Ahad, 16 Januari 2011

Yeop

Berhenti sukarela atau pecat
Salam 1Perak kepada kaum kerabat Yeop. Hari ni seperti yang dijanjikan Yeop akan bangkitkan beberapa isu yang Yeop rasa perlu dikongsi bersama kaum kerabat untuk sama-sama perhatikan, nilai, teliti, kaji dan buat kesimpulan. Pertamanya, Yeop tertarik dengan kenyataan MB kita, yang menyarankan atau dengan kata lain memberikan kata dua kepada ketua-ketua kampung yang tidak berprestasi supaya secara sukarela berhenti.
Masih ingat lagi, Yeop pernah bangkitkan perkara ini tidak lama dulu, cuma apa yang Yeop nyatakan itu tidak mendapat perhatian daripada MB atau kerajaan negeri kerana mungkin ketika itu tak ada ketua-ketua kampung yang culas dalam kerja. Sekarang, mungkin disebabkan ada aduan mengenai sikap dan perangai mereka, makanya MB buat gesaan itu. Yeop setuju sangat-sangat dan sokong seratus peratus dengan ketegasan MB.
Bukan apa, ketua-ketua kampung yang gagal buat kerja, langsung tidak mendampingi masyarakat dan pentingkan diri sendiri ini wajar dipecat kalaupun mereka tidak mahu berhenti secara sukarela. Lagipun, mana ada ketua-ketua kampung yang berat tulang ini nak berhenti, kerana mereka tetap menganggap mereka masih diperlukan. Sebab itu, ada antara mereka kekal sampai sekarang. Mereka pandai berlakon. Mereka bijak membodek wakil rakyat sehinggakan khidmat mereka disambung lagi dari penggal ke penggal.
Penyambungan kontrak ini secara tak langsung menimbulkan rasa tak puas hati masyarakat. Masyarakat sememangnya menaruh harapan agar di kampung mereka tidak lagi ada ketua yang pemalas, sombong, ego, cakap besar, hidung tinggi, berat tulang dan berlagak macam pemimpin.
Kepada kaum kerabat Yeop di kampung-kampung, selepas MB keluarkan kenyataan itu dua tiga hari lalu, janganlah pula segan dan silu untuk memantau dan membuat penilaian terhadap ketua kampung masing-masing. MB dah bagi lampu hijau, tunggu apa lagi. Kalau ada ketua kampung yang kita rasa tak boleh buat kerja, kita lapor saja kepada MB. Biar MB siasat dan ambil tindakan
Tapi sebelum lapor tu, kena pastikan ketua kampung itu benar-benar tak buat kerja, malas, berat tulang, curi tulang, sombong, bongkak, tak ambil peduli hal atau masalah penduduk. Jangan kerana dendam kesumat dan kebetulan ketua kampung buat kesilapan kecil, kita terus lapor dan membesar-besarkan kesalahannya. Sebagai manusia, ketua kampung pun macam kita juga. Tidak maksum macam pemimpin sebelah sana. Buat silap pun kata betul.
Syukur
Pagi tadi ketika Yeop siap-siap nak masuk pejabat, anak buah maklumkan ada seorang ADUN kemalangan. Katanya, kemalangan tu tak lah teruk sangat dan ADUN berkenaan pula mujurnya tak mengalami sebarang kecederaan. Syukur Alhamdulillah. Yeop betul-betul rasa lega.
Bukan apa, sekarang ni banyak berita kemalangan dilaporkan. Bas, lori, treler, kereta, motosikal, basikal, pejalan kaki, gajah, lembu, kerbau, kucing, tikus dan katak. Semua ni berlaku ada kerana kecuaian pihak lain, ada disebabkan kelalaian kita sendiri. Itu yang Yeop bimbang sangat. Ketika kita berhati-hati di jalan raya dan memandu secara berhemah, ada yang tidak berhati-hati dan berhemah, menyebabkan kita jadi mangsa.
Apapun, Yeop harap ADUN Selinsing, YB Husin Din kena selalu ke klinik untuk buat pemeriksaan kesihatan. Mana tahu di luaran tak nampak luka, tapi di dalam ada yang tercalar atau terseliuh akibat hentakan itu. Ini berdasarkan bahagian depan kereta YB yang kemik, Sebagai YB, kesihatan kena jaga sebab khidmat YB diperlukan rakyat.
Yeop selalu beringat ketika pandu kereta, baik nak ke pejabat yang jauhnya lima kilometer, mahupun ke pasar beli barangan keperluan harian yang terletak lebih kurang dua kilometer dari rumah. Walaupun jaraknya dekat, kita tak tahu malapetaka yang menunggu kita. Oleh itu, Yeop selalu berhati-hati. Dan ketika memandu pula, Yeop lebih suka beralah. Yeop tak suka jadi gengster jalanan atau samseng jalan raya.
Ia tak akan beri faedah kepada Yeop. Kalau berlaku kemalangan, bukan mereka nak bayar ganti rugi pun. Yang sakit kepala, kita juga kena keluarkan duit. Lebih menyeksa dan menyusahkan, segala kerja kita akan tergendala kerana kereta masuk bengkel. Sebab itu, Yeop ambil sikap biar beralah, asalkan selamat ke destinasi. - Siaran 16hb Januari 2011

