berdoa selama enam bulan sejak kepergian Ramadan agar ibadahnya selama Ramadan diterima Allah SWT. Lalu lima bulan berikutnya berdoa supaya dipertemukan dengan Ramadan yang akan datang. Kita pun mendapatkan bukti dari mereka melalui sejarah yang kita baca, ternyata mereka memiliki tradisi 'me-ramadhan-kan semua bulan'.

Imam Al-Baihaqi meriwayatkan hadith yang senada dengan reaksi yang agak berbeza. Bahawa Rasulullah SAW mengajarkan doa ketika berada di bulan Rejab:

"Allaahumma baarik lanaa fii Rajaba wa Sya'ban, wa baalighnaa Ramadhaan"

"Ya Allah berkatilah kami di bulan Rajab dan Sya'ban serta pertemukanlah kami dengan bulan Ramadan" (HR. Al-Baihaqi).


Mungkin hadith kedua ini lebih dekat bagi kita. Tetapi pada dasarnya kita mendapatkan pelajaran yang sama; bahawa Rasulullah SAW dan para shahabatnya telah mempersiapkan diri menghadapi bulan Ramadan sejak dua bulan sebelumnya. Bagaimana dengan kita? Saat itu kini telah menyapa kita.

Di antara contoh amalan-amalan yang sering dipercaya umat Islam untuk dilakukan pada bulan Rejab adalah:


1. Mengadakan solat khusus pada malam pertama bulan Rejab.
2. Mengadakan solat khusus pada malam Jumaat minggu pertama bulan.
3. Solat khusus pada malam Nisfu Rejab (pertengahan atau tanggal 15 Rejab).
4. Solat khusus pada malam 27 Rejab (malam Isra’ dan Mi’raj).
5. Puasa khusus pada tanggal 1 Rejab.
6. Puasa khusus hari Khamis minggu pertama bulan Rejab.
7. Puasa khusus pada hari Nisfu Rejab.
8. Puasa khusus pada tanggal 27 Rejab.
9. Puasa pada awal, pertengahan dan akhir bulan Rejab.
10. Berpuasa khusus sekurang-kurang-nya sehari pada bulan Rejab.
11. Mengeluarkan zakat khusus pada bulan Rejab.
12. Umrah khusus di bulan Rejab.
13. Memperbanyakkan Istighfar khusus pada bulan Rejab.

Drp: Ahmad Tarmizi
TeleCorporate ESQ
JL. Tb Simatupang Kav.1 Cilandak Timur