Isnin, 6 Mei 2013

PRU-13: Ghani, Ali, Nong Cik, Mat Sabu, Salahuddin, Saifuddin, Husam tewas

KUALA LUMPUR 6 Mei - Seorang Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri iaitu Datuk Abdul Ghani Othman dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam selain masing-masing Timbalan serta dua Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu serta Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa antara yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Selain itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail juga menerima nasib yang sama.

PRU-13: Rasmi - Keputusan Penuh DUN, BN berjaya perintah 9 negeri, rampas Kedah

PERLIS: BN (13), Pas (1), PKR (1) - BN memerintah

KEDAH: BN (21), Pas (8), PKR (3) - DAP (2) - BN memerintah

KELANTAN: BN (12), Pas (32), PKR (1) - Pas memerintah

PRU-13: Othman Abdul hadiahkan kekalahan hatrik buat Mat Sabu

PENDANG 6 Mei - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Abdul menghadiahkan hatrik kalah pada pilihan raya umum (PRU) kepada Mohamad Sabu apabila mengalahkan Timbalan Presiden Pas itu di kerusi Parlimen Pendang pada PRU Ke-13.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kalah dalam dua PRU bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah pada 2004 dan Parlimen Kuala Terengganu pada 2008.

Othman, 62, memperoleh 32,165 undi, menang dengan majoriti 2,638 undi. Pendang adalah antara kubu kuat Pas di Kedah yang dikuasai parti itu sejak memenanginya pada PRU 2004 dan 2008.

Othman pernah menang di kerusi Parlimen Pendang pada PRU 1986, 1990 dan 1995. Beliau tewas kepada Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada PRU 1999 tetapi menang semula pada pilihan raya kecil 2002 berikutan kematian Fadzil. Beliau tidak bertanding pada PRU 2004 dan 2008.

Othman dan Mat Sabu tidak hadir semasa Pegawai Pengurus Parlimen Pendang, Md. Nordin Yahya mengumumkan keputusan di Dewan Al-Marbawi, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang kira-kira pukul 11.25 malam.

Hanya penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob daripada BN yang mengekalkan kerusinya sahaja yang hadir.

Datuk Mohamad Taulan Rasul daripada Pas yang turut mengekalkan kerusi DUN Tokai sejak 2004 juga tidak hadir.

Di luar dewan, sekumpulan golongan muda penyokong Pas cuba menimbulkan kekacauan tetapi dapat ditenangkan oleh pemimpin parti setelah diberi amaran oleh polis sebelum mengambil tindakan.

Suraya yang sempat ditemui berkata, beliau mungkin bertuah kerana merupakan penyandang selain banyak dibantu oleh populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak.

Katanya bilangan pengundi wanita yang melebihi lelaki, dijadikan kumpulan sasar untuk meraih undi namun agak hampa kerana undi yang diperoleh calon Pas juga meningkat.

"Ini yang perlu dilihat dan diperincikan mengapa ia terjadi. Walaupun majoriti saya peroleh meningkat," katanya.

Mengenai kemenangan Othman, Suraya yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pendang berkata, bekas ahli Parlimen Pendang itu masih mempunyai pengaruh kuat dan dipandang tinggi oleh masyarakat di Pendang.

Pada pertandingan empat penjuru di kerusi DUN Sungai Tiang, Suraya menang dengan majoriti 6,994 undi, menewaskan calon Pas Fadzil Baharum; calon Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Charean Isen; dan calon Bebas, Rosli Omar. - BERNAMA

PRU-13: Rasmi - Keputusan penuh, BN menang 133 kerusi Parlimen, pakatan 89

KUALA LUMPUR 6 Mei - Keputusan penuh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 133 kerusi Parlimen manakala pakatan pembangkang mendapat 89 kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan bahawa BN berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dengan majoriti mudah apabila memenangi kerusi ke-112 pada pukul 11.50 tengah malam tadi.

Ia berdasarkan laporan keputusan rasmi SPR yang disiarkan menerusi laman web: 
resultpru13.spr.gov.my/module/keputusan/paparan/5_KerusiDR.php.-

BN Menang 133 Kerusi Parlimen Sehingga Jam 3 Pagi

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen setakat jam 3 pagi Isnin pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan menyebut, BN menang 25 kerusi di Sarawak, 22 di Sabah, 21 di Johor, 12 di Perak, masing-masing 10 di Pahang dan Kedah, masing-masing lima di Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan, serta masing-masing empat di Melaka dan Terengganu.

BN juga memenangi masing-masing tiga kerusi Parlimen di Perlis dan Pulau Pinang, dua di Kuala Lumpur, serta masing-masing satu di Putrajaya dan Labuan.

DAP pula memenangi 38 kerusi Parlimen, masing-masing tujuh di Pulau Pinang dan Perak, masing-masing lima di Kuala Lumpur dan Sarawak, masing-masing empat di Johor dan Selangor, masing-masing dua di Negeri Sembilan dan Sabah serta masing-masing satu di Melaka dan Pahang.

PKR memenangi 28 kerusi Parlimen, tujuh di Selangor, masing-masing empat di Kuala Lumpur dan Kedah, masing-masing tiga di Perak dan Pulau Pinang, dua di Pahang, serta masing-masing satu di Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

PAS memenangi 21 kerusi Parlimen, sembilan di Kelantan, masing-masing empat di Terengganu dan Selangor, dua di Perak serta masing-masing satu di Kedah dan Pahang.

Ahad, 5 Mei 2013

Siapa Menang Atau Kalah, Terimalah Dengan Baik - Ibrahim Ali

PASIR MAS: Calon Bebas Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berharap agar semua pihak dapat menerima keputusan undi dengan baik tanpa mengira siapa pun yang akan menang atau kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, harapan itu perlu ditegaskan apabila saat peti undi ditutup, pengiraan undi dikira dan kemudiannya pengumuman keputusan pilihan raya akan dibuat di seluruh negara.

"Saya harap apa sahaja keputusan, kita menerima dengan baik siapa menang siapa kalah. Janganlah ada golongan yang melakukan tindakan-tindakan yang tidak sopan, provokasi sehingga berlaku seperti di Arab Spring yang berlaku huru-hara.

Helikopter Terbalik, Hishammuddin & Keluarga Selamat

KEADAAN helikopter yang dinaiki Hishammuddin dan keluarga yang terbalik di TUDM Sungai Besi.
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama keluarga terselamat selepas helikopter yang mereka naiki terbalik akibat angin kencang di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi pada Ahad.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang mengesahkan kejadian itu dalam sidang media di Bukit Aman di sini, berkata, kesemua mereka iaitu isteri, anak dan menantu Hishammuddin selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tengah hari Ahad.

Beliau berkata, helikopter sewa milik syarikat swasta itu terbalik selepas mendarat berikutan angin kencang melanda kawasan itu.

"Hishammuddin menaiki pesawat itu untuk datang ke Kuala Lumpur setelah pulang mengundi di Johor," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Hishammuddin bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong, Johor, pada pilihan raya umum ke-13. -BERNAMA


PRU13: Hishammuddin, keluarga dirawat di hospital akibat trauma

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah, anak dan menantunya yang terselamat dalam nahas helikopter kini berada di Hospital Angkatan Tentera Sungai Besi akibat trauma.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan identiti mangsa ketika nahas helikpter yang terbalik ketika hendak mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada kira-kira jam 3.50 petang itu.
 
Ketika kejadian, rombongan menteri berkenaan dalam perjalanan pulang dari Johor apabila cuaca dan angin kencang menyebabkan pesawat terbabit tergelincir.