Selasa, 11 Januari 2011

Yeop kembali

Rasa bagaikan sekelip mata saja Yeop berehat, walaupun hampir satu tahun berlalu. Hari ini sudah sembilan hari kita berada dalam tahun baru 2011. Sungguh cepat masa beredar. Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan silih bertukar ganti, alih-alih Yeop muncul lagi. Maknanya umur Yeop masih panjang. Alhamdulillah, syukur kepada Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Agong dan Allah Yang Maha Kuasa.
Sungguhpun sudah lama kaum kerabat tidak dengar bebelan Yeop, kali ini kalian semua dapat mendengarnya. Bukan setakat mendengar, tapi boleh menghayatinya lagi, kemudian boleh buat andaian dan kesimpulan. Celoteh Yeop ni yang jika dihayati di dalamnya ada terkandung teguran, nasihat, sindiran, maklumat, pandangan, petua, persoalan, jawaban, pembicaraan, perbahasan dan perbincangan.
Yeop tidaklah nak kata hebat atau bijak seperti Yong. Yeop tetap makhluk Allah yang dianugerahkan ilmu dan seketul otak untuk berfikir sebelum bertindak. Yeop tetap dengan sikap berada neutral kepada mana-mana parti politik kerajaan atau pembangkang, jabatan atau agensi. Jiwa Yeop tetap berada dalam kelompok masyarakat atau khalayak.
Tugas Yeop mudah saja, sesiapa yang Yeop rasa ada buat tak kena kepada rakyat, masyarakat dan khalayak, Yeop akan bidas. Yeop ada lastik yang terbaik punya. Lastik alaf 2011. Yeop boleh lastik sampai mereka mengaduh sakit dan akhirnya mengaku kesilapan atau kelemahan yang dilakukan, lalu mereka bersedia untuk membetulkan keadaan.
Yeop 2011 dengan Yeop 2010 tetap sama. Dari segi sikap, kelakuan, tabiat, watak, perangai dan tingkah laku masih tidak berubah. Kalau berubah pun dari segi usia, tapi tidaklah ketara sangat. Rasanya Yeop masih perkasa dan gagah, minda Yeop masih cergas dan cerdas, ingatan Yeop tetap tajam, sebab itu Yeop masih kekal dengan Yong kamu tu.
Tahun silam
Tahun 2010 baru sembilan hari meninggalkan kita. Dengan ingatan yang tajam, Yeop boleh kenang satu persatu peristiwa yang berlaku selama 365 hari di Perak. Yeop tahu apa yang berlaku antara kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak dengan ‘kerajaan’ Pakatan Rakyat (PR) Perak. Yeop tahu apa yang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan buat pada kaum kerabat Yeop dan Yeop tahu sejauh mana kaum kerabat Yeop menerima layanan daripada wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan, ketua kampung, ketua-ketua peringkat cawangan-ranting-cabang, bahagian-kawasan, negeri dan pusat.
Dari segi BN dan PR, Yeop tahu kedua-dua pihak ini masih lagi macam kucing dengan anjing. Tidak boleh duduk atau tinggal satu kandang dari dulu hingga kini. Mungkin tidak selama-lamanya. Dari segi kementerian yang jaga harga barang pun Yeop tahu ia amat mendukacitakan. Begitu juga dari segi layanan pemimpin tempatan kepada masyarakatnya, Yeop boleh berikan markah bercampur-campur. Ada yang baik, ada yang gagal. Ada yang cemerlang, ada yang lemah dan tidak kurang yang lembap.
Ini semua akan Yeop bidas dalam siri akan datang. Nak ulas sekarang memang tak sesuai pada masanya kerana salam permulaan tak boleh terus tibai atau bantai. Hari ini Yeop hanya nak beri mukadimah sahaja atau salam perkenalan untuk memaklumkan Yeop kembali lagi. Yeop is back kata orang puteh.
Rehat
Sejak Yeop berhenti membebel dalam ruangan ini, beribu-ribu SMS yang Yeop terima bertanyakan kenapa tidak lagi berada di dada akhbar. Ada yang puji, ada yang puja, ada yang maki dan ada yang hamun. Ada yang gembira dan tak banyak yang sedih. Yeop sungguh terharu dengan sambutan ditunjukkan. Dalam emel Yeop pun beribu-ribu pesanan, komen, pandangan dan pendapat dihantar peminat. Semuanya Yeop jawab, kecuali SMS Yeop tak dapat jawab semua sekali sebab melibatkan bajet dan dalam edah menjimatkan kos.
Apa yang Yeop nak maklumkan sepanjang ketiadaan itu, Yeop berasa amat lega sekali. Muka Yeop yang dulunya banyak jerawat dan macam muka tak cukup tidur, kini dah licin dan makin berseri-seri. Pipi Yeop pun dah makin gebu, tak cengkung macam penagih dadah lagi. Itulah perubahan ketara yang Yeop alami. Seronok dan menggembirakan. - Siaran 09hb Januari 2011

Ahad, 9 Januari 2011

Sapina Karpal sebagai saksi

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 8 Jan. – Perbicaraan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin bakal mencatat sejarah tersendiri sekiranya peguam bela Anwar, Karpal Singh (gambar) disapina sebagai saksi Pendakwaraya kes itu.

Cadangan supaya Karpal disapina itu dikemukakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menerusi entri bertajuk Hello, are you Mr. Poo-Singh? dalam blog http://zul4kulim.blogspot.com/ hari ini.

Zulkifli berkata, sapina itu boleh berlaku sekiranya pihak pendakwa raya memohonnya kepada mahkamah kerana Karpal pernah mendakwa beliau mempunyai bukti kukuh mengenai keterlibatan Anwar dalam kes liwat pertamanya pada 1997.

Selain itu, katanya, Karpal yang juga Pengerusi DAP boleh diambil tindakan menghina Parlimen atau sumpah bohong (perjury) sekiranya dalam keterangannya sebagai saksi nanti, beliau menafikan mempunyai bukti aktiviti liwat Anwar seperti yang didakwanya dalam sidang Dewan Rakyat pada 1997.

“Jika Karpal menyatakan beliau mempunyai bukti dan keterangan bahawa memang Anwar terlibat dengan kegiatan homoseks dan liwat seperti yang didakwanya di dalam Parlimen itu, maka kita perlu mempersoalkan mengapa Karpal Singh mahu terus menjadi peguam membela Anwar?

“Adakah beliau mempunyai agenda politik yang jahat, atau ada sebab-sebab lain? Wallahua’lam, tepuk dada tanyalah kepala otak sendiri!,” katanya.

Zulkifli yang pernah mewakili Anwar dalam kes liwat pertamanya menjelaskan, Karpal ‘wajib’ disapina sebagai saksi pendakwa raya dalam kes liwat kedua Anwar kini kerana beliau mempunyai pengetahuan mengenai aktiviti liwat Anwar dalam kes pertamanya dengan bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar.

Menurutnya, ini kerana Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Guaman 1978 memperuntukkan seseorang peguam (Karpal) agar tidak mewakili Orang Kena Tuduh (OKT) iaitu Anwar sekiranya peguam itu mempunyai sebab mempercayai bahawa dia boleh menjadi saksi berkaitan sesuatu fakta yang material.

“Maka Karpal tidak sepatutnya menerima atau meneruskan kedudukan sebagai peguam membela Anwar dalam kes liwat terhadap kakitangannya, Saiful Bukhari Azlan,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli menyeru kepimpinan Pas supaya menyedari bahawa kerjasama pakatan pembangkang terutama antara DAP dan PKR merupakan satu ‘Pakatan Syaitan’.

“Sesuai dengan sabda Rasullulah SAW, ‘addenul nasihah’, maka teman mengemukakan nasihat teman kepada para ulama, ilmuwan, kepimpinan dan ahli akar umbi Pas, (supaya) mufaraqahlah daripada ‘Pakatan Syaitan’ ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, peranan Karpal sebagai peguam bela Anwar dalam kes liwat kedua ini diragui kerana selain mengetahui maklumat mengenai kes pertama Anwar, Karpal juga merupakan pemimpin DAP yang jelas menentang pelaksanaan negara Islam seperti dicita-citakan Pas.

“Dengan maklumat yang begini punya jelas, tidakkah mereka (Pas) menyedari bahawa satu konspirasi dan pakatan syaitan yang jelas sedang berlaku. ‘Pakatan Syaitan’ yang boleh menjahanamkan Islam, rakyat dan negara ini.

“Tidakkah mereka sedar inilah orang sama yang mengisytiharkan ‘kalau umat Islam mahukan negara Islam, over my dead body!. Dan yang lebih menyedihkan, bagaimana boleh ada pemimpin Pas yang mengisytiharkan secara terbuka akan membela Karpal Singh sehingga mati!” katanya.

Ahad, 2 Januari 2011

Dr Mashitah menulis

Semangat hijrah perlu dihayati

Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri



Meski pun peristiwa hijrah berlaku 1432 tahun lalu, ia meninggalkan banyak catatan dan pengajaran. Peristiwa itu penting bagi membolehkan seseorang itu menjadi lebih baik dari segi keimanan, tingkah laku dan kerjaya, di samping maksud penghijrahan itu ialah transformasi atau penambahbaikan.

