Isnin, 6 Mei 2013

PRU-13: Othman Abdul hadiahkan kekalahan hatrik buat Mat Sabu

PENDANG 6 Mei - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Abdul menghadiahkan hatrik kalah pada pilihan raya umum (PRU) kepada Mohamad Sabu apabila mengalahkan Timbalan Presiden Pas itu di kerusi Parlimen Pendang pada PRU Ke-13.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kalah dalam dua PRU bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah pada 2004 dan Parlimen Kuala Terengganu pada 2008.

Othman, 62, memperoleh 32,165 undi, menang dengan majoriti 2,638 undi. Pendang adalah antara kubu kuat Pas di Kedah yang dikuasai parti itu sejak memenanginya pada PRU 2004 dan 2008.

Othman pernah menang di kerusi Parlimen Pendang pada PRU 1986, 1990 dan 1995. Beliau tewas kepada Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada PRU 1999 tetapi menang semula pada pilihan raya kecil 2002 berikutan kematian Fadzil. Beliau tidak bertanding pada PRU 2004 dan 2008.

Othman dan Mat Sabu tidak hadir semasa Pegawai Pengurus Parlimen Pendang, Md. Nordin Yahya mengumumkan keputusan di Dewan Al-Marbawi, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang kira-kira pukul 11.25 malam.

Hanya penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob daripada BN yang mengekalkan kerusinya sahaja yang hadir.

Datuk Mohamad Taulan Rasul daripada Pas yang turut mengekalkan kerusi DUN Tokai sejak 2004 juga tidak hadir.

Di luar dewan, sekumpulan golongan muda penyokong Pas cuba menimbulkan kekacauan tetapi dapat ditenangkan oleh pemimpin parti setelah diberi amaran oleh polis sebelum mengambil tindakan.

Suraya yang sempat ditemui berkata, beliau mungkin bertuah kerana merupakan penyandang selain banyak dibantu oleh populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak.

Katanya bilangan pengundi wanita yang melebihi lelaki, dijadikan kumpulan sasar untuk meraih undi namun agak hampa kerana undi yang diperoleh calon Pas juga meningkat.

"Ini yang perlu dilihat dan diperincikan mengapa ia terjadi. Walaupun majoriti saya peroleh meningkat," katanya.

Mengenai kemenangan Othman, Suraya yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pendang berkata, bekas ahli Parlimen Pendang itu masih mempunyai pengaruh kuat dan dipandang tinggi oleh masyarakat di Pendang.

Pada pertandingan empat penjuru di kerusi DUN Sungai Tiang, Suraya menang dengan majoriti 6,994 undi, menewaskan calon Pas Fadzil Baharum; calon Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Charean Isen; dan calon Bebas, Rosli Omar. - BERNAMA

Tiada ulasan: