Ahad, 15 Mei 2011

Dr Yusuf al-Qardawi jadi alat Anwar

Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terdesak dalam usaha melepaskan dirinya daripada isu video seks yang mirip wajah beliau, apabila cuba mengheret Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Profesor Dr Yusuf al-Qardawi terlibat sama dalam kesnya itu.

Walaupun belum ada cubaan daripada mana-mana pihak untuk mendakwanya ke Mahkamah Syariah kerana isu video seks itu masih dalam siasatan polis, tetapi Anwar sudah gelabah dan takut pada bayang-bayang sendiri.

Sejauhmana kesanggupan Dr Yusuf datang ke Malaysia semata-mata untuk menjadi saksi kepada Anwar sekiranya ada dakwaan ke atas pemimpin yang bercita-cita tinggi itu, belum diketahui dengan jelas.

Setakat ini, ‘kesanggupan’ dr Yusuf itu hanya diuar-uarkan oleh Anwar dalam majlis perasmian Pusat Kegiatan dan Markas Pakatan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, di Kuala Pilah, bukan datang daripada mulut ulamak itu.

Persoalannya, kenapa Anwar tiba-tiba mencari Dr Yusuf? Apa yang akan Dr Yusuf jawab dalam mahkamah nanti? Adakah dia akan mengatakan pelaku itu bukan Anwar? Dakah dia menjadi saksi melihat kejadian itu?

Kalau Dr Yusuf datang ke mahkamah sebagai saksi dan mengatakan Anwar tidak bersalah, apakah asas dan alas an munasabah untuk menidakkan penglibatan Anwar? Nak tak nak, beliau terpaksa menonton klik video itu dan memerhatikan dengan teliti wajah lelaki yang secara romantic menerjah pelacur dari Negara China itu.

Dr Yusuf seorang ulamak terkenal di dunia. Beliau tentu mempunyai alas an tersendiri sebelum memberi kesanggupan menjadi saksi. Dalam Islam, sebelum suspek dituduh berzina, pendakwa mesti mengemukakan empat saksi.

Tetapi dalam kes ini, tidak ada pendakwa dan Anwar tidak didakwa di Mahkamah Syariah. Tambahan pula, Anwar hendak mengemukakan seorang saksi. Di mana tiga saksi lagi bagi pihaknya? Dan siapakah mereka? Adakah tiga lagi itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Lim Guan Eng? Atau saksi itu ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Azmin Ali?

Kenapa beliau tidak menafikan saja penglibatannya dalam video seks itu dengan turut melakukan sumpah laknat bagi menidakkan dakwaan trio Datuk T, bahawa pelaku dalam rakaman video itu bukan dirinya?

Lagipun, isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah berkali-kali membuat penafian. Wan Azizah dalam sidang medianya mengatakan, lelaki dalam video seks itu bukan Anwar, dan mendakwa jam tangan Omega milik Anwar yang dikatakan tertinggal dalam bilik hotel itu, ada padanya.

Itu sudah cukup untuk dijadikan bukti, kalau Anwar benar-benar berani berbuat demikian. Kenapa perlu mengheret Dr Yusuf yang tidak tahu menahu dalam kes itu dan bukan tinggal di Malaysia pun ketika kejadian itu dikatakan berlaku.

Menurut Anwar, Dr Yusuf ada menasihatkannya supaya bersabar dan beristiqamah dengan semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. Bersabar dan beristiqamah sahajalah. Kenapa perlu memujuk ulamak itu untuk menjadi saksi atas perbuatan terkutuknya itu.

Selain itu, dengan angkuhnya Anwar memberitahu, seorang lagi ulama besar Islam, Dr Wahbah az-Zuhaily dikatakan bersedia mengimamkan solat hajat berhubung tuduhan itu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Selayang, Kuala Lumpur, hujung minggu ini.

“Mungkin sebab itu pihak lawan marah sangat, sebab perjuangan saya menentang gelombang fitnah mendapat sokongan ulama-ulama terkemuka dalam dunia Islam,” kata Anwar mendabik dada, kononnya beliau disanjungi ulamak terkemuka dunia.

Kita tunggu dan lihat sahaja apa yang berlaku. Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Melihat dan Allah Maha Mendengar. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa ulamak terkemuka dunia Islam itu dalam solat hajatnya itu.

Soal Anwar dikenali ulamak terkemuka dunia Islam, itu hak dia, sebab dia bijak mempergunakan Islam untuk menampakkan imej baik pada mata ulamak berkenaan, tetapi hakikatnya, beliau sudah tidak disanjungi oleh rakyat tempatan lagi.

“Ini soal hukum, soal syariat. Bukan jerit- jerit, sumpah-sumpah tepi jalan. Ada syaratnya, rujuk ke Mahkamah Syariah, ” kata Anwar lagi merujuk demonstrasi badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat laporan polis berhubung klik video seks yang dikaitkan dengan lelaki mirip wajahnya.

Beliau juga memperlekehkan tindakan Datuk Eskay yang melakukan sumpah laknat pada Jumaat dua minggu lalu. Orang yang memegang al-Quran dan bersumpah di masjid dikatakan Anwar sebagai sumpah-sumpah tepi jalan.

Begitulah Anwar, sewenang-wenangnya menghina kesucian al-Quran dan masjid, apabila cuba menyamakan apa yang dilakukan bekas sahabat baiknya itu dengan suatu benda yang kotor.

Sama-samalah kita lihat apa kesudahan perangai Anwar. Nescaya bala Allah tetap akan turun, hanya lambat cepat sahaja.

Khamis, 12 Mei 2011

Anwar terhutang budi kepada Abdul Hadi, Nik Aziz

Selepas ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah selesai menyempurnakan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada 29 April lalu, timbul pula cabaran daripada seorang Pas memintanya menjalani ujian poligraf bagi membuktikan bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bercakap benar.

Cabaran yang dibuat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa itu disahut tanpa berbelah bahagi oleh Eskay, yang turut meminta Anwar menjalani ujian itu bersamanya dengan televisyen menyiarkannya secara langsung bagi menunjukkan kepada dunia siapa yang benar dan berbohong.

“Saya menyambut cabaran pimpinan Pas supaya mengambil ujian poligraf bagi memastikan saya tidak bercakap bohong. Saya juga mahu Anwar turut menjalani ujian itu. Saya mahu prosedur itu disiarkan secara langsung di televisyen.

“Saya mahu dunia lihat siapa yang benar dan berbohong,” kata Eskay pada Selalu lalu sebagai reaksi kepada kenyataan Husam yang mahukan trio Datuk T itu menjalani ujian bagi membuktikan mereka bercakap benar.

Cabaran Husam itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat terutama beragama Islam. Mereka menganggap pemimpin dalam parti yang memperjuangkan Islam itu lebih mempercayai mesin buatan manusia berbanding kitab suci al-Quran.

Eskay telah melafazkan sumpah laknat dengan menyebut Wallahi Wabillahi Watallahi sambil memegang senaskhah al-Quran bagi membuktikan kepada rakyat bahawa pelaku dalam rakaman video seks itu adalah Ketua Pembangkang.

Beliau bersama bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim pada 21 Mac lalu, mendedahkan kepada sekumpulan wartawan rakaman video kontroversi yang pelakunya mirip Anwar sedang melakukan hubungan seks dengan pelacur dari China.

Husam yang dipetik dari sebuah akhbar berkata, Datuk T perlu menjalani ujian berkenaan bagi membuktikan bahawa mereka tidak melakukan pendedahan semata-mata untuk kepentingan politik murahan mereka.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Husam, Shazryl Eskay berkata, itu membuktikan bahawa pemimpin Pas sedia menerima bukti secara saintifik.

"Itu menunjukkan mereka sanggup menerima rakaman video itu sebagai bukti. Mereka juga perlu terima bukti DNA dan kaedah saintifik bagi mengenal pasti lelaki dalam video itu," ujarnya.

Walaupun trio Datuk T menunjukkan bukti klik video dan Eskay mengakui berada dalam bilik tempat pelakunya mirip Anwar melakukan hubungan seks, di samping turut memegang jam tangan Omega yang didakwa milik Ketua Pembangkang itu, namun Anwar lebih selesa membuat penafian secara lisan, bukan imbal balas secara sumpah laknat.

Anwar yang dilihat tidak langsung mempedulikan tuduhan itu turut mendapat sokongan kuat daripada rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Kedua-dua pemimpin tertinggi Pas ini tetap menafikan Anwar terlibat dalam tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan melanggan pelacur China sebagaimana terkandung dalam klik video seks yang didedahkan trio Datuk T bulan lalu.

Abdul Hadi berkata, agenda Pas ketika ini ialah bersama PR untuk menawan Malaysia daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini, manakala Nik Abdul aziz pula menganggap video seks itu sebagai meragukan.

Sungguhpun kedua-duanya belum melihat rakaman klik video seks itu, mereka tetap dengan pendirian mengatakan pelakunya bukan Anwar.

“Sebelum ini saya dengar ada pemimpin PR ketika berceramah menjelaskan video itu bukan Anwar. Kalau betul nak kenakan Anwar, kena fokus pada muka, bukan pada tubuh, itu caranya,” kata Nik Abdul Aziz ketika berceramah di Kampung Parang Putting, Kota Bharu, Kelantan, Sabtu malam.

Anwar turut bersama Menteri Besar Kelantan pada ceramah itu, tetapi kedua-duanya tidak mengulas tindakan bersumpah laknat yang dibuat oleh Eskay. Mungkin bimbang kejadian sama berulang sebagaimana dialami Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika turun berkempen di satu kawasan pedalaman di Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini.

Ketua kampung itu bertanyakan Anwar mengenai jam tangan Omega. Tidak semena-mena Anwar melenting dan marah-marah sehingga meninggalkan majlis beliau bersama penduduk di situ. Mungkin takut hal yang sama berulang, beliau dan Nik Abdul Aziz tidak mahu menyentuh isu itu.

Bukan perkara pelik jika pemimpin Pas memberi seribu satu alasan dalam usahanya membela Anwar kerana mereka tahu hanya Ketua Pembangkang itu yang mempunyai potensi untuk menarik sokongan rakyat memberi kemenangan kepada PR, sekali gus mencapaikan angan-angan Mat Jenin untuk menakluk Putrajaya.

Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz tahu, pengaruh mereka berdua tidak sekuat Anwar. Justeru, demi untuk mencapai cita-cita peribadi, mereka terpaksa juga memberi sokongan kepada Anwar dengan harapan isu video seks dan kes tuduhan liwat Ketua Pembangkang yang hangat ketika ini sekurang-kurangnya menarik simpati rakyat untuk memberi sokongan kepada mereka.

Benarkah rakyat makin simpati kepada PR? Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, bekas bossnya itu sememangnya pakar untuk mengalihkan sebarang tuduhan dan isu yang dihadapinya bagi meraih simpati rakyat.

Katanya, beliau lama mengenali pemimpin itu yang sememangnya akan berdiam diri apabila menghadapi sebarang tuduhan mellibatkan dirinya. “Paling tidak pun, beliau akan mengalih perhatian umum dengan memainkan isu lain hingga rakyat terlupa tuduhan yang dihadapi beliau,” kata Anuar.

Belum reda dengan isu rakaman video seks, Eskay pada Selasa tampil dengan kenyataan baru yang dijangka bertambah kelam masa depan Anwar kerana satu lagi pendedahan menggemparkan negara akan dilakukannya.

Menurut Shazryl Eskay, pendedahan itu kelak, mempunyai implikasi yang jauh lebih besar berbanding rakaman video seks yang wajah pelakunya mirip Anwar kerana ia dikatakan melibatkan soal negara.

“Apa yang saya boleh beritahu ia pendedahan yang cukup besar. Implikasinya jauh lebih besar berbanding rakaman video seks Anwar. Perkara ini melibatkan kepentingan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Apakah bentuk salah laku Ketua Pembangkang itu, sama-sama kita tunggu episode akan datang.

Selasa, 10 Mei 2011

AL-FATIHAH KEPADA SIFU

Aktivis seni, Aimi Jarr meninggal dunia
10/05/2011 12:11pm

KUALA LUMPUR 10 mei - Aktivis seni, Aimi Jarr atau nama sebenar, Datuk Omar @ Abd. Majid Puteh, 72, meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 7 pagi tadi.

Allahyarham yang merupakan bekas Penyunting Berita di Utusan Malaysia pernah memenangi Anugerah Lakon Layar Terbaik Festival Filem Malaysia ke-2 akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate selepas solat Zohor petang ini. - Utusan

NOTE: Semua nota bagaimana hendak menjadi wartawan yang aku belajar dari Allahyarham masih ada dalam simpanan, walaupun sudah bertempoh 27 tahun. Kepada keluarga Allahyarham, semoga tabah menghadapi kehilangan insan tersayang. Dan kepada Sifu, aku doakan semoga roh mu ditempatkan bersama para solihin. Amin.

Ahad, 8 Mei 2011

Selamat Hari Ibu

Assalamualaikum Chek (panggilan kepada ibuku).

Selamat Hari Ibu kepada Chek. Walaupun ini pertama kali aku ucapkan, tetapi untuk pengetahuan Chek, aku sentiasa mengingati dan mendoakan kesejahteraan Chek dan ayah. Cuma hari ini, kerana kerajaan mahu anak-anak mengenang jasa dan pengorbanan mu, lalu diperkenalkan Sambutan Hari Ibu.

Aku tumpang gembira dengan keprihatinan kerajaan menetapkan satu hari daripada 365 hari dalam setahun untuk meraikan jasa dan pengorbanan mu. Hari itu telah ditetapkan pada 8hb Mei setiap tahun.

Baguslah, sekurang-kurangnya bagi anak-anak yang sibuk dengan kerjaya sehingga lupa kepada mu, tiba-tiba turut bersama-sama dengan anak-anak yang lain untuk mengucapkan selamat Hari Ibu kepada mu.

Dan aku, antara anak yang sudah meningkat dewasa dalam keluarga mu turut bersama mereka hendak mengucapkan selamat Hari Ibu kepada mu.

Chek!
Jasa mu dan pengorbanan mu tidak sama sekali aku lupakan. Bagaimana kita hidup dalam golongan keluarga miskin dan kebetulan aku serta adik beradik yang lain dilahirkan ketika kau dan ayah dalam kesukaran hidup, aku tidak pernah memberontak, malah tetap redha dan berasa amat bahagia sekali.

Lebih-lebih lagi, aku masih ingat bagaimana kau menanak nasi, merebus kepala ikan masin dan menjual botol untuk membeli sebotol kicap, demi memastikan anak-anak mu tidak kelaparan ketika berada di sekolah.

Walaupun kau sedar anak-anak mu mengalami kesukaran menelan biji nasi yang dikepal-kepal halus supaya dapat dikunyah dan ditelan, kau dengan sifat keibuan tetap memberi semangat kepada kami.

Kami langsung tidak memberontak Chek. Kami tahu kami dilahirkan dalam keluarga yang susah (miskin), kenapa kami perlu merintih dan mengeluh? Kami sedar, ketika itu kami berada di era 60-an.

Allah Maha Adil Chek. Atas usaha keras ayah membanting tulang mencari rezeki halal, dan semangat kental Chek mengambil upah membasuh pakaian jiran, akhirnya kehidupan kita mengalami sedikit perubahan, walaupun tidak semewah jiran-jiran.

Kami berasa gembira ketika itu kerana dapat menelan nasi berlaukkan hati dan pedal ayam atau jarang-jarang sekali merasa daging cincang goreng berperisa kunyit dan garam buku. (Daging cincang ialah daging yang melekat pada belulang).

Terima kasih Chek kerana era tahun 70-an aku dan adik beradik yang lain mula mengenal erti kesusahan. Aku mula memasuki alam persekolahan dengan berbekalkan wang saku berjumlah 5 sen.

Ketika itu dengan 5 sen, aku dapat beli sepinggan nasi lemak dan sirap. Aku tidak pernah merungut dengan wang saku sebanyak itu, kerana aku sedar setiap pagi Chek terpaksa mengorek tabung buluh untuk mendapatkan 15 sen untuk diberikan kepada kakak, abang dan aku sebagai perbelanjaan di sekolah.

Aku sedar isi dalam tabung buluh yang disimpan kemas oleh Chek di bawah katil bilik tidurnya tidaklah sebanyak yang disangka. Kalau setiap pagi dikorek 15 sen sehari selama lima hari seminggu, sudah tentu lama kelamaan tabung itu akan berkurangan.

Justeru Chek, aku dan adik beradik lain memahami masalah yang Chek dan ayah hadapi. Kami sedar, dengan gaji ayah sebagai buruh di Jabatan Parit dan Taliair - JPT (sekarang Jabatan Pengairan dan Saliran - JPS) sebanyak RM70 sebulan, sudah tentu kami perlu berjimat cermat.

Dengan wang itulah digunakan untuk membeli barang keperluan dapur, pakaian harian, pakaian sekolah, beli buku teks, buku tulis, alat tulis, beg sekolah dan yang penting sekali sebagai persediaan membeli alat ganti basikal, iaitu kenderaan utama kegunaan ayah berulang alik dari rumah di Pasir Mas ke tempat kerja di sekitar Tumpat, yang jaraknya lebih kurang 30 kilometer.

Maknanya, ayah mengayuh basikal sejauh 60 kilometer sehari, pergi dan balik. Itu tidak termasuk mengayuh basikal ke tempat kerja membersih batas tali air. Kau turun rumah ketika kami masih tidur dan kau pulang ke rumah dalam keadaan penat dan berpeluh busuk ketika kami baru hendak melelapkan mata.

Itulah pengorbanan Chek dan ayah yang aku masih ingat dan tetap tidak akan lupakan.

Di era 80-an, aku, kakak dan abang sudah mula celik dan tidak berdiam diri dengan kedaifan hidup. Aku sudah mendapat pekerjaan, selepas abang berada di perbatasan sebagai anggota tentera.

Kehidupan kami mula mengalami sedikit lagi perubahan. Sungguh pun ayah masih berbasikal ke tempat kerja, tetapi kami berpeluang membeli basikal baru kepadanya dengan harapan kayuhannya lebih selesa dan punggungnya yang sudah haus itu dapat menikmati kelembutan pelana berlapik span.

Begitulah aku dan adik beradik mengalami reformasi kehidupan hasil penjagaan rapi Chek dan ayah.

Hari ini, selepas semua anak-anak mu sudah dewasa, kami tidak mahu lagi melihat Chek dan ayah bersusah payah mencari rezeki untuk sesuap nasi. Biar giliran kami pula menabur jasa mu berdua.

Chek dan ayah duduklah di rumah, tak perlu melakukan kerja lagi. Habiskanlah sisa hidup mu dengan beramal ibadat. Segala makan minum kamu berdua, biar kami yang tanggung.

SELAMAT HARI IBU CHEK. Maafkan anak mu ni. Ampunkan dosa-dosa lampau ku. Halalkan makan minum ku. Maafkan aku jika terkasar bahasa.

Sabtu, 7 Mei 2011

Sudah sudah lah Bob - cermin diri tu dulu..

BENARKAH dunia hiburan penuh dengan hipokrasi? Bekas pelawak, Bob Lokman, beberapa hari lalu telah memberikan sebab mengapa beliau keluar dari dunia hiburan. Katanya, beliau sudah insaf dan tidak mahu bergelumang dengan dunia hiburan yang hipokrit. Sebab itulah beliau masuk parti politik yang gunakan lambang Islam.

Wah! Betul ke dunia hiburan begitu? Saya jadi risau, sekalipun bagi saya Bob bukanlah nama besar, tapi jika benarlah apa yang dikata itu, bermakna dunia hiburan itu tidak membawa kebaikan juga kepada artis-artis yang berada di dalamnya.

Lalu, saya tanyakan soalan ini kepada seniman yang sudah berkecimpung lebih 35 tahun di dalamnya, Jamal Abdillah.

Apa lagi, Jamal bukan main berang dengan kenyataan Bob itu yang katanya adalah 'cakap-cakap dari seseorang yang kehabisan modal.'

'Kita ini tak bolehlah cakap ikut suka. Soal hipokrasi ada di mana-mana, dalam apa jua bidang. Dalam dunia politik itu sendiri yang disertai oleh Bob hari ini, apakah tidak ada hipokrasi?' tanya Jamal.

Mungkin ada yang keliru dan masih terpinga-pinga apa sebenarnya yang berlaku.

Untuk pengetahuan anda, Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 47 tahun, baru-baru ini telah mengumumkan keluar dari dunia hiburan untuk menjadi ahli parti PAS.

Apabila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, kata bekas pelawak itu, beliau tidak mahu hidup dalam kepura-puraan dunia hiburan. Beliau sekarang ini bergerak dengan parti tersebut mengadakan ceramah di sana-sini.

Dalam satu temubual yang dibuat oleh sebuah laman portal minggu ini, Bob memberitahu beliau keluar atas sebab-sebab itu - dunia hiburan yang hipokrasi dan beliau sudah insaf. Beliau turut menyalahkan sistem yang tidak betul.

Menyalahkan dunia hiburan 100 peratus tentulah mengundang reaksi yang tidak menyenangkan.

Lebih-lebih lagi dunia hiburan telah memberikan nafas dan kehidupan serta rezeki yang tidak putus-putus bagi sebilangan besar artis.

Kerana itu, Jamal, 52 tahun, tidak berpuas hati dengan komen Bob yang mahu bekas pelawak itu melihat dengan lebih rasional dan matang, bukan menyalahkan industri.

'Lazimnya orang yang salahkan orang lain, sebenarnya mahu lari daripada menyalahkan dirinya sendiri. Kerana, orang yang menyalahkan orang lain hanya untuk menutupi kelemahan kerana diri sendiri ada kekurangan.

'Jika kita sudah tidak mampu bersaing dengan orang lain, janganlah salahkan industri. Bagi saya, beliau sudah tidak ada apa untuk ditawarkan kepada industri' kata Jamal.

Lalu, tambahnya, soal hipokrit tidak timbul kerana terpulang pada manusia itu sendiri untuk hidup secara pura-pura atau tidak.

'Hipokrit itu sendiri sebenarnya apa? Ia adalah orang yang melakukan dosa tapi berlagak baik dan dalam dunia yang dimasuki oleh Bob sekarang ini, perkara begitu banyak berlaku dengan jelas.

'Hari ini, ada orang cakap soal agama, soal hadis, tetapi hakikatnya, dialah orang yang paling tidak boleh dipercayai.

'Ini memang ada dalam dunia politik sedangkan dalam dunia hiburan, kita menghasilkan lagu atau karya yang mengajak pada keamanan, kecintaan dan sayang menyayangi. Di dalamnya ada perpaduan, ada seruan untuk hidup harmoni.

'Dan semua ini kita nyanyikan untuk didengari dan dihayati oleh setiap masyarakat, tidak kira apa anutan politiknya,' terang Jamal yang kesal dengan kenyataan Bob.

'Saya ingin bertanya, apakah dalam bidang yang dia ceburi hari ini, dia tidak terhindar dari memburuk-burukkan orang dan menanamkan sifat-sifat benci serta memecah-belahkan ummah, adakah itu betul?

'Saya ini orang yang melalui banyak suka duka, tapi saya tidak salahkan industri tempat saya cari makan selama ini. Kita salahkan diri sendiri. Ini yang saya belajar di Rumah Pengasih, tempat saya tinggal sehingga kini, bahawa bila kita sudah tidak ada apa, kita akan salahkan orang lain,' kata Jamal.

Itu baru komen Jamal, belum lagi Datuk Siti Nurhaliza atau seniman-seniman veteran lain yang masih aktif dalam dunia hiburan sehingga kini. Saya percaya orang seperti Datuk Ahmad Jais, Datuk Aziz Sattar, Datuk Yusuf Haslam dan ramai lagi yang masih berkecimpung dalam industri ini sudah ada jawaban tersendiri pada komen Bob ini.

Cuma saya ingin bertanya, apakah jaminan yang dunia baru Bob hari ini tidak terlepas dari hipokrasi? Jangan terlepas dari mulut harimau, masuk ke mulut naga.-BHS (AGENDADAILY)

Isnin, 2 Mei 2011

Alahai jambatan kedua Kota Bharu-Tumpat

MZ:
Dua tahun lalu, dalam ruangan Sekilas Pandang Sinar Harian, aku ada mempersoalkan kerja kerja menyiapkan jambatan kedua, Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan Kota Bharu-Tumpat.

Selepas artikel itu tersiar, aku menerima teguran daripada pemimpin UMNO Kelantan, yang mengecapkan aku sebagai salah seorang penyokong pembangkang dan sengaja menggunakan surat khabar tempat aku bekerja untuk menjatuh dan merendah-rendahkan reputasi UMNO Kelantan.

Aku beristigfar, sambil mengeluh dan mengeleng kepala memikirkan ketidak cerdikan pemimpin UMNO Kelantan yang sesedap hati mengecapkan aku ni penyokong pembangkang, hanya kerana aku menulis mengenai kelemahan Kerajaan Persekutuan menyiapkan jambatan kedua itu yang diberi jaminan oleh (bekas) Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan (bekas) Menteri Kerja Raya, Samy Vellu bahawa jambatan itu akan siap dalam tempoh hampir dua tahun dari ia dilancarkan.

Namun, kini kerja kerjanya sudah berlarutan hampir empat tahun. Maknanya lebih dua tahun prosesnya mengalami kelewatan. Ia adalah suatu jangkamasa yang cukup panjang dan lama bagi rakyat Kelantan.

Aku mahu buat perbandingan antara projek pembinaan jambatan kedua Kota Bharu-Tumpat itu dengan projek pembinaan Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA).

Ketika aku mula menjejakkan kaki ke Shah Alam Februari 2008, kerja-kerja awal menyoyok laluan sedang dijalankan. Hampir dua tahun aku berulang alik dari rumah sewa ke pejabat di Seksyen 15 dalam keadaan berdebu, kesesakan trafik dan serba kepayahan kerana kesan daripada kerja membina LKSA.

Setiap bulan dari Februari 2008 hingga April 2011, ada luang cuti saja, aku balik ke Pasir Mas. Di sana, aku sempat melawat atau meninjau perkembangan pembinaan jambatan kedua itu dengan pembinaan lebuh raya LKSA.

Tahun 2009, sepatutnya jambatan kedua itu sudah cecah 60 atau 70 peratus siap, tetapi malangnya, keadaan masih belum nampak ada tanda tanda kerja dilakukan, melainkan kesan cerucuk yang sudah berkarat dimamah usia.

Tahun 2009 juga di Shah Alam, LKSA sudah 50 peratus siap. Debu dan lumpur tidak lagi kelihatan kerana kerja kerja mencuci dilakukan serentak dengan proses lain.

Tahun 2010, pun kesan pembinaan jambatan kedua masih tidak berubah, walaupun sudah ada proses pnyambungan kerja. Namun, peratusan siap jauh mendukacitakan. Ia tidak sebagaimana digambarkan oleh pihak berkenaan. Menghampakan. Rakyat Kelantan masih lagi menempuh kesesakan lalu lintas setiap kali melalui jambatan itu.

Pertengahan 2010, LKSA sepanjang hampir enam kilometer dan mempunyai tiga jambatan, termasuk satu jambatan bulat sudah siap sepenuhnya. Perasmiannya dilakukan oleh Menteri Kerja Raya yang baru. Yang menggantikan Samy Vellu. Sekarang, pihak konsesi Lebuh Raya sedang memungut hasil daripada tol tol yang dikenakan.

Tetapi, yang terbaru aku balik ke Kelantan pada pertengahan April lalu, aku masih melakukan tinjauan sendirian ke tapak projek jambatan kedua itu. Keadaannya masih mendukacitakan dan aku sendiri tidak dapat membuat andaian bila jambatan itu akan siap, sehinggalah aku baca berita hari ini (2hb Mei 2011), Tok Pa kata jambatan kedua itu akan siap pertengahan tahun depan.

Alasannya, ada masalah teknikal iaitu proses pengambilan tanah sepanjang 1.3 kilometer yang terbantut.

Persoalannya, kenapa selepas tiga tahun pihak berkenaan menghadapi masalah pengambilan tanah? Kenapa ia tidak berlaku ketika mula-mula pihak berkenaan merancang hendak membina jambatan itu?

Lagi pun, alasan pertama yang diberikan ketika saya mengkritik dalam artikel 2009 itu, tidak dinyata pun masalah pengambilan tanah, melainkan ada masalah dengan kontraktor pertama.

Apapun, rakyat Kelantan sedang membuat penilaian antara janji kerajaan UMNO dengan kerajaan Pas Kelantan.

-----------------------------BERITA JAMBATAN KEDUA --------------------------------

KOTA BARU: Pembinaan jambatan kedua Jambatan Sultan Yahya Petra sepanjang 800 meter bernilai RM157 juta, yang menghubungkan Kota Baharu dan Wakaf Baharu, Tumpat dijangka siap pertengahan tahun depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pembinaan jambatan, yang dimulakan pada Jun 2007 sepatutnya siap pada Disember 2009, dan kemudian dilanjutkan kepada Ogos tahun ini akan hanya dapat disiapkan tahun depan berikutan beberapa masalah teknikal.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata akibat masalah teknikal itu, pihak pengurusan projek meminta tambahan masa bagi menyiapkan projek dan kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh projek itu, yang kini baru 63 peratus siap.

Antara masalah utama adalah masalah pengambilan tanah seluas 1.3 kilometer persegi di sini yang masih belum selesai hingga melewatkan permulaan projek dan pemasangan paip air, paip Tenaga Nasional Berhad dan Telekom pada jambatan.

Selain itu, masalah ketinggian tiang yang dipacak di dalam sungai didapati tidak mencukupi paras ketinggian yang diperlukan, katanya kepada kepada pemberita selepas melawat tapak projek jambatan itu, di sini Isnin.

Mustapa turut diberi taklimat oleh pihak pengurus projek, Syarikat Konsortium Is-Ris Resources Sdn Bhd, Jabatan Kerja Raya dan kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan.

"Kita memandang berat kelewatan ini yang sering dibangkitkan dalam mesyuarat MTPN dan juga rungutan rakyat Kelantan yang menggunakan jambatan itu. Kita harap rakyat bersabar," katanya.

Mustapa berkata pembinaan jambatan itu, bagaimanapun, lebih efisien berbanding projek kerajaan negeri pimpinan PAS yang ingin membina sebuah jambatan baru bagi menyambungkan Kampung Cina di Kota Baharu dan Palekbang, Tumpat, dengan peletakan batu asasnya dilakukan 10 tahun lalu namun sehingga kini belum dilaksanakan.- BERNAMA

Ahad, 1 Mei 2011

Tak sedar diri - bagai lepas anjing tersepit

MZ:
Aku tak berani nak kata mulut aku ni masin, tetapi hakikatnya Allah sentiasa memberi petunjuk kepada aku setiap kali aku menzahirkan yang tersurat dan tersirat dalam artikel aku yang lepas-lepas.

Banyak juga apa yang aku harapkan, cadangkan dan impinkan telah menjadi kenyataan. Sama ada berlaku secara sedar atau tidak, secara sengaja atau tidak dan secara kebetulan atau tidak, ia benar-benar berlaku, walaupun tidak seratus peratus kejadiannya tepat.

Yang terbaru, dalam sebuah laman sosial tidak lama dulu, aku pernah mencoretkan sebuah pengharapan dan cadangan kepada kerajaan supaya mengkaji semula perlembagaan yang ada.

Kajian itu perlu kerana aku sudah bosan dengan karenah yang ditunjukkan oleh pemimpin Cina dan masyarakat India di negara ini. Setiap masa, mereka asyik mendesak kerajaan supaya memberi keutamaan kepada mereka.

Sedangkan, mereka sudah mendapat apa yang mereka mahu di bumi Malaysia ini. Bisnes? Mereka menguasai di mana-mana kompleks beli belah. Universiti? Mereka menguasa hampir keseluruhan universiti swasta.

Projek? Banyak projek projek besar di negara ini mereka yang dapat. Contohnya, PKFZ. Rumah atau kediaman? Hampir 80 peratus rumah mewah dan mahal di seluruh negara, mereka yang layak membelinya.

Jadi, apa lagi yang mereka mahu? Mereka mahu kerajaan menghentikan fasa keistimewaan orang Melayu yang terkandung dalam perlembagaan. Alasannya, mereka kata, fasa itu boleh menyebabkan Melayu membenci kepada Cina.

Benci? Bila masa Melayu benci dan dengki kepada Cina? Setakat ini, apa yang berlaku Melayu tidak pernah benci atau dengki pada Cina, MELAINKAN, Melayu benci dan marah kepada Cina kerana mereka semakin mengada-gada.

Melayu tatang Cina bagaikan menantang minyak yang penuh. Memberi minum susu, letakkan karpet merah supaya kaki mereka tidak kotor, tetapi bagai melepas anjing tersepit, mereka gigit Melayu secara halus.

Ini yang menyebabkan Melayu marah dan benci. Bukan dengki dengan kejayaan yang mereka capai, tetapi marah dan benci dengan sikap melampau mereka menuntut yang bukan-bukan.

Justeru, aku dengan rasa yang agak sikit marah, aku mencadangkan kepada kerajaan supaya pemilihan wakil rakyat akan datang semuanya Melayu, tidak ada seorang pun dalam kalangan Cina dan India.

Mereka boleh menjadi pemimpin, tetapi di peringkat JKKK, bukan di peringkat ADUN atau Parlimen, kerana apa yang berlaku sekarang sangat-sangat mendukacitakan.

Tidak ada seorang pun Ahli Parlimen dan ADUN Cina atau India memberi sokongan kepada Melayu UMNO. Mereka kini lebih cenderung menyokong Melayu pembangkang, selain nerkomplot dengan rakan sebangsa, DAP.