Semua orang perlu melalui fasa hijrah dalam hidupnya. Malah satu kemestian dalam hidup manusia sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Namun adakah umat Islam khususnya di Malaysia ini faham mengenai inti pati pengajaran peristiwa hijrah itu atau mungkin ramai tidak begitu menghayati semangat hijrah yang disemai Rasulullah SAW. Bahkan, lebih teruk lagi ada yang memberi tafsiran salah mengenainya.

Kegagalan umat Islam di negara ini memahami falsafah hijrah kadangkala begitu teruk sekali sehingga seolah-olah mereka diserang sindrom enggan berhijrah. Ini kerana mereka sedang berada dalam zon selesa dan beranggapan jika berhijrah mereka tidak lagi dapat hidup selesa.

Dalam kehidupan seharian, memang banyak contoh menunjukkan kurangnya penghayatan semangat hijrah dalam hidup manusia. Cuba kita renungi beberapa kisah secara realiti dalam masyarakat kita.

Di sebuah, kampung di utara tanah air, tiga anak muda yang tamat persekolahan menghabiskan masa begitu sahaja. Lalu diberitahu bahawa ada tawaran pengajian percuma dari sebuah institusi yang menyediakan biasiswa. Lebih menarik lagi, setelah habis pengajian, mereka disediakan pekerjaan di sebuah syarikat swasta dengan gaji menarik.

Namun, apa menyedihkan, tiga remaja itu terpaksa menolak tawaran berkenaan hanya disebabkan kursus diadakan di Kuala Lumpur iaitu jauh dari kampung halaman. Apa yang berlaku itu, jelas menunjukkan mereka langsung tidak menghayati semangat hijrah.

Sedangkan, dengan semangat itulah mereka mampu mengubah nasib diri dan keluarga di kampung. Apatah lagi, penghijrahan itu tidak begitu mencabar berbanding hijrah Rasulullah SAW atau penghijrahan datuk nenek kita terdahulu. Mereka tidak perlu mengharungi lautan luas dan ribut taufan. Cuma mengikuti kursus dengan segala kemudahan disediakan. Itu pun mereka tidak berani berhijrah.

Kurang semangat hijrah ini bukan sahaja melanda anak muda seperti tiga remaja berkenaan, tetapi juga golongan yang sudah dianggap berjaya dalam kerjayanya. Cuba renungi kisah seorang penjawat awam yang dianggap berjaya dalam kerjayanya.

Beliau telah menunjukkan prestasi baik dalam tugasnya, lalu ditawarkan kenaikan pangkat. Namun, kenaikan itu dengan syarat beliau perlu bertukar atau berhijrah ke bandar lain. Sekali lagi, syarat melibatkan penghijrahan ini menyebabkan penjawat awam itu terpaksa menolak.

Dalam konteks ini, penjawat awam ini enggan berhijrah keluar dari zon selesanya. Beliau mungkin sudah gembira dan selesa dengan kehidupannya sehingga tidak mahu keselesaan digugat akibat daripada penghijrahannya itu. Ironinya, disebabkan keengganannya berhijrah, jawatan itu telah diberikan kepada orang lain yang bukan beragama Islam.

Insiden ini menunjukkan kegagalan memahami falsafah hijrah menyebabkan kerugian bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi lebih besar lagi kepada ummah keseluruhannya. Dalam kejadian itu, penjawat awam berkenaan sepatutnya melihat falsafah hijrah itu dalam konteks lebih jauh.

Sewajarnya dia tidak memikirkan dirinya sendiri, sebaliknya melihat penghijrahan itu akan memberi kebaikan kepada ummah. Ini juga menunjukkan sebahagian daripada anggota masyarakat lebih memikirkan fardu ain, bukan fardu kifayah yang juga penting kepada masyarakat Islam.

Satu lagi kisah sindrom keengganan berhijrah yang kita boleh berkongsi bersama ialah bagaimana seorang ibu bersungguh-sungguh merayu supaya anak perempuannya tidak dihantar bertugas di Sarawak.

Kisah ini mungkin biasa kita dengar, tetapi ada sedikit kelainan. Individu paling kuat menentang penghijrahan ini ialah si ibu. Sedangkan gadisnya tidak kisah ditempatkan di mana-mana. Mungkin gadis ini memahami dia perlu berhijrah kerana bumi Allah ini luas dan rezekinya mungkin ada di tempat lain.

Biarpun penghijrahan digalakkan Islam, namun kurang dilaksanakan. Sebaliknya semangat berhijrah ini kuat dalam kalangan orang Sepanyol dan Portugis. Sejak ribuan tahun mereka adalah bangsa yang menjelajah seluruh dunia dan membuka kawasan baru termasuk benua Amerika Latin.

Dengan semangat dibawa Gereja Kristian Katolik, penjelajah dari Sepanyol dan Portugis ini membawa misi Gold, Glory and Gospel berhijrah ke banyak negara lain. Semangat ini sebenarnya ada dalam Islam melalui pendekatan tajdid. Tetapi kurang dihayati.

Secara semula jadinya setiap manusia akan berhijrah. Namun penghijrahan itu akan memberikan hasil positif atau negatif. Jika kita membuat pemerhatian, kita dapat lihat bagaimana ramai daripada umat Islam tidak berhijrah ke suatu tahap lebih baik. Berapa ramai dalam kalangan ibu bapa tidak menyedari anak gadis mereka hanya berlagak alim di hadapan mereka.

Bak kata pepatah pijak semut pun tak mati, tetapi, di belakang orang tua, remaja ini melakukan pelbagai perkara yang tidak disangka.

Ada dalam kalangan mereka ketika belajar, menjaga aurat dengan baik. Selepas bekerja, semua itu tidak lagi dijaga. Mereka telah berhijrah kepada sesuatu yang negatif sehingga melanggar ajaran agama. Adakah mereka menganggap hijrah bermaksud mengikut budaya asing atas nama kemodenan.

Persoalannya adakah generasi kini menyedari hikmah dan pengajaran yang tersurat dari peristiwa hijrah. Hijrah Rasulullah SAW memberi iktibar mengenai fungsi dan peranan kita sebagai umat Islam tidak terhenti setakat ibadah khusus semata-mata. Lebih luas lagi peranan manusia adalah sebagai khalifah Allah sebagaimana huraian al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah yang menjelaskan peranan menjaga agama dan mentadbir dunia.

Dr Mashitah menulis

Warga buta dan nikmat baca Quran Braille
Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri


Asas Islam ialah ilmu. Ilmu mendasari peradaban Islam selama ribuan tahun. Perkataan pertama dalam al-Quran ialah Iqra yang bermaksud Bacalah. Tetapi Rasulullah SAW adalah seorang ummi, jadi bagaimana beliau boleh membaca dan mempelajari al-Quran.

Malaikat Jibrail a.s membaca al-Quran didengari dan dihayati Rasulullah. Kemudian Rasulullah mengulangi sehingga betul bacaannya (Surah al-Qiyamah16-19). Pun begitu, setiap Ramadan selepas menerima wahyu daripada Allah SWT, Rasulullah menguji bacaannya dengan Jibrail. Pada tahun akhir sebelum kewafatannya, baginda sempat menguji bacaannya dua kali.

Kaedah bacaan secara hafalan ini kemudian diajar kepada sahabat, tabi’in dan sebagainya. Kaedah yang sama juga diamalkan oleh mereka yang cacat penglihatan (talaqqi bi al-mushafahah) dan ternyata teknik tersebut berkesan. Orang buta mempelajari al-Quran dengan cara mendengar dan menghafal.

Walaupun dunia pemandangan mereka gelap, tetapi Allah SWT memberi kecerahan hati kepada mereka. Bahkan, ramai orang buta mempunyai keupayaan menghafal dan membaca al-Quran lebih baik daripada orang yang celik.

Antara sahabat Rasulullah yang buta ialah Abdullah ibn Umm al-Maktum r.a. Beliau seorang hafiz yang hebat. Selain Abdullah, Abu al-Qasim al-Shatibi yang cacat penglihatan juga digelar tokoh qari dan hafiz terkenal dalam sejarah Islam.

Lahir di Andalusia pada 590H (1193), al-Shatibi yang turut mengajar Quran di Mesir, memiliki tahap ingatan yang tinggi dan menguasai pelbagai teknik menghafal al-Quran. Sebagai penghafaz al-Quran yang ulung, beliau juga telah menghasilkan banyak karya Qiraat seperti Hirz al-Amani (Matn al-Shatibah), Nazimat al-Zuhri (Fawasil al-Quran), ‘Aqilah Atrab al-Qasa’id fi Asna al-Maqasid (Rasm al-Quran) dan sebagainya.

Al-Shatibi pernah berkata, bahawa tiada pengajaran kepada orang buta melainkan al-Quran. Sesungguhnya untuk menghayati, membaca dan mengkaji al-Quran memerlukan tahap hafalan, kesungguhan dan kesabaran yang tinggi serta mengambil masa yang lama.
Inovasi al-Quran braille.

Penciptaan sistem menggunakan kod titik-titik timbul yang boleh dibaca secara sentuhan atau braille telah mengubah keadaan ini, khususnya bagi orang buta. Sistem Braille boleh digunakan dalam pelbagai bahasa termasuk Arab.

Justeru, apabila al-Quran telah dicetak menggunakan sistem braille, maka telah membolehkan orang buta “membaca” sendiri kitab suci tersebut secara sentuhan sekaligus mempercepatkan proses hafalan.

Ramai mengetahui braille dicipta di Perancis oleh Louis Braille pada tahun 1821. Tetapi sistem yang sama sebenarnya dicipta 600 terdahulu oleh seorang intelek Muslim dari Syria, Zain Din al-Amidi, yang bertugas sebagai profesor di Universiti Moustansiryeh di negara yang kini dikenali sebagai Iraq.

Al-Quran braille pertama di dunia dihasilkan di Jordan sekitar tahun 1952, diikuti Mesir (awal 1960an), Tunisia dan Indonesia (1970an), Arab Saudi, Pakistan, Morocco, Qatar, Uzbekistan, Nigeria, UAE (1980an dan 1990an), dan daripada negara-negara ini dihantar pula ke Amerika Syarikat (misalnya Pusat Islam Amerika di Dearborn, Michigan dan Baitulmal Texas), Britain dan sebagainya.

Pada tahun 1982, kerajaan Arab Saudi menjadi negara Timur Tengah pertama dan yang ke-3 di dunia menggunakan komputer yang dicipta khas untuk menghasilkan al-Quran braille. Fatwa Abdul Aziz bin Baz pada tahun 1985 membenarkan percetakan kitab suci al-Quran menggunakan Braille dan pada tahun sama, naskhah pertama di Arab Saudi dicetak.

Setiap tahun, ribuan naskhah dihasilkan Arab Saudi dan diedarkan ke seluruh dunia. Sementara itu, sejak tahun 2004, manfaat al-Quran braille semakin meluas apabila pihak Masjidil Haram di Mekah dan Masjidil Nabawi di Madinah menyediakan naskah tersebut untuk kemudahan para jemaah dan pengunjungnya.

Percetakan al-Quran Braille di Indonesia pula dilakukan oleh Raudhatul Makfufin, sebuah yayasan yang juga pengendali sekolah untuk orang buta. Ia mampu menghasilkan 90 naskhah sebulan, yakni bilangan yang sangat kecil memandangkan terdapat 2.5 juta orang buta di negara Islam terbesar di dunia itu. Lagipun, orang buta di republik itu rata-ratanya miskin dan tidak mampu memiliki al-Quran braille yang dijual pada harga kira-kira RM450 senaskhah.

Di Malaysia, dianggarkan terdapat kira-kira 65,000 orang buta walaupun hanya sepertiga sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Walaupun harga al-Quran braille di Malaysia lebih murah daripada di Indonesia, namun ia masih sukar diperolehi.

Ini kerana satu-satunya pencetak al-Quran braille tempatan ialah Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), sebuah NGO kecil yang menghadapi kekangan dana dan kakitangan.

Ditubuhkan 30 tahun lalu, Pertis menjalankan kajian selama 15 tahun sebelum memperoleh pengiktirafan dan kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mencetak al-Quran braille. Peranan yang dimainkan NGO ini perlu dihargai.
Mengambil iktibar dan sebagai kelangsungan usaha yang dibuat sejak naskhah pertama dibawa masuk dari Jordan pada tahun 1952, Pertis kini menghasilkan dua naskhah al-Quran braille setiap hari.

Pada peringkat awal, cetakan hanya boleh dibuat pada sebelah kertas sahaja. Oleh kerana ia membabitkan tebukan titik-titik timbul, maka kertas yang digunakan perlu lebih tebal. Bagi senaskhah kitab al-Quran braille, 1,666 helai kertas diperlukan. Dilengkapi dengan 30 jilid mewakili setiap juzuk, ia mengambil masa seminggu untuk disiapkan!

Hari ini, dengan sedikit kecanggihan teknologi, kertas boleh dicetak pada kedua-dua belah, justeru kesemua 30 juzuk boleh dihasilkan dalam 6 jilid sahaja. Sejak 2006, kira-kira 1,000 naskhah telah dicetak dan diagihkan, bukan sahaja di seluruh negara, tetapi juga ke Singapore, Indonesia dan Thailand.

Modal masih jadi faktor utama kepada Pertis. Memandangkan adanya permintaan yang agak besar kepada al-Quran Braille, pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) menzahirkan sokongan kepada Pertis melalui Majlis Kasih Sejuta Harapan, yang dirasmikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) pada 17 Disember.

Pembiayaan diberikan kepada Pertis untuk mencetak lebih banyak al-Quran braille untuk diagihkan kepada lebih ramai orang buta di negara ini. Sejak tahun 2006, ia juga telah diedar ke sekolah-sekolah khas di seluruh negara.

Melalui program JPM ini nanti, kita yakin lebih ramai Muslimin daripada kalangan warga cacat penglihatan yang akan dapat merasa nikmat dapat “membaca” sendiri kitab suci al-Quran, waima melalui sentuhan.

Pertis kini memenuhi permintaan kira-kira 250 naskhah setahun, namun dengan pembiayaan yang bertambah, maka lebih banyak al-Quran Braille yang dapat dicetak dan diagihkan setiap tahun. Ini tentunya bermakna proses pengajaran dan pembelajaran al-Quran Braille akan bertambah giat.

Alhamdulillah, melalui program Kasih Sejuta Harapan, kita lebih dekat ke arah mencapai matlamat 1Orang Buta, 1Quran Braille.

Dr Mashitah menulis

TERSENTAK DI PAGI RAYA
Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri


Pada hari kita menyambut Hari Raya Korban Rabu lalu, terpampang lagi gambar mayat bayi terkorban di dada akhbar. Robek hati bagai disiat, tersekat nafas rasa terkilan, saya tertitis air mata kesedihan di pagi Aidiladha.

Walaupun banyak perbincangan, langkah dan kempen dibuat kepada remaja, gejala ini terus berlaku. Adakah ini cerminan usaha kerajaan, agensi, NGO dan media tidak berjaya dan sia-sia? Atau kita belum menjumpai kaedah berkesan menangani penyakit serius ini.

Pembuangan atau pembunuhan bayi bukan unik kepada negara kita. Ia berlaku di banyak tempat lain, dahulu dan sekarang. Pada zaman Arab jahiliyah, berlaku berleluasa ke atas bayi perempuan (Surah An-Nahl ayat 58-59). Di India, bayi dibunuh kerana masalah kemiskinan. Untuk satu ketika, pembunuhan bayi adalah kebiasaan di China kerana dasar satu keluarga, satu anak.

Di Malaysia bukan kerana kemiskinan, dasar kerajaan atau amalan budaya. Kebanyakan kerana remaja itu buntu fikiran, tidak tahu apa hendak dibuat atau kepada siapa masalah hendak diajukan. Pasangan mereka pula tidak mahu bertanggungjawab. Dalam keadaan panik berseorangan, yang terlintas hanya buang bayi yang dilahirkan.

Bagi yang mampu, mungkin ke klinik swasta atau mencari bidan kampung menggugurkan kandungan. Bagi yang tidak, alternatifnya ialah buang dalam longkang, sungai, tempat pelupusan sampah atau letak di tepi jalan, depan masjid atau rumah orang. Paling ngeri membunuh, melemaskan dan melupuskannya dalam mangkuk tandas atau membakar.

Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, laporan kajian di Lembah Kelang, seorang bayi dibuang setiap 10 hari. Pada 2007, Dewan Negara dimaklumkan 304 bayi dibuang antara 2004 dan 2006. Menurut Jabatan Polis, 472 kes dilaporkan sejak 2005 hingga Ogos 2010 dengan 214 hidup, 258 sudah terkorban. Data Jabatan Pendaftaran Negara pula menunjukkan bilangan bayi didaftarkan lahir tanpa nama bapa antara 2000 dan 2008 ialah 257,000, manakala 2009 sekitar 74,000.

Satu kajian pernah dijalankan penyelidik UKM mendapati bilangan remaja bawah 20 tahun yang mengandung pada 2004 sekitar 1 juta. Ini sungguh mengejutkan. Pasti bukan semua mengandung hasil perkahwinan sah. Justeru, kita boleh bayang berapa ramai bayi lahir hasil hubungan seks pra-perkahwinan dan tentunya sekian ramai diserahkan kepada orang lain sebagai anak angkat atau dibuang.

Pendekatan baru:
Janganlah mereka yang sedang menghadapi masalah diberatkan lagi dengan kemungkinan menghadapi hukuman, sebaliknya perlu digalak supaya membuatkan keputusan lebih berperikemanusiaan iaitu menyerahkan bayi kepada pihak yang sedia menerima. Satu keputusan bijak bermakna satu nyawa terselamat.

Kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa semua 104 Pejabat Kebajikan Masyarakat dan 60 pusat perlindungan seluruh negara bersedia menerima bayi terbuang tanpa apa-apa tindakan diambil ke atas ibu sangat dialu-alukan. Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan supaya anak yang dibuang dilindungi dan dijaga.

Di bawah akta sama, pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh bertindak sebagai pelindung, memberi bantuan kepada sesiapa yang mengandung dan hendak melahirkan anak luar nikah bagi mengelak bayi dibuang. Kemudahan untuk orang awam melaporkan kes ke talian Nur 24 jam juga membantu mengurangkan insiden itu.

Saya memuji pendirian pihak yang lebih menekankan aspek kemanusiaan dalam menangani gejala ini. Mereka mengajak masyarakat agar lebih penyayang, tidak mudah menghukum malah membuka pintu taubat kepada perempuan berzina. Mungkin ada pihak tidak bersetuju, beranggapan pendekatan ini akan menggalakkan gejala berleluasa.

Tindakan bersepadu:
Setakat ini, pendekatan diambil pihak berkuasa bersifat piecemeal. Banyak pihak lepas tangan. Tukang komen memang ramai setiap kali kes ini dipaparkan di media, tetapi tidak banyak sanggup meluangkan masa, tenaga atau menyediakan peruntukan bagi membendungnya.

Masalah buang bayi perlu dilihat, ditangani secara menyeluruh dan holistik sepertimana dadah atau AIDS. Saya percaya ia bermula dari rumah. Sebagai ibu bapa, kita mesti berusaha membentuk keluarga madani, berkasih sayang, beramanah dan bertanggungjawab bagi membentuk individu anak beriman, berakhlak baik dan sentiasa menjaga pergaulan (Surah An-Nur ayat 30-31).

Tumpuan dan usaha juga perlu berterusan, meluas dan membabitkan semua pemegangtarah seperti keluarga, PIBG, guru, golongan agama, agensi dan pegawai kerajaan, tokoh akademik, penyelidik, penggubal undang-undang dan polis. Persatuan belia, NGO, Puteri UMNO dan penuntut universiti melalui program khidmat masyarakat (Opkim) atau Bakti Siswa (Baksis) boleh membantu menanganinya.

Institusi agama perlu disegarkan semula, reformasi pendidikan dipertangkaskan, NGO, media dan bloggers juga perlu diperhebat. Saya menyokong cadangan menubuhkan sebuah Pasukan Bertindak atau Yayasan Perlindungan Ibu dan Bayi. Saya rasa Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau BAKTI adalah antara entiti yang boleh memulakan inisiatif ini dengan menggembleng pakar dan tokoh dalam bidang berkaitan.

Yayasan pula mempunyai ruang mengumpul dana diperlukan untuk aktiviti berkaitan termasuk kempen meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat berhubung gejala ini. Saya rasa banyak syarikat besar termasuk GLC dapat menghulurkan bantuan bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat mereka.

Yayasan ini boleh diterajui isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor atau individu berwibawa yang mampu menarik kepakaran tokoh agama, undang-undang, kesihatan, akademik, penyelidik tempatan dan luar negara untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam usaha mencari kaedah dan cara terbaik membendungnya. Ia juga memberi input kepada kerajaan, Ahli Parlimen, penggubal undang-undang, hospital dan polis andainya peraturan tertentu perlu digubal dan dikuatkuasakan serta penting untuk membaiki Akta Kanak-Kanak 2001.

Di Amerika Syarikat, ada undang-undang yang memberi perlindungan khusus kepada ibu dan bayi. Misalnya Abandoned Newborn Infant Protection Act (Illinois), Safely Surrendered Baby Law dan Safe Haven for Abandoned Babies Act (California). Undang-undang ini, antara lain membolehkan ibu yang tidak boleh menjaga bayinya menyerahkan kepada hospital, klinik atau pusat ditauliahkan. Identiti ibu dirahsiakan dan tiada tindakan diambil dalam tempoh 72 jam kelahiran. Bayi itu akan dijaga dengan baik di pusat berkenaan.

Jika ibu ubah fikiran, dia boleh datang semula mengambil bayinya tanpa sekatan. Tetapi ini mesti dilakukan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh bayi diserahkan. Selepas tempoh ‘cooling off’ dua minggu, jika ibu tidak menuntut semula, bayi itu akan diberi kepada orang lain sebagai anak angkat.

Apakah signifikan peruntukan seperti ini? Di mana undang-undang dan kemudahan sebegini dilaksanakan, statistik menunjukkan bilangan kes buang bayi dan kematian bayi telah menurun.

Satu cabaran besar di Malaysia ialah sifat masyarakat kita yang pelbagai budaya dan agama. Langkah atau kaedah sesuai kepada bukan Islam mungkin tidak boleh diterima masyarakat Islam dan sebaliknya. Justeru Baby Hatch di Petaling Jaya dan Sekolah Harapan di Melaka masing-masing dipuji dan dicaci.

Yang nyata, usaha baik mesti disokong. NGO dan badan sukarela yang banyak memainkan peranan perlu lebih diperkasakan. NGO ini perlu dibantu dengan dana lebih besar dan kemudahan lain seperti latihan/kursus profesional agar boleh melaksanakan tanggungjawab berkesan. Kerajaan tidak boleh mengatasi gejala ini sendirian. Berdasarkan pengalaman, remaja yang mengandung lebih senang dan selesa tinggal di rumah perlindungan diuruskan NGO untuk melahirkan anak berbanding hospital atau klinik.

NGO juga perlu mantapkan jaringan sesama sendiri. Lebih berkesan jika pengalaman, pengetahuan, kepakaran, kemudahan dan sumber dapat dikongsi. Ini kerana, fungsi dan matlamat semua NGO adalah sama iaitu berorientasikan kebajikan untuk golongan memerlukan bantuan.